Ibu! Maafkanlah anakmu ini.. Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI
Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar La illahaillallah Allahu Akbar Allahu Akbar
walaupun Syawal disambut dengan sederhana, hanya bersama ayah Yahya Mohamed Yusof dan mama Ruzitah Bahrum, namun penghuni KEWAJA pasrah dengan keadaan yang mereka alami.
walilaahil Haamd.... Sebaik sahaja Pemegang Mohor Besar Raja-Raja Melayu mengumumkan bahawa esoknya Hari Raya, maka bergemalah takbir raya bagi menandakan berlabuhnya Ramadan, bulan yang penuh keberkatan dan muncul pula Syawal (hari kemenangan buat orang Islam). Pada waktu itu, tiba-tiba, suasana di dalam Kem Modal Insan Kebahagiaan Remaja dan Wanita (KEWAJA) yang dihuni hampir 60 orang menjadi begitu sayu dan syahdu sekali. Laungan takbir Syawal itu begitu menusuk ke dalam kalbu. Payah hendak digambarkan pada waktu itu. Rata-rata semua penghuni merasa sebak, pilu, sedih dan perasaan begitu berkecamuk di dalam hati, hanya linangan air mata dapat menggambarkan betapa syahdunya beraya tanpa ibu, bapa dan adik-beradik yang lain. Hampir 90 peratus penghuni yang terdiri daripada mereka yang hamil di luar nikah dan 10 peratus yang mengalami masalah sosial seperti lari dari rumah, bohsia, tidak mahu ke sekolah dan melakukan perbuatan tidak bermoral beraya tanpa ahli keluarga tahun ini. “Adakah ini balasan atau hukuman yang sepatutnya diterima atas kesalahan yang kami lakukan. Tidak dapat mencium tangan ibu dan ayah untuk meminta ampun selama ini, tiada pakaian baru, tiada duit raya, tidak dapat melawat datuk nenek dan sanak- saudara, tidak dapat merasai kuih-muih, rendang, lemang dan makanan yang lazat-lazat, hasil tangan ibu, kami betul-betul rindu itu semua. “Semuanya salah kami yang tidak mendengar kata-kata ibu dan ayah, bersikap biadap, lebih mempercayai rakan-rakan dan teman lelaki sehingga terlanjur. Mangsanya ialah kami yang terpaksa menerima hukuman dan dihantar ke kem ini bagi menutup malu dan menyembunyikan perkara naif yang dialami. “Tidak disangka, perbuatan itu telah membawa musibah kepada kami sehingga hari dan bulan baik ini terpaksa bersendirian dengan bayi di dalam perut yang tidak siapa ingin bertanggungjawab dan menjalani pantang tanpa bantuan ibu.
“Walaubagaimanapun, kami bersyukur rupanya Allah masih sayangkan kami dan memberi peluang untuk kami membetulkan diri menjadi insan yang berguna kepada negara. Banyak yang kami pelajari terutamanya soal-soal ibadah dan pembangunan diri sepanjang menjalani program di KEWAJA. “Malah, ada di kalangan kami sebelum ini yang tidak tahu mengerjakan sembahyang dan mengaji telah mula memahirkannya. Mungkin ini merupakan hikmah kepada kami dan ia akan direbut sebaik mungkin. Terima kasih ibu dan ayah yang telah menghantar kami ke sini dan keampunan yang tidak terhingga dipohon sekiranya perbuatan kami selama ini menghiris hati dan memalukan keluarga.’’ Inilah luahan hampir 60 penghuni KEWAJA yang terpaksa beraya tanpa ahli keluarga. Bagi mereka, pengganti ayah kandung pada hari raya itu ialah pengasas KEWAJA, Yahya Mohamed Yusof,45 yang dipanggil ayah manakala isterinya, Ruzitah Bahrum,40 yang dipanggil mama. Dua insan inilah yang memberi sinar kepada mereka untuk merasai kehangatan beraya walaupun tidak sama beraya bersama keluarga. Pagi raya di KEWAJA hanya disambut secara sederhana. Setelah sembahyang raya, penghuni bermaafmaafan sesama rakan-rakan dan dengan ayah Yahya dan mama Ruzitah. Kemudian mereka akan menjamu selera ala kadar seperti rendang, lemang dan kuih-kuih raya. Tiada apa yang istimewa selepas itu, masa banyak dihabiskan dengan melakukan ibadat dan aktiviti ringan. Ibu bapa dan ahli keluarga hanya dibenarkan melawat seminggu selepas raya. Walaupun tempoh melawatnya pendek, namun inilah waktunya melepaskan kerinduan. Pengalaman tiga pelatih KEWAJA (Nama tiga pelatih tersebut bukan nama sebenar) Bagi salah seorang penghuni yang hanya ingin dikenali sebagai Nurul Salleh, 15, yang telah tujuh bulan menjadi penghuni kem ini menyatakan kesedihan yang tidak terhingga kerana tidak dapat beraya bersama ibu dan dua beradiknya. “Ini merupakan cabaran paling pahit terutama semasa mendengar takbir raya. Jika tahun-tahun lalu, apabila sahaja raya diumumkan, sayalah yang paling gembira dan kecoh. Mana tidaknya, ibu akan menyuruh ini dan itu seperti mengemas rumah dan menyediakan bahan untuk memasak esok. “Selalunya sayalah yang membantu ibu menyediakan rendang Minang dan memasak ketupat, tapi kali ini, mungkin kakak dan adik menjadi pengganti saya. Begitu juga apabila membuat kuih gunting, sayalah jaguhnya.
