Pembangunan Insan[1]...k.o

  • April 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Pembangunan Insan[1]...k.o as PDF for free.

More details

  • Words: 1,804
  • Pages: 8
Pembangunan Islam Ajaran Islam secara keseluruhannya adalah gagasan komprehensif yang mengatur hidup manusia ke arah kesempurnaan. Tatacara kehidupan telah diatur dan disusun, daripada perkara yang sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya, mempamerkan betapa lengkap dan syumulnya petunjuk yang dibekalkan oleh Allah s.w.t. Sejarah telah mencatat betapa tamadun Islam itu telah tampil dengan kehadiran bermakna dan diterima sebagai manifestasi keunggulan ajaran Ilahi.

Islam adalah ajaran yang sangat mesra terhadap “pembangunan” dan sentiasa mempastikan elemen keseimbangan antara segala komponen kehidupan mesti diperkasakan. Sejak seawal perkembangan masyarakat Islam, kita diperlihatkan dengan usaha Rasulullah s.a.w yang bersungguhsungguh membangun manusia sebagai “muqaddimah” proses-proses pembangunan lain yang bakal menyusul kemudiannya. Rata-rata ulama dan pemikir Islam seperti Dr Yusuf al-Qaradawi mengingatkan kita bahawa tanggungjawab membangunkan umat adalah hakikat yang mesti dihadapi dan bukan khayalan yang bermain di dalam mimpi.

Cabaran-cabaran dalam zaman dan masyarakat yang berubah menagih kita supaya sentiasa mengemaskini ilmu, skil, dan keupayaan kita untuk menjawab persoalan-persoalan semasa, malah menjangka isu-isu yang mungkin berbangkit pada masa akan datang. Kesemua ini tidak dapat dipisahkan daripada beberapa keperluan asas dan mendasar - antaranya usaha penggilapan ilmu agar ilmu pedoman teras Islam berkaitan dengan pembangunan akan terus relevan dan dapat digunakan secara langsung buat menyelesaikan persoalan-persoalan masa kini yang rencam, kompleks, dan mencabar.

Begitulah juga dengan usaha-usaha pembangunan. Sekiranya pembangunan itu membawa kepada lahirnya manusia-manusia yang derhaka kepada Allah, maka status manusia sebagai khalifah

dan penguasa di bumi akan luruh dengan segera, malah terus bertukar menjadi hamba pembangunan, bukan lagi hamba Allah. Oleh hal yang demikian itu, pembangunan berteraskan Islam merupakan satu sistem pembangunan yang dapat mempertahankan status manusia sebagai khalifah dan penguasa di muka bumi. Untuk mencapai ketahanan ini, pembangunan mestilah lahir daripada tasawwur Islam, bukan Islam yang lahir daripada pembangunan. Pelaksanaannya adalah berteraskan konsep ibadat kerana inilah sebenarnya rahsia penciptaan dan fungsi kehidupan manusia sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Tidak Kami jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadat kepadaku.” (Surah AzZariyat: 56)

Oleh hal yang demikian itu, pengurniaan status khalifah dan penguasa di muka bumi kepada manusia daripada Allah s.w.t. merupakan alat atau wahana untuk merealisasikan tugas sebagai hamba Allah yang wajib beribadat kepada-Nya sepanjang masa. Segala aktiviti yang terangkum dalam ibadat itu pula adalah ‘sarana’ dalam mencari keredaan Allah.Ringkasnya, pendorong utama pembangunan berteraskan Islam ialah ibadat, bukan keuntungan atau ganjaran material semata-mata.

Situasi ‘gawat’ dalam menangani isu pembangunan adalah universal sifatnya. Profesor Mohd Shukri Salleh dalam bukunya “Pembangunan Berteraskan Islam” berpendapat betapa kemelut berkaitan dengan pembangunan bukanlah perkara baru dan telah berlaku dalam pelbagai era dan zaman, merentasi batas-batas budaya, agama anutan, mazhab ekonomi dan sebagainya.

Fenomena yang berlaku menjadi kegelisahan masyarakat dalam pelbagai perkara seperti masalah rasuah, penyalahgunaan kuasa, masalah perumahan, harga barangan yang melambung, inflasi, jurang kemiskinan-kemewahan terlalu besar, gaya hidup yang telah diglobalkan, keruntuhan akhlak

masyarakat khasnya golongan muda dan sebagainya. Ini semua mengasak kita untuk memiliki keprihatinan yang tinggi dan memerah otak dan keringat untuk menemukan formula-formula penyelesaian yang berkesan.

