Modal Insan Dan Budaya

  • June 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Modal Insan Dan Budaya as PDF for free.

More details

  • Words: 4,907
  • Pages: 15
Modal Insan Dan Budaya Keilmuan August 2, 2007 by gamis07 oleh:Mohd Dzul Khairi Bin Mohd Noor Istilah modal insan pada mulanya dipercayai pertama kali dibincangkan oleh Arthur Cecil Pigou (1877-1959) dalam karyanya, A Study in Public Finance pada tahun 1928. Kemudiannya diikuti tokoh-tokoh seperti Jacob Mincer dalam artikelnya Investment in Human Capital and Personal Income Distribution pada tahun 1958 dan Gary Becker dalam Human Capital pada tahun 1964. Pada aspek yang tertentu, idea mereka menyamai idea Karl Marx (1818-1883) iaitu konsep labor power. Bagi definisi Barat, pembangunan modal insan didefinisikan sebagai suatu cara untuk mengenal dan mengkategori kemahiran dan kebolehan orang yang diguna dalam pengambilan pekerja dan dalam hal lain, mereka memberi sumbangan kepada pembangunan negara. Menurut perspektif mereka, mereka begitu memberi fokus kepada pembangunan sumber manusia dari sudut pengetahuan dan kemahiran tertentu yang dapat memberi pulangan kepada ekonomi sesebuah organisasi atau masyarakat. Sebaliknya, pada perspektif Islam, modal insan dilihat tidak sekadar mementingkan aspek pembangunan intelektual dan emosional bahkan melibatkan pembangunan spiritual. Islam melihat modal insan sebagai suatu konsep yang amat luas dan lebih terperinci tanpa terdapat lompang-lompang yang tidak dihuraikan. Definisi yang komprehensif ini dapat menjelaskan betapa pentingnya sumber ini kepada sesebuah negara khususnya umat Islam. Persoalan modal insan dalam konteks pembudayaan ilmu dapat dikesan dalam Falsafah Pendidikan di Malaysia iaitu suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat, dan negara. Modal insan ataupun sumber manusia (human resource) yang menjadi pemacu kepada kemajuan dan pembangunan sesebuah tamadun yang wujud di dunia perlu dititikberatkan dalam kaca mata pembudayaan ilmu. Perkara ini begitu penting terutamanya apabila disentuh siapakah pewaris khazanah dan amanah negara? Sudah pasti akan terbayang di mata bahawa pewaris terbaik yang paling hampir untuk menerajui negara ialah golongan mahasiswa di seluruh negara. Golongan ini perlu diasuh dan diberi latihan mencukupi bagi memantapkan elemen-elemen sumber manusia. Sekiranya pembentukan ini terbantut, sudah pasti harapan menggunung terhadap mereka akan turut hancur. Mereka perlu diberi kefahaman yang jelas berkaitan ilmu dan maklumat. Manusia yang berkualiti ialah mereka yang memiliki ilmu dan nilai

