Sediakan Payung Sebelum Hujan Peribahasa ini bermaksud kita hendaklah selalu bersedia untuk menghadapi sesuatu kemungkinan yang akan menimpa ke atas diri kita. Dengan persediaan yang secukupnya, segala masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan mudah dan cepat. “Sediakan payung sebelum hujan” sesuai ditujukan kepada murid-murid sekolah. Mereka perlu menyiapkan diri untuk menghadapi pelbagai peperiksaan.Murid-murid perlu belajar bersungguh-sungguh. Segala tugasan yang diberi harus disiapkan. Mereka juga perlu mengulang kaji pelajaran setiap hari. Jika ilmu penuh di dadah, murid-murid tidak akan menghadapi masalah semasa peperiksaan. Keputusan yang cemerlang sentiasa diperoleh oleh mereka yang telah membuat persediaan yang rapi. Sikap berjimat cermat merupakan amalan yang murni. Ibu bapa biasanya menabung untuk tujuan pendidikan anak-anak. Ada juga murid-murid yang tidak mampu meneruskan pelajaran kerana keluarga mereka tidak dapat membiayai kos pelajaran. Keadaan seperti ini tidak akan berlaku sekiranya ibu bapa menyediakan “payung sebelum hujan” dengan amalan menabung. Sebagai kesimpulan, peribahasa ini menasihati kita supaya sentiasa bersedia untuk menghadapi segala cabaran. Segala persediaan dan persiapan awal dapat membantu kita semasa menghadapi sesuatu masalah.
Romero Ranulfo Maniam JR. (6H)