Ufuk Minda: Kekuatan peribadi, akhlak bentuk pemimpin mulia Oleh Prof Dr Sidek Baba
PENDEKATAN bersepadu memberikan kepentingan nilai yang berasaskan agama, budaya dan tradisi yang baik diungkapkan dengan bijaksana dan sifatnya merentasi kurikulum dan kokurikulum.
Dalam konteks masyarakat berbilang kaum, proses kesalingan dan kekenalan atau litaarrafu perlu disuburkan. Ia supaya wujud proses menghargai dan menghormati nilai positif dan perbezaan. Dengannya juga bakal teradun nilai bersama yang menyumbang ke arah pengkayaan hati budi dan tidak bercanggah dengan faktor akidah dan syarak.
Sekiranya pendidikan Islam difahamkan sebagai pendidikan akidah, ibadah dan akhlak semata-mata tanpa melihat kepentingan ilmu alat seperti matematik, sains dan teknologi, pembangunan manusia hanya berlaku dalam konteks kekuatan peribadi dan akhlak serta menafikan pemahaman dan penguasaan ilmu alat.
Sumbangan yang bakal diberikan kepada pembangunan umat tidak akan menyeluruh sifatnya. Hal yang sama juga boleh berlaku apabila pembangunan pendidikan hanya menumpu kepada kekuatan ilmu alat dan melupakan kepentingan nilai. Kita akan melahirkan manusia mekanistik dan robotik yang hilang etika dan kemanusiaan tinggi.
Jalan terbaik ialah mengambil pendekatan integratif yang mampu menggabungkan kedua-dua keperluan utama iaitu kekuatan peribadi dan akhlak serta keunggulan penguasaan ilmu alat. Sekiranya generasi muda Islam memiliki dua kekuatan ini, corak perubahan negara dan umat pada masa depan tentunya berada dalam acuan kita sendiri.
Acuan yang bermaksud pengolahan sistem nilai yang dinamik. Ia juga mampu menjadi asas amalan dan dimanifestasikan dalam jihad ilmu dan pendidikan.
Memang diakui salah satu cabaran terpenting dalam jihad ini ialah memahami konteks perubahan, pembangunan dan kemajuan yang pernah berjalan mengikut perspektif Islam. Begitu juga perubahan, pembangunan dan kemajuan mengikut perspektif semasa yang paksinya ialah pembaratan.
Globalisasi yang sedang berjalan adalah bukti jelas bagaimana hegemoni Barat begitu rancak menjebak umat Islam, khususnya generasi muda. Keadaan itu sehingga menimbulkan persoalan moral dan sosial yang amat menakutkan.
Faktor perubahan adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Ia adalah fitrah dalam kehidupan dan tamadun umat manusia. Suatu ketika dulu kegemilangan tamadun berpusat di Andalusia dan Baitul Hikmah. Ia dilambangkan dengan kekuatan ilmu yang integratif dan menjadi rujukan Barat dan Timur lebih 600 tahun. Selepas kejatuhan Baghdad dan Andalusia, kebangkitan Barat semakin terserlah. Mereka melakukan misi penjajahan serta pengembangan ilmu dan pendidikan yang tidak lagi bertunjangkan nilai murni. Sebaliknya, mewujudkan faham orientalisme yang meremehkan Timur dan Islam.
Globalisasi kini adalah mercu tanda penguasaan Barat terhadap Timur dan Islam. Ia menyebabkan Timur dan umat Islam menjadi pengkagum dan pengguna setia terhadap produk Barat dalam pelbagai bentuk.
Dalam konteks umat Islam, nostalgik atau kagum terhadap kehebatan silam harus didukung dengan upaya strategik memahami faktor semasa. Hal ini supaya ia releven dengan tuntutan sezaman dan cabaran lingkungan.
Mengagumi model masyarakat madani yang dibina oleh Rasulullah SAW di Madinah, umpamanya, mestilah dalam pengertian yang amat mendalam terhaadap roh, semangat dan prinsip yang di tinggalkan oleh Rasulullah SAW. Hal ini supaya ia mampu diterjemahkan dalam realiti yang sudah berubah.
Memahami perubahan dalam konteks Islam merujuk kepada perubahan bentuk, bukannya isi. Maksud atau maqasid daripada perubahan selalunya tidak berubah. Pada zaman Rasulullah SAW, unta, kuda dan keldai digunakan sebagai alat kenaikan dan pengangkutan. Pada hari ini kereta, lori dan jet digunakan sebagai alat kenaikan dan pengangkutan. Perubahan kepada bentuk ini tidak boleh dielakkan kerana perkembangan ilmu, penyelidikan dan kemajuan teknologi terus berlaku. Tetapi, maksud perubahan ini tetap tidak lari daripada maqasid utama pengangkutan iaitu bagi kepentingan penumpang dan membawa barangan.
Hal yang sama juga dalam prinsip riba yang menjadi pedoman muamalah, jual-beli dan perdagangan dalam Islam. Pada zaman Rasulullah SAW transaski berlaku secara tukaran barangan dengan mengekalkan amalan tanpa riba. Pada masa ini proses transaksi berlaku dengan lebih canggih. Pewujudan Bank Islam dan Takaful Islam, umpamanya, berjalan menggunakan mekanisme semasa tetapi larangan terhadap riba tetap dipatuhi. Perubahan transaksi berubah dari segi bentuknya.
Antara strategi utama yang boleh mencapai matlamat mengisi perubahan ialah dengan melakukan proses pengIslaman ilmu. PengIslaman ilmu adalah suatu tuntutan bagi menghadapi globalisasi.