RA S A KE H A M B A A N " R A S A K E H A M B A A N S A N G AT M A K N AW I . B E R S I FAT K E J I WA A N YA N G S A N G AT S E N I . TA H U D I R I H A M B A B E L U M M E M A D A I . D I R I M E R A S A H A M B A . . . . . I T U L A H YA N G D I C A R I "
CONTOH SIFAT-SIFAT MAHMUDAH: 1. Sifat kasih sayang Dengan pandangan mata hati (mata roh) kita akan dapat mengesan adanya benih kasih sayang dalam hati. Ia adalah fitrah semula jadi yang murni. Yakni hati terasa terhutang budi kepada orang yang membantu atau berjasa kepada kita. Mengikut istilah syariat dikatakan rasa syukur atau rasa hendak balas budi. Ini sifat baik (positif). Apabila didapati ada sifat-sifat ini dalam hati hendaklah disuburkan, dipertajamkan dan dikekalkan serta dilaksanakan supaya kita jadi orang yang berterima kasih pada manusia. Lebih-lebih lagi bersyukur kepada Allah kerana nikmat-Nya yang tidak pernah putus-putus. Rasa kasih sayang ini diperintahkan oleh Allah dan Rasul. Rasulullah bersabda: Maksudnya: “Barang siapa yang tidak mengasihi sesama manusia maka dia tidak dikasihi Allah.” (Riwayat Tirmizi) Hadis ini menyuruh kita untuk berkasih sayang. Ia mendorong kita untuk saling mengasihi antara manusia dan makhluk Allah yang lain. Suburkan dan tajamkan lagi sehingga matang bersama matangnya jasad lahir kita. Lakukan bermacam-macam cara untuk suburkan sifat kasih sayang ini.
2. Rasa simpati, timbang rasa atau tolak ansur Benih rasa simpati atau timbang rasa ini dapat dikesan ada dalam hati bila berhadapan dengan orang yang mendapat kesusahan. Walaupun kita tidak dapat menolong dan membantunya tetapi secara automatik timbul rasa belas kasihan atau simpati itu. Setelah dikesan didapati ada sifat baik ini maka mestilah disuburkan dan dikekalkan. Ini supaya mendorong kita menolong orang yang susah atau sanggup bersusah payah untuk berkhidmat dan berbakti pada orang lain. Syariat juga menyuruh kita bersimpati atau bertimbang rasa atau bertolak ansur pada orang. Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Sebaik-baik manusia ialah manusia yang dapat memberi manfaat kepada manusia lain.” (Riwayat Qudha’i dari Jabir) 3. Rasa malu Benih rasa malu dapat dikesan wujudnya dalam hati, lebih-lebih lagi bila kita berbuat salah. Rasa malu bila orang lain tahu. Ini mesti disuburkan supaya dapat membendung kita daripada berbuat salah, sekalipun kesalahan-kesalahan dosa kecil, apatah lagi dosa besar. Ini juga mendorong kita segera bertaubat apabila bersalah. Seterusnya ia akan menyuburkan sifat jujur (berlaku benar), ikhlas dan amanah terhadap Allah dan Rasul serta manusia seluruhnya. 4. Rasa sukakan ilmu pengetahuan Benih rasa sukakan ilmu pengetahuan dapat dikesan ada dalam hati bila ada perasaan ingin tahu, ingin pandai, ingin menyiasat, ingin memiliki ilmu sepertimana orang yang sudah ada ilmu, ingin amalkan, ingin membaca, mengkaji, menilai dan prihatin pada satu-satu perkara atau ingin mencari pengalaman sebanyakbanyaknya. Bila didapati benih sifat baik ini ada dalam hati maka suburkan dan dorong lagi supaya kecintaan kepada ilmu bertambah. Ini bersesuaian dengan perintah Allah dan Rasul-Nya. Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.” Maksudnya: “Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China,
