Aku tidak tahu bagaimana hendak memulakan kisah hidupku ini. Entahlah, kisahku ini bukanlah menarik untuk tatapan kalian. Ini adalah tanggungjawabku untuk aku siapkan sebagai tugasan pengajianku.
1 MEI 1982 Tarikh keramat buatku di dunia ini. Alhamdulillah,aku diberi peluang oleh Allah SWT untuk menghirup udara di bumi tanahairku ini. Aku selamat dilahirkan dan cukup bertuah buatku kerana aku merupakan anak sulung dan permata hati ibu dan abahku. Walaupun aku tahu keluargaku hidup dalam kesederhaan ibu dan abah bahagia membesarkan aku. Aku juga berbangga dilahirkan pada 1 Mei kerana pada 1 Mei merupakan Hari Buruh ataupun Hari Pekerja seluruh Malaysia. Nurrli Adznam Shah Binti Mahamad telah tertera dalam surat beranakku. Jangan salah sangka, aku bukanlah keturunan raja dan keturunan-keturunan yang dihormati. Aku anak kampung biasa dan hidup seperti kanak-kanak lain juga. Aku sendiri pun tak tahu macam mana ibu dan abah memilih namaku dan adik-adikku yang lain. Rakan-rakan dan sesiapa jua tentu hairan mendengar nama kami yang jarang di dengar. Tempat kelahiran ku di Perlis, juga merupakan tempat asal ibuku. Walaupun dalam surat beranak tertulis Perlis tempat lahirku, tetapi aku bukan terus menetap di sana. Aku anak sulung daripada lima orang adik beradik. Aku ada dua adik lelaki dan dua adik perempuan. Jarak perbezaan antara aku dan adik-adik pun tidaklah jauh benar. Ini membuatkan aku dan adik-adik rapat. Ibuku memang berasal dari Perlis sebaliknya abahku pula merupakan orang pantai timur. Tempat kelahirannya di Kelantan. Bertuah
aku, kiranya aku ni bolehla dikatakan mix Perlis dan Kelantan. Bukan senang nak cari tau. Ibuku hanya suri rumah abah pula sebagai pemandu bas express.
1989 Seingat aku pada ketika itu aku menetap di Kuantan Pahang. Umurku enam tahun, tentulahaku masih di pra persekolahan. Umurku tujuh tahun aku dihantar ke Sekolah Rendah Assunta Convent, Kuantan salah sebuah sekolah terbaik di Pahang. Bukan sessi pagi sahaja aku belajar, aku juga ditempatkan di sebuah sekolah rendah agama pada sessi petang. Tentu jadual harianku padat. Bukan aku sahaja, adik kedua aku pun sama. Adik ketigaku waktu itu baru berusia empat tahun. Aku bukanlah nak berbangga, tapi aku bersyukur dengan prestasi aku di sekolah. Ibukulah yang banyak memberi tunjuk ajar terutama di rumah. Walaupun ibu garang dan tegas, tetapi ibu amat penyayang orangnya. Bukan aku saja, tentu kalian akan menganggap ibulah orang yang terbaik buat kita. Malah tiada pengganti selepasnya.
1991 Takku duga ibuku jatuh sakit. Penyakit yang paling ditakuti wanita seperti aku. Takku duga terjadi pada orang yang paling aku sayangi. Aku masih ingat ketika itu aku darjah empat. Kami sekeluarga terpaksa berpindah ke Perlis memandangkan ibu terpaksa membuat rawatan di sini. Adikku yang keempat baru berusia setahun. Aku juga terpaksa berpindah sekolah yang lebih kurang dua batu dari rumahku. Kalau sebelum ini aku dan adik-adik ke sekolah dengan bas, sekarang kami ke sekolah dengan basikal. Aku tidak kisah walaupun susah payah untuk menuntut ilmu pada ketika itu, tapi betapa besarnya
tanggungjawab aku sebagai anak sulung. Tentu kalian tahu, abahku hanya pemandu bas tentu seminggu sekali atau dua kali abah pulang. Aku tidak mahu membebankan ibu membuat kerja rumah jadi sebelum aku ke sekolah aku membantu ibu membuat kerja rumah seperti membasuh kain dan mengemas rumah setiap hari. Alhamdulillah, nenek dan datuk aku masih ada ketika itu dan tinggal bersama kami. Jadi makan minum ibuku tidak perlu aku risau sangat. Di sekolah aku agak dikenali guru-guru dan rakan-rakan mungkin kerana anugerah Allah pada aku. Aku antara pelajar terbaik di sekolah. Sekolah rendah, apalah nak dibanggakan. Aku pernah membaca artikal tentang penyakit ibuku. Untuk sembuh penyakit ini, amat tipis sekali malah tidak diketahui punca sebenarnya dan masih dalam kajian. Tahun 1993 aku mendapat adik lelaki yang comel. Inilah adikku yang bongsu dan satusatunya yang dilahirkan melalui pembedahan kerana kedudukan kandungan ibu songsang. Jadi doktor terpaksa membuat pembedahan memandangkan ibu juga sakit. Alhamdulillah, umur ibu masih panjang dan adikku selamat dilahirkan. Sebulan selepas adik dilahirkan Pak Long dan Mak Long, sepupu sebelah ibuku ingin mengambil adikku sebagai anak angkat mereka. Bertuah adik aku, dapat keluarga yang senang. Untuk pengetahuan kalian Pak Long dan Mak Long adalah doktor di hospital besar Alor Setar. Tentu kalian boleh jangkakan bagaimana kehidupan mereka. Mungkin rezeki adik aku.
