RANAU- Selaras dengan matlamat kerajaan merealisasikan pewujujudan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera negeri ini, satu lagi projek Kedai dan Gerai akan dibina di kampung Bundu Tuhan kira-kira 25 kilometer dari pekan. Projek yang akan dilaksanakan oleh Perkasa Reality Sdn Bhd (sebuah anak syarikat milik penuh SEDCO) dengan kos keseluruhan sebanyak RM1 juta ini, dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Malaysia. Majlis Pecah Tanah bagi pembinaan projek yang diluluskan oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke 9 itu, telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Dr Ewon Ebin di Tapak Tamu Mingguan kampung tersebut. Pembinaan projek kedai dan gerai ini adalah merupakan satu perjanjian usahasama antara Perkasa Reality dengan Lembaga Pemegang Amanah Tanah kampung itu bagi memenuhi keperluan penduduk kampung mendapatkan bangunan kedai di situ. Menurut Pengerusi Perkasa Reality Hj Kassim Salleh, projek itu mengandungi 5 unit kedai dan pembinaan semula 10 buah Gerai termasuk kelengkapan infrastruktur seperti medan letak kereta, perparitan, bekalan air & letrik dan perataan cerun kawasan itu. Apabila projek itu siap kelak ia akan mengenakan sewa sebanyak RM 350.00 sebulan bagi sebuah kedai sementara bangunan gerai pula akan diserahkan pengurusannya kepada Lembaga Pemegang Amanah Tanah kampung Bundu Tuhan, katanya. Berucap di majlis tersebut, Datuk Ewon menggesa para peniaga Bumiputera supaya benar-benar menumpukan perhatian sepenuhnya kepada perniagaan yang mereka ceburi sekiranya ingin maju. Katanya, kalau ada niat untuk berniaga, buatlah dengan bersungguh-sungguh dengan mengubah semua sikap atau tabiat negatif seperti malas, lambat bertindak, terlalu ehsan pada kawan atau saudara dan sebagainya. Untuk maju dalam perniagaan, sasaran utama kita adalah untuk mendapatkan keuntungan dan sanggup bersaing dengan peniaga lain serta tegas dalam urusan jual beli, bukan berniaga untuk menolong kawan-kawan atau saudara mara. Tiada guna kerajaan memberikan peruntukan yang banyak bagi menyediakan berbagai kemudahan seperti bangunan, kemudahan pinjaman, kursus-kursus dan sebagainya sekiranya kaum bumiputera tidak memenfaatkannya dengan betul, tambahnya. Turut hadir di majlis itu ADUN Kundasang Dr Joachim Gunsalam, Timbalan Pengerusi SEDCO Datuk Liew Teck Chan, Pegawai Daerah Encik Siriman Basir, Setiausaha Politik Kementerian Japirin sahadi, pegawai-pegawai kerajaan daerah dan penduduk setempat. OLEH: Jimmy Akau
Datuk Ewon (tengah) bersama dengan Datuk Liew dan Dr Joachim sedang melakukan upacara pecah tanah di majlis tersebut
Datuk Ewon sedang menandatangani plak tanda upacara pecah tanah projek tersebut di majlis itu dengan disaksikan oleh Liew, Dr Joachim, Siriman dan Hj Kassim
Dari kiri datuk Liew, Hj Kassim, Datuk Ewon, Dr Joachim dan Siriman sedang menyanyikan lagu Negaraku sebelum memulakan majlis itu
Datuk Ewon (kanan) menerima cendera hati daripada Hj Kassim di majlis itu disaksikan Dr Joachim (kanan)