menuntut ilmu itu wajib bagi setiap orang Islam.” (Riwayat Ibnu Abdul Bar dari Anas) Bertambahnya ilmu dan pengetahuan memberi kesan lahiriah yang baik pada akhlak dan perbuatan seseorang itu seperti berani, pandai, berwibawa, cakapnya bernas, hidup tidak buntu, kreatif dan lain-lain lagi. Perlu diingat bahawa sifat-sifat yang baik yang disebut di atas tadi dan banyak lagi sifat-sifat mahmudah lainnya itu, ia wujud bersama dengan jasad lahir. Rasa-rasa itu semuanya tidak perlu dipelajari dan tidak ada guru yang mengajarinya. Ia adalah perasaan semula jadi yang murni yang ada dalam hati. Cuma waktu kecil ia tidak subur. Tetapi ia ikut dewasa bersama dewasanya tubuh kasar. Benih-benih sifat-sifat mahmudah tersebut mesti dikenal pasti dengan menggunakan teropong mata hati serta dibantu oleh ilmunya. Kemudian sifat-sifat baik ini hendaklah disuburkan, dipertajamkan dan didorong lagi supaya kita dapat mengekalkan sifat-sifat mahmudah itu dalam diri. Dengan itu lahirlah akhlak-akhlak yang baik, tindakan-tindakan yang mulia dan perbuatan-perbuatan yang terpuji dalam kehidupan kita.
RA S A KE H A M B A A N
" R A S A K E H A M B A A N S A N G AT M A K N AW I . B E R S I FAT K E J I WA A N YA N G S A N G AT S E N I . TA H U D I R I H A M B A B E L U M M E M A D A I . D I R I M E R A S A H A M B A . . . . . I T U L A H YA N G D I C A R I "
CONTOH SIFAT-SIFAT MAZMUMAH: 1. Rasa tidak senang (berdendam) Benih-benih mazmumah rasa tidak senang atau tidak redha atau berdendam dapat dikesan ada dalam hati di waktu kita diuji atau ditimpa bala. Sama ada ujian-ujian itu berbentuk lahiriah atau maknawiah (batiniah). Umpamanya: a. Terasa tidak senang bila dikata nista, dihina, diumpat, difitnah. Hati rasa marah, rasa dendam, rasa ingin hinakan orang itu semula. Ini sangat merbahaya. Boleh mencetuskan pecah ukhwah, pecah belah, huru-hara dan pergaduhan dalam masyarakat. b. Terasa tidak senang atau menderita bila tidak ada duit, tidak ada pangkat atau harta. c. Terasa tidak senang bila diuji dengan sakit atau kematian orang yang dikasihi. d. Terasa tidak senang atau kecewa apabila orang-orang yang dikasihi membuat ragam atau tidak bertanggungjawab. Terasa tidak senang atau tidak redha dengan takdir Allah. Ini dapat dikesan bila kehendak-kehendak atau hajat-hajat hati tidak tercapai. Katalah kita hendak begian, dapat begian. Hendak banyak, dapat sikit. Hendak pandai, tidak pandai-pandai juga. Hendak pangkat, jawatan, pujian tapi tidak dapat-dapat. Barangkali kalau didorong sifat keji ini akan timbul bimbang terhadap masa depan. Hati makin susah sebelum susah yang sebenarnya menimpa. Misalnya