1.0
PENGENALAN Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang terdiri daripada pelbagai
keturunan, bangsa, agama dan suku kaum yang terunggul di mata dunia. Salah satu isu yang mendapat perhatian kerajaan ialah masalah integrasi nasional khasnya di antara Sabah, Sarawak dengan Semenanjung. Tujuan utama ialah untuk mewujudkan semangat nasionalisme Malaysia bagi menyatupadukan seluruh negara dalam satu kesatuan yang rapat dan harmoni di antara satu wilayah dengan wilayah yang lain. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan konsep Federalisme, wilayahwilayah yang bergabung dalam Malaysia telah berdepan dengan pelbagai rintangan dan halangan. Perubahan yang wujud di antara kaum dari segi pemikiran dan tingkah laku telah menimbulkan pertelingkahan atau ketegangan dalam negara. Pengalaman sejarah dan politik kenegerian yang berbeza-beza, kadangkala wujud masalah tertentu dalam perhubungan di antara Sabah, Sarawak dengan Semenanjung. Setiap masalah walau sebesar mana sekalipun boleh diselesaikan sekiranya terdapat usaha-usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh untuk mengatasinya. Sehingga kini, gagasan Malaysia yang dicadangkan oleh Tunku pada tahun 1961 masih lagi sesuai dan praktikal. Hal tersebut menjadikan Malaysia sebagai satu negara contoh, tentang bagaimana sebuah kesatuan politik dapat maju walaupun seringkali menghadapi berbagai-bagai cabaran. Malah, cabaran tersebut pada pandangan umum mungkin lebih merupakan peluang yang baik bagi membina satu bangsa Malaysia yang bersatupadu, makmur serta mempunyai ketahanan (resilience) berasaskan matlamat ‘Bersatu Bertambah Mutu’ (Unity Leads to Quality).
2.0
USAHA KERAJAAN MALAYSIA KE ARAH INTEGRASI NASIONAL Kerajaan Malaysia tahu akan bertapa penting wujudnya perpaduan dan intergrasi national
dalam kalangan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat pelbagai suku kaum dan etnik yang mempunyai latar belakang dan budaya yang berbeza-beza. Maka kerajaan Malaysia telah melaksanakan beberapa usaha dan strategi untuk mewujudkan perpaduan dan integrasi nasional dalam negara.
2.1
SOSIAL
Menurut Yani Yahaya dan Mary Tan Swee Ee (2004), pembangunan sosial adalah penting ke arah pembangunan dan perpaduan negara. Pembangunan sosial dijalankan dalam bentuk pendidikan dan penglibatan aktiviti sosial. Maka kerajaan perlulah memastikan pembangunan sosial dijalankan dengan sempurna iaitu melalui aplikasi Rukun Negara, pendidikan dan Pembangunan Kebudayaan Kebangsaan.
1
2.1.1
RUKUN NEGARA
Menurut Yani Yahaya dan Mary Tan Swee Ee (2004), untuk menyatupadukan rakyat, negara memerlukan satu ideologi iaitu Rukun Negara di mana ia dapat didefinisikan sebagai Ideologi Negara Malaysia. Rukun Negara penting kerana ia merupakan asas perpaduan rakyat. Ia juga merupakan landasan yang menentukan hubungan rakyat sesama mereka selain menjadi satu lambang yang merupakan bentuk rupa masyarakat dan bangsa yang dikehendaki oleh rakyat. Penerimaan rakyat terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara akan dapat membantu melahirkan perpaduan sosial antara satu sama lain. Melalui amalan-amalan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara dalam kalangan rakyat ini akan dapat menjamin kewujudan sistem kerajaan yang bersifat demokratik dan stabil. Ini telah menunjukkan bahawa kerajaan mencipta Rukun Negara untuk mewujudkan perpaduan dan intergrasi nasional dalam kalangan masyarakatnya yang berbagai kaum dengan memberi mereka penghayatan dan menggunakan Rukun Negara sebagai satu cara untuk memimpin mereka ke arah perpaduan intergrasi nasional.
