1.0
PENGENALAN
Meniti arus kemodenan, pelbagai isu berkaitan moral, akhlak dan nilai sering dipaparkan di dada-dada akhbar dan media massa melibatkan warga pendidik. Tidak dapat dinafikan bahawa isu-isu ini muncul dek kerana terdapat pelbagai cabaran baharu yang menerobos dunia kini seperti kebendaan, ideologi baharu dan sebagainya. Oleh yang demikian, guru merupakan insan yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak bangsa sehingga berjaya bagi merealisasikan transformasi pendidikan yang diinginkan oleh negara Malaysia (Abdul Shukor Abdullah, 2009). Melihat kembali anjakan ketiga dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai. Hal ini dikatakan demikian kerana, nilai dan moral merupakan aspek terpenting kepada setiap individu bagi mencapai proses kecemerlangan dalam hidup. Menurut Mohd Yusof & Mohd Zailani (2012) nilai, moral dan akhlak merujuk kepada peri laku manusia dari segi baik dan buruk sesuatu perkara. Secara rangkumannya, nilai, moral dan akhlak boleh didefinisikan sebagai tingkah laku baik yang dilakukan oleh seseorang. Oleh itu, terdapat beberapa peranan sebagai bakal guru dalam mempersiapkan diri untuk mendepani isu penghayatan moral, nilai dan akhlak guru bagi meningkatkan profesional kendiri dalam profesion perguruan.
2.0
ISU NILAI, AKHLAK DAN PEMANTAPAN MORAL SERTA PERANAN BAKAL GURU
Dunia hari ini tidak dapat lari dengan isu-isu jenayah yang boleh menjatuhkan nilai moral dan akhlak seseorang. Menurut akhbar Berita Harian (9 Ogos 2018), statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak menunjukkan bahawa sebanyak 230 orang rakyat Malaysia termasuk warga pendidik mengalami keruntuhan akhlak dan nilai moral. Hal ini berlaku secara luar kawal kerana mereka terikut dengan peredaran masa dan persekitaran. Oleh yang demikian, terdapat beberapa peranan bakal guru dalam menghadapi isu pemantapan moral, nilai dan akhlak.
Antara isu moral yang melibatkan warga pendidik ialah gangguan seksual. Gangguan seksual merupakan antara isu yang hangat di dada-dada akhbar dan media massa pada hari ini. Menurut Zakaria Ismail, Abdul Malik Habeeb Mohd dan Malani Achro (2012) menyifatkan gangguan seksual merupakan perilaku yang tidak senonoh dilakukan oleh oleh seseorang secara paksa rela. Sebagai buktinya, akhbar Kosmo (24 Julai 2018) melaporkan bahawa seorang guru lelaki didakwa mencabul lima orang anak muridnya dalam tempoh masa yang sama. Hal ini telah menyebabkan imej seseorang guru itu tercemar dan akan menyebabkan keruntuhan nilai moral dalam diri mereka. Di samping itu juga, guru-guru yang terlibat dengan
1
masalah sosial atau moral ini akan dipandang serong oleh ibu bapa kerana guru sebenarnya sebagai agen perubahan akan tetapi dengan adanya masalah-masalah sebegini guru bukan lagi sebagai agen perubahan. Dalam pada itu, keruntuhan akhlak serta pembawakan masalah yang berpunca daripada warga pendidik akan menyebakan masyarakat mudah terikut dengan budaya yang kurang sihat serta boleh menjatuhkan nilai moral seseorang. Oleh itu, isu gangguan sesksual harus ditangani dengan segera agar virus epidemik ini tidak menular.
Bertitik tolak kepada isu yang dinyatakan, peranan penulis sebagai bakal guru ialah menghadiri program pemantapan etika dan profesion. Program pemantapan etika dan profesion ini perlu dihadiri bagi menambahkan lagi pengetahuan berkaitan moral dan etika. Hal ini kerana, pengetahuan-pengetahuan yang ada dalam diri ini belum mencukupi untuk menghadapi isu-isu seperti ini. Dalam pada itu, penganjuran program sebegini penting bagi memberi penerangan yang jelas dan pengetahuan yang panjang lebar kepada bakal guru berkaitan dengan prinsip-prinsip serta kepentingan etika dan moral dalam diri seseorang. Sebagai contohnya, melalui Program Asas Sahsiah (ASAH) yang diadakan ini akan membantu bakal guru untuk lebih menghayati nilai termasuk nilai keagamaan. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam program ini bakal guru akan diperkenalkan dengan pelbagai modul seperti modul latihan etika, modul tingkah laku dan sebaginya (Card, F.R., 2005). Modul-modul ini akan membantu bakal guru untuk peka dan tabah mendepani isu-isu ini dengan lebih baik. Selain program ASAH, program Bina Insan Guru (BIG) juga wajar diikuti oleh bakal guru kerana program ini merupakan platform terbaik untuk pembangunan sahsiah. Hal ini dikatakan demikian kerana program ini amat menitikberatkan aspek moral dan nilai dalam kalangan warga pendidik. Maka, sudah terang lagi bersuluh, dengan adanya program-program sebegini ia mampu membuka mata dan minda bakal guru bagaimana untuk mendepani isu yang semakin menular ini.