hati merasa, “Bagaimana nanti kalau aku sakit? Bagaimana kalau aku miskin? Kalau aku tak kahwin? Kalau aku tak dapat anak? Kalau aku tak ada rumah? Kalau tak ada kebun selepas pencen? Dan macam-macam hajat yang tak tercapai.” Bila rasa tidak senang ini disuburkan, ia boleh membawa kepada iri hati atau hasad dengki pada orang lain. Dia tidak akan senang melihat ada orang yang dapat lebih nikmat atau lebih senang daripadanya. Setelah dikesan adanya rasa tidak senang atau tidak redha dengan ketentuan Allah ini mestilah dikikisbuangkan, ditumpas dan dicabut. Jika sifat-sifat ini tidak dibuang dan dibendung sebaliknya disuburkan, ia akan jadi lebih parah lagi. Dia sentiasa
keluh-kesah atau gelisah bila berhadapan dengan sebarang ujian atau kesusahan. Ia menjadi seorang yang pemarah, pendendam, tidak senang dan putus asa hingga timbul akhlak-akhlak yang buruk atau perbuatan-perbuatan atau tindakan-tindakan yang buruk yang merosakkan dirinya dan masyarakat. Maka hilanglah kebahagiaan hidup. Sebab itu dalam Islam disuruh redha dengan ketentuan Allah. Sifat tidak redha ini sangat dibenci Allah dan Rasul serta seluruh manusia. Untuk membendungnya ingatlah perintah-perintah Allah SWT Firman-Nya dalam Al Quran: Maksudnya: “Hendaklah kamu katakan semua itu datang daripada Allah.” (An Nisaa’: 78) Maksudnya: “Janganlah kamu berputus asa daripada nikmat Allah.” (Yusuf: 87) Ingatlah setiap perkara yang berlaku sama ada baik atau buruk, hakikatnya daripada Allah. Ia ada hikmahnya yang tersendiri, yang tersembunyi, untuk kebaikan dan manfaatnya pada diri kita kalau kita pandai menerimanya. Sebenarnya ada rahsia yang kita tidak tahu. Mungkin kalau kita dapat apa yang kita kehendaki, kita tidak bersyukur. Tentulah ini berdosa. Boleh jadi ada orang lain pula yang hasad dengki dengan apa yang kita dapat itu. Bukankah itu membahayakan diri kita? Kalau kita sedar hakikat ini tentulah kita rasa bertuah dengan apa yang ada atau apa yang Allah berikan. Walaupun tidak memenuhi hajat kita namun tidaklah sampai rasa tidak senang, yang mana bererti kita tidak senang dengan Allah, Tuhan yang Maha Adil itu. Bila rasa tidak senang ertinya kita kufur dengan nikmat. Itulah penzaliman terhadap diri yang kita lakukan setiap saat. Oleh itu sifat keji ini hendaklah dikikisbuangkan. Kalau tidak, ia akan menjadi dosa dan menerjunkan kita ke Neraka, wal’iyazubillah. 2. Rasa ujub Benih rasa ujub ini dapat dikesan bila kita dapat nikmat lebih sama ada lebih ilmu, lebih pangkat, lebih harta, lebih cantik, lebih pandai, lebih bijak dan lain-lain kelebihan lagi. Waktu itu hati terasa istimewa, terasa hairankan diri. Bila didorong lagi sifat keji ini akan menjadi sifat riyak. Yakni timbul rasa ingin menunjuk-nunjuk. Seterusnya bila disuburkan lagi berubah kepada sifat keji yang lain pula iaitu sifat sombong. Yakni rasa bermegah-megah, rasa diri superman atau superwoman, rasa hebat diri dan suka menghina orang lain.
