Soalan tutorial 3 : Berdasarkan ciri - ciri ABM, berikan hujah anda bagaimana ABM dapat membantu meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran guru pemulihan Matematik.
Alat bantu mengajar (ABM) yang mana juga dikenali sebahagian daripada media pengajaran yang berfungsi dalam perlaksanaan sesuatu pengajaran Berdasarkan definisi di atas, jelas menekankan alat bantu mengajar sebagai satu elemen yang amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kita selalu beranggapan, penggunaan perkataan di dalam kelas sudah memadai untuk menyampaikan mesej dalam sesuatu pengajaran. Seringkali ramai guru yang berpegang kepada kepercayaan tersebut, ini menyebabkan timbulnya masalah komunikasi guru dengan pelajar. Justeru itu, penggunaan ABM adalah berkesan jika pengajaran berdasarkan perkataan bersama-sama dengan gambar atau simbol yang lebih konkrit maknanya kepada pemahaman para pelajar. Misalnya untuk menyatakan konsep “besar”, guru bolehlah menunjukkan satu objek atau gambar yang bersaiz lebih besar daripada gambar atau objek lain. Ini dapat digunakan untuk menunjukkan konsep “besar” yang dimaksudkannya. Sekiranya menggunakan perkataan semata-mata, maka sesuatu proses pengajaran tersebut akan lebih bersifat abstrak dan sukar difahami serta tidak dapat memberikan gambaran yang jelas kepada para pelajar. Dengan menggunakan Alat Bantu Mengajar (ABM) segala bentuk simbol dan komunikasi verbal yang abstrak dapat diperjelaskan. Ini memudahkan para pelajar memahami isi kandungan sesuatu pelajaran. Penggunaan media pengajaran secara betul dan bervariasi juga dapat mengatasi sikap pasif dikalangan para pelajar kerana ia akan menimbulkan minat pelajar untuk belajar, meningkatkan interaksi dan kefahaman pelajar tentang realiti suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih mengembirakan dan menyeronokkan. Terdapat beberapa ciri ABM yang dapat membantu meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran guru dalam subjek Pemulihan Matematik.
Pertama, ABM perlulah sesuatu yang mudah, jelas, dan difahami oleh pelajar semasa proses penyampaian isi pelajaran disamping memperjelaskan mesej yang bersifat abstrak kepada konsep yang lebih konkrit. ABM juga perlu bersesuaian dimana konsep sesuatu mata pelajaran boleh diikuti oleh pelajar. ABM yang digunakan perlu menepati tajuk dan isi kandungan pembelajaran yang hendak disampaikan oleh guru. Selain itu, terdapat beberapa aspek lain yang perlu dititikberatkan untuk memastikan ABM tersebut adalah bersesuaian dengan murid iaitu objektif dan matlamat pengajaran, pendekatan, teknik serta strategi pengajaran, keadaan pelajar, suasana pembelajaran dan akhir sekali minat pelajar. Oleh itu, guru hendaklah menentukan objektif pengajaran terlebih dahulu sebelum memilih sesuatu bahan. Dengan objektif pengajaran yang tertentu, guru boleh memilih bahan-bahan yang sesuai dan dapat membantu kearah pencapaian objektif tersebut. Bahan yang dipilih juga hendaklah sesuai dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara dan juga bersesuaian dengan kebudayaan, adat resam, kepercayaan dan situasi tempatan. Jika ABM yang digunakan menepati ciri-ciri kesesuaian yang telah dinyatakan, guru dapat menyampaikan pembelajaran dengan baik dan sistematik. Maka dari itu, murid dapat memahami isi pembelajaran yang disampaikan oleh guru dan mereka juga tidak akan berasa tertekan. Seterusnya, ABM yang digunakan juga perlu mencabar pemikiran pelajar. Terdapat tiga konsep penting yang perlu wujud dalam proses pembelajaran iaitu rangsangan, pemikiran dan tingkah laku. Oleh yang demikian, bahan - bahan yang dipilih dapat memberikan rangsangan untuk pelajar berfikir dan mendorong mereka untuk terus belajar. Satu strategi pemeringkatan bahan pembelajaran yang dapat mencabar pemikiran pelajar ialah bahan tersebut hendaklah mempunyai ciri - ciri seperti, bahan yang konkrit kepada abstrak, mudah kepada kompleks, khusus kepada umum, umum kepada khusus serta mempunyai fakta terasing kepada fakta yang mempunyai hubungan bersepadu. Seterusnya, ciri ketiga ialah alat bantu mengajar yang digunakan hendaklah menepati konteks pembelajaran. Ketepatan sesuatu bahan dengan kurikulum pengajaran dapat dilihat melalui isi kandungan, kehendak pelajar, susunan bahan, maklumat dan fakta, perbendaharaan kata yang sesuai serta bahan pengajaran tersebut diperakui.
Selain itu, ABM yang menarik juga dapat membantu guru untuk meningkatkan kualiti pengajaran kerana ABM yang menarik dapat meningkatkan motivasi murid dan seterusnya menghasilkan pembelajaran yang lebih bermakna. Terdapat beberapa aspek yang perlu dititikberatkan untuk menjadikan sesuatu ABM kelihatan menarik antaranya ialah reka letak. Peta, lukisan, carta, jadual, graf, gambar mestilah disusun dengan baik bagi memudahkan pelajar memahami sesuatu konsep yang ingin disampaikan oleh guru. Saiz huruf yang digunakan juga perlu sesuai dengan peringkat umur pelajar. Pemilihan warna juga penting dalam menghasilkan ABM. Di samping itu, ilustrasi dan bahan grafik bukan sahaja menghiasi bahan pengajaran, tetapi juga berfungsi sebagai manifestasi visual sesuatu maklumat yang akan mengukuhkan pemahaman. Kemudian, ABM yang digunakan juga perlu mempunyai ciri jimat dan mudah. Guru boleh menggunakan kreativiti contohnya menghasilkan ABM daripada bahan terbuang kerana ABM yang digunakan tidak semestinya mahal. Hal ini juga dapat menjimatkan kos dalam penghasilan ABM. Di samping itu, bahan yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran seharusnya praktikal sama ada kepada guru atau pelajar. Bahan tersebut juga seharusnya tahan lasak dan dapat digunakan berulang-ulang kali bahkan dapat juga digunakan untuk mata pelajaran selain Matematik. Akhir sekali, bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, sesuatu ABM yang digunakan hendaklah mempunya ciri mudah alih. Hal ini demikian bermaksud bahan pengajaran yang dipilih hendaklah sentiasa berfungsi, boleh dibawa kemana - mana, tidak terlalu berat atau besar. Bahan yang terlalu kompleks boleh menjadikan murid tidak berminat untuk meneruskan sesi pembelajaran. Mereka juga akan beranggapan bahawa subjek Matematik adalah terlalu sukar bagi mereka. pemilihan bahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang terdiri daripada bahan - bahan teks atau sumber lain hendaklah dilihat daripada tiga perspektif iaitu komunikatif, struktural dan kemahiran.