Selain itu, peranan penulis sebagai bakal guru ialah mempelbagaikan ilmu. Kepelbagaian ilmu ini penting kerana guru bukan terikat dengan satu-satu bidang sahaja (Akhiar Pardi, 2014). Melalui kepelbagaian ilmu ini, bakal guru akan dapat menempuhi cabaran-cabaran akhlak dan moral dengan lebih baik dan mengetahui bagaimana untuk mengatasinya. Antara ilmu yang perlu diperkukuhkan ialah ilmu berkaitan keagamaan. Ilmu keagamaan ini bukan sahaja penting kepada ustaz dan ustazah malah penting kepada bakal guru dalam mengetahui hukum-hukum dalam agama. Dengan adanya ilmu agama, kebarangkalian untuk berlakunya kes-kes seksual adalah rendah dek kerana mereka mengetahui tentang larangan-larangan yang ditetapkan oleh agama. Sebagai contoh, dalam meningkatkan kefahaman berkaitan agama, bakal guru boleh menghadiri pelbagai ceramah keagamaan yang diadakan. Rentetan daripada ceramah itu, maka ia akan memberi kefahaman yang lebih kepada bakal guru dan kefahaman tersebut boleh diaplikasikan dalam
2
kehidupan seharian. Dalam pada itu, bakal guru akan mengetahui batas-batas dalam pergaulan dan tempat sensitiviti para pelajar nanti. Kesedaran tentang kebesaran dan keluasan ilmu penting untuk bakal guru kerana pengetahuan dan kemahiran merupakan dua daripada tiga elemen profesionalisme untuk Model Guru Malaysia dalam Pelan Induk Pembangunan Profesionalisme Keguruan. Deduksinya, ilmu pengetahuan yang mantap dalam diri mampu memberi kesedaran kepada para guru dalam menangani isu-isu yang negatif.
Seterusnya, peranan bakal guru dalam mendepani isu ini ialah dengan meningkatkan tahap kesedaran seksualiti. Tahap kesedaran seksualiti ini bukan sahaja penting kepada bakal guru malah ia juga penting kepada para pelajar. Hal ini dikatakan demikian kerana melalui pembelajaran seksualiti ini, bakal guru akan didedahkan dengan pelbagai perkara yang boleh mengundang bahaya. Secara umumnya, pendidikan seksualiti ini boleh ditakrifkan sebagai sesuatu perasaan melibatkan kefahaman diri terhadap emosi dan respon seksual seseorang (Rashikj Ong, 2009). Dalam pada itu, pendidikan seksualiti ini boleh dipelajari melalui subjek Kecergasan dan Kecerdasan Diri sewaktu berada di Institut Pendidikan Guru. Melalui subjek ini, bakal guru akan didedahkan dengan alat-alat sulit berdasarkan gambar rajah dan bagaimana untuk menangani isu ini. Sebagai contoh, bagi meningkatkan lagi kefahaman berkaitan dengan pendidikan seksual, bakal guru bolehlah melihat inovasi PACOKAD yang dilakukan oleh pelajar minor Pendidikan Kesihatan di IPGK Bahasa Melayu. Berdasarkan dapatan penulis melalui inovasi ini, kefahaman berkaitan pendidikan seksualiti mudah difahami apabila mereka menerangkan menggunakan model yang sesuai (patung). Tambahan pula, penerangan yang menggunakan gambar rajah bewarna juga dapat menarik perhatian pembaca. Justifikasinya, melalui pendidikan seksualiti ini memberi kefahaman yang jelas terhadap bakal guru dalam menghadapi isu-isu akhlak dan moral.