Sifat keji ini bila didapati wujud dalam hati, maka mestilah ditumpaskan dan dikikisbuangkan melalui proses mujahadatunnafsi. Ini kerana sifat sombong atau takabur atau membesarkan diri sangat dimurkai Allah. Yang mana ia merupakan pakaian Allah SWT yang tidak dibolehkan bersekutu pada mana-mana makhluk-Nya. Sombong ini boleh menimbulkan hilang ukhwah, hilang kasih sayang dan benci-membenci. Akhirnya bergaduh dan timbul perpecahan, krisis, tegang dan jatuh-menjatuhkan. Masyarakat jadi haru-biru dan porak-peranda serta hilang kebahagiaan dan keamanan. 3. Rasa tamak atau bakhil Benih rasa tamak ini dapat dikesan ada di hati bila kita melihat atau ternampak nikmat. Waktu itu rasa hendak memiliki nikmat itu untuk jadi hak milik sendiri. Iri hati kalau nikmat itu dipunyai oleh orang lain. Rasa tamak dan haloba menyerang hati. Walau apa cara sekalipun dia akan usahakan untuk memilikinya tanpa mengira halal atau haram. Rasa hati di waktu itu rakus, gelojoh dan ganas. Dia tidak peduli sama ada menyusahkan orang lain atau tidak. Melanggar hak asasi kemanusiaan atau tidak. Pokoknya dia dapat walau apa cara sekalipun. Sifat keji ini tersangat merbahaya. Ia boleh bertindak merampas, menipu, mencuri, merompak, rasuah, merogol, berzina, bergaduh dan akhirnya berperang. Penyakit ini perlu ditumpaskan dari awal lagi. Bila dikesan ada rasa tamak, ia hendaklah ditumpaskan dan dikikisbuangkan melalui proses mujahadatunnafsi. Ia sangat dibenci dan menjadi musuh Allah dan Rasul-Nya serta seluruh manusia. Kemudaratannya bukan setakat di dunia bahkan di Akhirat akan dicampak ke Neraka, wal’iyazubillah. 4. Rasa takut Benih rasa takut dapat dikesan wujud dalam hati bila berhadapan dengan makhluk yang lebih berkuasa, lebih kaya, lebih berpangkat, lebih berpengaruh atau yang berbudi padanya dan lain-lain lagi. Boleh jadi rasa takut ini juga disebabkan oleh inferiority complex dengan makhluk. Bila takut menguasai diri, dia akan hilang kebebasan dan kemerdekaan diri. Kalau disuburkan rasa takut ini, tanpa sedar dia akan menganggap makhluk lebih berkuasa daripada Tuhan. Terjebak dengan mentuhankan makhluk tanpa sedar. Ini termasuk syirik khafi. Sifat keji ini tersangat merbahaya. Ia mengakibatkan
orang ini sanggup melanggar syariat Allah dan Rasul serta menafikan kuasa Allah. Walaupun mulutnya mengatakan Allah-lah yang berkuasa tetapi pada realitinya makhluklah tempat dia rujuk, patuhi, taati dan takuti. Ertinya, dia sudah mentuhankan makhluk atau mentuhankan manusia. Contohnya, dia sembahyang, puasa, naik haji tetapi tunduk dengan ‘tuan’nya bila disuruh jual atau beli atau minum arak. Katalah dia tidak minum arak, cuma jual atau beli arak, tetapi kerana ‘tuan’nya memberinya gaji, maka dia taat dan patuh. Walhal dia tahu perbuatan ini jelas melanggar syariat Allah. Ertinya dia lebih takutkan arahan manusia melebihi suruhan Allah SWT. Oleh itu sifat keji ini hendaklah dihapus dan ditumpaskan daripada bersarang di hati kita. Kalau perkara ini tidak dikaji dan diteliti, sudah tentu tidak diketahui. Kikiskanlah dengan menanam rasa takut hanya pada Allah. Rasakanlah Allah Maha Berkuasa, Maha Besar dan Allah-lah Maha Kuat dan Maha Gagah daripada segala-galanya. Semua makhluk ini sama-sama lemah di sisi Tuhan yang Maha Perkasa itu. Kalaupun makhluk itu kuat atau berkuasa, hanya kerana dia diberi nikmat yang lebih sedikit saja daripada orang lain. Tetapi dia tetap lemah dan tetap dalam kuasa Tuhan yang Maha Berkuasa. Allah telah mendidik kita agar hanya pada-Nya kita wajib takut dan menghinakan diri. Ini kerana Allah-lah yang Maha Mencipta, Maha Menganugerah, Maha