Teori New.docx

  • Uploaded by: BanieManie
  • 0
  • 0
  • December 2019
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Teori New.docx as PDF for free.

More details

  • Words: 5,568
  • Pages: 26
ABSTRAK Pendidikan masa kini sangat menekankan penggunaan pemikiran secara kritis dan kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran. Sehubungan dengan itu, kerajaan melalui Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memperkenalkan Program i-Think. Di sekolah-sekolah seluruh Malaysia dengan tujuan untuk mempertingkatkan dan membudayakan kemahiran berfikir dalam pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan murid yang berfikiran kreatif. Guru-guru telah didedahkan dengan program i-THINK melalui kursus-kursus yang telah dianjurkan oleh pihak KPM mahu pun pihak sekolah. Peta pemikiran I-Think sememangnya penting dalam meningkatkan keupayaan pedagogi guru dalam mempelbagaikan kemahiran guru abad ke 21 selaras dengan perkembangan teknologi dan era ledakan maklumat pada masa kini. Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS) juga diterangkan bagi melihat perkaitannya dengan program i-Think. Di samping itu, kertas turut menjelaskan tentang kebaikan serta cabaran dalam melaksanakan peta pemikiran i-Think dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Penjelasan ini diharapkan dapat memberi pendedahan kepada pelbagai pihak tentang kepentingan pengaplikasian peta pemikiran i-Think bagi mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 yang bermakna dan menyeronokkan kepada murid. Kata Kunci: Pedagogi, i-Think, ICT, Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS).

Abstract Today's education emphasizes the use of critical and creative thinking in teaching and learning. In this regard, the government through the Malaysian Innovation Agency (AIM) in collaboration with the Ministry of Education Malaysia (KPM) has introduced the i-Think Program. In schools throughout Malaysia with the aim of enhancing and cultivating thinking skills in teaching and learning to produce creative thinking students. Teachers were exposed to the I-Think program through courses organized by MOE and the school. The I-Think thinking map is essential in enhancing teachers' pedagogical capacity in diversifying the 21st century teacher's skills in line with today's technological and information boom developments. The History of Thought Skills (KPS) is also described to see the relevance of the i-Think program. In addition, the paper also explains the advantages and challenges in implementing i-Think thinking map in the process of teaching and learning in schools. This explanation is expected to provide exposure to the various stakeholders on the importance of applying i-Think thinking map to create meaningful and fun 21st century teaching and learning process for students. Keywords: Pedagogy, i-Think, Historical of Thought Skill (KPS)

PENGENALAN Pada tahun 2013, Datuk Seri Muhyiddin Yasin yang merupakan menteri dalam Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengumumkan bahawa mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (Muhyiddin 2011). Pengumuman yang dilakukan ini adalah berdasarkan sudah tiba masanya untuk mata pelajaran Sejarah diberikan penekanan yang lebih walaupun rekod pencapaian mata pelajaran Sejarah SPM dianggap baik namun realitinya ia masih kurang diminati (Haili Dohlan 2010). Sehubungan dengan itu, bagi membincangkan isu ini khususnya dalam mencari kaedah pembelajaran dan pengajaran yang bersesuaian dan mampu untuk menarik minat pelajar dalam mata pelajaran Sejarah. Penggunaan Information and Communication Technology (lCT) dilihat mampu menjadi alat pemudah cara dan dapat mengurangkan kebergantungan sesi pengajaran dan pembelajaran yang bersifat konvensional (Mohd Ekram Al Hafis 2014). Kaedah konvensional merupakan proses pengajaran dan pembelajaran hanya melibatkan dua entiti utama sahaja iaitu di antara guru dan pelajar. Di samping itu, ia juga lebih banyak menggunakan konsep hafalan terhadap fakta-fakta yang diberikan oleh guru (Jamalludin & Zaidatun, 2003). Jika diteliti, mata pelajaran sejarah bukanlah subjek yang berteraskan hafalan, tetapi berteraskan kepada kefahaman tentang sesuatu fakta atau peristiwa. Namun begitu dengan penggunaan kaedah yang sesuai dan menarik secara langsung dapat menarik minat pelajar sekaligus dapat meningkatkan kefahaman mereka. Oleh itu, penggunaan ICT dalam pembelajaran mata pelajaran Sejarah amat digalakkan kerana ianya mampu menarik minat pelajar untuk belajar sejarah. Antara salah satunya ialah menggunakan peta pemikiran yang berterasakan ICT dalam sesi pengajaran pembelajaran. Penggunaanya mampu membantu pelajar mengesan maklumat sebanyak 90% oleh otak dalam bentuk visual dan 40% daripada semua gentian saraf yang bersambung ke otak adalah dihubungkan ke retina. Hasilnya, hampir 36000 mesej visual didaftarkan oleh mata pelajar setiap jam (Eric Jennsen, 1996). Selain itu, alat visual ini juga memberi murid bentuk visual untuk menyambung otak dengan minda dalam ikatan yang

sama untuk membuat sambungan dan corak dan turut memberi guru alat pencorakan praktikal untuk menyatukan kandungan pembelajaran dengan proses berfikir. Tambahan pula, alat visual ini boleh digunakan untuk menggalakan pelbagai jenis pemikiran yang berbeza seperti pemikiran kritis, kreatif, analitikal dan sebagainya. Penggunaan alat visual ini dalam ICT mampu untuk memberikan kefahaman yang jelas dan tidak hanya bergantung kepada sistem konsep pengajaran dan pembelajaran yang memerlukan hafalan malah kreativiti ini dapat membantu guru menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung dalam suasana yang menyeronokkan, ceria dan berkesan kepada pelajar (Abdul Rasid, 2012).