1994 Tahun ini aku menduduki UPSR. Aku kurang memberi tumpuan pada pelajaran aku. Hanya belajar di sekolah, tapi di rumah lebih tumpuan pada ibuku. Penyakit ibu menyebabkan ibu lumpuh. Ibu hanya terlantar tanpa melakukan apa-apa. Terharu aku
melihat ibu. Aku tahu ibu sedih kerana tidak dapat memberi tumpuan pada kami adik beradik. Adik-adikku apa yang mereka tahu. Umur pun baru setahun jagung. Kalau tanpa tumpuan ibu bapa tentu anak-anak liar. Aku sendiri pun tidak dapat mengawalnya. Tambahan pula tinggal di kampung. Aku hanya berserah pada Allah. Tumpuan lebih pada ibu selepas aku peperiksaan. Aku tahu ibu ingin melihat aku berjaya. Malah selalu ibu ingatkan aku supaya sentiasa belajar rajin-rajin. Aku kecewa setelah mengetahui keputusan peperiksaan aku. Aku hanya perolehi 2A 2B. Aku sendiri tidak menjangka. Tapi aku tahu itulah usaha aku. Paling sedih apabila aku menunjuk keputusan aku pada ibu. Ibu tetap beri semangat, katanya aku boleh berusaha lagi. Terharu aku. Aku tetap bersyukur, walaupun keputusan ku tidaklah seberapa tetapi aku mendapat banyak tawaran ke sekolah menengah.
1 DISEMBER 1994 Tarikh yang mungkin takkan aku lupa dalam hidupku. Ibu pergi meninggalkan kami sekeluarga. Pemergiannya amat terasa terutama aku dan adik-adik. Aku pitam kerana ibu menghembuskan nafasnya terakhir di atas ribaku sendiri, di depan mataku sendiri. Tak mungkin aku lupa sepanjang hidupku. Berakhirlah seksaannya di dunia ini. Namun pemergiannya aman dan tenang. Lebih seminggu perasaan aku terganggu. Dua hari selepas ibu pergi aku akan mendaftar di sekolah baruku. Yelah, umurku baru 13 tahun dan baru memasuki sekolah menengah. Aku mendapat tawaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P), Kangar Perlis. Aku beruntung, sekolah baruku ada asrama dan aku menetap di situ. Cumanya aku kesian adik-adikku. Hidup terumbang ambing. Kakak sepupu mengambil adikku yang
keempat tinggal bersamanya. Adikku yang ketiga tingga bersama datuk dan nenek aku. Adikku yang kedua menyambung pelajaran di sekolah pondok di Pasir Mas Kelantan.