Pemberi, Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Allah-lah yang mengadakan dan mentiadakan sesuatu. Allah-lah yang menentukan nasib makhluk. Allah-lah yang muassir (memberi bekas). Selain-Nya semuanya tidak lebih gagah, tidak lebih besar dan tidak memberi bekas apa-apa. Walaupun makhluk itu lahirnya kita nampak besar dan hebat, gagah dan berkuasa tapi hakikatnya semua makhluk itu tetap dalam genggaman Allah SWT. Hanya empat sifat mazmumah saja yang kita kaji secara terperinci di sini, yang merupakan sebahagian daripada sifatsifat mazmumah yang banyak itu. Perlu diingat juga bahawa sifat-sifat yang jahat ini semuanya sudah wujud bersama lahirnya tubuh kasar. Rasa-rasa itu tidak perlu dipelajari dan tidak ada guru yang mengajarinya. Cuma waktu kecil ia tidak subur. Tetapi ia ikut dewasa bersama dewasanya tubuh kasar. Oleh itu benih-benih sifat mazmumah dalam hati ini mesti dikenal pasti di awal-awal lagi. Dengan menggunakan teropong mata hati dengan dibantu oleh ilmunya, sifat-sifat jahat ini mesti ditumpaskan dan dikikisbuangkan
melalui proses mujahadatunnafsi (yang akan kita bincangkan dalam bab akan datang). Barulah sifat mazmumah ini dapat dikekang dan dikosongkan, yang akhirnya sifat mahmudah dapat diisi dalam hati. Di sinilah pentingnya mengkaji dan mengesan sifat-sifat roh (hati). Supaya setelah kedua-duanya dikesan, yang mahmudahnya dapat disuburkan dan yang mazmumahnya dapat dihapuskan. Barulah manusia itu kembali kepada hakikat dirinya. Yakni hakikat manusia itu sendiri. Ini kerana nilai diri manusia itu adalah pada sifat roh (hati)nya. Ia jadi penentu yang mencorak kehidupannya dan manusia seluruhnya. Roh ini dikekalkan untuk ditanya dan dipertanggungjawabkan di Akhirat nanti. Roh inilah yang mukalaf. Ia yang akan merasai nikmat atau azab. Roh inilah juga yang akan ke Syurga atau ke Neraka. Senarai Nilai-Nilai Murni/ Sifat-Sifat Mahmudah 1.0 HIKMAH Berpengetahuan luas dan bijaksana bertindak berlandaskan Al-Quran, Al-Sunnah dan alam Syahadah' serta dapat memberi alasan yang munasabah dan bukti yang sesuai. 1.1 Rasional Boleh berfikir berdasarkan alasan dan bukti yang nyata, mampu membuat pertimbangan, keputusan dan tindakan dengan cepat dan tepat berlandaskan ilmu naqli dan aqli. 1.2 Celik akal Pintar, cerdas dan berkemampuan memahami serta manaakul sesuatu dengan cepat dan tepat. 1.3 Maarifah Pengetahuan yakin dan pengalaman yang membolehkan sesaorang menjelas dan mengamalkan prinsip dan asas-asas Islam. 1.4 Bercakap benar Melahirkan kata-kata yang bernas, betul, dan jitu serta bertepatan dengan prinsip-prinsip Islam secara berhikmah untuk faedah semua. 1.5 Menegakkan kebenaran
Yakin dan berpegang teguh kepada kebenaran serta sentiasa menegakkan kebenaran dengan hikmah. 1.6 Kesyukuran Perasaan, ucapan dan perlakuan yang dilahirkan dengan ikhlas terhadap segala nikmat kurniaan Allah S.W.T, sabar dan redha menerima ketentuan dan dugaanNya' serta berterima kasih terhadap sumbangan dan khidmat bakti yang diperolehi. 1.7 Takutkan Allah S.W.T. Perasaan takut dan kagum akan kehebatan Allah S.W.T. yang mendorong sesaorang melakukan ketaatan dan meninggalkan larangannya. 1.8 Kerajinan Usaha berterusan dengan penuh semangat ketekunan, kecekalan, kegigihan, dedikasi dan daya usaha dalam melakukan sesuatu perkara untuk mencapai kecemerlangan. 1.9 Prihatin Peka terhadap isu-isu sosial dalam masyarakat, menyedari masalah masyarakatk dan sedia berusaha menyelesaikannya. 1.10 Berketerampilan Mempunyai kemahiran yang menyeluruh dalam berbagai-bagai bidang khasnya kebolehan berfikir, kemahiran belajar dan merekacipta.