Formula penyelesaian yang dikemukakan oleh ajaran Islam mesti digunakan semaksimum mungkin dan menjadi “ilham baru” kita dalam berhadapan dengan cabaran-cabaran masa kini, apatah lagi dengan pendekatan Islam Hadhari yang sama-sama kita perjuangkan. Islam mempunyai bukan sahaja dasar-dasar pedoman tetapi juga punya “pangkalan” yang boleh dirujuk kembali jika kita tersesat jalan atau menyimpang dari sasaran asal. Kita tidak sepatutnya merasa malu untuk mengaku kesilapan masa silam, sebaliknya mempergunakan kesilapan dan ketidaktepatan masa silam itu untuk masa depan yang lebih baik.

Banyak masalah telah timbul apabila manusia atau masyarakat manusia tergelincir dari landasan yang lurus dan tepat, terutama apabila aspek ‘al-tawazun’ (keseimbangan) tidak dapat dicapai. Ketidakseimbangan akan mengundang kepincangan dalam semua perkara. Dalam skema ajaran Islam, manusia diajar menuju ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan hakiki dan mengelakkan kemusnahan dan penderitaan hingga tercapainya hasanah (kebahagiaan) duniawi dan ukhrawi. Gabungan pemimpin berwawasan – pentadbir berdedikasi dan rakyat yang bersemangat telah menyaksikan tercapainya pelbagai dimensi baru kejayaan dalam meningkatkan kualiti hidup dan tercapainya tahap kemakmuran.

Kemakmuran adalah ‘kekuatan’ paling ketara untuk mewakili kejayaan ‘pengurusan pembangunan’ di Malaysia. Kenyataan ini bukanlah kenyataan simplistik kerana kita tidak pernah menafi atau menidakkan masalah-masalah serta kesukaran-kesukaran yang kita sama-sama hadapi. Kita mengimbangi antara usaha berterusan membangun negara secara bersepadu dan mapan tanpa memperkecilkan usaha memperbaiki kelemahan, memperbetulkan kesilapan dan mengatasi

kepincangan sedia ada. Apa yang dapat dilihat dan dinikmati oleh generasi Malaysia masa kini menunjukkan tahap kemakmuran segenap bidang yang sudah meningkat dengan ketara. Prasarana dan kemudahan asas dalam bidang pendidikan, kegiatan ekonomi dan kesihatan yang menjadi pemangkin ke arah pelbagai kejayaan bidang lain telah diperbaiki dari semasa ke semasa. Kemakmuran alaMalaysia adalah replika keupayaan menterjemahkan gagasan pembangunan seimbang ke dunia realiti sebagaimana yang dicita-citakan.

Selain daripada itu, bangsa Melayu dan umat Islam telah dikeluarkan dari lingkaran kemiskinan masa silam, menjadi bangsa yang berdaya maju dan memiliki daya saing. Sungguhpun aspek ini masih lagi merupakan sesuatu yang paradoks kerana bangsa dan umat masih lagi ‘terumbang- ambing’ dengan isu ini, namun pada masa yang sama kejayaan ini juga tidak boleh dinafikan. Kejayaan Malaysia sebagai “little dragon”, namun tetap dengan negara bercirikan prinsip keislaman tidak wajar dipandang ringan. Ramuan yang dimiliki negara ini dari sudut kestabilan politik, keupayaan saingan ekonomi, kekuatan pendidikan, wawasan pimpinan – semuanya telah menyumbang ke arah kejayaan tersebut. Komponen Islam yang dibawa masuk telah menjadi sumber kekuatan baru yang mampu menjadi pendorong ke arah usaha gigih semua pihak terlibat. Selain itu, apa yang diperhatikan pelbagai kalangan adalah indeks pembangunan negara yang mengambil kira secara seimbang semua elemen penting agar kepincangan yang tidak diingini dapat dielakkan.