1997 Satu cabaran buatku, dan semakin besar tanggungjawab aku kerana aku perlu menjadi contoh dan kakak terbaik buat adik-adikku. Kini tiga tahun aku berada di sini. Alhamdulillah sepanjang hidup aku selepas ibu tiada, banyak pertolongan Allah datang padaku. Aku diambil sebagai anak angkat oleh ketua warden asramaku. Aku juga diberi biasiswa. Malah masa belajar banyak dibantu oleh Ummi, gelaran ibu angkatku memandangkan aku akan menduduki PMR pada tahun ini. Kadangkala jiwa aku tertekan juga kerana aku sering teringatkan adik-adik. Aku juga tidak dapat menerima kehadiran ibu baruku selepas abah berkahwin lain. Susah aku hendak menerimanya kerana sering teringatkan ibu. Mungkin kerana ibulah orang yang paling rapat denganku. Kerana sikapku itu abah bercerai dengannya. Aku dipersalahkan dalam hal ini. Malah aku ditegur sebagai anak aku perlu memahami perasaaan seorang lelaki kerana dia juga memerlukan perhatian. Aku cuba berubah sikapku yang agak kerasa kepala dan cuba memahami abah. Salahku juga terlalu ikutkan perasaan. Aku tak nak kehilangan abah dan aku tahu abah tetap menyayangi kami semua. Takku duga juga, aku mendapat tahu abah berkahwin dengan perempuan di tempat kelahiran abah. Abah buat keputusan menetap di sana. Sikapku tidak seperti sebelum ini dan aku cuba menerima makcik baruku itu. Biarlah hal abah aku tidak masuk campur asalkan abah bahagia. Percubaan PMR teruk. Ummi cuba membantuku menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran kerana katanya dia tahu aku boleh berjaya. Semangat aku bertambah
untuk berjaya dalam PMR. Alhamdulillah, berkat dorongan ummi aku yakin dengan usahaku ketika aku menjawab peperiksaan. Dua bulan telah pun berlalu. Ketika keputusan peperiksaan diumumkan aku hanya menjangka 5A sahaja aku dapat. Tapi amat tidakku duga aku tercatat antara pelajar terbaik di sekolah, di mana keputusanku 8A 1B. Menitis air mataku kerana orang pertama yang paling aku ingati waktu itu ialah ibu. Aku tidak dapat berkongsi kegembiraan bersama ibu kerana aku berjaya ketika ibu sudah tiada. Aku ingin ibu orang pertama yang melihat keputusanku. Namun begitu aku harus terima hakikat ibu telah tiada di dunia. Ummilah orang yang paling gembira kerana tidak sia-sialah usahanya membantu aku selama ini. Aku amat bersyukur. Keluargaku turut gembira melihat aku berjaya. Aku mendapat tawaran di sebuah sekolah berasrama penuh
1998 Aku kini bernekad untuk lebih berjaya mencapai cita-citaku kerana aku tahu aku dapat melakukannya. Abah amat berbangga denganku. Aku menerima tawaran MRSM Beseri Perlis dalam aliran sains. Aku bukan ingin berbangga dengan apa yang Allah anugerah kepadaku tetapi sekurang-kurangnya menjadi pendorong kepada adik-adikku untuk berjaya. Tambahan pulu aku anak sulung dalam keluarga tentulah aku perlu menjadi contoh kepada adik-adik. Adikku yang ketiga muda empat tahun dariku. Aku amat menyayanginya. Dia tinggal bersama datuk dan nenek dan dialah yang menjaga mereka di rumah. Tahu-tahu sajalah, datuk dan nenek semakin uzur. Kalaulah ibu ada lagi di dunia ini tentu adik-adik dididik sebaik-baiknya. Aku pun tidak dapat memikul
tanggungjawab itu. Cumanya sebagai kakak aku sering mengingatkan dia utamakan pelajaran. Allah mengujiku lagi, nenekku meninggal dunia pada 16 September tanpa sakit tanpa demam. Ajal maut tidak kita duga, bila-bila boleh terjadi. Allah lebih menyayangi nenek. Kehilangannya juga amat terasa. Tidak tahu bagaiman perasaanku pada ketika itu. Kesian adik, kini tinggal dia dan datuk. Sejak itu tiap-tiap minggu aku balik ke rumah supaya adikku tidak terasa diabaikan.
1999 Aku menduduki SPM tahun ini. Persaingan dalam belajar berkobar-kobar untuk aku berjaya. Kawan-kawan amat memahamiku dan sering membantuku ketika aku dalam kesusahan. Duit tidak menjadi masalah buatku kerana aku mendapat bantuan MARA tiap-tiap bulan. Kenangan bersama rakan-rakan mungkin tak dapat kulupakan. Hanya kawan-kawan sahaja tempat aku menumpang kasih ketika berjauhan dengan keluarga.