ilmu yang berkualiti. Ilmu dapat memandu mereka berfikir dan bertindak. Tiada ilmu, maka tiadalah ketamadunan yang didambakan selama ini. Mereka sudah pasti tidak akan dapat mengubah kualiti hidup mereka kepada yang lebih baik. Menurut Ibnu Khaldun dalam Mukadimahnya iaitu, ‘’kekuatan ilmu bukan sahaja menjadi syarat dan pelengkap kepada kekuatan fizikal, malah memberi arah serta makna kepada manusia dan bangsa tersebut’’. Ilmu tunjang kepada kekuatan dan kemajuan kemanusiaan. Ia telah pun dititikberatkan sejak zaman Greek lagi di tangan tokoh-tokoh penentang golongan Sophis iaitu golongan yang menggelar diri mereka sebagai golongan yang bijak tapi sebenarnya mereka tidak layak kerana ilmu mereka lebih bermatlamatkan ganjaran. Walaupun begitu, selaku umat Islam kita percaya bahawa sebelum kewujudan golongan Sophis dan ahli falsafah Greek, telah muncul agama Hanif iaitu agama Tauhid atau agama Islam yang berasaskan pancaran ilmu wahyu yang lebih berautoriti di samping ilmu akal. Antara zaman yang paling dekat dengan zaman Greek menurut kajian ialah zaman Nabi Sulaiman, putera Nabi Daud yang perkasa dan dianugerahkan oleh Allah dengan pelbagai kebolehan termasuk keagungan kerajaannya yang sudah pasti berasaskan kepada ilmu berkualiti bersalut pancaran tauhid ketuhanan kepada Allah. Dalam konteks mahasiswa, mahasiswa merupakan antara entiti terpenting dalam sesebuah negara yang memerlukan pengganti berkualiti. Begitu juga apabila disentuh berkaitan universiti, mahasiswa dan universiti sepersis irama dan lagu yang tidak akan dapat dipisahkan. Kedua-duanya saling memerlukan dan mempunyai perhubungan yang begitu rapat. Universiti merupakan institusi pendidikan yang kaya dengan khazanah keilmuan dan sarat dengan pembudayaan ilmu seperti membaca, menulis, berfikir, menyelidik, berhujah dan seumpamanya. Di sini berkumpulnya ribuan sarjana, ilmuwan dalam kepelbagaian bidang yang diceburi. Hubungan unik antara universiti dan mahasiswa akan kelihatan luar biasa dan ganjil sekiranya elemen pembudayaan ilmu tiada dan semakin hari kian merudum. Keganjilan ini dirasai lantaran merasai bahawa terdapat perbezaan ketara antara institusi ini dengan institusi pada peringkat bawah jika kedua-duanya sama sahaja mutunya. Sesungguhnya universiti adalah tempat pembudayaan ilmu secara formal yang paling ideal. Tiga fungsi utamanya ialah pemindahan ilmu, penyumbang ilmu dan penggunaan ilmu. Tiga fungsi inilah dianggap sebagai teras kepada falsafah dan matlamat penubuhan universiti. Namun tiga fungsi ini tidak akan bermakna apabila mahasiswa sendiri tidak menepati ciri-ciri yang sepatutnya. Terdapat persoalan yang memungkinkan kita memahami permasalahan ini. Adakah mahasiswa yang lulus cemerlang PNGK tetapi tidak dalam akhlaknya, layak universiti banggakan? Atau adakah mahasiswa yang berpeluang menjawat jawatan besar dalam sesebuah syarikat terkenal namun besar juga penyelewengannya layak dibanggakan? Atau patutkah universiti berasa bangga dengan mahasiswa yang lebih mengenali para artis berbanding para pensyarahnya? Atau mahasiswa yang rajin membaca komik, majalah hiburan, majalah picisan, dan seumpamanya berbanding jurnal, buku ilmiah, majalah Dewan Masyarakat, Majalah I dan sebagainya yang patut dibanggakan?

Sekurang-kurangnya persoalan tersebut dapat memberi gambaran umum berkaitan perbezaan budaya Ilmu di kalangan mahasiswa. Apatah lagi jika kita ingin mencari mereka yang cenderung kepada budaya berhujah, budaya menyelidik, budaya berfikir, budaya bertanya, budaya menulis dan seumpamanya. Siapakah sebenarnya mahasiswa yang benar-benar menepati gagasan modal insan yang disebut selama ini. Patutkah mahasiswa yang tidak memenuhi ciri-ciri budaya keilmuan layak diklasifikasikan sebagai golongan intelektual yang menepati tuntutan modal insan atau sumber manusia ini? Pemerkasaan budaya berilmu patut diteruskan tanpa mengenal rasa penat membanting tulang. Bayangkan terdapat ulama yang meninggal sewaktu bukunya masih di sisinya. Terdapat juga yang sudah nazak namun masih lagi menyuruh pembantu atau rakannya mengambil alat tulis kerana ingin menulis idea yang muncul ketika itu. Komitmen mereka terhadap ilmu dan keilmuan amat mengagumkan. Mahasiswa khususnya muslim, sepatutnya komited dengan proses pembelajaran mereka. Amat memalukan jika golongan bukan Islam sentiasa berkepit dengan jurnal serta buku sedangkan mahasiswa dan remaja Islam sering berkepit dengan teman lelaki atau wanita tanpa segan silu. Siapalah kita tanpa ilmu. Ilmu ibarat cahaya yang menerangi kegelapan malam. Kegelapan atau kemalapan lambang kejahilan yang menjadi musuh masyarakat, negara dan agama. Harapan menggembleng sepenuhnya modal insan atau sumber manusia tentu tidak kesampaian jika elemen keilmuan diabaikan dan tidak menjadi sebagai faktor utama dalam membina tamadun kemanusiaan yang berasaskan nilainilai murni. Tanpa ilmu, menurut Imam Ghazali, manusia dalam keadaan tanpa pakaian. Manusia sebegini sepatutnya harus malu dengan sikap sendiri. Sikap tidak mementingkan modal insan, bahkan yang lebih teruk, bersikap endah tidak endah dengan budaya keilmuan. Posted in Fikrah Siswa | No Comments Yet