LATAR BELAKANG KAJIAN PENDIDIKAN ABAD KE-21 Pendidikan abad ke-21 sangat menekankan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang terkini yang boleh diaplikasikan ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pelajar pada abad ke-21 yang dilahirkan secara zahirnya dengan pelbagai kemudahan jenis gadget dan aplikasi yang sangat memberikan manfaat, maklumat dan pengetahuan kepada mereka. Kepelbagaian aplikasi yang muncul pada hari ini masih lagi menjadi tanda tanya disebabkan oleh kebanyakan para guru masih lagi meneruskan tradisi kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lapuk. Hal ini secara tidak langsung memberikan cabaran yang utama bagi para guru dalam mempersiapkan bahan pengajaran. Sekolah- sekolah yang ada di Malaysia sudah dilengkapi dengan peralatan teknologi yang canggih seperti komputer dan internet yang boleh membantu para guru melakukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih kreatif dan tidak membosankan. Multimedia yang disediakan di sekolah oleh pihak kerajaan adalah antara teknologi pendidikan yang kerap digunakan oleh para guru. Multimedia dalam pengajaran dan pembelajaran adalah melibatkan pelbagai bentuk bahan bantu mengajar (BBM) yang berbentuk digital seperti gambar, video, audio, grafik dan animasi. (Rozinah Jamaludin 2005). Aplikasi multimedia tersebut lebih mudah difahami dan menarik untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran malah penggunaan multimedia ini kini telah

diperluaskan kepada bidang-bidang pengkhususan kerjaya yang melibatkan bidang pendidikan. Sistem Pendidikan yang menggunakan bahan multimedia merupakan satu trend terkini semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Namun perkembangan teknologi maklumat ini masih mempunyai kekurangannya yang tersendiri sehingga masih lagi menimbulkan pelbagai reaksi daripada pelbagai golongan masyarakat (Rossafri Mohamad & Wan Ahmad Jaafar Wan Yahya 2007). Penggunaan multimedia dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah bukanlah untuk penggantikan tenaga pengajar sepenuhnya tetapi ianya adalah untuk menggantikan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang bersifat masih lagi tidak sering dengan perkembangan teknologi masa kini. Selain itu, penggunaan multimedia ini dijadikan sebagai alat pemudah cara bagi meningkatkan motivasi dan minat pelajar untuk terus mendalami ilmu pengetahuan dari penggunaan multimedia. Tambahan pula, mata pelajaran Sejarah telah dijadikan mata pelajaran yang wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran Sejarah sebelum ini digunakan dalam bentuk ceramah, serta menggunakan papan hitam yang berpandukan buku teks semata-mata. Justeru itu, pelajar-pelajar akan kurang diberikan peluang untuk melibatkan diri secara aktif malah kaedah pengajaran yang mereka terima agak membosankan (Rossafri & Wan Ahmad 2007). Jika dibandingakan dengan negara-negara Eropah, proses pengajaran dan pembelajaran mereka di sekolah sudah lama menggunakan alternatif multimedia yang sememangnya membantu mereka menarik perhatian para pelajara untuk belajar dengan cara yang lebih menyeronokkan dengan bantuan multimedia yang ada (Lee 2013). Justeru itu, penggunaan multimedia adalah salah satu langkah yang mencipta kreativiti seorang guru untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Pekembangan penggunaan multimedia sejak kebelakangan di Malaysia telah banyak membantu para guru di Malaysia sebagai alat bahan bantu mengajar yang semakin popular. Hal ini telah membolehkan para pelajar di Malaysia meperoleh kepelbagaian maklumat di hjung jari mereka sahaja (Jamalludin & Zaidatun 2003). Selain itu, penggunaan teknologi multimedia juga memberikan banyak faedah kepada pelajar dan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran (Norliza Hussin et. al 2013).

PETA PEMIKIRAN I-THINK I-Think merupakan singkatan kepada Innovative Thinking (Pemikiran Inovatif). Peta pemikiran ini mula diperkenalkan melalui program i-Think. Tujuan program ini diperkenalkan adalah untuk mempertingkatkan dan membudayakan kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar ke arah menghasilkan pelajar yang kreatif, kritis dan inovatif. Program ini adalah hasil kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Agensi Inovasi Malaysia (AIM) serta telah dirintis kepada sepuluh buah sekolah sebelum diperkembangkan ke seluruh Malaysia. Peta pemikiran i-Think adalah salah satu cabang alat berfikir yang dikembangkan secara visual yang mudah diaplikasi dan difahami merentas kurikulum melalui lapan bentuk peta pemikiran. Peta pemikiran yang kerap dilaksanakan turut membantu pelajar dalam membudayakan kemahiran berfikir (Khalidah et. al 2015) Kementerian Pelajaran Malaysia (2012) turut menjelaskan bahawa penggunaan peta pemikiran sebagai satu cabang alat berfikir dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat memupuk pelajar untuk berfikir serta menaakul. Setiap peta pemikiran mempunyai proses pemikiran yang tertentu. Lapan jenis peta pemikiran yang dicadangkan dalam Program i-Think adalah Peta Bulatan, Peta Pokok, Peta Buih, Peta Dakap, Peta Alir, Peta Buih Berganda, Peta Pelbagai Alir dan Peta Titian. Berikut adalah lapan contoh peta pemikiran i-Think;

