Sudah Sempurnakah Syahadah Kita

  • Uploaded by: sweetdream
  • 0
  • 0
  • November 2019
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Sudah Sempurnakah Syahadah Kita as PDF for free.

More details

  • Words: 1,980
  • Pages: 7
Sudah sempurnakah syahadah kita?

Kalimah syahadah Dari segi bahasa, bermaksud pengakuan, atau persaksian. Syahadah juga boleh kita interpretasikan sebagai persijilan atau bahasa moden kini, testimonial. Mari kita singkap makna sebenar syahadah itu dengan lebih mendalam. Ketika berprogram, analogi yang diberi cukup mudah. Kebiasaannya saksi kita kaitkan dengan apa? Mahkamah bukan? Kalau begitu, mestilah biasanya ada yang tertuduh, ada pendakwa dan ada hakim. Baik, sekarang ni, kenapa saksi tu penting? Kalau masa hari perbicaraan, saksi tak datang, kalau ikut undangundang, si tertuduh tidak akan terlepas dari tuduhan, walau dia benarbenar tidak bersalah, tapi selagi tak dibuktikan tak bersalah, dia akan tetap dihukum walau dia memang tak buat apa-apa. Jadi, pentinglah kan saksi nih? Untuk membuktikan dakwaan kepada si tertuduh tu tak bersalah. Apa akan jadi kalau tak ada saksi? Si tertuduh akan kekal dengan hukuman dan orang yang sepatutnya meberikan keterangan sebagai saksi tu dikira zalimlah kan? Sebab tak bagi pengakuan yang boleh buktikan si tertuduh tu sebenarnya tak bersalah. Cuba kita renung dan terjemahkan dalam hal syahadah; persaksian kita.

Kita bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad itu utusan Allah. Bermakna kita dah buat pengakuan. Apa tugas saksi? Membuktikan dan memberi keterangan. Bermakna di sini, syahadah itu bukan hanya satu ungkapan pengakuan dan persaksian saja tapi perlu dibuktikan! Sama seperti analogi saksi dan tertuduh. Kita andaikan hakim itu Allah, tertuduh itu Rasulullah s.a.w, dan saksi itu adalah kita, umatnya. Ada dakwaan, mengatakan tiada sembahan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, Muhammad itu benar, namun walau dakwaan itu benar, apakah ertinya tanpa saksi yang membenarkan kebenaran itu?

Titik perubahan hidup Apabila kita melafazkan kalimah tauhid, syahadah itu akan datang sekali dengan tanggungjawab terhadap pengakuan yang dilakukan. Kalau disorot kembali sirah sahabat-sahabat Nabi, bila saja mengucapkan kalimah syahadah, maka apa yang berlaku kepada mereka? Apakah mereka hanya sekadar lafaz dan berpeluk tubuh? Tidak. Hidup mereka berubah! Hanya dengan satu lafaz syahadah. Cuba kita lihat, apabila Bilal bin Rabah r.a memeluk Islam, apa yang berlaku? Dia sanggup diseksa dengan dasyat, diletak batu besar atas badan di tengah-tengah panas, diseret di atas batu-batu pasir yang panas membahang. Titik hidup dia berubah bila dia melafazkan syahadah. Ada apa dengan syahadah? Sehinggakan apabila Saidina

Abu Bakar As-siddiq r.a mahu membeli Bilal yang pada masa itu masih seorang hamba, dia sanggup menawarkan hampir seluruh hartanya untuk membeli Bilal kerana dia tahu syahadah itu lebih mahal dan lebih tinggi nilainya. Kita lihat pula sahabat Nabi yang bernama, Mus’ab bin Umair r.a , yang dahulunya seorang yang sangat-sangat kaya. Kalau tengok dia, pakaian dialah yang termahal sekali antara orang lain, pewangi yang dipakai, memang tak ada orang lain dah yang pakai dari jauh dah boleh cam itu bau Mus’ab nak menunjukkan betapa kayanya dia sampai jarang orang miliki barang yang dia miliki. Tapi hidup dia berubah dengan satu syahadah. Bila dia dah ucap, dia tak duduk diam. Dia pergi ke Madinah, sebarkan pasal Islam. Hampir semua pintu rumah diketuknya. Diceritakan hampir seluruh penduduk Madinah memeluk Islam kerana dia. Sememangnya sahabat-sahabat Nabi dulu, bila dapat satu ayat, dia tak akan simpan. Dia akan terus sebarkan. Kenapa dia boleh jadi begitu? Sebab mereka tahu, setakat mengaku, mengucap syahadah itu belum cukup, tapi harus dibuktikan dengan menyebarkan dan menerangkan kepada orang lain tentang kebenaran hukum Allah. Sahabat-sahabat Nabi, bila saja mendengar sepotong ayat Quran, mereka tak pernah simpan. Terus disebarsebarkan. Bagaimana pula dengan kita?