2.1.2
DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN
Menurut Prof. Madya Dr. Zainal Abidin Ahmad Mazlan Zulkifly (2006), pendidikan adalah alat penting bagi Malaysia untuk memupuk dan menanam semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda terutamanya bagi kanak-kanak di bangku sekolah. Ini adalah penting kerana generasi muda inilah yang akan membentuk negara Malaysia pada masa depan sama ada masyarakatnya bersatu atau sebaliknya. Maka kerajaan telah membuat pelbagai dasar dalam pendidikan untuk memastikan generasi muda dapat memupuk perpaduan dalam sistem pendidikan di sekolah. Perpaduan masyarakat melalui pendidikan hanya dapat dicapai melalui sistem persekolahan dengan kurikulum yang sama untuk semua kaum. Dasar Pendidikan Kebangsaan yang termaktub di dalam Akta Pelajaran 1961 adalah berasaskan Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Menurut Wong Khek Seng, Raminah Haji Sabran dan Kok Meng Kee (2002), Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah bertujuan untuk menyatu padu semua kaum dan menyediakan tenaga kerja yang mencukupi untuk pembangunan negara. Kerajaan melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan telah menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa penghantar yang utama. Bahasa kebangsaan merupakan alat perhubungan dan perpaduan yang penting bagi negara yang berbilang bangsa seperti Malaysia. Keadaan ini telah menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia menggunakan Bahasa Melayu sebagai medium untuk mewujudkan perpaduan intergrasi nasional. Kerajaan mengaplikasikannya di sekolah di mana pelajar akan belajar semua mata pelajaran melalui Bahasa Melayu kecuali beberapa
2
mata pelajaran dalam Bahasa Inggeris. Penguasaan Bahasa Melayu akan membolehkan pelajar berkomunikasi dengan rakan yang berlainan kaum supaya dapat menggalakkan perpaduan dalam kalangan pelajar-pelajar di sekolah. Kerajaan telah menyediakan pembelajaran secara percuma kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah supaya semua rakyat mendapat peluang pendidikan yang sama tanpa mengira asal-usul mereka. Ini akan membolehkan pelajar miskin boleh mendapat peluang belajar yang sama dengan pelajar lain. Semua ini telah menunjukkan pendidikan merupakan salah satu usaha kerajaan untuk memastikan masyarakat Malaysia mencapai perpaduan dan intergrasi nasional.
2.1.3
DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN
Kebudayaan merupakan keseluruhan cara hidup manusia. Pembangunan Kebudayaan Kebangsaan bagi negara-negara yang baru merdeka amatlah penting untuk mewujudkan sebuah Negara yang stabil dan bersatupadu. Melalui kegiatan budaya, rakyat dapat berinteraksi dan memahami antara satu kaum dengan yang lain. Hal ini akan memudahkan lahirnya rasa persefahaman, toleransi dan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Untuk mencapai tujuan tersebut, kerajaan Malaysia telah menggubal Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan kebudayaan rakyat asal negara ini dan agama Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Unsur-unsur kebudayaan kaum lain yang sesuai dan wajar juga diterima menjadi unsur Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Kerajaan akan menerapkan perpaduan dan integrasi nasional kepada rakyat yang pelbagai etnik dalam aktiviti yang akan dijalankan menerusi Dasar Kebudayaan Kebangsaan seperti memperkenalkan konsep rumah terbuka semasa perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas untuk mengalakkan masyarakat pelbagai etnik didalam Malaysia untuk saling kunjung-mengunjung di antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, kaum, agama dan budaya. Melalui Dasar Kebudayaan Kebangsaan masyarakat dapat mengenali budaya dan agama orang lain dan secara langsung akan mewujudkan perpaduan dan intergrasi nasional dikalangan rakyat.
