SYAIR BIDASARI (BUKU NILAI INSAN) Maksud Titah baginda raja sultani, “Mengapakah hutan jadi begini, Kepanasan kita sekalian ini, Baiklah berhenti kita di sini.” Raja sultani bertanya kenapa hutan belantara musnah dan cuaca panas serta menitahkan berehat seketika. Berhentilah ia seraya berperi, Bertitah kepada tiga menteri, “Ayuhai menteri pergilah diri, Carikan air bawa ke mari.” Maka Raja dan tiga menteri berhenti dan menitahkan menteri bertiga pergi mencari air bawakan kepada raja. Rasaku ini sangatlah dahaga, Barang sedikit carikanlah juga, Pergilah berjalan menteri ketiga, Mencari sungai dengan telaga. Raja memaklumkan dia sangat dahaga dan meminta menteri ketiga carikan air macam mana cara sekalipun di sungai atau di telaga. Berjalanlah kuliling menteri mencari, Bertemulah tamannya Bidasari, Hairan tercengang ketiga menteri, Lalulah berjalan menghampiri. Maka ketiga-tiga menteri pun pergi mencari air dan mereka berjumpa Taman Bidasari dan tercengang kehairan melihatnya dan menghampirinya. Menteri pun sampai ke sana sudah, Inikah tanaman yang indah, Kepada temannya ia bersabda, “Dahulu taman di sini tiada.” Maka menteri hampiri dan sampai ke Taman Bidasari dan temannya berkata di sini tidak pernah wujud dan ada tanaman seperti ini. Ia berkata dengan sama teman, “Siapa ini mempunyai taman, Perbuatannya indah tempatnya nyaman, Kalaukan ini rumah siluman.” Lalu seorang menteri berkata siapakah yang memiliki taman ini, cara perbuatan dan senibinanya sungguh indah dan tempatnya nyaman dan adakah ia milik orang bunian. Menteri berjalan kuliling belukar, Lalu bertemu pintunya pagar, Dikunci dengan besi yang tegar, Hendak dibuka terlalu sukar.
Maka menteri bertiga pun mencari sekeliling taman untuk mencari laluan dan pintu namun pintunya dipagar rapi dan dikunci dengan besi yang cukup kuat, dan jika hendak buka memang sangat sukar. Kembalilah seorang menteri yang mudah, Berdatang sembah kepada baginda, :Daulat tuanku duli seripada, Berapa dicari air nan tiada.” Maka menteri bertiga tadi kembali semula kepada raja mereka dan datang menghadap memberitahu bahawa mereka tidak jumpa air sepanjang pencarian mereka. Tema Syair ini mengisahkan kesukaran untuk mendapatkan air sewaktu sesat di dalam hutan. Persoalan Persoalan pentingnya menurut perintah pemerintah atau raja. Menteri bertiga patuh dan taat kepada perintah raja mereka untuk mencari dan mendapatkan air semasa mereka sesat di hutan. Persoalan kepentingannya berusaha dengan gigih, iaitu menteri bertiga berusaha mencari sumber air untuk raja mereka dan berjumpa dengan Taman Bidasari namun taman itu dikunci. Persoalan pentingnya air kepada manusia, air adalah salah satu sumber tenaga dan minuman yang sangat diperlukan badan setelah berpeluh dan berpenat seharian. Manusia hidup bergantung kepada air dan makanan. Persoalan pentingnya menghargai air sumber khazanah ciptaan tuhan kepada manusia. Kita perlu menjaga dan tidak boleh melakukan pembaziran air dengan sewenang-wenangnya. Bentuk 1) Syair ini mempunyai 8 rangkap yang sekata barisnya. 2) Syari ini terdiri daripada 4 baris dalam setiap rangkap. 3) Syair ini mempunyai 4 hingga 6 patah perkataan. 4) Syair ini mempunyai 8 hingga 13 suku kata. 5) Syair ini mempunyai rima akhir yang terikat iaitu aaaa 6) Nada syair ini adalah melankolik. Gaya Bahasa 1) Bahasa Klasik iaitu penggunaan bahasa klasik dari bahasa melayu dan nusantara contohnya ; siluman – orang bunian 2) Sinkope – singkatan perkataan atau penyikatan kata contohnya : ku 3) Bahasa Istana – Baginda, raja, duli, daulat, tuanku 4) Perlambangan – air Nilai Ketaatan – taat dan setia kepada seseorang atau ketua Kesetiaan – setia dengan ketua Kejujuran – jujur dalam perbuatan dan kata-kata Kerjasama – bekerjasama dan berganding bahu melakukan sesuatu kerja atau tugasan Kegigihan – tekun dan gigih dalam melakukan sesuatu Kesabaran – tahan diri atau bertindak dengan waras dan rasional Pengajaran
Kita hendaklah taat kepada raja dan ketua. Contohnya menteri bertiga patuh dan menurut perintah raja. Kita mestilah menumpahkan kesetiaan kepada raja. Contohnya, menteri bertiga berusaha mencari air kepada raja mereka dan setia mengikut dan melakukan apa sahaja suruhan dan perintah raja. Kita perlulah jujur dalam melakukan apa sahaja tindakan. Contohnya, menteri bertiga jujur mengatakan mereka tidak bertemu sumber air. Kita haruslah bekerjasama dalam melakukan tugas dan kerja. Contohnya, menteri bertiga berganding bahu mencari air kepada raja mereka yang dahaga dan kehausan yang sesat dalam hutan. Kita hendaklah gigih berusaha dengan apa cara sekalipun. Contohnya, menteri berusaha bersungguh-sungguh dengan gigih untuk mendapatkan air di Taman Bidasari namun pintu pagar taman itu dikunci dengan sangat kuat menggunakan besi yang tegar iaitu sukar dibuka.