Rajah 1: Lapan Peta Pemikiran i-Think

Melalui pendekatan dengan memperkenalkan program i-Think, penggunaan peta pemikiran dalam mata pelajaran Sejarah dapat meningkatkan rangsangan visual dalam kalangan pelajar agar lebih kreatif dalam penulisan sekaligus dapat meningkatkan kemahiran pelajar berkomunikasi secara lisan dan menggalakkan pelajar untuk belajar secara yakin dan kendiri (Norfadilah 2000). Penggunaan peta pemikiran juga dapat memudahkan pemikiran pelajar, membantu mengukuhkan daya ingatan, dan pelajar dapat mengingati fakta-fakta penting yang kemudiannya boleh dihuraikan dengan baik (Abdul Rahim 2000). Ia menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan. Kajian lampau menunjukkan bahawa masih ramai pelajar menghadapi kesukaran mengingati fakta Sejarah dalam jangka masa yang panjang (Khairuddin 2011). Hal ini adalah kerana, mata pelajaran Sejarah mempunyai banyak idea yang abstrak serta konsep yang sukar untuk difahami. Konsep ini memainkan peranan yang amat penting dalam mencorakkan daya pemikiran seseorang individu dan membentuk daya intelektual pelajar. Dengan menggunakan kaedah peta minda, segala nota Sejarah yang dipenuhi dengan fakta dapat dipendekkan dengan menggunakan pelbagai simbol, warna, corak dan sebagainya. Hal ini akan memudahkan pelajar untuk mengingati segala fakta yang telah dipelbagaikan melalui peta pemikiran ini. Walaubagaimanapun, guru merupakan individu yang bertanggujawab dan berperanan dalam menghasilkan produk pelajar yang berkemahiran dan berkualiti melalui pengajaran dan pembelajaran. Proses pengajaran dan pembelajaran, guru perlulah lebih kreatif semasa merancang pengajaranya berdasarkan keupayaan dan kebolehan pelajar. Selain itu juga, guru perlu melibatkan pelajar secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajarannya dan ini menuntut kemahiran pengajaran yang tinggi dalam kalangan guru. Kehadiran kecanggihan ICT dalam melaksanakan program i-Think ini dapat menambah lagi bahan bantu mengajar untuk para guru untuk mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran untuk para pelajar. Perkara ini akan memberi impak yang lebih berkesan ke arah mencapai matlamat pendidikan Sejarah itu sendiri (Anuar Ahmad et. al 2015).

Kemahiran Pemikiran Sejarah Pemikiran Sejarah merupakan salah satu kemahiran yang penting dalam pendidikan Sejarah. Melalui kemahiran pemikiran Sejarah, pelajar-pelajar dirangsang untuk lebih berfikir secara kritis dan analitis. Hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan pencapaian intelek para pelajar dan menjadikan Sejarah sebagai satu mata pelajaran yang hidup dan tidak lagi membosankan. Berdasarkan Huraikan Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (2002), pemikiran sejarah merupakan satu bentuk proses kognitif yang murid-murid meneroka idea yang kompleks dan abstrak dengan bimbingan guru. Pemikiran sejarah juga menunjukkan pengajaran yang bertumpu kepada usaha mempertajamkan pemikiran menjadi perkara yang sangat penting dalam perubahan pendidikan kini. Ini disebabkan pemikiran berkait rapat dengan unsur intelek yang diberi penekanan dalam KBSM (Kamarudin Haji Husin 1994). Antara kemahiran pemikiran Sejarah yang digariskan dalam Huraian Sukatan Pelajaran Sekolah Menengah (2002) yang dikeluarkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum untuk diterapkan oleh guru-guru Sejarah kepada para pelajar ialah; i. Memahami kronologi. Memahami kronologi bermaksud melihat masa lalu, kini dan masa akan datang mengikut urutan sesuatu peristiwa sejarah yang berlaku. Sebagai contoh pelajar tingkatan satu yang telah belajar tentang zaman pra sejarah, dapat melakar carta masa yang menunjukkan kehidupan zaman pra sejarah seperti Paleolitik, Neolitik dan Logam. Melalui pemahaman kronologi ini para pelajar dapat membuat perkaitan antara masa lalu dengan masa kini. ii. Meneroka bukti Kemahiran ini mengenalpasti sumber pertama dan kedua serta membuat perbandingan antara kedua-dua sumber tersebut, di samping mendapat maklumat daripadanya. Antara aktiviti yang boleh dijalankan oleh guru bagi menerapkan kemahiran meneroka bukti ialah dengan mengarahkan pelajar berfikir dan meneroka bukti tentang mengapa kerajaankerajaan maritim wujud di tepi pantai. iii. Membuat interpretasi

Membuat tafsiran membawa maksud tafsiran terhadap sesuatu peristiwa dengan memberi ulasan dan kupasan. Dengan itu pelajar akan lebih memahami perkaitan antara fakta Sejarah dan tafsiran Sejarah dengan baik. Kemahiran membuat interpretasi ini juga bermakna masa lalu yang boleh difahami melalui pemerhatian dan interpretasi yang sistematik dapat membantu kita hidup dengan lebih baik pada masa hadapan. Sebagai contoh pelajar dikehendaki membuat tafsiran tentang konsep tamadun mengikut pandangan Barat dan Islam. Dengan membandingkan kedua-dua pandangan ini pelajar telah membuat tafsiran dan ulasan serta perbandingan tentang perbezaan kedua-dua pandangan Barat dan Islam. iv. Membuat imaginasi Merupakan kemahiran pemikiran Sejarah. Ia merupakan satu usaha melibatkan pelajar dengan sesuatu situasi dalam peristiwa Sejarah yang dikaji. Kemahiran imaginasi ialah secara visual dan empati. Empati misalnya merujuk kepada seseorang yang menilai sejarah menurut kacamata sumber atau subjek sejarah yang terlibat, contohnya untuk menilai tindakan kenapa Tunku Abdul Rahman mengeluarkan Singapura dari Malaysia, maka kita perlu meletakkan diri kita pada tempat Tunku pada ketika keputusan penting tersebut hendak diambil. Cara ini boleh menjelaskan kepada kita mengapa tindakan itu diambil. v. Membuat rasionalisasi Melibatkan penggunaan akal dalam membuat pertimbangan yang wajar dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Para pelajar perlu mempunyai kemahiran mengumpul data, membuat hipotesis, menentukan signifikan bukti dan membuat inferens daripada data yang dikumpul. Kemahiran ini membolehkan kita mendapat pengetahuan yang penting daripada kajian masa lalu yang seterusnya membimbing kita untuk membuat keputusan yang lebih baik pada masa hadapan. Contoh yang boleh diambil untuk membuat rasionalisasi ialah mengarahkan pelajar untuk membincangkan tentang Perang Dunia Kedua yang membawa banyak kemusnahan atau mengapa Rancangan Malaya Pertama diperkenalkan. (Huraian Sukatan Pelajaran Sejarah KBSM Tingkatan 1, 2 & 3 2002)

Kelima-lima kemahiran tersebut adalah kemahiran-kemahiran yang sangat melibatkan proses-proses Sejarah antara guru dan pelajar. Para guru akan membimbing pelajar untuk membuat perkaitan antara masa lalu dan masa kini, menganalisis, menyelidik dan memproses bukti-bukti, membuat hipotesis, memahami dan memberi penerangan serta membuat pertimbangan. Seterusnya, ia pula akan terlaksana apabila para guru Sejarah melibatkan pelajar secara aktif dalam proses pembelajaran Sejarah. Dengan itu, secara tidak langsung para pelajar akan memperoleh kelima-lima kemahiran yang dinyatakan (Zahara & Nik Azleena 2007).