2.2
EKONOMI 2.2.1
DASAR EKONOMI BARU
Proses perkembangan ekonomi dirangka untuk membolehkan semua kaum menyertai semua bidang dan peringkat kegiatan ekonomi. Menurut Yani Yahaya dan Mary Tan Swee Ee (2004), proses ini telah dilaksanakan oleh kerajaan menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mempunyai objektif untuk membasmi kemiskinan dan untuk menyusun semula masyarakat. DEB mempunyai dua matlamat yang utama iaitu pengambilan pekerja-pekerja di pelbagai sektor ekonomi dan di semua
3
peringkat pekerjaan serta hakmilik harta-harta produktif yang terdapat di dalam Negara ini disusun semula supaya pada tahun1990 orang Melayu akan dapat memiliki sekurang-kurangnya 30% daripada jumlah hakmilik tersebut. Ini telah menunjukkan bahawa kerajaan telah menggunakan DEB sebagai satu dasar untuk menggerakkan rakyat untuk bersatupadu melalui penyusunan semula masyarakat. Melalui DEB, peluang pekerjaan yang luas diwujudkan dan pendapatan rakyat diseimbangkan untuk mengurangkan jurang perbezaan antara etnik-etnik dan kawasan bandar dengan luar bandar. Dengan terhapusnya perbezaan fungsi ekonomi mengikut kaum akan dapat mewujudkan perpaduan dalam kegiatan-kegiatan ekonomi di samping meninggikan lagi taraf pembangunan ekonomi Negara.
2.2.2
DASAR PEMBANGUNAN NASIONAL
Selepas DEB berakhir, Dasar Pembangunan Nasional telah dilancarkan pada 17 Jun 1991 hingga 2000 oleh Yang Amat Berhormat Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad. Dasar Pembangunan Nasional juga berfokus kepada perpaduan negara seperti DEB kerana masyarakat yang bersatu padu penting untuk memperkukuhkan lagi kestabilan sosial dan politik serta mengekalkan pembangunan ekonomi yang berterusan. Salah satu daripada Dasar Pembangunan Nasional adalah menggalakkan dan memperkukuhkan integrasi nasional dengan mengurangkan jurang ketidakseimbangan ekonomi berasaskan prinsip pembangunan seimbang dan pengagihan yang saksama untuk mencapai keadilan sosial dan memperkukuhkan perpaduan negara.
3.0
CABARAN HUBUNGAN ETNIK DI NEGARA MALAYSIA 3.1
SOSIAL 3.1.1
Sistem Pendidikan yang Berasingan
Corak pendidikan vernakular yang menekankan kepada empat aliran pendidikan yang berbeza iaitu aliran Inggeris, Melayu, Cina dan India telah lama wujud sebelum kita mencapai kemerdekaan. Seperti mana yang kita tahu, penyelarasan kurikulum dan kokurikulum telah dijalankan di semua sekolah di Malaysia. Namun begitu, ia tidak begitu menyumbang kepada perpaduan dan integrasi nasional kerana masih terdapat sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang menempatkan pelajar-pelajar yang terdiri dari kaum-kaum yang sama dalam satu sekolah. Kewujudan sekolahsekolah ini telah mengurangkan peluang-peluang untuk berinteraksi dan berhubung dengan pelajarpelajar
dari
kaum-kaum
yang
berlainan.
Semestinya
ia
menjadi
penghalang
kepada
perpaduan. Sesetengah ibu bapa juga cenderung untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolahsekolah jenis kebangsaan seperti kaum Cina dan India. Hal ini kerana mereka tidak begitu yakin dengan pengurusan sekolah-sekolah kebangsaan yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar-pelajar Melayu.
4
Sehingga kini, kita boleh melihat kewujudan sekolah-sekolah pelbagai aliran seperti sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT), sekolah menengah kebangsaan (SMK) dan sekolah menengah Cina persendirian. Kesannya, ianya akan memberikan impak yang kurang elok kepada penstrukturan negara kerana mempunyai corak pendidikan yang berbeza-beza. Keadaan ini berlanjutan sebagai warisan sejarah yang amat bahaya ibarat ‘api dalam sekam’. Adalah tidak mustahil bahawa golongan yang menuntut di sekolah itu juga akan menjadi bakal pemimpin untuk mentadbir negara Malaysia pada satu hari kelak.