Friday, November 03, 2006 Pendidikan dan pembinaan modal insan Pendidikan adalah pelaburan yang sangat penting dalam sesebuah negara. Pencapaian yang dijana melalui sistem pendidikan akan menentukan hala tuju negara pada masa depan. Malahan proses pendidikan merupakan kaedah yang sangat berkesan bagi membentuk dan mengembangkan minda, jiwa dan rohani ke arah mengenali diri dan mencapai tahap kehidupan bermasyarakat yang baik dan sempurna. Daripada perspektif yang berbeza, bidang pendidikan adalah jambatan yang membawa pengetahuan, latihan, potensi, minat dan semua elemen kualiti yang ada pada manusia iaitu modal insan ke suatu dimensi yang lebih dinamik dan progresif bagi menggerakkan kemajuan negara. Jepun dan Korea Selatan adalah dua buah negara yang aset materialnya sangat sedikit, berjaya membuktikan bahawa pembangunan modal insan yang mantap dapat membantu memajukan diri dan negara mereka setanding dengan negaranegara maju yang lain. Dua belas tahun yang lalu, Gary S. Becker, penerima Hadiah Nobel dalam ekonomi pada tahun 1992 menyatakan bahawa perkara terpenting untuk menarik pelaburan asing bukanlah kerana sesebuah negara itu mempunyai golongan elit atau rakyat yang terpelajar. Faktor yang utama ialah golongan pekerja khususnya yang mempunyai tahap literasi yang tinggi, budaya kerja yang positif dan potensi mendapatkan pengetahuan bagi membentuk kemahiran-kemahiran baru. Pengaruh ketiga-tiga elemen ini sangat ketara kerana pekerja yang berupaya menerapkan budaya ilmu dan mahir dalam bidangnya adalah mereka yang akan menghasilkan produk berkualiti seperti yang dikehendaki oleh syarikatsyarikat luar yang membuat pelaburan. Inilah keputusan pertama yang akan difikirkan dan isu utama yang diberi penekanan oleh pelabur luar negara. Generasi muda Malaysia pada hari ini memperuntukkan masa yang lebih lama di sekolah iaitu 11.5 tahun. Oleh itu, asas pendidikan formal yang dilaksanakan kini oleh kerajaan sangat memberangsangkan kerana 95 peratus daripada rakyat negara ini celik huruf. Pertambahan bilangan institusi pengajian tinggi awam dan swasta akan turut mempercepatkan proses pembangunan modal insan kerana rakyat yang terpelajar adalah kunci kepada pembentukan negara maju pada tahun 2020 nanti. Modal insan Hasrat kerajaan untuk memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) adalah sangat luar biasa dan meyakinkan. Pelaburan dalam modal insan ini dilihat sebagai usaha kerajaan bagi meningkatkan daya tahan dan pertumbuhan ekonomi serta membentuk sebuah masyarakat yang mempunyai sistem nilai yang