PERNYATAAN MASALAH Perubahan yang amat pesat sedang dialami sistem pendidikan di Malaysia pada masa kini ekoran perkembangan teknologi multimedia. Pelajar sekolah kini banyak menerima pengaruh dalam dunia ICT seperti komputer dan internet yang menjadi medium untuk memperoleh ilmu pengetahuan tanpa sempadan. Oleh itu, dalam pendidikan Sejarah seringkali berhadapan dengan tanggapan bahawa mata pelajaran sejarah adalah mata pelajaran yang membosankan dan kurang diminati berbanding mata pelajaran lain disebabkan cara pengajaran dan pembelajaran yang membosankan sehinggakan pelajar kurang memberikan tumpuan untuk mempelajari mata pelajaran sejarah. Penggunaan set peraturan seperti autokratik dan tegas dengan cara memaksa, mengherdik, meninggikan suara ataupun menggunakan bahasa yang kasar untuk mendisiplinkan murid tidak diperlukan lagi malah guru sepatutnya perlu mewujudkan hubungan yang lebih akrab dengan murid-murid (Abdul Rasid Jamian dan Hasmah Ismail, 2013). Jika dilihat isu utama yang sering dikaitkan dengan kelemahan-kelemahan yang ada pada sesi pengajaran di sekolah adalah disebabkan oleh pengajaran yang hanya masih bersifat konvensional. Pengajaran yang bersifat seperti ini masih lagi digunakan walaupun pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah membuat perubahan. Hal ini selari dengan pendapat Hariyono (1995), dimana hal seperti ini masih lagi berlaku disebabkan guru sejarah jarang memerhatikan sama ada maklumat tersebut dapat membangkitkan minat atau semangat yang boleh membentuk pelajar yang faham sejarah. Ini bermakna sistem

pendidikan sudah mengalami perubahan tetapi sesi pengajaran dan pembelajaran masih lagi terikat dengan kaedah dan cara yang dahulu. Walaupun pelbagai kaedah yang telah digunakan untuk menyelesaikan isu ini seperti kaedah Mneumonik contohnya. Kaedah ini merupakan kaedah yang membantu pelajar untuk mengaitkan sesuatu bahan atau rangkaian kata berdasarkan huruf pangkal untuk mengingati dengan sesuatu makna (Rahil, Jami’ah, dan Kasnani, 2000). Selain itu juga, penggunaan Sistem Trek yang digunakan seperti mencatat fakta-fakta pembelajaran dan menyalin semula mengikut urutan masa turut tidak berjaya menarik minat pelajar untuk belajar mata pelajaran Sejarah (Mohd Ekram Al Hafis, 2014). Kaedah-kaedah yang dinyatakan ini merupakan kaedah konversional yang tidak menggunakan ICT dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Justeru itu, melalui pendidikan abad ke-21, ICT amat berguna sekali bagi membantu kaedah pengajaran dan pembelajaran hari ini. Kemahiran Pemikiran Sejarah tidak akan wujud secara semulajadi tetapi perlu dipupuk dari luar seperti mengumpul, membaca serta menganalisis pelbagai bahan bukti sejarah (Muhammad Faiz Tamdjis et. al 2011). Kegagalan untuk menerapkan kemahiran ini dalam PdP Sejarah berpunca daripad kesukaran mendapatkan sumber Sejarah, kekangan masa guru mencari sumber yang sahih, kos yang tinggi mencari sumber Sejarah dan tuntutan menghabiskan sukatan pelajaran. Kegagalan untuk mendapatkan sumber mengjadi penghalang guru menggalakkan kemahiran berfikir dalam pengajaran dan lebih cenderung menggunakan kaedah lama dalam bilik darjah. Sekiranya hal ini dibiarkan berlarutan, generasi yang dilahirkan pada zaman ICT ini tidak berubah seperti meluahkan semula ilmu yang diperoleh daripada bukunya, bukannya menggunakan ilmu dalam kehidupan seharian. Bahkan, menganggap ilmu yang diperoleh di sekolah sekadar memenuhi keperluan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (2012), mencari alternatif bagi memudahkan guru mendapat bahan sumber sejarah dengan mudah, menarik perhatian pelajar serta menjana pemikiran pelajar dengan penggunaan ICT. Penggunaan teknologi mampu untuk menghasilkan PdP yang berkesan dan menghubungkaitkan proses PdP walaupun ICT masih belum digunakan secara meluas dalam kalangan guru di sekolah (Abdul Razaq Ahmad 2011). Sehubungan dengan itu, program i-Think yang diperkenalkan dapat memberikan bantu kepada guru untuk melaksanakan serta penerapkan Kemahiran Pemikiran Sejarah dalam PdP serta mampu guru mengaplikasikan kedua-duanya dalam pendidikan Sejarah.

4.0 Tujuan Kajian Tujuan kajian ini adalah untuk melihat penggunaan peta pemikiran I-Think dalam membantu guru menerapkan Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS) dalam menarik minat pelajar untuk belajar Sejarah. Di samping itu, meneliti tentang kesan, cabaran dan cadangan untuk menggunakan ICT dalam melaksanakan KPS.