Akhir sekali, mendalami pemahaman berkaitan kod etika perguruan dan Falsafah Pendidikan Guru juga menjadi salah satu peranan dalam mendepani isu ini. Kod etika perguruan menekankan pelbagai aspek dari segi tingkah laku, tanggungjawab dan sebagainya. Sebagai bakal guru, pemahaman yang jitu mengenai kod etika perguruan amatlah penting kerana melalui kod ini guru akan mengetahui perkara yang boleh dilakukan dengan perkara yang tidak boleh dilakukan. Dalam pada itu, Falsafah Pendidikan Guru juga perlu dihayati oleh bakal guru. Hal ini dikatakan demikian kerana FPG diwujudkan bagi menentukan haluan, matlamat dan pendidikan kepada guru melalui beberapa aspek utama. Tambahan pula, guru merupakan agen perubahan generasi akan datang. Sebagai contoh, nilai berpekerti mulia, menjamin perkembangan individu dan sebagainya merupakan perkara yang diterapkan dalam FPG dan kod etika keguruan. Rentetan daripada itu, bakal guru sewajarnya menunjukkan sahsiah yang baik seperti berbudi bahasa, berakhlak mulia dan
3
mempunyai nilai moral agar tidak mudah terjeumus dalam kancah maksiat (Mok Soon Sang, 2008). Pemahaman mengenai FPG dan kod etika ini boleh dipelajari melalui subjek Pengantar Pengajian Profesional ketika berada di IPG. Maka, tidak dinafikan bahawa bakal guru telah didedahkan dengan lebih mendalam mengenai etika-etika dalam perguruan. Tegasnya, penghayatan dan pemahaman yang jitu mengenai kod etika dan FPG mampu meningkatkan disiplin dan tahap kualiti bakal guru dalam mendepani isu moral dan akhlak.
3.0
KESIMPULAN
Natijahnya, terdapat beberapa peranan bakal guru dalam mempersiapkan diri bagi menghadapi isu-isu berkaitan akhlak dan moral ini. Dalam pada itu, peranan-peranan yang dinyatakan haruslah dilakukan oleh bakal guru agar mereka berupaya untuk mendepani isu ini dengan hati yang tenang. Menurut Abd Rahim Abd Rashid (2008), guru merupakan pendorong utama dalam menangani masalah yang kian mendapat tempat ini kerana tanpa sentuhan guru berkemungkinan masalah ini semakin berleluasa. Hal ini dikatakan demikian kerana teknologi kian canggih ini mampu merosakkan minda dan akal fikiran manusia sekiranya digunakan ke arah keburukan sehingga terjerumus dalam kancah kemaksiatan. Selain itu, bagi mendokong anjakan ketiga dalam PPPM iaitu melahirkan masyarakat yang menghayati nilai, maka guru sebenarnya perlu dijadikan contoh teladan yang baik (Abdul Shukor Abdullah, 2009). Oleh itu, bakal guru seharusnya mengetahui teknik-teknik dan peranan mereka dalam mendepani isu yang mencabar ini.
4
RUJUKAN Abd Rahim Abd Rashid (2008). Falsafah budaya dalam bidang pendidikan. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. Abdul Shukor Abdullah (2009). Kepimpinan unggul tonggak pengurusan pendidikan cemerlang. Jurnal Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan, 14(1), 18–30. Akhiar Pardi. (2014). Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru.aKuala Lumpur. Freemind Horizons Sdn. Bhd. Card, F.R. (2005). Individual Responsibility Within Organizational Contexts. Journal of Business Ethics, 62, 397-405. Kosmo Online. (2018, Julai 24). Ustaz cabul lima anak murid lelaki diberkas polis. Diakses pada 11 Ogos 2018 daripada: http://www.kosmo.com.my/terkini/ustazcabul-lima-anak-murid-lelaki-diberkas-polis-1.715142. Malaysia, Kementerian Pendidikan. (2018). Pelan pembangunan pendidikan Malaysia 20132025. Diakses pada 8 Ogos 2018 daripada: https://goo.gl/3bhXGz. Mohd Yusoff, & Mohd Zailani. (2012). Faktor-faktor penyumbang dalam pertimbangan moral pelajar sekolah agama. Kedah: Universiti Utara Malaysia. Mok Soon Sang. (2008). Ilmu pendidikan untuk KPLI (Komponen 3: Profesionalisme keguruan). Selangor: Kumpulan budiman. Rashikj Ong. (2009). Sexual development,education and sexual abuse of persons with disabilities in the republic of Macedonia.Journal of special education and rehabilitation, 10(3-4),135-138. Sophia Ahmad & Wan Noor Hayati Wan Alias. (2018, Ogos 9). Kes gangguan seksual 2015 meningkat. Berita harian, 20. Zakaria Ismail, Abdul Malik Habib Mohd & Malani Achro. (2015). Gangguan seksual di tempat kerja. Diakses pada 10 Ogos 2018 daripada: http://repo.uum.edu.my/449/1/ Zakaria_Ismail.pdf.
5