boleh diteladani. Fokus akan diberi kepada galakan dan usaha membina serta membangunkan modal insan yang bersifat holistik, lengkap dengan pengetahuan dan kemahiran serta mempunyai nilai moral dan etika yang teguh. Terdapat pelbagai definisi mengenai modal insan. Ada yang melihat daripada perspektif ekonomi, sosial dan agama. Para pengkaji di Barat melihat daripada perspektif yang berbeza. Gary S. Becker berpendapat modal insan adalah berkaitan dengan ekonomi masyarakat dan negara kerana individu tidak dapat dipisahkan daripada pengetahuan, kemahiran, kesihatan ataupun nilai. Oleh sebab itulah pendapatan yang tinggi, kesihatan yang baik dan pembentukan nilai dan tabiat yang baik akan memberi kesejahteraan kepada kehidupan seseorang. Beliau menekankan dua elemen yang penting sebagai pelaburan masa depan dalam modal insan iaitu pendidikan dan latihan. Bagi beliau, institusi pendidikan seperti sekolah, universiti, kelas komputer, pembelajaran kesihatan dan perbincangan-perbincangan mengenai nilai hidup juga dianggap sebagai modal insan ke arah meningkatkan aset insan itu sendiri. Oleh itu modal insan adalah harta terpenting yang ada pada seseorang yang membawa pendapatan kepadanya. Seorang lagi sarjana yang melihat modal insan daripada perspektif ekonomi ialah Theodore W. Schultz yang memperkenalkan teori modal insan. Beliau berhujah menyatakan bahawa pengetahuan dan kemahiran adalah elemen modal yang terhasil daripada pelaburan yang disengajakan. Contoh yang jelas ialah peningkatan hasil ekonomi di negara-negara Barat adalah kesan positif daripada pelaburan dalam modal insan. Dengan kata lain, wujud hubungan di antara peningkatan pelaburan modal insan dan peningkatan pendapatan pekerja. Selari dengan pandangan Gary S. Becker, Schultz turut bersetuju dengan konsep pelaburan modal insan ini. Jadi, negara-negara maju yang melabur dalam pendidikan, kesihatan dan latihan dalam jangka panjang akan menguatkan struktur ekonomi dan meningkatkan taraf hidup masyarakat mereka. Manakala negara-negara membangun dan mundur masih mementingkan pelaburan jangka pendek bagi memenuhi keperluan asas seperti makanan, tempat perlindungan dan keselamatan. Definisi modal insan dalam Islam sangat berbeza daripada Barat yang asasnya adalah fahaman kapitalis. Islam mengenal pasti pembangunan sumber manusia sebagai elemen terpenting dalam modal insan kerana sumber yang utama ialah individu. Modal insan tidak seharusnya dilihat dari sudut latihan, kemahiran, kepakaran, profesional, kelebihan maklumat dan sebagainya malah harus mempunyai ciri-ciri pembangunan ke atas insan yang menerapkan sifat-sifat amanah, jujur, berakhlak mulia, progresif, cergas dan bertamadun. Keperluan dunia semata-mata tidak akan memberi kelebihan ke atas pembangunan modal insan kerana tujuan penciptaan manusia ialah jelas

seperti maksud Surah Az-Zariyat ayat 56; “Tidaklah aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu”. Hasil akhir yang cemerlang adalah tonggak utama pembangunan modal insan dalam Islam kerana Islam telah menyediakan satu sistem hidup yang lengkap dari mula lahir hinggalah ke akhir hayat. Konsep pembangunan sumber manusia dalam Islam adalah proses menyeluruh untuk membentuk insane yang berguna. Manusia yang lahir kelak akan menerima janji daripada Tuhannya iaitu ; “Sekiranya penduduk sesuatu negeri itu bertakwa nescaya Kami akan membuka kepada mereka (pintu-pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi”. (Surah Al-A’raf ayat 96) Modal insan yang diketengahkan oleh Islam bukan hanya melahirkan individu yang pakar, mahir ataupun profesional dalam bidang masing-masing tetapi penuh dengan nilai-nilai positif seperti amanah, jujur dan sebagainya. Pembentukan nilai-nilai ini tidak sekadar memenuhi kehendak organisasi malah untuk masyarakat dan negara. Pendekatan fizikal melalui sesebuah dasar yang memberi fokus terhadap ekonomi tidak akan dapat memaksimumkan pembangunan modal insan. Dasar Ekonomi Baru (1971-1990) yang memberi perhatian terhadap membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat, strategi seterusnya beralih kepada memberi keutamaan terhadap pembangunan jasmani dan rohani melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang (1991-1995), (A.Aziz Deraman,2005). Perhatian yang lebih serius terhadap modal insan ini terserlah dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Keseriusan kerajaan terhadap pembangunan modal insan ini diterjemahkan sebanyak RM45.1 bilion yang diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program pendidikan dan latihan yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesembilan. Sebanyak lapan teras Dasar Pembangunan Modal Insan yang telah digariskan iaitu : 1.Melaksanakan penambaikan serta komprehensif terhadap sistem penyampaian pendidikan dan latihan. 2.Memperkasa sekolah kebangsaan untuk menjadi sekolah pilihan utama rakyat Malaysia bagi meningkatkan perpaduan negara. Untuk tujuan ini, subjek bahasa Mandarin dan Tamil akan diperkenalkan. 3.Melaksanakan langkah bagi merapatkan jurang prestasi di antara sekolah luar bandar dan bandar termasuk menggantikan semua sekolah daif bagi menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif serta menempatkan guru berpengalaman di sekolah luar bandar. 4.Mewujudkan universiti bertaraf antarabangsa dan memastikan pendidikan