“Nostalgia inilah yang menghantui fikiran saya di pagi raya, namun apakah daya, saya harus kuatkan semangat kerana ini merupakan hukuman daripada kelakuan saya yang tidak bermoral selama ini sehingga melukakan hati ibu,’’ katanya yang dimasukkan di kem ini kerana bermasalah sosial sehingga terlanjur. Tambahnya yang tidak pernah bertemu dengan bapanya, walaupun bapa saudaranya telah menghantar sehelai baju kurung untuk dipakai pada Hari Raya, namun pada tahun ini, tiada pakaian kasual seperti seluar denim dan kemeja-T. Sementara itu, Maya Harun, 16, yang berasal dari Kuala Lumpur, baru dua minggu menetap di KEWAJA. Dirinya yang mengandung lapan bulan akibat perbuatan teman lelakinya yang berusia 18 tahun pasrah dengan keadaannya yang telah mengecewakan ibu bapanya yang selama ini menganggapnya anak yang baik dan mengikut kata. Namun, seminggu sebelum dia dimasukkan ke dalam kem, dia terpaksa memberitahu ibunya mengenai dirinya yang telah mengandung. Beliau yang sedang menuntut di tingkatan empat di salah buah sekolah di ibu kota terpaksa mengambil keputusan bercuti bagi memberi ruang kepadanya melahirkan anak sebelum menyambung kembali ke tingkatan lima pada tahun depan. “Saya tahu saya bersalah pada keluarga, tetapi pengaruh kawan dan teman lelaki begitu kuat sehingga menyebabkan saya terlanjur. “Selama hampir lapan bulan saya berjaya menyembunyikan keaiban ini kerana perut saya kecil dan tidak mengalami alahan tetapi hati sentiasa membuak-buak takut jika bersalin pada waktu ini, ibu tidak tahu, sebab itulah saya terpaksa memberitahunya. “Walaupun baru dua minggu tinggal di kem ini, saya telah mula merasai perubahan terhadap diri terutama dalam soal mengerjakan ibadah. “Sementelah bulan puasa lalu, banyak kerja-kerja ibadah seperti bertadarus, bertarawih, sembahyang sunat yang selama ini ada yang tidak pernah dilakukan, telah saya buat. “Inilah rahmat berada di kem dalam bulan puasa, namun begitu, saya hiba, keluarga tidak berada semasa menyambut Hari Raya. Tiada lagi balik kampung ibu dan ayah, berjumpa atuk dan nenek dan saya pun tidak pasti ibu dan ayah akan balik kerana orang kampung tentu akan bertanya, begitu juga dengan sambutan raya yang selama ini saya sering membantu seperti mengemas rumah dan membuat kuih raya, tapi tahun ini, tidak ada lagi,’’ katanya yang berazam untuk lulus Sijil Pelajaran Malaysia dengan cemerlang. Bagi Sarah Mohamed, 18, yang mempunyai masalah sosial iaitu suka berpelesiran sehingga jauh malam tidak menyangka raya tahun ini, dia akan menghabiskan masa di KEWAJA bersama-sama rakan-rakan yang bermasalah.
Dia yang baru seminggu tinggal di kem ini setelah dihantar oleh bapanya. Itupun setelah ditipu oleh ayahnya yang menyatakan hendak pergi bersiar-siar, rupa-rupanya terus dihantar ke kem. “Memang saya memberontak untuk tinggal di sini, mana tidaknya tidak pernah berjauhan dengan keluarga dan mahu pula ditempatkan di kem yang dipenuhi dengan mereka yang mengalami masalah sosial malah tidak tahu bila agaknya akan bertemu dengan keluarga dan rakan-rakan serta keluar dari kem ini. “Namun, seminggu berada di sini dan menyambut Ramadan serta program- program keagamaan yang diatur, benar- benar menginsafkan saya dan barulah saya sedar, tindakan ayah itu betul,’’ katanya sambil berlinangan air mata. Sarah mengakui, kedegilannya dahulu telah memberi musibah kepada dirinya. “Kelakuan saya bertambah teruk apabila tamat SPM, keluar malam dengan teman-teman lelaki sehingga ibu dan ayah pun tidak boleh menegur. Saya tahu saya salah dan melukai hati mereka tetapi hati muda telah memerangkap saya. “Kesempatan di Hari Raya ini, saya ingin memohon maaf dari hujung rambut sampai ke hujung kaki kepada ibu dan ayah yang begitu ikhlas melahir dan memelihara saya, tetapi saya tidak nampak ketika itu, saya terlalu mengikut rasa hati. “Apabila melihat rakan-rakan menangis dan sayu mendengar takbir raya, barulah terdetik di hati saya betapa berharganya mempunyai keluarga di samping semasa hari yang baik ini. Saya sebenarnya tidak pernah terfikir untuk beraya seperti ini,’’ katanya dengan penuh keinsafan