5.0 Objektif Kajian 1. Tahap keupayaan guru sejarah mengaplikasikan peta pemikiran i-Think dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sejarah? 2. Sejauhmanakah penggunaan peta pemikiran sebagai alat berfikir membantu guru menerapkan KPS dapat digunakan untuk menyelesaikan masalah mudah kehilangan minat di kalangan murid terhadap mata pelajaran Sejarah? 3. Membincangkan kesan, cabaran dan cadangan menggunakan ICT dalam melaksanakan KPS?

Perbincangan Tahap Keupayaan Guru Mengaplikasikan Peta Pemikiran I-Think dalam Pengajaran dan Pembelajaran Mata Pelajaran Sejarah Kelemahan Teknik Pedagogi dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah Setiap guru memiliki kaedah ataupun teknik dalam melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah. Pemilihan keadah mengajar mengikut citarasa seseorang guru akan menentukan minat serta pencapaian seseorang pelajar terhadap subjek yang diajar (Anuar et. al 2011). Namun begitu, pendidikan abad ke-21 sangat menekankan kaedah dan teknik yang baharu yang selari dengan perkembangan era globalisis yang berpaksikan perkembangan dunia teknologi maklumat. Perubahan harus berlaku dalam sistem mengajar yang mana adalah digalakkan kerana dapat memupuk minat serta menggalakkan pelajar lebih bertanggungjawab terhadap pembelajaran di samping menerapkan amalan pembelajaran sepanjang hayat (Robiah Sidin et. al 2007). Oleh itu, kelemahan dari segi kaedah pedagogi masih menjadi isu utama dunia pendidikan hari ini yang seringkali berkait rapat dengan minat serta tahap pencapaian murid dalam bidang akademik. Corak yang dibawa oleh guru masih lagi bersifat tradisional dan konversional. Hal ini telah memberikan kesan terutamanya buat pelajar bidang Sejarah kerana hasil pembelajaran yang bercorak sedemikian telah memberikan kesukaran buat mereka untuk mengingati konsep sejarah dan fakta sejarah. Hal ini menjadikan mata pelajaran Sejarah sangat membosankan (Mohamad Sultan 2000). Justeru ini, guru pada abad ke-21 perlu mencari inisiatif dalam mempelbagaikan kaedah pedagogi khususnya melaksanakan dalam bentuk ICT yang lebih menarik dan memudahkan murid untuk memahaminya. Kreativiti seorang guru juga harus diambil kira supaya dapat mengubah persepsi pelajar terhadap mata pelajaran Sejarah yang dikatakan tidak penting untuk dipelajari walaupun ianya sudah menjadi subjek wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sehubungan dengan itu, persediaan guru dalam melaksanakan kurikulum Sejarah turut menjadi punca kepada murid untuk tidak meminati mata pelajaran Sejarah. Keberkesanan pengajaran mata pelajaran sejarah bergantung kepada perancangan dan kualiti guru sejarah itu sendiri. Guru Sejarah yang bermutu menunjukkan kebolehan dan berkeupayaannya dari segi pengetahuan, kualiti diri, sosial dan professional (Abdul Razaq et. al 2017). Tanggungjawab guru sebagai penyampai ilmu dengan mengaplikasikan beberapa pendekatan-pendekatan atau strategi yang boleh membantu murid menguasai kemahiran dan pemahaman serta berjaya mencapai objektifnya (Janimah Suhaimi 2011). Persediaan yang kurang untuk melaksanakan kurikulum Sejarah telah melibatkan pengetahuan dan kemahiran guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran menjadi isu dan membuatkan keadaan menjadi semakin serius apabila isi kandungan Sejarah tidak dapat dikuasai. Justeru itu, tindakan hasil kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Agensi Invosi Malaysia (AIM) memperkenalkan program I-Think dalam membantu guru untuk melakukan perubahan dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Program ini merupakan singkatan kepada Innovative Thinking untuk melahirkan murid yang berkebolehan dalam kemahiran berfikir secara kreatif dan inovatif. Pengenalan terhadap peta pemikiran i-Think dalam sistem pendidikan dalam meningkatkan tahap minat dan pencapaian murid dalam mata pelajaran Sejarah meningkat. Tambahan pula, terdapat banyak kajian lampau menunjukkan bahawa peta pemikiran sebagai salah satu pendekatan penting dalam kurikulum pendidikan kerana ia berupaya meningkatkan kemahiran berfikir (Mohd Mahzan Awang et al 2014).

Kemahiran Pemikiran Sejarah Penggunaan peta pemikiran I-think ini juga boleh dijadikan salah satu strategi untuk meningkatkan Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS). Sebagaimana yang diketahui, proses inkuiri, pengumpulan sumber, analisis sumber Sejarah memerlukan KPS yang melibatkan kemahiran memahami kronologi, menerokai bukti, membuat imaginasi dan membuat rasionalisasi. Hasilnya, sesuatu peristiwa Sejarah ditulis dengan tepat dan boleh dijadikan pengajaran kepada murid pada masa akan datang (Shakila Che Dahalan 2015). Berikut merupakan teras struktur disipin Sejarah;

Rajah 2: Struktur Disiplin Sejarah (Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia 2002)

