TINGKAH LAKU AGRESIF DAN AK TIVITI JENAYAH DI KALANGAN MAT REMPIT UKM-GUP-TKS-08-12-268 PROF. MADYA DR. ROZMI ISMAIL, PROF. MADYA DR. ROKIAH ISMAIL, PROF. MADYA HAJAH NORMAH CHE DIN, EN. MOHAMAD FAUZI B. SUKIMI, PN. NORHAYATI IBRAHIM ABSTRAK “Mat Rempit dan jenayah” merupakan satu ungkapan yang cukup popular namun begitu sadis dalam arus perdana terkini negara. Kematian tuan punya stesyen minyak di Ipoh, kehilangan “mahkota” milik seorang gadis di Tampin, kecederaan parah seorang anggota polis bantuan di Butterworth, kekacauan yang ditimbulkan di Hospital Selayang, kebiadaban membaling bom petrol di Balai Polis Sungai Petani dan terkini tindakan berani menyamun di Brickfield merupakan sebilangan kecil kes jenayah yang dilakukan oleh Mat Rempit yang diketahui umum. Berdasarkan contoh-contoh kes di atas, timbul persoalan adakah Mat Rempit ini berkecenderungan untuk menjadi agresif? dan adakah mereka berkecenderungan untuk terlibat dengan aktiviti jenayah?. Bagi menjawab persoalan di atas, alat ujian Big 5 Personality, Personality Type A/B, Barrat Impulsive Scale, Sensation Seeking Scale, Drive Behaviour Questionaire, Buss and Perry, Intrapersonal dan Criminal diaplikasikan dengan melibatkan kaedah perolehan data melalui temuduga bersemuka secara berkumpulan dan kaedah etnografi. Lokasi kajian pula tertumpu di negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur dan Lembah Klang, Kelantan, Terengganu dan Johor yang merupakan “lubuk” kegiatan Mat Rempit. Keputusan awal yang diperolehi menunjukkan wujud hubungan antara keagresifan Mat Rempit dengan aktiviti jenayah. Untuk mempastikan kedudukan terperinci fenomena ini satu kajian sedang dijalankan.