SASTERA DAN PENULISAN DALAM AGENDA PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA FSSK/06/2006 Dr. Mawar Shafei ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti beberapa institusi yang terlibat dalam melahirkan penulis muda di Malaysia. Ia juga untuk mengumpul data penulis muda yang lahir dari bengkel penulisan anjuran institusi berkenaan dan pencapaian mereka. Kajian ini turut
mahu membuktikan sastera berperanan dan memberi impak terhadap
pembangunan belia Malaysia; khususnya terhadap pembangunan sahsiah. Kajian dijalankan dengan menggunakan kaedah pembacaan dan wawancara institusi yang terlibat seperti Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Minggu Penulis Remaja (MPR/DBP), Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI), Yayasan Warisan Johor (YWJ) dan Kelab Penulis Kavyan (Kavyan). Beberapa model penulis muda yang dibincangkan ialah Faisal Tehrani, W.B. Rendra, Uthaya Sankar SB dan Zharulnizam Shah Zainal Abidin. Penelitian dilakukan ke atas bentuk mekanisme yang digembleng setiap institusi ini bagi proses “pembikinan” penulis belia ini. Misalnya MPR/DBP dan YWJ yang menyediakan hampir semua kemudahan termasuk kos bimbingan. Sementara KEPEZI dan Kavyan mengenakan bayaran tertentu di kalangan peserta. Antara penemuan kajian ini ialah KEPEZI menggunakan strategi bimbingan susulan dengan rumus kewartawanan (isu semasa + fakta + ilmu + makna + estetik + suntingan). Kajian ini mendapati bahawa penulisan memberi kesan terhadap kegiatan pengurusan masa lapang belia. Proses pembacaan dan penyelidikan yang dilakukan membantu menajam takat intelektual dan kreativiti mereka. Hasil kerja penulisan juga dapat menawarkan pulangan kewangan menerusi penyiaran di wadah penerbitan mahupun lewat sayembara penulisan yang dianjurkan pihak tertentu.