3.1.2
Pemisahan Fizikal
Pemisahan fizikal timbul akibat daripada kesan dasar ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan oleh British sejurus menjajah Malaysia. Kesannya, orang Melayu menjadi petani dan menetap di kampungkampung. Orang Cina pula di tempatkan di kawasan lombong biji timah yang mana akhirnya menjadi pekan-pekan baru dan berkembang menjadi bandar. Manakala kaum India pula bekerja sebagai buruh ladang getah dan menetap di estet-estet. Ketiga-ketiga kumpulan kaum ini bukan sahaja terasing daripada segi lokasi tempat tinggal, malahan mereka menjalankan jenis pekerjaan yang berbeza. Keadaan ini menyebabkan peluang untuk berinteraksi sesama mereka menjadi kurang. Malah, pemisahan fizikal yang disebabkan keadaan geografi di Sabah dan Sarawak yang terpisah oleh Laut China Selatan memberi kesan terhadap pemupukan hubungan etnik di Malaysia. Perkara ini meningkatkan perasaan kekitaan atau etnosentrisme iaitu satu pandangan yang melihat kelompok etnik lain melalui kaca mata etnik itu sendiri. Keadaan sebegini hanya akan menimbulkan prasangka dan stereotaip sesuatu golongan etnik terhadap golongan etnik yang lain.
Malah, tahap kefahaman yang rendah tentang cara hidup kaum yang lain menyebabkan kita kurang menghargai kaum yang berbeza daripada kita. Sebab itulah wujudnya masalah perkauman yang mengundang kepada permusuhan kaum. Tahap kefahaman yang rendah tentang kaum lain ini biasanya disebabkan kurangnya pendedahan mengenai kepelbagaian etnik di Malaysia. Contoh yang jelas ialah kebanyakan penduduk di Semenanjung Malaysia sangat kurang memahami cara hidup masyarakat di Sabah dan Sarawak. Contohnya dari segi budaya, keagamaan mahupun adat resam. Perkara sebegini mungkin berlaku jika kita hanya mengambil berat tentang etnik diri sendiri sahaja.
Bukan itu sahaja, kebanyakkan masyarakat di Malaysia lebih cenderung untuk tinggal di satu kawasan yang terdiri dari penduduk yang sama kaum. Contohnya penduduk Bugis lebih banyak tertumpu di kawasan Tawau. Kaum Cina di kawasan Sibu di Sarawak dan Bajau di kawasan Kota Belud. Keadaan ini berlaku kerana mereka merasakan lebih selamat tinggal dan selesa bersama penduduk-penduduk yang sekaum dengan mereka.
5
3.1.3
Polarisasi Dalam Kalangan Pelajar
Polarisasi dalam kalangan pelajar dapat dilihat pada peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah, institut pengajian tinggi awam (IPTA) serta institut pengajian tinggi swasta (IPTS). Mereka cenderung dalam memilih rakan yang seagama atau sekaum dengan mereka. Keadaan sebegini semestinya menyukarkan lagi proses hubungan etnik di Malaysia. Kesannya, nilai-nilai bagi memupuk semangat kekitaan pada negara Malaysia tidak dapat diterapkan dengan berkesan. Hal ini kerana wujudnya jurang di antara semua kaum. Malah, satu perkara baru yang wujud pada masa kini ialah, para ibu bapa kurang mempercayai untuk menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Kebangsaan. Mereka lebih cenderung menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Jenis Kebangsaan kerana merasakan struktur pendidikan di sekolah tersebut dapat menjamin kecemerlangan akademik anak mereka. Sukar sekali untuk kita memaksa ibu bapa ini kerana mereka mempunyai satu perspektif yang perlu kita hormati. Walau bagaimanapun, tidak semua ibu bapa yang bertindak sedemikian.