Dari sisi yang lain. pembangunan modal insan di Malaysia juga merupakan kekuatan yang tersendiri dan dapat dilihat sebagai usaha berterusan mempertahankan keseimbangan yang sepatutnya. Para ulama turut menyentuh tentang peri pentingnya pembangunan modal insan insan agar seimbang dengan kadar kelajuan pembangunan fizikal. Ketidaksetaraan yang terabai boleh membawa padah kepada kita dan semua pihak, iaitu pemimpin-pentadbir-rakyat mesti berganding bahu untuk merealisasikan hasrat tersebut. Negara yang menerima gagasan “masyarakat berteraskan pengetahuan”

juga menagih setiap anggota masyarakat, khususnya generasi muda, memiliki ilmu asas mengenai pembangunan. Modul ringkas dan sesuai perlu dibentuk agar anak-anak muda dapat memahami arah pembangunan yang ingin dicapai oleh negara.

Di peringkat universiti pula, difahamkan subjek-subjek mengenai pembangunan, khususnya yang dinilai dari sudut perbandingan berteraskan Islam telah mula diperkenalkan walapun belum secara menyeluruh. Sudah tiba masanya perkara ini diberikan perhatian yang sewajarnya. Kefahaman ini perlu diberikan secara meluas agar kesan dan impaknya juga bersifat meluas dan merata serta akan melahirkan hasil yang sebaik-baiknya.

Indeks seterusnya adalah keupayaan membentuk institusi kewangan Islam untuk memberikan perkhidmatan alternatif yang diperlukan masyarakat. Kemajuan yang dicapai oleh institusi-institusi seperti pusat-pusat zakat (kutipan dan agihan) telah menambahkan kekuatan ekonomi umat Islam.

Dalam bidang kewangan, pelaksanaan perbankan dan kewangan Islam adalah hasil daripada polisi kewangan dan ekonomi negara. Kemampuan negara dalam bidang ini juga memperlihatkan bukan sahaja keupayaannya, tetapi komitmen serta iltizam negara dalam bidang yang begitu mendasarl kepada kekuatan ekonomi umat dan negara.

Kesimpulannya, indeks pembangunan Islam dapat diukur menerusi beberapa kejayaan negara dalam bidang-bidang yang bukan hanya bersifat fizikal dan material, malahan bersifat spiritual yang terjelma daripada tingkah laku masyarakatnya yang memiliki sifat takwa, berdaya maju dan sentiasa memiliki sifat berdaya saing.

PEMBANGUNAN INSAN Perancangan fizikal, sosio-ekonomi serta dasar dan strategi pembangunan adalah untuk membentuk persekitaran fizikal yang berkualiti dan meningkatkan taraf hidup penduduk. Di samping aspek fizikal, sosio-ekonomi dan persekitaran, matlamat pembangunan sebenar adalah untuk mewujudkan keseimbangan aspek-aspek tersebut dengan pembangunan manusia dari segi kerohanian dan nilai-nilai murni sejagat.

Ini bersesuaian dengan teras DPPS iaitu “mengintegrasikan aspek

kerohanian dalam perancangan” dan menjadikan ‘manusia sebagai fokus dalam pembangunan’ sebagai salah satu falsafah utamanya.

Memandangkan fokus dan usaha serta inti proses pembangunan ialah manusia, pembangunan ekonomi, industri dan teknologi mestilah dilaksanakan dalam ruang lingkup pembangunan manusia. Penduduk sesuatu kawasan adalah sumber terpenting dan merupakan nadi kepada pelaksanaan DPPS haruslah diberi tumpuan dan keutamaan dalam merumuskan keputusan serta tindakan dalam kajiankajian perancangan.

Isu perbandaran yang dihadapi bukan sahaja rnerangkumi aspek fizikal dan alam sekitar tetapi juga berlaku dalam konteks kemanusiaan melibatkan keadaan psiko-emosi-kerohanian. Keadaan ini berlaku akibat daripada pemisahan agama, nilai dan ketidaksepaduan aspek ini dalam ruang lingkup kehidupan masyarakat bandar. Sekiranya krisis perbandaran ingin difahami, dianalisis serta diperbaiki, pendekatan yang menyeluruh dan berbagai bidang (holistic and multi disciplinary approach) adalah diperlukan. Hanya melalui pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu dapat menggabungkan perancangan bandar dengan dimensi kerohanian dan nilai, mengadunkan penggunaan ilmu kejuruteraan dengan keindahan, mengharmonikan seni bina dengan alam sekitar dan tidak memisahkan pertumbuhan ekonomi dan keadilan dan keperluan sosial.