Hak Syahadah Al-Haq Menurut Syeikh Abdul Al-‘Ala Al Mardudi, seorang pejuang yang mahu mebina Negara Islam di India, katanya dalam satu ucapan: Hanya bergantung kepada pengakuan dan cakap kosong dalam hal ini tidak cukup. Sebenarnya apabila kita mengakui Allah sebagai Tuhan dan Islam sebagai agama(cara hidup) kemudian kita lafazkan syahadah yang sebenar ( pengakuan bahawa Tiada Tuhan yang tayak disembah selain Allah dan Muhammad utusan Allah), kita sepatutnya merasai tanggungjawab yang perlu kita laksanakan sebaik sahaja melafazkan syahadah ini. Perlu difikirkan, apa yang dapat kita lakukan untuk menunaikan tugas penting ini?

Syahadah dalam konteks ini juga bermaksud seruan. Apakah kita sudah melakukan seruan? Seruan yang membawa orang dari teori kepada praktikal. Seruan yang perlu disampaikan kepada seluruh manusia. Itula sifat syahadah yang sebenar. Kita tidak sepatutnya meminggir mereka yang tidak beriman seolah-olah mereka adalah bangsa asing yang terasing bahkan sayugianya kita perlu menyampaikan risalah yang didatangkan oleh Allah yang merupakan

Tuhan kita, Tuhan mereka dan Tuhan segala-galanya. Tiada yang lebih hak dari Al-Haq. Namun realiti masa kini, kita terlalu takut untuk berbicara tentang kebenaran, takut mahu berbicara tentang Islam. Sebilangan hamba-hamba Allah ini terpinggir, tidak tahu akan kebenaran kerana kita tak buka mulut. Bercerita kepada mereka. Berapa kali kita telah menerangkan Islam itu kepada mereka? Orangorang yang kita kenali, berapa banyak kita dah bercerita pasal Islam? Islam itu bukan hanya untuk orang Islam sahaja tetapi untuk semua manusia. Kalimah syahadah yang kita lafazkan itu punya hak. Kenapa Bilal r.a sanggup diseksa? Hanya kerana syahadah yang diucap? Cuba cermin diri kita. Bagaimana syahadah kita? Syahadah yang macamana kita dah lakukan? Apakah kita benar-benar mengerti ungkapan syahadah yang kita lafazkan paling kurang sebanyak 9 kali dalam sehari? Apakah kita sudah melunaskan tanggungjawab membuktikan syahadah kita kepada seluruh manusia? Apakah cukup kita dikira Muslim hanya dengann menunaikan solat, puasa, zakat sahaja? Syeikh Al-Mardudi juga ada menyebut, tanggugjawab ini tidak tertunai hanya cukup sekadar melaksanakan rukun yang lima tu, melaksanakan undang-undang syarak hanya dalam urusan peribadi seperti perkahwinan, cerai atau pusaka kemudian kita boleh berpeluk tubuh tana menitiskan walau setitik peluh dan kita tidur lena. Tidak. Bukan demikian saudaraku. Ada satu tanggungjawab yang jauh lebih besar dan lebih penting daripada semua ini. Sedarlah saudara.Tanggugnjawab ini ialah melaksanakan di hadapan seluruh alam ini segala hak Syahadah Al-Haq yang kita imani dan kita akui sejak di alam rahim sebagai agama kita. Dan ketika Tuhanmu mengeluarkan dari sulbi anak cucu Adam keturunan mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap roh mereka, “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab. Benar! ( Engkau Tuhan kami dan kami bersaksi)”. (Al-A’raf:172) Hak kalimah ini ialah untuk seluruh manusia dan memberi peluang orang beriman dengannya. Sebagai contoh, rentetetan dari peristiwa kisah Bilal bin Rabah r.a, dia memberi peluang untuk orang lain beriman disebabkan perjuangan dan kepayahan yang dialami mempertahankan kalimah Al-Haq.Kalau orang dulu, sanggup bersusahpayah membawa Islam demi kita, kenapa kita pentingkan diri tak mahu bersusah-payah demi generasi yang akan datang? Bilal merupakan seorang yang betul-betul suci memperjuangkan agama. Kita lihat orang-oang yang berbakti untuk Islam dan ketamadunan manusia seperti Hasan Al-Banna, Syed Qutb, walau mereka mati, namun nama terus hidup. Sehinggakan nama Bilal pun diabadikan bagi

