program basmi kemiskinan digabung bawah spkr kuala lumpur 25 april - kerajaan akan menggabungkan program pembasmian kemiskinan sedia ada dan program lain untuk dipergiatkan lagi di bawah skim pembangunan kesejahteraan rakyat (spkr). program sedia ada yang akan digabungkan itu termasuk program pembangunan rakyat termiskin (pprt), demikian menurut laporan rancangan malaysia kelapan (rmk-8) di sini pada isnin lalu. penggabungan ini terkandung dalam rmk-8 yang mensasarkan penurunan paras kemiskinan pada paras 0.5 peratus menjelang tahun 2005. spkr akan menangani isu ketermiskinan, kemiskinan am serta kumpulan mudah miskin di kawasan luar bandar dan bandar. skim itu yang merangkumi projek ekonomi, sosial dan fizikal melalui pelbagai program di bawahnya seperti pembangunan bersepadu desa terpencil, program pembangunan insan, penyediaan makanan seimbang, bantuan perumahan dan amanah saham bumiputera-sejahtera akan disasarkan ke arah membasmi kemiskinan di kawasan dan kalangan kumpulan yang mempunyai kadar kemiskinan tinggi. spkr akan menekankan kepada aspek peningkatan pendapatan isi rumah yang meliputi projek pertanian komersial secara berkumpulan di bawah dasar pertanian negara ketiga. untuk meningkatkan harga diri dan sifat berdikari di kalangan rakyat miskin, program pembangunan insan sedia ada akan diperkukuhkan untuk membantu peserta tidak kembali menjadi miskin. bagi membasmi kemiskinan di kalangan kelompok miskin di pusat bandar dan kawasan pinggiran, kerajaan akan melaksanakan program seperti penyediaan kemudahan asas dan perumahan serta peluang menjana pendapatan. pada masa yang sama, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan akan menempatkan semula setinggan yang ada di seluruh negara. pendekatan bersepadu sedia ada yang diambil oleh pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (bbk) akan diteruskan melalui program seperti pembangunan bersepadu untuk masyarakat bandar, pusat rahmat, projek harapan dan skim khas ibu tunggal. pelan pembangunan komprehensif masyarakat orang asli akan dirangka di bawah spkr untuk mengatasi kadar kemiskinan yang tinggi dan meningkatkan kualiti hidup manakala projek sedia ada di bawah program pembangunan bersepadu desa terpencil akan diteruskan bagi membantu menangani kemiskinan tinggi di kalangan masyarakat orang asli.