SYED NAQIUB ALATTAS
LATAR BELAKANG
Y.M. Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad al-Naquib bin Ali bin Abdullah bin Muhsin al-Attas
(Bogor, 5 September 1931)
seorang Cendekiawan Muslim, ahli falsafah Muslim dan Tokoh Melayu Terbilang 2011.
Kini, beliau menetap di Malaysia.
Beliau menguasai ilmu teologi, falsafah, metafizik, sejarah, dan kesusasteraan. Beliau juga menulis pelbagai buku dalam bidang pemikiran dan peradaban Islam, khususnya tentang sufisme, kosmologi, falsafah, dan Kesusasteraan Melayu Malaysia.
Sumbangan Al-Attas dalam Perjuangan Islamisasi Ilmu
Antara perjuangan Al-Attas dalam dunia akademik adalah untuk mendaulatkan proses Islamisasi Ilmu.
Beliau dan rakan seangkatannya iaitu Ismail Al-Faruqi dan Fazlur Rahman banyak mengingatkan dunia Islam terhadap krisis akademik yang melibatkan pertembungan antara ilmu barat dengan pandangan Islam.
Kesedaran Al-Attas dan rakan seperjuangannya tentang islamisasi ilmu banyak dibincangkan dalam pelbagai persidangan antarabangsa. Contohnya Persidangan Dunia Pertama mengenai Pendidikan Islam yang diadakan di Mekah pada tahun 1977.
Bagi memperjuangkan islamisasi ilmu di Malaysia, Al-Attas juga telah mengasaskan kampus Pusat Permikiran Islam dan Ketamadunan Antarabangsa (ISTAC) yang dibina di Kuala Lumpur pada tahun 1991. Institusi ini diharap mampu menjadi pusat perbincangan ilmiah untuk pemikir-pemikir akademik melakukan transformasi yang lebih baik dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Sumbangan Professor Syed Muhammad Naquib Al-Attas terutamanya dalam menjayakan agenda islamisasi ilmu dalam pendidikan hakikatnya adalah bakti yang cukup besar terhadap dunia akademik umat Islam.
Walaupun ideanya mendapat reaksi negatif daripada sesetengah pihak, tidak pernah sekalipun beliau terlintas untuk berputus asa dalam perjuangannya. Semoga perjuangannya yang mulia ini akan terus diwarisi oleh pemikir-pemikir yang ingin menjulang Islam sebagai asas ketamadunan yang agung.