2000 Keputusan peperiksaan sudah keluar. Tidak sia-sia usahaku selama ini. Aku berjaya mendapat 8 agregat dalam SPM. Aku menerima tawaran pertama untuk menyambung pelajaran di Universiti Multimedia di mana sebelum ini dikenali sebagai Universiti Telekom di Ayer Keroh Melaka. Tentulah kalian tahu, bukanlah sama seperti IPTA. Universiti Multimedia atau MMU sebuah IPT swasta. Aku mendapat tawaran dalam bidang teknologi maklumat selama empat tahun. Aku mendapat tawaran pinjawan RM 16,000 setahun. Walaupun bidang ini cukup diminati ramai, tetapi aku bukanlah salah seorang antara mereka. Aku lebih meminati tentang hardware komputer bukan software
yang memerlukan ingatan yang kuat itu aku belajar. Mungkin belajar untuk menuntut ilmu. Barulah aku menyesal kerana menolak tawaran matrik di IPTA. Pelajaranku terumbang ambing. Aku cuba mengisi semula borang UPU tanpa pengetahuan keluargaku dan rakan-rakan. Aku rasa tidak dapat bertahan lama di MMU. Malah aku tidak tahan dengan pinjaman yang terlalu tinggi. Mungkin tahun pertama aku boleh bertahan, cumanya aku takut selepas tahun pertama yuran semakin tinggi dan tidak mencukupi untuk membiayai pengajianku. Aku bukanlah orang senang, lagipun keluarga tidak memahami tentang yuran pengajian yang tinggi di IPT swasta. Mereka menyangka aku terlalu boros dan berbohong kerana sering meminta wang untuk membayar yuran asrama. Sedangkan mereka tidak tahu selama ini wang pengajianku turut aku berikan kepada adik-adikku. Walaupun harapan tidaklah terlalu tinggi ketika mengisi borang UPU sekali lagi, namun aku ingin mencuba sekirannya rezeki menyebelahiku aku bernekad untuk berhenti belajar dari MMU. Semangatku berkobar-kobar untuk keluar dari MMU, kejadian yang tak ku duga datukku pula pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya seminggu selepas aidilfitri. Aku sudah hilang tempat mengadu dan yang paling aku simpati ialah adikku. Kesian adik. Akhirnya adikku yang ketiga tinggal bersama bapa saudaraku iaitu abang kepada arwah ibu.
2001 Pertengah bulan lima, aku terima surat tawaran daripada Universiti Teknologi Malaysia bercampus di Skudai Johor. Syukur alhamdulillah, tidak sia-sia doaku selama ini aku berjaya memohon untuk ke IPTA. Kursus yang ditawarkan ialah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik Mekatronik. Aku sudah bernekad berhenti dari MMU. Aku
berhadapan dengan keluargaku untuk menerangkan perkara yang sebrnar, sekurangkurangnya tindakanku betul dan aku tidak mahu membebankan keluarga. Urusan kewangan dan perbelanjaan pengajianku dan adik-adik, sebelum ini Pak Ngah aku yang mengurusnya. Aku pun turut bersimpati padanya walaupun aku tahu itu harta kami adik beradik. Walaupun sayang untuk meninggalkan MMU sekurang-kurangnya aku belajar banyak benda mengenai teknologi maklumat. Tentulah IPT swasta lebih hebat dari IPTA kerana kemudahan lebih banyak dan pelajar lebih banyak didedahkan secara praktikal dalam pembelajaran. Aku tidak menyesal sekiranya aku terlewat setahun daripada rakan-rakanku yang lain. Kejutan juga buatku di IPTA kerana aku akan berhadapan dengan situasi yang berbeza di mana sebahagian batch aku ketika itu muda setahun dari aku. Alhamdulillah, sedaya upaya aku cuba yang terbaik dan ingin belajar dari kesilapan yang lalu. Memang berbeza ketika di IPTS kerana di sana nisbah pelajar melayu amat sedikit berbanding IPTA. Malah di IPTA aku lebih didedahkan pelbagai ilmiah yang perlu dijadikan amalan sebagai pelajar di perantauan. Bila disebut bidang kejuruteraan tentu kaum lelaki yang lebih layak menceburinya. Aku pernah mendapat tentangan keluarga sebelum aku masuk di UTM. Yelah, aku ni perempuan..mereka tidak berkeyakinan pada aku untuk menceburi bidang ini. Lagipun mereka memberi pandangan kesannya pada masa hadapan. Aku tidak ada pilihan walaupun bidang ini bukan pilihan aku ketika mengisi borang UPU tempoh hari. Aku pun heran bagaiman kementrian boleh meletak nama aku dalam kursus ini sedangkan aku tidak memilihnya. Aku tahu, keluarga juga tidak mahu aku menghadapi masalah ketika belajar nanti. Alhamdulillah dua semester berlalu aku bahagia dan