dan latihan di peringkat tertiari memenuhi keperluan majikan. 5.Menyediakan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan latihan dan pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning) yang berkualiti di semua peringkat. 6.Membina masyarakat yang inovatif dengan keupayaan sains dan teknologi yang kukuh dan memiliki kemampuan memperoleh dan menggunakan pengetahuan. 7.Memperkukuh perpaduan nasional dan membangunkan masyarakat yang mempunyai perspektif progresif, sistem nilai yang boleh diteladani dan budaya mengutamakan prestasi tinggi serta menghargai tradisi dan warisan. 8.Memperluas dan memperkemas forum perbincangan dan perundingan antara kerajaan, sektor swasta, ibu bapa dan masyarakat dalam pembangunan modal insan. Permintaan ekonomi terhadap kualiti tenaga buruh dipertingkatkan dengan menambah peratusan kelompok ini yang mempunyai pencapaian pendidikan di peringkat tertiari. Dijangka pada tahun 2010, seramai 12.4 juta tenaga kerja ini diperlukan. Pelaksanaan pembangunan modal insan di peringkat negara akan dijalankan oleh Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang akan bertanggungjawab menyediakan lebih banyak peluang pendidikan prasekolah, rendah dan menengah serta pendidikan guru yang berkualiti seterusnya meningkatkan peluang pendidikan tertiari yang berkualiti. Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Belia dan Sukan akan mengambil tanggungjawab bagi menyediakan program latihan untuk meningkatkan kemahiran tenaga buruh. Peranan pendidikan sentiasa mendapat perhatian utama oleh kerajaan yang memperuntukkan jumlah yang sangat besar dalam belanjawan tahunan. Justeru, agenda pembangunan sumber manusia perlu diutamakan dalam proses pembangunan sesebuah negara kerana modal insan adalah pemangkin yang bakal mencorak tahap kemajuan dan kemunduran masyarakat dan negara berkenaan. Kepentingan modal insan dalam pendidikan Dalam tahun-tahun menuju kemerdekaan telah timbul kesedaran di kalangan para pemimpin dan rakyat Malaysia betapa mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk menggantikan sistem pendidikan penjajah demi memenuhi kehendak negara (Fadzilah Abdullah,1993). Dasar Pendidikan Kebangsaan secara tidak rasminya bermula selepas pilihan raya 1955 setelah wujudnya manifesto oleh parti Perikatan untukmembentuk

sistem pendidikan yang seragam dan bersepadu. Jawatankuasa pendidikan telah dibentuk pada tahun 1956 yang diketuai oleh Tun Abdul Razak. Laporan jawatankuasa ini telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan pada 16 Mei 1956 yang dikenali sebagai Penyata Razak. Tumpuan khas Tun Abdul Razak dan jawatankuasanya ialah (Asnarulkhadi Abu Samah, 1997): 1.Membentuk satu sistem pendidikan kebangsaan yang seragam. 2.Menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi 3.Memastikan bahasa dan kebudayaan lain dipelihara. Undang-undang Pelajaran 1957 digubal dan diluluskan oleh Dewan Negara pada tahun 1957. Dasar pendidikan ini telah disemak semula pada tahun 1960 dan telah menghasilkan Laporan Rahman Talib. Dasar Pendidikan Kebangsaan secara rasminya diisytiharkan pada tahun 1961 dan digubal berdasarkan kedua-dua laporan iaitu Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 (Zulhilmi Paidi & Rohani Abd. Ghani, 2003). Sebuah jawatankuasa telah dibentuk pada tahun 1974 bagi mengkaji semula dasar pendidikan untuk menambah baik dan memantapkan pelaksanaan dasar sedia ada. Di samping itu matlamat untuk melahirkan masyarakat yang bersepadu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan semasa rakyat yang terlatih untuk pembangunan negara (Fadzillah Abdullah, 1993). Laporan jawatankuasa ini telah ditambah keada Dasar Pendidikan Kebangsaan yang merangkumi beberapa matlamat yang dikenal pasti iaitu (Asnarulkhadi Abu Samah,1997) : 1.Menyatukan sistem pelajaran bagi memupuk kesedaran dan perpaduan kebangsaan. 2.Memperluaskan serta mengubah suai rancangan-rancangan pelajaran dan latihan bagi memenuhi memenuhi keperluan tenaga kerja. 3.Memperbaiki mutu pelajaran bagi membina suatu masyarakat yang progresif berlandaskan sains dan teknologi moden. 4.Memperbaiki kemudahan-kemudahan penyelidikan, perancangan dan pelaksanaan bagi mencapai objektif di atas. Perkembangan modal insan di Malaysia telah bermula dengan terancang selepas negara mencapai kemerdekaan. Rancangan Lima Tahun yang diperkenalkan oleh kerajaan sentiasa menitikberatkan sumber manusia sebagai tumpuan. Kajian oleh NAFSA (National Association of Foreign Students in America) pada tahun 1985 meletakkan pelajar Malaysia di tangga kedua (32,000 orang) selepas Taiwan (35,000 orang) dari segi bilangan pelajar asing yang menuntut di sana.