Berdasarkan perancangan pelan pembangunan pendidikan negara 2013-2025, Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) akan diperkenalkan pada 2014 dan perubahan dan pemurnian sukatan pelajaran buku teks baru bagi peringkat menengah akan bermula pada 2017. Hal ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam mengurangkan kaedah hafalan tetapi lebih kepada kemahiran berfikir murid dalam menjawab soalan peperiksaan. Namun begitu, aplikasi peta pemikiran i-think merupakan suatu teknik pedagogi yang boleh digunakan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sejarah untuk menerapkan KPS dalam pengajaran dan pembelajaran. Teknik ini dapat menghidupkan suasana pembelajaran Sejarah yang bermakna dan kreatif kepada murid memandangkan begitu banyak isu tentang pendidikan dalam bidang Sejarah (Norhafizah Zaidi). Peta Pemikiran ini juga bertindak sebagai salah satu cabang alat berfikir yang dikembangkan secara visual yang mudah diaplikasi dan difahami merentas kurikulum melalui lapan bentuk Peta Pemikiran. Peta pemikiran i-Think yang kerap dilaksanakan turut membantu pelajar dalam membudayakan kemahiran berfikir (Khalidah et al. 2015). Kementerian Pelajaran Malaysia (2012) turut menjelaskan bahawa penggunaan peta pemikiran sebagai satu cabang alat berfikir dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat memupuk pelajar untuk berfikir serta menaakul Sebelum murid didedahkan dengan peta pemikiran i-Think, guru seharusnya menguasai kesemua peta pemikiran yang telah dicadangkan serta mengikuti kursus-kursus berkaitan i-Think dengan penuh komitmen.Walaupun pelaksanaan peta pemikiran i-Think masih baru murid dapat menguasai dan mendapati bahawa peta pemikiran i-Think telah berjaya membantu murid dalam pembelajaran.

Cabaran Pelaksanaan Peta Pemikiran i-Think Sebagaimana yang diketahui, Kerajaan telah memperkenalkan Program i-Think pada 2011 dan dijalankan secara berperingkat pada peringkat awal diperkenalkan. Namun kini diperluaskan penggunaannya di semua sekolah di seluruh negara. I-Think diperkenalkan bertujuan untuk mempertingkatkan dan membudayakan kemahiran berfikir dalam kalangan murid ke arah menghasilkan murid berinovatif. Dapatan melalui kajian keperluan telah menunjukkan bahawa Kemahiran Pemikiran Sejarah dalam kalangan guru dan pelajar di Malaysia sangat rendah (Zahara Azizi et al. 2007). Jadi dengan pengenalan program iThink ini, diharapkan guru dan murid dapat menggunakan alat berfikir iaitu 8 bentuk peta pemikiran untuk memupuk KPS dalam mata pelajaran sejarah. Namun begitu cabaran untuk melaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran pada hari ini masih berhadapan dengan cabaran untuk melaksanakannya. Cabaran yang dihadapi di dalam melaksanakan program ini mengikut kajian yang dilakukan oleh Linawati Lina Adiman dan Sharifah Nor Puteh (2017), terdapat beberapa cabaran yang dihadapai oleh guru-guru seperti murid tidak mengenali huruf, tidak fasih berbahasa Melayu dan Inggeris, tidak memahami fungsi lapan peta pemikiran I-Think, kesukaran untuk mencari bahan rujukan, bahan rujukan dalam bahasa Inggeris dan guru kurang mahir dalam penggunaan peta pemikiran I-Think. Oleh sebab itu, ada sebahgian guru mula tidak dapat menerima transformasi dan masih menggunakan kaedah lama untuk mengajar. Kaedah lama yang berpusatkan guru tidak sesuai digunakan pada masa kini. Pembelajaran Abad 21 yang berpusatkan murid dan bahan telah diperkenalkan bagi mengubah cara dan kaedah pengajaran guru. Salah satu kaedah ialah penggunaan peta pemikiran I-Think di dalam PdP guru. Guru perlu bersikap positif dalam menerima tranformasi pendidikan bagi mengembangkan pengetahuan dan seterusnya ada anjakan paradigma di kalangan guru agar berubah daripada kebiasaan seperti pengajaran secara konvensional (Sharifah Nor Puteh 2017). Pendedahan kepada murid tentang penggunaan kaedah ini dapat mengalakkan murid untuk berfikir dan lebih fokus dalam memahami tajuk yang dipelajari.

Selain itu juga, masih terdapat sebilangan guru tidak menguasai sepenuhnya lapan peta pemikiran I-Think. Ini menyukarkan untuk guru memberikan pendedahan kepada murid-murid. Walaupun guruguru telah diberi pendedahan awal di dalam Latihan Dalam Perkhidmatan dan bengkel-bengkel yang berkaitan dengan penggunaan peta pemikiran IThink ini, namun guru-guru masih tidak menggunakan kaedah ini untuk memudahkan pengajaran mereka di dalam kelas (Normah bt Zakaria 2018). Bagi guru-guru yang mempraktikkan kaedah ini dapat membantu murid-murid dalam pembelajaran tanpa menulis nota yang panjang dan dapat menarik minat mereka untuk belajar lebih mudah lagi, kaedah ini dapat membantu murid-murid mengembangkan idea dan dapat berfikir dengan lebih kreatif dan kritis seterusnya membudayakan KPS dalam PdP mata pelajaran Sejarah. Seterusnya, guru yang mempunyai komitmen untuk menggunakan peta pemikiran i-Think juga sebagai alat bantu mengajar mempunyai cabaran-cabaran yang tertentu. Cabaran yang perlu ditempuhi para guru adalah seperti guru menganggap i-think satu program tambahan yang membebankan, mengelirukan dan membuang masa. Hal ini disebabkan para guru tidak mempunyai masa PdP yang cukup untuk mengaplikasikan sepenuhnya dalam bilik darjah. Rungutan tidak memiliki masa yang cukup telah mendorong para guru masih lagi menekankan penggunaan kaedah yang lama. Hasil daripada itu, tahap kemahiran guru sangat lemah malah mendatangkan kesan untuk para pelajar mencapai pencapaian dalam akademik yang memuaskan. Disebabkan itu juga, para pelajar akan mula sedikit demi sedikit hilang rasa untuk belajar serta minat terhadap mata pelajaran Sejarah. Peta Pemikiran ini digunakan demi untuk membantu meningkatkan pencapaian dan menarik minat, jadi guru harus menggunakan saluran ini dengan sebaik mungkin demi melahirkan pelajar yang maju dan berdaya saing.