tenang belajar di sini. Aku bukan nak berbangga dengan bidangku ini kerana aku tahu kemampuan aku. Aku berpuas hati dengan keputusan peperiksaan walaupun aku bukan tergolong pelajar terbaik. Keluarga aku pun dapat menerima aku. Aku berangan-angan kalau ada rezeki habis pengajianku ini aku ingin menyambung lagi pelajaran dalam bidang lain ataupun ke peringkat yang lebih tinggi. Aku amat memcintai ilmu terutama bidang psikologi dan astronomi. Aku sentiasa mendapat maklumat dan perkembangan terkini melalui internet atau rujukan-rujukan. Mungkin sekadar ingin mendalami ilmu ini untuk pengetahuan. Kalau diberi peluang aku ingin mendalami ilmu ini. Bidang kejuruteraan cabangnya juga luas. Malah bidang teknologi maklumat atau IT adalah salah satu cabang kejuruteraan. Contoh lain ialah astronomi (space) juga salah satu bidang kejuruteraan. Tidak semestinya mengambil kursus ini keluar nanti akan menjadi jurutera. Betul tak?
2002 Sekarang aku dalam tahun dua kursus ini. Memang tidak dinafikan bukan mudah untuk mencapai sesuatu yang kita impikan. Kepayahan dana kesusahan tidak bermakna kita gagal. Aku pun nak berjaya seperti sepupu-sepupuku dan saudaraku yang lain. Mereka boleh buat kenapa aku tidak. Kata-kata arwah ibu banyak memberi semangat padaku untuk berjaya. Belajar buka setakat nak berjaya tetapi biarlah ilmu kita itu berkat di dunia dan akhirat. Aku tak lupa semua tu. Abah juga sentiasa memberi dorongan pada aku dan adik-adik walaupun abah kini mempunyai keluarga sendiri. Tentulah tanggungjawabnya semakin bertambah, sekurang-kurangnya abah tetap bertanya khabar kami adik-beradik. Bila difikirkan semula, betapa tidak matangnya aku
suatu masa dulu kerana menghalang abah berkahwin lain. Lelakikan boleh berkahwin empat. Barulah aku faham dan sentiasa mendoakan abah bahagia. Abah siapa yang tak nak melihat anaknya berjaya? Betapa bodohnya aku pada ketika itu kerana terlalu ikutkan perasaan aku. Kalaulah sikap aku tidak berubah tentulah aku tidak berada di sini. Ya Allah, bersyukur apa yang dikurniakanNya. Tahun 2002 semakin berlalu, banyak perkara aku perlu berubah. Aku ni bukanlah baik sangat. Biasalah nakal-nakal, tetapi nakal-nakal aku pun ramai peminat (tergelak). Aku bergurau saja. Hubungan aku dengan rakan-rakan amat aku jaga, aku tidak mahu kehilangan mereka. Tambah-tambah belajar jauh ini dengan kawan-kawan saja boleh tumpang kasih dan berkongsi masalah.
2003 Hari ini 1 Januari 2003 bermakna aku melangkah ke tahun baru dan perlu azam baru untuk aku lebih bersemangat untuk berjaya. Jangan lupa juga aku dah masuk 21 tahun. Umur pun semakin tua, tetapi perangai macam budak-budak. Jadi di tahun baru ni aku perlu lebih matang tambahan aku anak sulung perlu menjadi contoh buat adikadik tersayang. Sudah tentu aku tak akan lupa tanggungjawab dan perananku sebagai anak sulung dan aku sanggup korban kebahagianku demi adik-adikku tersayang. Walaupun kami terpisah jauh hubungan aku dan adik-adik tetap aku jaga. Aku tak mahu mereka rasa terpinggir dan disisih. Biarlah kepayahan aku lalui bukan adik-adikku kerana amanah ibuku supaya menjaga adik-adikku sehingga mereka berjaya. Aku berharap tahun ini lebih menyinari hidupku dari tahun-tahun sebelumnya. Amin