3.2
POLITIK 3.2.1
Politik Perkauman
Kepelbagaian kaum yang ada menyebabkan masyarakat masing-masing menubuhkan persatuan dan parti politik yang berasaskan kepada kaum masing-masing. Contohnya kaum Melayu memperjuangkan hak orang-orang Melayu melalui parti United Malaysian National Organisation (UMNO), orang Cina melalui parti Malaysian Chinese Assosiation (MCA), dan kaum India melalui parti Malaysian Indian Congress (MIC). Oleh kerana setiap parti bebas menyuarakan pendapat dan isi hati, semangat perkauman semakin menyemarak dalam diri masyarakat di Malaysia. Alasan parti-parti politik ini ditubuhkan mengikut kaum adalah untuk mengelakkan kaum itu ditindas oleh kaum lain. Hakikatnya, keadaan inilah yang sebenarnya akan lebih menimbulkan konflik tentang sesuatu isu yang dibangkitkan. Perjuangan mereka lebih mementingkan pembelaan kaum masing-masing melebihi kepentingan negara. Manakala krisis nilai dan akhlak yang membelenggu personaliti ahli-ahli politik masa kini juga mengakibatkan berlakunya perselisihan kaum yang menyumbang kepada perpecahan. Perkara ini berlaku disebabkan kegagalan kita dalam melahirkan pelapis pemimpin negara yang menghormati dan memahami kaum lain. Hal ini bukan hanya berpunca daripada sikap kaum itu sendiri yang ego dan mementingkan kaum serta gagal untuk menerima perubahan yang terdapat dalam dasar pendidikan. Sebagai contohnya, perlaksanaan dasar bahasa kebangsaan dan sekolah integrasi yang ditentang hebat oleh pelbagai kaum tanpa memikirkan kebaikan dan tujuan murni kerajaan untuk melahirkan generasi yang memahami dan peka terhadap kaum lain. Corak politik yang sebegini akan menyumbang kepada perpecahan dan pertelingkahan dikalangan ahli-ahli politik dan para penyokongnya, seterusnya akan menghalang berlakunya perpaduan kaum di Malaysia.
6
3.3
EKONOMI 3.3.1
Dominasi Sektor Ekonomi
Melalui aspek ekonomi terdapat dua perkara yang perlu dilihat. Pertama ialah penguasaan ekonomi dan yang kedua ialah perbezaan pekerjaan berdasarkan sektor ekonomi. Pertama, penguasaan ekonomi memperlihatkan jurang yang luas bagi setiap etnik. Majoriti kaum Melayu menguasai sektor pertanian yang memerlukan banyak tenaga sumber manusia dan berteknologi rendah. Kaum cina yang umumnya menguasai perniagaan, perdagangan dan menggunakan teknologi moden. Manakala, kaum India pula banyak terlibat dengan perladangan di estet getah dan kelapa sawit. Kenyataan di sini sudah membolehkan kita membuat satu kesimpulan iaitu terdapatnya jurang pendapatan yang begitu ketara dan tidak seimbang dalam ekonomi negara Malaysia. Semua golongan etnik sentiasa mencuba untuk bersaing dalam ekonomi ini untuk berusaha mendapatkan hak dan keuntungan yang lebih besar. Penguasaan ekonomi yang berbeza serta jurang pendapatan yang tidak seimbang mengakibatkan ketidakstabilan dalam masyarakat majmuk. Perkara ini memberi implikasi terhadap ketidakpuasan hati bagi semua golongan etnik terutamanya kaum Melayu yang terlibat dalam sektor pertanian. Kaum India juga berdepan dengan nasib yang sama di mana harga getah dan kelapa sawit adalah berlandaskan kepada keadaan ekonomi di dunia. Jika harga meningkat, maka, pulangannya tentu baik dan sebaliknya juga akan berlaku. Rancangan Malaysia Kedua ada menyatakan perpaduan negara tidak boleh dicapai tanpa kesaksamaan dan keseimbangan dalam kalangan kumpulan sosial dan etnik Malaysia. Fenomena kemiskinan bukan sahaja terdapat di kawasan luar bandar tetapi juga di kawasan bandar. Keadaan ini boleh mengugat perpaduan negara kerana masalah kemiskinan hanya menonjol dalam kalangan kelompok etnik yang tertentu sahaja.
