REFLEKSI DIRI
Sediakan Payung Sebelum Hujan Ungkapan di atas mengingatkan kita supaya membuat persiapan awal sebelum sesuatu peristiwa yang membawa penyesalan itu berlaku. Kebiasaannya pada awal tahun ramai pelajar yang menganggapkan adalah terlalu awal untuk mengulang kaji sesuatu pelajaran. Begitu juga bagi pelajar yang berada di kelas yang tidak menduduki peperiksaan awam akan menganggap tahun tersebut adalah tahun untuk bersuka ria tanpa menghiraukan sangat soal pelajaran. Usaha mengulang kaji pelajaran perlulah dilakukan berterusan dan bukannya bermusim. Pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu memberi perhatian dan tumpuan sepenuhnya pada hari pertama mereka melangkah ke tingkatan empat. Rata-rata pelajar yang lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan mengatakan bahawa rahsia kejayaan mereka ialah kerana memberi perhatian sepenuhnya di kelas ketika guru sedang mengajar. Hal ini bermakna bahawa segala masalah pembelajaran yang timbul harus diselesaikan di dalam kelas dan bukannya dibawa balik ke rumah. Penyelesaian masalah pembelajaran dapat dilakukan dalam beberapa cara: -Berinteraksi dengan rakan: Pelajar boleh menyemak atau belajar bersama-sama dengan rakan sebaya. Melalui perbincangan, sebarang masalah dapat diselesaikan dengan segera. Perbincangan juga mampu mengelakkan rasa bosan ketika belajar. -Merujuk kepada guru: Guru bukan sahaja sebagai seorang pembimbing malah menjadi ibu atau bapa kepada pelajar ketika di sekolah. Pelajar tidak harus takut pada guru tetapi hormat dan patuh segala peraturan yang disediakan. Segala kekeliruan, kekusutan sama ada masalah pelajaran atau masalah peribadi, guru dan guru kaunseling harus dijadikan tempat rujukan dan tempat meluahkan segala masalah tanpa berasa malu atau takut. Guru kaunseling misalnya boleh membantu para peIajar dalam memberi khidmat nasihat sama ada dalam penentuan kerjaya atau masalah peribadi. -Merujuk pusat sumber atau bahan media: Pusat sumber selaku gedung ilmu harus dijadikan seolah-olah rumah kedua pelajar. Manakala bahan media seperti akhbar, majalah, cd-rom dan internet mampu menambahkan koleksi bahan bacaan dan rujukan OIeh itu, langkah bijak untuk menggunakan segala kemudahan di atas ialah dengan mempraktikkannya sepanjang tahun serta secara berterusan. Janganlah apabila terdesak barulah kita tergesa-gesa untuk menyelesaikannya seperti kata pepatah Melayu, `sudah terhantuk baru nak tengadah’. Perbuatan sedemikian sudah terlambat, umpama ‘nasi sudah menjadi bubur’. Jadi, `sediakan payung sebelum hujan’!
strive for excellence