Syarahan Kepentingan Ilmu Yang Dihormati Puan Pengerusi Majlis, Yang berusaha Al-Fadhil Ustaz Mursyid Bin Mustafa, Barisan Panel Hakim Yang Arif Lagi Bijaksana, rakanrakan yang dimuliakan Allah s.w.t serta para hadirin yang dirahmati Allah sekalian.insya-Allah, pada malam yang penuh barakah ini, moleklah sekiranya saya memperdengarkan kepada sidang hadirin sekalian akan tajuk perbincangan yang saya pilih iaitu …………………………………………………………………………… Sidang hadirin rahimakumullah, Perkataan ilmu dari sudut bahasanya adalah berasal daripada perkataan arab iaitu calima, yang bererti mengetahui atau perbuatan yang bertujuan untuk mengetahui tentang sesuatu dengan sebenarnya. Sementara ilmu dari segi istilah memberi erti tentang segala pengetahuan atau kebenaran tentang sesuatu yang datang dari Allah s.w.t yang diturunkan kepada rasul-rasulnya dan alam ciptaannya termasuk manusia yang memiliki aspek lahiriah dan batiniah. Secara umumnya, ilmu didefinisikan sebagai pengetahuan dan kepandaian tentang sesuatu bidang yang disusun secara bersistem menurut kaedah dan metod tertentu yang dapat digunakan untuk menerangkan sesuatu yang berkait dengan bidang ilmu tersebut. Ilmu pengetahuan pada lazimnya terdapat dalam dua bentuk iaitu ilmu pengetahuan nyata (explicit knowledge) dan ilmu pengetahuan tidak nyata (tacit knowledge). Ilmu pengetahuan nyata boleh didapati kebanyakannya dalam bentuk dokumen bercetak manakala ilmu pengetahuan tidak nyata pula terdapat dalam idea, minda, amalan harian, pengalaman, memori dan seumpamanya yang kebiasaannya sukar dilihat dengan mata kasar. Dalam zaman moden ini pengertian ilmu telah disempitkan dan dimodenkan kepada pengetahuan maklumat dan kemahiran sahaja. Dalam pengertian barat moden, ilmu hanyalah merujuk kepada pengenalan atau persepsi yang jelas tentang fakta. Fakta pula merujuk kepada perkaraperkara yang boleh ditanggapi oleh pancaindera zahir dan bersifat empiris. Kewujudan perkara lain di luar keupayaan pancaindera tersebut dianggap bukan fakta dan tidak termasuk dalam bidang ilmu. Mengikut pandangan mereka secara automatik ajaran agama terkeluar daripada takrif dan ruang lingkup ilmu dan dianggap sebagai kepercayaan semata-mata. Islam telah menghimpun antara agama dan ilmu. Tidak ada sebarang
penentangan antara agama dan ilmu kerana dalam Islam, agama itu sendiri adalah ilmu dan ilmu adalah agama. Ilmu menurut perspektif Islam dikenali sebagai sifat, proses dan hasil. Manakala istilah ilmu dalam Islam merangkumi pelbagai perkara iaitu al-Quran, syariah, sunnah, iman, ilmu kerohanian, hikmah, makrifat, pemikiran, sains dan pendidikan. 2. Kepentingan Ilmu Pengetahuan Ilmu merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan manusia. Perkembangan dan kemajuan sesuatu bangsa di dunia ini berkait rapat dengan kemajuan dan perkembangan ilmu pengetahuan yang terdapat pada sesuatu bangsa itu sendiri. Justeru, Islam mengingatkan tentang hakikat ini menerusi pelbagai ayat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Penekanan terhadap kepentingan dan keperluan menuntut ilmu membuktikan bahawa Islam adalah satu agama yang memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang yang berilmu. Baginda Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya; “Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan.” Berdasarkan hadis tersebut, jelas bahawa menuntut ilmu itu adalah suatu perkara yang penting dan menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam. Antara kepentingan ilmu pengetahuan ialah; 2.1 Kedudukan serta martabat orang yang berilmu diangkat dan diletakkan ditempat yang lebih tinggi. Dengan erti kata lain, ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan masyarakat. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Mujadalah, ayat 11 ; Maksudnya; "Allah mengangkat beberapa darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan" 2.2 Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf di kalangan manusia. Firman Allah dalam surah al-Zumar, ayat 9 ; Maksudnya; “Katakanlah adakah sama orang-orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana" 2.3 Ilmu dapat membentuk keperibadian yang baik dan menjadikan seseorang itu bertaqwa dan cintakan Allah s.w.t dan RasulNya. Firman Allah dalam surah al-Fathir, ayat 28 ;