muazzin. Kita boleh pilih apa yang lagi besar dari hidup kita. Kita nak syahadah( ijazah) yang macamana yang mengaku kita sebagai Muslim di hadapan sekalian manusia? Apakah habis nyawa, habis begitu saja? Atau kit akan berjuang dan mahu membawa Islam itu ke seluruh pelusuk dunia? Serajin dan seberani manakah kita berbicara tentang Islam kepada manusia? Menyebarkan kebenaran dan kalimah syahadah kita.

Kebenaran vs Kezaliman Apakah kebenaran yang paling benar di dunia ini? Apakah kezaliman yang paling besar di atas muka bumi ini? Sedarlah, untuk menjadi seorang Muslim, kita punya amanah yang tergalas di bahu. Kenapa anda memilih Islam sebagai agama? Andai anda percaya, Islam agama yang benar, patutnya segala perbuatan anda melambangkan Islam itu sebagai satu cara hidup. Islam yang bukan hanya pada nama, bukan hanya pada kata-kata tapi dibuktikan dengan perbuatan. Mahu tidak mahu, menjadi seorang Muslim, kita wajib menjalankan tugas yang berat ini. Allah telah memilih kita sebagai ummah perantara. Allah telah memilih kita bukan umat-umat yang lain. Hak syahadah ini perlu dilaksanakan dengan cara kita menyampaikan kalimah hak ini ke seluruh bangsa manusia, melalui, amalan soleh yang kita lakukan, akhlak terpuji yang kita miliki serta melalui pemerintahan kita yang adil dan betul supaya pada hari di mana segala saksi bangkit menyatakan penyaksian mereka, semua manusia tunduk di bawah hujah Allah dan mereka tidak dapat menafikan bahawa dakwah para nabi dan kalimah hak ini telah sampai ke gegendang telinga mereka. Ketahuilah, kezaliman yang paling zalim yang tidak ada yang lebih zalim lagi ialah mereka yang menyembunyikan syahadah dan kebenarannya ketika di dunia. Bermakna, andai tidak menyampaikan kebenaran, kita tau tapi kita tak bagitau orang, kita tergolong dalam golongan orang yang zalim. Ini Allah sendiri berfirman: Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyembunyikan keterangan(saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya? (Al-Baqarah:140).

Maksud sebenar di sebalik syahadah yang perlu kita paparkan kepada seluruh manusia ialah kita buktikan bahawa kebenaran yang jelas