Kebaikan Pelaksanaan Peta Pemikiran i-Think Mata pelajaran Sejarah khususnya banyak menggunakan konsep, kronologi, peristiwa, dan perdebatan. Justeru itu, murid perlu belajar memahaminya untuk melahirkan seberapa banyak idea untuk mengembangkan pengetahuan. Selain itu, untuk menerapkan Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS) peta pemikiran merupakan salah satu alat bagi murid untuk menjana pendapat mereka sendiri ketika proses PdP di dalam bilik darjah. Pada hakikatnya, proses pemikiran murid-murid mengambil masa yang panjang untuk diukur namun kemahiran ini seharusnya diterapkan lebih mendalam ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana, melalui pembelajaran menggunakan peta pemikiran boleh merangsangkan daya ingatan dan kemahiran berfikir serta menyusun isi menggunakan gambar rajah yang dibuat. Tambahan lagi, melalui penggunaan peta pemikiran ini juga muri-murid akan menarik minat dan pembelajaran lebih menyeronokkan. Di samping itu, peta pemikiran boleh dijadikan sebagai alat untuk menilai tahap kefahaman murid di dalam bilik darjah dengan isi kandungan pelajaran yang disampaikan oleh guru. Hal ini kerana, peta pemikiran boleh dijadikan satu alat hala tuju yang lebih terancang berbanding dengan alat berfikir yang lain kerana setiap peta pemikiran mempunyai fungsi yang berbeza. Selain itu, dengan menggunakan peta pemikiran juga murid lebih terarah dan terancang mengikut fungsi peta pemikiran yang telah ditetapkan berbanding alat berfikir yang lain seperti peta konsep dan peta minda. Melalui peta pemikiran juga, murid boleh membuat perkaitan antara peristiwa sebelum, semasa dan selepas proses PdP di dalam bilik darjah. Tambahan lagi, murid juga dapat membuat perkaitan peristiwa pembelajaran ke dalam kehidupan seharian mereka untuk dijadikan panduan untuk mereka memahami isi yang ingin diutarakan di dalam penulisan berkenaan (Rohaida Yusop et al 2015). Selain itu, nilai yang ingin diterapkan dalam sesebuah peristiwa sejarah dapat disampaikan kepada murid secara lebih berkesan bukan sekadar menghafal semata-mata.

Selain itu juga, peta pemikiran boleh digunakan sebagai persediaan pra pengajaran kepada guru. Guru boleh menggunakan peta pemikiran untuk menyusun bahan-bahan pengajaran sebelum dan selepas pengajaran di dalam bilik darjah. Selain itu, bahan pengajaran yang baharu boleh disusun dengan menggabungkan konsep pengetahuan sedia ada dalam strutur kognitif murid tersebut. Guru Sejarah dalam pembelajaran seharusnya menjadikan aktiviti membina peta pemikiran sebagai alat pembelajaran yang rutin di samping alat berfikir dalam kalangan murid. Menerusi penulisan, peta pemikiran yang digunakan bukan sahaja boleh menyatakan fakta atau konsep sesuatu perkara malah ia juga boleh digunakan sebagai alat untuk melihat peristiwa (Kamariah Abd Ghani 2002).

Kesimpulan Secara kesimpulannya, perubahan pembelajaran melalui aplikasi peta pemikiran i-Think ini harus dilalui dan dilaksana dengan sebaik mungkin bagi mewujudkan pembelajaran berpusatkan pelajar. Seiring dengan pembelajaran abad ke-21 yang menekankan pembelajaran berpusatkan pelajar dan guru sebagai pemudahcara, pengaplikasian peta pemikiran ini harus ditekankan dalam membentuk muird yang kreatif dan kritis dalam pemikiran mereka. Oleh itu, kita seharusnya peka tentang segala isu dalam dunia pendidikan agar kita dapat mengekori negara-negara maju dalam segala aspek. Pelajar kita harus maju kehadapan dalam menghadapi perubahan dan kita memerlukan alat berfikir yang relevan dan mudah untuk membolehkan mereka melakukan sesuatu jika kita ingin menjadikan pemikiran pelajar kita setanding dengan pelajar-pelajar di negara lain. Hal ini kerana, mereka perlu menghadapi pesatnya perkembangan teknologi, arus globalisasi yang bersaing serta pertandingan reka cipta dan inovasi yang semakin popular kini. Buat masa ini, tiada lagi alat berfikir yang dapat memenuhi keperluan guru dan murid selain program i-Think ini. Menurut kajian Wahidah (2011), kebanyakan pelajar mengakui keberkesanan mempraktikkan penggunaan peta pemikiran dalam program ini bagi mengharungi situasi baru dalam proses pembelajaran mereka malahan permintaan mengikuti kursus ini mendapat sambutan yang baik dan meningkat.

Rujukan Abd Rahim Abd Rashid. 2000. Model dan Pendekatan Pengajaran Sejarah KBSM. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Abdul Razaq Ahmad, and Ahmad Rafaai Ayudin & Mohamad Johdi. 2009. Penilaian Kemajuan Berasaskan Sekolah Kaedah Kerja Kursus Sejarah. Jurnal Pendidikan Malaysia, 34 (2): 111-124. Abdul Rasid Jamian & Hasmah Ismail. 2013. Pelaksanaan Pembelajaran Menyeronokkan dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 3(2), 49-63. Abdul Rasid Jamian. 2012. Enhancing Reading Comprehension Through Cognitive and Graphic Strategies: A Constructivism Approach. Procedia-Social and Behavioral Science 64, 151-160. Anuar Ahmad, Siti Haishah Abd. Rahman & Nur Atiqah T. Abdullah. 2009. Tahap Keupayaan Pengajaran Guru Sejarah dan Hubungannya dengan Pencapaian Murid di Sekolah Berprestasi Rendah. Jurnal Pendidikan: Universiti Kebangsaan Malaysia, 34 (1): 55-66. Eric Jennsen. 1996. Brain Based Learning. The New Science of Teaching and Training. Hariyono. 1995. Mempelajari Sejarah Secara Efektif. Jakarta: Pustaka Jaya. Haslina Binti Mohd.Ismail. 2012. Kesan Penggunaan Peta Minda Dalam pembelajaran Mata Pelajaran Sejarah. Fakulti Pendidikan Teknik dan Vokasional: Universiti Tun Hussien Onn Malaysia. Jamalludin & Zaidatun. 2003. Multimedia Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur: PTS Publications. Kamariah Abd Ghani. 2002. Kesan Penggunaan Pendekatan Kemahiran Berfikir Secara Penyebatian Penuh Terhadap Pencapaian Penulisan Karangan. Tesis Master Sains. Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia

Kementerian Pendidikan Malaysia. 2000. Huraian Sukatan Pelajaran Sejarah KBSM Tingkatan 1, 2 , 3. Kementerian Pendidikan Malaysia. 2013. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025. Putrajaya: Bahagian Pendidikan Guru. Khalidah Othman, Saodah Ismail, Haslina Jaafar & Aminah Samsudin. 2014. Kajian Tinjauan: Aplikasi Peta Pemikiran I-Think dalam Pengajaran dan Pembelajaran Literasi Nombor. Khairudin Ahmad. 2011. Keberkesanan Kaedah Peta Konsep terhadap Pencapaian, Sikap, dan Kemahiran Memahami Kronologi dalam Kalangan Pelajar Tingkatan Empat. Tesis Sarjana Pendidikan. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Kementerian Pelajaran Malaysia. 2012. Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025: Kementerian Pelajaran Malaysia, hlm. 1-268. Lee, B. N. 2013. TMK dan Pengajaran-Pembelajaran Sejarah di Sekolah. Seminar Pendidikan Sejarah dan Geografi 2013, UMS, 29-30 Ogos2013, 106-115. Linawati @ Lina Adiman dan Sharifah Nor Puteh. 2017. Pelaksanaan Peta Pemikiran iThink dalam Kalangan Guru. Seminar Serantau. Universiti Kebangsaan Malaysia. Muhyiddin Yasin. 2011. Sudut Pandangan Muhyiddin Yasin: Isu, Kontroversi, Pandangan serta Harapan. Kuala Lumpur: Institusi Terjemahan Negara Malaysia. Mohd Ekram Al Hafis. 2014. Kesan Penggunaan Komik Bergerak Terhadap Pretasi Pelajar Dalam Mata Pelajaran Sejarah. Fakulti Seni, Komuteran dan Industri Kreatif: Universiti Pendidikan Sultan Idris. Muhammad Faiz Bin Tamdjis & Anuar Ahmad. 2011. Penggunaan Peta Pemikiran IThink Terhadap Pencapaian dan Minat Pelajar dalam Pendidikan Sejarah. Fakulti Pendidikan: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohd Mahzan Awang, Abdul Razaq Ahmad, & Mohd Muhaimi Abdul Rahman. 2014. Penggunaan Peta Minda oleh Pelajar Pintar Cerdas dalam Pembelajaran Sejarah. Jurnal Pendidikan Malaysia 39(2)(2014): 95-100 Norliza Hussin, Mohamad Sattar Rasul & Roseamnah Abd. Rauf. 2013.

Penggunaan

Laman Web Sebagai Transformasi Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Pendidikan Islam. The Online Journal of Islamic Education June 2013, Vol. 1 Issue 2. Normah bt Zakaria1, Azita bt Ali, Nur Izeanty bt Hamidon & Suhaili bt Abd Rasap. 2018. Aplikasi Peta Pemikiran i-Think dalam Meningkatkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Faculty of Technical and Vocational Education: UTHM. Rahil Mahyuddin, Jami’ah dan Kasnani. 2000. Siri Pendidikan, Longman. Kuala Lumpur: Longman. Robiah Sidin, and Nor Sakinah Mohamad, (2007) ICT dalam pendidikan: Prospek dan Cabaran dalam Pembaharuan Pedagogi. Jurnal Pendidikan Malaysia, 32. pp. 139152. Rohaida Yusop. 2015. The Effectiveness of i-Think to Improve the Achievement Writing in Malay Language among Year 6 Students. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu – JPBM (Malay Language Education Journal – MyLEJ). Vol. 5, Bil. 2 (Nov. 2015): 31-37. Rozinah Jamaludin. 2005. Multimedia Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Rossafri Mohamad & Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya. (2007). Impak Bahan Multimedia Ke Atas Mata Pelajaran Berbentuk Naratif: Satu Kajian Terhadap Mata Pelajaran Sejarah. 1st International Malaysia Educational Technology Convention, 920-929. Pulau Pinang: USM.

Shakila Binti Che Dahalan. 2015. Kemahiran Pemikiran Sejarah Melalui Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) Oleh Guru Pelatih. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia. Sharifah Nor Puteh & Kamurul Azman Abd Salam.2010. Tahap Kesediaan Penggunaan ICT dalam Pengajaran dan Kesannya Terhadap Hasil Kerja dan Tingkah Laku Murid Prasekolah. Jurnal Pendidikan Malaysia: Universiti Kebangsaan Malaysia. 36(1): 25-34. Wahidah Abu Bakar. 2011. Keberkesanan Konsep Peta Minda dalam Pembelajaran Berasaskan Masalah. Diss. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Zahara & Nik Azleena Nik Ismail .2007. Kajian Tinjauan Kesediaan Guru-Guru Sejarah Menerapkan Kemahiran Pemikiran Sejarah Kepada Para Pelajar. Jurnal Pendidikan. 32:119-137. Zarina Md Yasin. 2007. Amalan Pengajaran Guru Sejarah Sekolah Menengah di Beberapa Buah Sekolah di Daerah Seremban dan Kesannya Terhadap Pencapaian Pelajar. Kertas Projek Sarjana: Fakulti Pendidikan UKM.

Related Documents

Teori
October 2019 61
Teori
May 2020 46
Teori
June 2020 35
Teori
June 2020 40
Teori
June 2020 37
Teori
November 2019 59

More Documents from ""