Maksudnya ; “Sesungguhnya yang takutkan Allah daripada hambanya ialah orang-orang yang berilmu” 2.4 Ilmu pengetahuan akan membawa manusia ke arah kebahagian hidup di dunia dan di akhirat, memberikan kekuatan ketika dalam kesusahan dan ketika berhadapan dengan musuh. 2.5 Dengan ilmu manusia dapat menjalankan ibadah dengan sempurna, samada ibadah umum atau ibadah khusus dan dapat melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan sebaiknya. 2.6 Ilmu agama atau ilmu yang terdapat dalam al-Quran dan Al-sunnah akan menjadi benteng yang dapat mencegah seseorang itu dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syariat, dapat menolak kejahilan dan kebodohan sama ada dalam perkara agama atau dalam mengejar kebendaan duniawi. 2.7 Pelbagai jenis ilmu keduniaan seperti ilmu kejuruteraan, ilmu kedoktoran, ilmu pertanian dan sebagainya dapat membantu kemaslahatan hidup manusia di dunia. 2.8 Ilmu adalah salah satu langkah bagi menjana pembangunan negara kerana melalui ilmu sahajalah yang dapat membezakan antara yang hak dan yang batil. 3. Sumber-sumber Ilmu Pengetahuan Secara umumnya, sumber ilmu pengetahuan adalah diperolehi melalui wahyu, pancaindera, akal dan intuisi atau ilham. 1. Wahyu Wahyu adalah pemberitahuan daripada Allah s.w.t kepada seorang hambanya yang dipilih di kalangan hambanya dengan secara sulit dan rahsia berlainan dari apa yang dialami oleh manusia biasa. Tidak dapat dinafikan lagi wahyu adalah merupakan sumber pengetahuan yang terpenting yang telah disampaikan oleh Allah s.w.t kepada manusia sama ada ianya disampaikan melalui Nabi Muhammad s.a.w atau melalui nabi-nabi yang terdahulu. Wahyu merupakan teras kepada segala ilmu kerana di dalam al-
Quran terkandung pelbagai jenis ilmu pengetahuan yang amat diperlukan oleh manusia untuk kemasalahatan hidup juga perkara-perkara ghaib yang tidak dapat dijangkau oleh akal pemikiran manusia. 2. Pancaindera Semua pancaindera seperti sentuhan, ciuman, penglihatan, pendengaran dan deria rasa merupakan seumber pengetahuan yang utama dan amat berguna bagi manusia untuk berinteraksi dengan alam sekelilingnya dengan mudah dan betul. Kelima-lima pancaindera ini merupakan satu cara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan melalui beberapa percubaan dan pengalaman yang berulang-ulang. Bagaimanapun kebenaran yang diperolehi tidak semestinya selalu betul dan tepat. Pancaindera kadangkala di dalam keadaan tertentu gagal memberikan gambaran atau penglihatan umpamanya matahari kelihatan kecil oleh mata sedangkan kenyataannya adalah sebaliknya. 3. Akal Akal adalah merupakan sumber utama pengetahuan manusia, malah perbezaan antara manusia dan haiwan adalah melalui hasil tamadun yang diusahakan oleh manusia berpunca dari pemikiran akal manusia yang kreatif. Dengan akal manusia dapat menimbang dan membezakan antara yang baik dan buruk, walaupun mungkin ianya tidak bersifat kebenaran secara mutlak namun ianya memadai untuk mengatasi masalah kehidupan seharian. Bagaimanapun Allah s.w.t menyuruh manusia menggunakan semaksima mungkin kedua-dua daya akal dan pancaindera yang dianugerahkan kepadanya agar dapat sampai kepada pengetahuan sahih dan kebenaran yang tidak menyesatkan. Al-Quran banyak menyebut seruan serta galakan daripada Allah s.w.t agar manusia dapat memerhatikan alam sekeliling mereka dengan akal dan pancaindera bagi mencari kebenaran yang hakiki.
4. Intuisi atau Ilham Intuisi atau ilham juga boleh menjadi sumber pengetahuan manusia yang amat berguna. Ianya merupakan pengetahuan yang diperolehi tanpa melalui proses pemikiran yang tertentu. Contohnya seseorang yang mempunyai
masalah yang sedang menumpukan pemikiran nya terhadap penyelesaian masalah tersebut, tiba-tiba menjadi jalan penyelesaian tanpa perlu berfikir panjang seolah-olah kebenaran yang dicari datang sendiri. Dalam Islam ilham ini boleh dikenali dengan istilah "firasat" atau pun pandangan bashirah (tembus) yang dikurniakan oleh Allah kepada para Ulama. Walaupun begitu, ada juga di kalangan sarjana yang berpendapat bahawa sumber ilmu itu datangnya juga daripada sumber lisan dan tulisan serta kajian sejarah. Ilmu yang diperolehi melalui sumber lisan wujud dalam sistem pendidikan secara tidak formal seperti ilmu pertukangan dan sebagainya yang diperolehi melalui warisan secara tidak langsung daripada keluarga atau masyarakat. Pengajaran-pengajaran secara lisan daripada tokoh-tokoh ilmu juga dianggap sebagai sumber lisan. Ilmu yang sumbernya dari tulisan dapat dilihat melalui ilmu perubatan, matematik, dan undangundang. Sementara ilmu yang diperolehi daripada kajian sejarah pula dapat dilihat melalui kajian-kajian dan penulisan-penulisan yang khusus tentang peristiwa sejarah yang telah berlaku.