3.4
AGAMA, ADAT ISTIADAT DAN BUDAYA 3.4.1
Agama
Setiap kaum di Malaysia boleh dikatakan mewakili agama tertentu contohnya Melayu beragama Islam, Cina beragama Buddha, India beragama Hindu. Iban dan Kadazan beragama Kristian. Adalah jelas ketiga-tiga kaum utama di Malaysia mempunyai adat resam, bahasa, agama dan falsafah hidup yang berbeza. Masing-masing menganggap kebudayaan dan agama mereka adalah yang terbaik. Walaupun berlaku perkahwinan campur antara kaum tetapi ia adalah agak terhad kerana wujud halangan yang kuat dari segi agama. Perbezaan dan pengasingan agama, budaya dan cara hidup ini bukan sahaja menguatkan lagi sikap prasangka buruk antara masyarakat malah menghalang proses integrasi sosial antara kaum. Tidak seperti di Indonesia, warga berketurunan Jawa terasimilasi dengan baik. Mereka boleh terdiri daripada beberapa agama contohnya Jawa Hindu, Jawa Islam, Jawa Kristian dan Jawa Buddha.
7
3.4.2
Kebudayaan
Kekurangan pendedahan kepada adat-adat dan kebudayaan etnik lain akan menjadi penghalang kepada pembinaan hubungan etnik antara kaum.
Kebudayaan meliputi agama,
kepercayaan, adab resam dan cara hidup setiap kaum. Sekiranya masyarakat kurang terdedah mengenai budaya kaum lain, ia akan menjadi penghalang kepada usaha untuk memupuk perpaduan dan integrasi nasional di Malaysia. Perbezaan kebudayaan akan menyebabkan timbulnya prasangka, perkauman dan etnosentrisme yang merupakan perkara utama yang menyumbang kepada masalah perpaduan. Pada masa yang sama, sikap setiap kaum yang terlalu mempertahankan budaya mereka juga menjadi halangan kepada usaha untuk mengeratkan hubungan etnik di Malaysia. Perkara Ini berlaku kerana mereka tidak dapat menerima amalan dan kepercayaan kaum lain yang berbeza dengan cara hidup mereka. Salah satu cabaran utama untuk mencapai perpaduan kaum ini ialah aspek dalaman iaitu perbezaan bahasa, kebudayaan, kepercayaan dan keturunan yang mempengaruhi sikap dan nilai sesuatu kaum. Perbezaan ini menyebabkan setiap kaum di negara ini sukar untuk menerima perubahan yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan kerana pada sangkaan mereka ia melibatkan penerimaan dan pengorbanan iaitu mereka terpaksa menerima unsur kaum lain dan mengorbankan unsur kaum sendiri. Sistem persekolahan yang memisahkan pelajar mengikut bahasa ibunda dan perbezaan etnik kurang memainkan peranan yang berkesan bagi memupuk integrasi dan persefahaman dalam kalangan pelajar. Situasi sebegini hanya akan menyebabkan interaksi mereka hanya terhad di antara etnik yang sama sahaja. Perkara sebegini hanya akan memberikan kesan yang negatif kepada negara Malaysia. Semua etnik masing-masing mempertahankan bahasa ibunda mereka dan kurang bersifat terbuka untuk mempelajari bahasa ibunda kaum yang lain.
3.4.3
Adat Istiadat
Kewujudan masyarakat berbilang bangsa sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka amat berbeza daripada masyarakat berbilang bangsa yang wujud akibat penjajahan British di Tanah Melayu pada abad ke-19. Perbezaan antara kedua-dua masyarakat berbilang bangsa tersebut ialah kesanggupan masyarakat berbilang kaum pada zaman Melaka untuk menerima budaya masyarakat Melayu seperti bahasa, makanan, etika dan pakaian. Sebaliknya, masyarakat imigran pada zaman British tidak berpeluang ataupun berkeinginan mengenali sosiobudaya masyarakat Melayu. Ada juga dalam kalangan masyarakat imigran yang memandang rendah kedudukan dan sosiobudaya masyarakat Melayu. Malahan mereka menganggap masyarakat Melayu tidak mempunyai perkaitan dengan mereka. Oleh itu, masyarakat berbilang bangsa atau masyarakat majmuk pada zaman penjajahan merupakan punca wujudnya beberapa aspek sosiobudaya negatif yang menghalang usaha-usaha mengeratkan hubungan etnik di Malaysia.