Malaysia akan mencapai status negara maju kira-kira 14 tahun yang akan datang. Jangka masa ini akan diisi oleh generasi muda yang berada dalam masyarakat kita yang sedang ghairah meniti perkembangan usia dan mereka inilah akan merasai sepenuhnya nikmat negara maju. Merealisasikan Wawasan 2020 adalah suatu tugas yang penuh kebertanggungjawaban di atas bahu semua pihak khususnya peneraju pendidikan negara. Sembilan cabaran Wawasan 2020 yang sebahagian besarnya berkaitan pembangunan modal insan bermula dengan cabaran membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu dan berakhir dengan cabaran membentuk masyarakat yang makmur (Mahathir Mohamad,1991). Melihat cabaran-cabaran ini yang begitu besar, pengisian terhadap sumber utama ialah prasyarat terhadap kemajuan sains dan teknologi serta penyelidikan dan pembangunan. Abad ke-19 adalah detik yang menyaksikan pelaburan modal insan secara sistematik tidak begitu diutamakan di semua negara. Keperluan terhadap pendidikan, latihan dalam kerja dan semua jenis pelaburan adalah begitu kecil. Perubahan secara radikal yang berlaku pada abad ini telah bermula di Great Britain setelah aplikasi dan pembangunan sains bagi mencipta barangan baru dan kaedah pengeluaran yang lebih cekap. Perubahan demi perubahan berlalu dan merebak ke negara-negara lain dalam masa yang singkat. Pertumbuhan ekonomi yang sangat pantas pada abad ke-20 boleh dianggap sebagai era modal insan kerana taraf hidup, pembangunan ilmu, kemahiran, kesihatan dan produktiviti telah meningkat di negara-negara yang membuat pelaburan besar dalam pendidikan. Malaysia juga telah membuat pelaburan yang banyak bagi meningkatkan modal insan (Sila hubungi editor). Jadual 1 : Perbelanjaan dan Peruntukan Pembangunan untuk Pendidikan dan Latihan 2001-2010 (RM Juta) Pentingnya modal insan terhadap sesebuah negara boleh dilihat daripada pencapaian Jepun, Taiwan, Hong Kong, Korea Selatan dan negara-negara Asean yang pesat membangun. Negara-negara ini tidak mempunyai sumber semula jadi yang banyak bagi membangunkan negara masing-masing tetapi keupayaan mereka ialah “mengurus apa yang ada” sangat membanggakan. Mereka mempunyai masyarakat yang terlatih, berpendidikan, tenaga kerja yang gigih dan ibu bapa yang berdedikasi. Pelaburan modal insan akan meningkatkan kebajikan ekonomi dan mengurangkan kemiskinan. Usaha kerajaan Malaysia melaksanakan program pendidikan kepada seluruh lapisan masyarakat kena pada masanya kerana hasil daripada proses pembelajaran dapat membantu masyarakat berpendapatan rendah mengubah kaedah pemikiran, sikap dan amalan seterusnya menjayakan program kerajaan bagi mengurangkan tahap kemiskinan di kalangan rakyat berpendapatan rendah. Masyarakat yang berpendidikan akan lebih cenderung membuat pelaburan ke