2.0 'ADAALAH Keadaan di mana sesuatu perkara itu diletakkan di tempatnya yang sebenar mengikut syariah Islamiah. 2.1 Kasih sayang Perasaan cinta, kasih dan sayang yang mendalam serta berkekalan, lahir daripada hati yang rela terhadap sesuatu berteraskan prinsip Islam. 2.2 Silaturrahim Jalinan persaudaraan menghubungkan kaksih sayang berdasarkan pertalian nasab, musaharah, keagamaan, kejiranan dan kemanusiaan.
2.3 Berterima kasih Pengiktirafan, penghargaan dan ganjaran yang diberikan sebagai mengenang dan membalas sesuatu sumbangan dan jasa. 2.4 Baik pertimbangan Membuat pertimbangan yang wajar untuk menghasilkan keputusan saksama serta tidak menimbulkan sebarang penyesalan dan ungkitan. 2.5 Toleransi Sanggup bertolak ansur, sabar dan dapat mengawal diri bagi mengelakkan berlakunya perselisehan dan pertelingkahan. Saling bermaafan Sanggup meminta dan memberi maaf bahkan membalas keburukan dengan kebaikan. Bermarwah Menghiasi diri dengan budipekerti yang mulia melalui tuturkata' tingkah laku, pakaian dan pergaulan. Ibadah Mengabdikan diri kepada Allah S.W.T dengan cara menjunjung segala perintah dan menjauhi laranganNya. Sensitif kepada kezaliman Sanggup tampil membela makhluk yang dihina, teraniaya dan dizalimi. Kejujuran Sikap dan perlakuan yang menunjukkan niat yang baik, amanah dan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan. Kerjasama Usaha yang baik dan membina yang dilakukan oleh individu pada peringkat keluarga, komuniti dan masyarakat untuk menegakkan yang maaruf dan mencegah yang mungkar. Semangat bermasyarakat Kesediaan melakukan sesuatu dengan semangat kekitaan untuk kepentingan bersama bagi mewujudkakn keharmonian hidup bermasyarakat.
Bermuafakat Mengutamakan persetujuan dan kerjasama dalam sesuatu pekerjaan yang baik. IFFAH Mengawal nafsu daripada perkara-perkara yang haram dan syubhah, supaya ianya terdidik ke arah melaksanakan perkara-perkara yang ma'arof serta sentiasa tunduk kepada petunjuk akal dan syarak. 3.1 Malu Perasaan 'aib, hina dan rendah diri kepada Allah S.W.T., manusia dan diri sendiri kerana membuat sesuatu yang keji dan dilarang Allah. 3.2 Kesopanan Bersikap tenang, berbudi bahasa, berbudi pekerti dan bersopan santun dalam pergaulan. 3.3 Sabah Tenang, tabah, redha dan ikhlas dalam menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan serta sentiasa berusaha mengatasinya. 3.4 Baik hati Sentiasa mengambil berat tentang kebajikan orang lain dan memahami perasaan mereka secara tulus ikhlas dan ihsan. 3.5 Murah hati Sedia memberi bantuan seca ikhlas dan ihsan kepada mereka yang memerlukan sama ada dalam bentuk kebendaan dan sokongan moral. 3.6 Kebebasan Merasa tidak terkongkong melakukan sesuatu dengan penuh tanggungjawab berdasarkan peraturan syarak, norma masyarakat dan undang-undang negara. 3.7 Qana'ah Redha dengan ketentuan Allah S.W.T., tenang menghadapi cabaran, sentiasa berusaha, dan tidak mudah berputus asa.