nyata dan pendekatan yang sahih ini adalah benar dan terbukti kukuh sehingga ia boleh menjadi hujah untuk Allah menghukum hamba-hambaNya. Segala undang-undang yang Allah gubal dan berkaitan dengan balasan dan hukuman kepada amalan dan kesalahan manusia adalah berteraskan kepada syahadah ini. Apakah Allah itu zalim? Menghukum hambaNya tanpa menjelaskan apa yang betul dan apa yang salah? Menghukum hambanya yang tidak mengetahui jalan mana yang betul dan salah. Oleh sebab itu, para Nabi dan Rasul diutus untuk menyampaikan risalah kebenaran kepada manusia. Kemudian diteruskan oleh para hamba-hambaNya yang soleh untuk mengajar bangsa manusia cara hidup sebenar yang diredhai oleh Allah dalam mengharungi hidup di dunia ini. Mengingatkan manusia tentang-tentang amalan-amalan yang perlu mereka hindar dan akan menyebabkan mereka dihukum Allah. Semua ini, menjelaskan syahadah yang Allah perintahkan itu sebenarnya bertujuan mematahkan segala hujah manusia yang bakal digunakan di hadapan Allah agar tiada ruang untuk mereka membuat alasan selepas mereka menerima seruan para Nabi dan berkata “ Kami tidak pernah diberitahu tentang perkara in. Jadi tiada sebab untuk kami dihukum kerana melakukan apa yang kami tidak ketahui yang baik dan yang tidak”. Sebab tu, Allah meletakkan tanggungjawab ini kepada para Rasul yang dipilih untuk menyampaikan risalahNya dan memastikan syahadah ini sampai kepada hamba-hambanya. Bayangkan, Rasul itu walaupun maksum, masih seorang manusia dan merasai betapa beratnya amanah itu. Merekalah yang terpaksa berhadapan dengan segala tanggungjawab ini. Menyebarkan risalah ini sebaik-baiknya dengan penuh kesungguhan, kesabaran dan ketabahan tanpa mengenal erti penat lelah memberitahu bahawa seluruh manusia akan diberikan ganjaran berdasarkan amalan mereka dan akan diberikan hukuman berdasarkan kejahatan dan kelakuan buruk mereka. Andai para Rasul tidak menjalankan tugas ini, maka mereka yang akan dihukum oleh Allah kerana kesesatan dan kejahatan manusia. Dengan kata lain, para Rasul terpaksa berhadapan hanya dengan dua pilihan. Sama ada mereka melaksanakan segala kewajipan syahadah ini dengan cara yang terbaik dan memastikan hujah Allah mengatasi segala hujah manusia atau disebabkan kecuaian mereka, manusia menjadikan ia sebagai alasan di hadapan Allah kelak. Seterusnya, orang-orang yang menerima dakwah melalui para utusan Allah ini (iaitu kita), mewarisi tanggungjawab syahadah ini. Kelak, kita akan bertanggungjawab di hadalan Allah dan di hadapan manusia. Jika kita melaksanakan tanggungjawab syahadah ini dengan bersungguh-sungguh, kita akan menerima ganjaran daripada Allah, tidak kira sama ada manusia itu menerima atau

menolak dakwah kita. Tetapi andai kita cuai, Allah akan menghukum kta terlebih dahulu daripada orang lain. Allah akan menghukum kita kerana apa yang dilakukan oleh orang lain yang sesat akibat kecuaian kita melaksanakan tanggungjawab. Kecuaian di sini bermaksud tidak memberitahu perkara yang haq. Ibarat kita ada orang memberitahu kepada kita, dalam sebuah bangunan itu ada bom, dan dia adalah orang yang benar, apakah kita akan berdiam? Andai kita benar-benar seorang manusia yang punya hati, pastinya kita tak akan berlengah, dan bergegas beritahu semua orang yang ada tentang kebenaran cerita itu supaya mereka dapat diselamatkan. Begitu jugaklah dengan kebenaran yang kita akui dan kita ketahui. Perlu diceritakan dan disebarkan supaya manusia lain tunduk patuh kepada Allah dan dapat kita selamatkan diri kita dan mereka dari dihukum dengan seksaan kelak. Persoalannya, sejauhmana kita sudah berusaha melaksanakan syahadtul-haq kita? Sejauh mana kita guna potensi dan peluang yang ada? Kita bertemu ramai orang yang kita dalam sehari tapi sudah berapa ramai kita bercerita tentang Islam dan lebih penting menyampaikan Al-Haq? Ingatlah kelak kita akan disoal akan tanggungjawab ini. Inilah dia tanggungjawab syahadah yang telah diwajibkan kepada kita yang mengaku sebagai orang Islam, orang yang memiliki Kitabullah, orang yang menerima petunjuk melalui perantaraan Rasulullah, dan tanggungjawab setiap orang yang mengucap kalimah syahadah, yang bersaksi dan mengaku bahawa Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Wallahu’alam.

Related Documents


More Documents from ""

Bio
November 2019 51
Micro Teach` Huda
November 2019 25
Kaedah Mngajar Fizik Terbaru
November 2019 25
Fertilisation
November 2019 26
22
November 2019 39