Kefahaman terhadap insan (asal-usul, status, peranan dan hubungannya dengan Pencipta, Masyarakat dan Alam) sangat penting kerana berasaskan pengertian inilah masalah-masalah berkaitan dengan kehidupannya dapat diselesaikan. Manusia atau insan adalah makhluk dwi dimensi iaitu terdiri dan dua unsur roh dan jasad (rohaniah dan jasmaniah). Manusia dibekalkan dengan jiwa. Jasad memerlukan makanan untuk membesar dan sihat serta aspek fizikal seperti sains dan teknologi untuk membangunkannya. Aspek rohani pula merupakan kekuatan dalaman yang perlu digilap untuk memandu jasad menjalani kehidupan. Kesemua unsur roh, jasad dan jiwa manusia perlu dididik dan dibina dengan peringatan-peringatan tentang kewujudan mereka dan Pencipta mereka ke arah memiliki nilai-nilai murni. Aspek-aspek ini menjadikan insan mempunyai kekuatan dan kelemahan dan dibekalkan dengan ilmu untuk membolehkannya membuat pilihan dan mempunyai sifat tanggungjawab.Insan mempunyai potensi dan keupayaan rohaniah, akidah dan jasmaniah tersendiri yang dapat disuburkan menerusi proses pendidikan untuk menimba ilmu.

Tujuan utama kewujudan manusia ialah sebagai pengurus untuk membangun dan mentadbir alam dengan menggunakan segala sumber yang ada demi untuk menjalankan amanahnya dan menjaga hubungannya dengan Pencipta, Manusia dan Alam Sekitar ke arah mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan manusia dalam semua aspek sama ada di dunia atau akhirat.

PERANAN PERANCANGAN FIZIKAL TERHADAP PEMBANGUNAN INSAN Perancangan fizikal boleh menyumbang ke arah pendidikan insan dari aspek fizikal dan juga aspek rohani melalui tindakan P&P yang menekankan kedua-dua aspek ini. Di antara tindakan fizikal yang dapat membantu ke arah pembinaan insan ialah seperti berikut: 1. Pembinaan kemudahan tempat ibadat, masjid, pusat pendidikan, perpustakaan, taman-taman riadah, tanah perkuburan, kawasan perniagaan, kawasan perumahan dan kemudahankemudahan lain, sesuai dengan sifat manusia yang memerlukan pegangan agama, ilmu

pengetahuan, pembangunan minda dan pengisian dan segi kerohanian. Penyediaan ruang-ruang dan persekitaran ini memberi kesan dan pengaruh kepada pembentukan nilai dan sikap manusia sejak dan dalam kandungan hinggalah ke tahap keuzuran. 2. Memelihara alam sekitar dari kemusnahan sebagai usaha menjaga dan menghargai anugerah Pencipta yang mempunyai hikmah dalam segala ciptaanNya. 3. Bentuk perancangan yang meletakkan elemen-elemen utama seperti masjid dan institusi pendidikan di tempat yang ‘central’, ‘strategic’ dan tumpuan serta menghadap ke arah kiblat sebagai elemen yang mengingatkan manusia kepada Pencipta. 4. Memastikan rekabentuk seni bina dan penataan seni yang melambangkan ‘syiar’ seperti kubah dan menara, bulan dan bintang, seni khat dan seni tampak boleh membawa manusia ke arah berfikir dan bertafakun tentang kewujudan Pencipta. 5. Menyediakan elemen dan kemudahan- kemudahan yang dapat menjalin hubungan yang rapat sesama manusia dalam persekitaran kejiranan yang bersesuaian serta mewujudkan peraturan bagi memastikan hak-hak orang lain dihormati. 6. Penerapan nilai-nilai kerohanian dalam pembinaan bangunan-bangunan dengan menyediakan ruang-ruang ibadat yang khusus dan ‘bermaruah’ di bangunan-bangunan pejabat, kompleks membeli-belah dan tempat tumpuan rekreasi

Related Documents

Pembangunan Pendidikan
December 2019 36
Pembangunan Lestari
June 2020 14
Pembangunan Politik
April 2020 15
Pembangunan Nasional
May 2020 22