3.8 Berdisplin Mengenal diri dengan cara menerima dan mematuhi peraturan dan undangundang yang telah ditentukan tanpa mengira di mana ia berada. 3.9 Daya usaha Berusaha untuk menyempurnakan diri dengan penuh azam dan semangat inisiatif, keriatif dan inovatif berlandaskan petunjuk Allah S.W.T. 3.10 Sejahtera Jiwa yang tenteram dan tenang serta tidak menyakiti orang lain hasil daripada keupayaan mengawal hawa nafsu. 3.11 Wara' Menjauhkan diri daripada perkara-perkara syubhah, haram dan beriltizam melakukan kerja-kerja yang baik. 3.12 Wasatiyah Sikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan sama ada dalam pemikirian, peraturan atau perlakuan supaya sesuai dengan agama, norma dan nilai masyarakat. 3.13 Kebersihan Menjaga kebersihan rohani, jasmani dan mental serta alam sekitar bagi menjamin kesejahteraan hidup. a. Kebersihan diri Kebersihan diri dan tubuh badan daripada hadas, kekotoran dan najis untuk menjamin kesejahteraan hidup dan amal ibadat diterima Allah S.W.T. b. Kebersihan persekitaran Memelihara alam sekeliling supaya rapi dan bebas daripada kekotoran dan pencemaran. c. Kebersihan mental Pertuturan dan perlakuan yang terpuji yang perlu diamalkan oleh seseorang dalam hubungannya dengan orang lain.
d. Kebersihan rohani Pemikiran, pertuturan dan perlakuan serta amalan yang bersih dari sebarang kepercayaan karut dan khurafat terhadap Allah S.W.T. 3.14 Menghargai masa Mengisi masa secara berfaedah dengan menepati waktu dan menyegerakan sesuatu tugasan. a. Menepati waktu Melakukan sesuatu tepat pada waktunya atau selaras dengan jadual yang ditetapkan. b. Bijak mengurus masa Tahu menyusun kerja mengikut keutamaan dan keperluan serta melaksanakannya dengan cepat dan tepat. 3.15 Dedikasi Berminat dan rela mengorbankkan masa dan tenaga dalam melakukan sesuatu perkara yang berfaedah. 4.0 SYAJAAH Sanggup berjuang dengan penuh kesabaran mempertahankan agama, diri, akal, keturunan, harta benda, negara, maarwah dengan kekuatan fikiran, harta benda, tenaga dan jiwa. 4.1 Berjiwa besar Sentiasa meningkatkan kebolehan diri, berwawasan, sanggup menghadapi resiko dan bersedia memikul tanggungjawab dengan tabah dan yakin. 4.2 Yakin diri Kemampuan menghadapi dan menyelesaikan masalah serta boleh menjelaskan prinsip dan asas-asas dalam perkara yang berkaitan dengan syariat Islam berdasarkan dalil naqli dan aqli. 4.3 Hemah tinggi Sentiasa bersedia melakukan segala amalan yang baik dengan penuh iltizam dan ikhlas ke
arah kecemerlangan walaupun terpaksa menghadapi rintangan. 4.4 Tetap pendirian Meyakini kebenaran dan berpegang teguh kepadanya dalam membuat sebarang keputusan dan tindakan. 4.5 Istiqamah Tekal, tepat, tetap dan berterusan dalam mengerjakan sesuatu yang baik. 4.6 Berani mencuba Berani mencuba dan sanggup melakukan sesuatu yang mencabar dengan penuh kreatif dan inovatif yang tidak bertentangan dengan syarak. 4.7 Tahan lasak Mempunyai ketahanan fizikal dan mental serta semangat juang yang tinggi hasil daripada yang latihan yang intensif dan sistematik. 4.8 Berdikari Kesanggupan dan kebolehan melakukan sesuatu tanpa bergantung kepada orang lain selaras dengan peraturan dengan peraturan, undang-undang dan agama. a. Berupaya bertindak sendiri Sanggup dan boleh melakukan sesuatu tanpa mengharapkan orang lain. b. Yakin kepada diri sendiri Percaya kepada kebolehan diri sendiri dan sanggup bertindak. c. Nasihat menasihati Sedia memberi dan menerima nasihat dengan ikhlas dan sabar. 4.9 Berani berjihad Sentiasa bersedia dan sanggup berjuang untuk mempertahankan agama, negara, keluarga dan diri serta kehormatan walaupun terpaksa mempertaruhkan nyawa daripada ancaman musuh dan godaan syaitan.