8
4.0
FAKTOR ZAMAN KESULTANAN MELAYU MELAKA SEBAGAI KEMUNCAK ZAMAN PLURALITI Melaka merupakan sebuah negeri yang amat aman dan gemilang dibawah pemerintahan para
sultan dan pembesar yang bijak serta berpandangan jauh semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka. Kebijaksanaan dan kecekapan pemerintahan sultan dan para pembesar pada zaman ini telah menyebabkan zaman Pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka telah dilabelkan sebagai zaman keemasan dan zaman kemuncak kegemilangan Melayu Melaka. Menurut Syamsul Amri Burhanuddin (2007), pada zaman tersebut, empayar Melaka merupakan tempat pertembungan pedagang dari seluruh dunia sehingga digelar ‘The Venice of the East’ . Hal ini disebabkan oleh pelabuhannya yang begitu sibuk dengan ribuan kapal yang berulang-alik melalui Selat Melaka. Selain ia merupakan suatu kawasan yang amat strategik sebagai tempat persinggahan kapal-kapal pedagang yang belayar dari barat ke timur, keadaan geografinya yang terletak di garisan khatulistiwa juga menyebabkan Pelabuhan Melaka amat selamat daripada tiupan angin taufan mahupun gempa bumi. Keadaan inilah yang menyebabkan Melaka menjadi sebuah pelabuhan yang amat sibuk dizaman Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Kelancaran perdagangan di Melaka telah disebabkan oleh beberapa perkara iaitu yang pertama, kerana pemerintahan yang mengamalkan konsep keterbukaan iaitu menerima sesiapa sahaja yang ingin berdagang di Melaka. Faktor kedua yang menyebabkan kelancaran perdagangan di Melaka adalah kerana kecekapan pentadbirannya yang memudahkan perdangan dilakukan. Selain itu, keselamatan di sepanjang Selat Melaka yang dikawal oleh Laksamana Melaka yang produktif juga telah menyebabkan pedagang berminat untuk berdagang di Melaka kerana selamat daripada ancaman serangan perompak dan lanun. Malah, kerajaan Kesultanan Melayu Melaka juga telah mewujudkan Undang-undang Laut Melaka yang berteraskan ajaran Islam yang mana ia telah menjadi tunjang kepada keselamatan dan kelancaran pentadbirannya. Sikap penuh diplomasi dan keterbukaan pemerintah juga menyebabkan Melaka menjadi tumpuan para pedagang. Hal ini dapat dilihat apabila para pegawai istana yang dilantik bukanlah daripada kalangan orang Mekayu tempatan sahaja, tetapi terdapat juga orang India yang dilantik menjawat jawatan dalam istana Sultan Melaka. Malah, perkahwinan campur telah berlaku antara pemerintah Melaka dengan perintah Negara China seperti perkahwinan antara Sultan Melaka pada ketika itu iaitu Sultan Muzaffar Syah dengan Puteri LI PO daripada Negara China. Proses penghijrahan yang berlaku secara semulajadi tanpa ada paksaan daripada manamana pihak ini telah menyebabkan zaman Empayar Kesultanan Melayu Melaka menjadi zaman Pluraliti. Berbanding dengan zaman Negara bangsa, masyarakat pluralistik yang nyata telah diperkenalkan oleh British. Para pedagang yang ingin masuk ke sesuatu kawasan tidak memerlukan
9
pasport atau visa. Keadaan ini secara tidak langsung membolehkan pedagang dari Arab, India, China dan Negara-negara lain dapat datang berdagang secara sukarela. Proses akomodasi dapat diwujudkan secara baik antara pedagang dengan masyarakat tempatan dan sistemnya. Hasil daripada perkembangan perdagangan antara Alam Melayu dengan pedagang daripada India, China dan Arab telah membawa kepada interaksi hubungan secara langsung dengan masyarakat tempatan. Pada awalnya, Alam Melayu hanya sebagai tempat persinggahan sementara, berkembang kepada perkahwinan dengan masyarakat tempatan. Ada juga terhasil kesan daripada faktor politik dan keagamaan (terutama melibatkan peranan pendakwah). Proses akomodasi ini secara tidak langsung telah mewujudkan kategori masyarakat yang tidak pernah wujud sebelumnya di Tanah Melayu. Umpamanya, Masyarakat Peranakan Baba dan Nyonya yang lahir daripada perkahwinan perkahwinan antara pedagang dari China dengan masyarakat tempatan yang kini bertutur dalam dialek Hokkien bercampur Melayu yang dikenali sebagai dialek Melayu-Baba. Selain itu, Masyarakat Chitty juga telah wujud hasil daripada perkahwinan pedagang yang berasal dari India Selatan berketurunan Tamil yang telah berkahwin dengan masyarakat tempatan sejak zaman Kesultanan Melaka. Masyarakat ini menggunakan bahasa campuran Tamil dan Melayu manakala pakaian dan makanan pula menerima unsur-unsur tempatan. Disamping itu, wujud juga masyarakat-masyarakat lain seperti masyarakat India Muslim, Sikh, dan Peranakan Jawi. Kesimpulannya, kegemilangan Melaka pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka yang dimainkan oleh dua aspek utama iaitu sebagai pusat pemerintahan dan pusat perdagangan telah mendedahkan masyarakat Melayu kepada unsur-unsur budaya daripada Arab, China dan India. Percampuran unsur ini ditapis dengan local genius (tapisan oleh kebijaksanaan masyarakat yang menerima unsur budaya luar) Alam Melayu. Kedatangan golongan pedagang dan pendakwah agama daripada India dan Arab turut mewarnai pembentukan masyarakat majmuk di Alam Melayu pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka.
5.0
PENUTUP Secara keseluruhannya, pembentukan negara Malaysia yang terdiri daripada masyarakat
majmuk ternyata bermula sejak zaman kesultanan melayu Melaka yang menjadi perintis kepada zaman pluraliti di Malaysia. Namun, kewujudan masyarakat majmuk ini menimbulkan pertelingkahan dalam negara disebabkan terdapatnya perubahan yang wujud di antara kaum dari segi pemikiran dan tingkah laku. Hal ini menyebabkan timbulnya cabaran hubungan etnik di negara Malaysia. Walaubagaimanapun, setiap masalah walau sebesar mana sekalipun boleh diselesaikan sekiranya terdapat usaha-usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh untuk mengatasinya seperti usaha yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia ke arah integrasi nasional.
10
RUJUKAN
Madya Zainal Abidin Ahmad Mazlan Zulkifly (2006). Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Oxford Fajar Sdn Bhd. Mahmud Ismail (2018). Usaha dan Strategi Kerajaan Bagi Memantapkan Usaha Mencapai Perpaduan
dan
Integrasi
Nasional.
Dilayari
pada
10
Mac
2019,
daripada
http://notakuliahpismp.blogspot.com/2018/06/usaha-dan-strategi-kerajaan-bagi.html Mohd Ashraf Ibrahim et al. (2018). Hubungan Etnik. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd. Nur Afiqah Ishak (2015). Pluraliti Semasa Zaman Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Dilayari
pada
10
Mac
2019,
daripada
http://alhuriyyahctu555.blogspot.com/2015/09/pluraliti-pluralistik-melayu-pluraliti_27.html Nazari Raduan (2015). Cabaran Hubungan Etnik di Malaysia. Dilayari pada 10 Mac 2019, daripada http://tujuhpen.blogspot.com/2015/04/cabaran-hubungan-etnik-di-malaysia.html Peter Stadler (2012). Hubungan Etnik ke Arah Masyarakat Berintegrasi. Dilayari pada 10 Mac 2019, daripada https://www.academia.edu/10039416/hubungan-etnik-ke-arah-masyarakatberintegrasi Samsiah Ahamad (2011). Pembentukan Masyarakat Pluraliti di Zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Dilayari
pada
10
Mac
2019,
daripada
https://www.pdfcoke.com/doc/49821656/pembentukan-masyarakat-pluraliti-di-zamankesultanan-melayu-melaka Syamsul Amri Burhanuddin (2007). Kemuncak Pluraliti Alam Melayu. Kuala Lumpur: Oxford Fajar Sdn Bhd. Wong Khek Seng, Raminah Haji Sabran dan Kok Meng Kee (2002). Hubungan Etnik di Malaysia. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. Yani Yahaya dan Mary Tan Swee Ee (2004). Hubungan Etnik. Selangor: Sasbadi Holdings Berhad.
11