atas kesihatan diri dan keluarga. Apatah lagi berkemungkinan pendidikan adalah satu-satunya faktor tunggal yang menentusahkan kesihatan dan jangka hayat. Umpamanya di Amerika Syarikat dan negara-negara yang kaya, tidak ramai golongan terpelajar yang merokok. Tabiat merokok di Amerika Syarikat hanya terhad kebanyakannya kepada mereka yang tidak ada pendidikan dan pelajar sekolah yang tercicir. Pendidikan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah membantu meningkatkan pengambilan makanan dengan cara melatih mereka untuk memilih makanan yang sihat, bersih dan segar. Secara umum, mereka yang berpendidikan lebih cenderung mengamalkan diet yang lebih baik. Persekitaran ekonomi moden meletakkan pendidikan, latihan dan sumbersumber ilmu pengetahuan sebagai sangat relevan walaupun dalam jangka masa 50 tahun. Perubahan di antara pendidikan dan tahap pendapatan boleh dilihat di banyak negara. United Kingdom contohnya, 40 tahun yang lepas menyaksikan para graduan memperolehi 40 hingga 50 peratus lebih pendapatan daripada lulusan sekolah tinggi. Mereka yang berpendidikan amat diperlukan di Korea Selatan sejak 20 tahun yang lepas bagi memenuhi keperluan pembangunan negara. Pendidikan dan latihan bukan sekadar menggalakkan pertumbuhan dan kecekapan ekonomi malah turut mengurangkan ketidaksamaan dan impak ke atas golongan yang tidak berkemampuan. Pendidikan merupakan kaedah paling berkesan kepada orang muda yang datang daripada kelompok miskin untuk meningkatkan tahap ekonomi kerana modal insan merupakan 90 peratus aset berharga untuk mana-mana penduduk sesebuah negara. Jurang pendapatan yang tidak seimbang pada sesebuah negara menjadi lebih besar apabila jurang dalam pendidikan menjadi besar. Modal insan tidak banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jika mereka yang terlibat tidak dilatih dengan berkesan. Jika sesebuah organisasi tidak cekap, pekerjanya akan mendapat kemahiran yang salah disebabkan insentif yang lemah. Sebagai contoh, sistem pekerjaan yang tidak menggalakkan pekerja terlatih mendapatkan gaji lebih tinggi akan memberi kesan terhadap pelaburan dalam meningkatkan latihan dan kemahiran mereka. Itulah yang berlaku ke atas bekas Kesatuan Soviet dan negaranegara komunis. Mereka mempunyai program pendidikan yang meluas dan menarik tetapi sistem ekonomi kekurangan kakitangan yang terlatih dan berkemahiran. Institusi pendidikan mempunyai tiga peranan utama dalam masyarakat iaitu: (i) sosialisasi, (ii) menyediakan tenaga kerja, dan (iii) promosi integrasi dalam masyarakat. Sosialisasi Sosialisasi adalah proses pembelajaran sosial melalui pelbagai aktiviti seperti

berfikir, bertaakul dan bertingkah laku sesuai dengan kehendak masyarakat. Oleh yang demikian kebanyakan negara telah menetapkan tempoh tertentu bagi kanak-kanak untuk melalui proses pendidikan formal. Dalam pada itu, terdapat kanak-kanak yang menghadiri kelas di luar masa persekolahan seperti kelas bahasa, agama, muzik tarian dan seni. Kepentingan pendidikan adalah jauh melebihi apa yang terdapat di dalam silibus. Sekolah adalah tempat belajar bagaimana untuk bersama dengan orang lain, patuh kepada peraturan, belajar bagaimana untuk belajar, menilai kebolehan diri dan berusaha memenuhi pengharapan masyarakat dan negara. Semua ini dapat menyediakan kehidupan dewasa yang lebih baik dengan meningkatkan keupayaan diri untuk bekerjasama dengan orang lain. Menyediakan tenaga kerja Sekolah dan institusi pendidikan turut mengajar pengetahuan dan kemahiran yang sangat berguna bagi pasaran kerja. Memandangkan gaji adalah sangat penting, persediaan ke arah prospek kerjaya yang baik sangat penting. Jika dahulu proses pemilihan kerjaya sebahagiannya ditentukan oleh keluarga, pada hari ini keputusan terhadap masa depan pelajar lebih banyak ditentukan oleh sekolah, institusi dan dasar kerajaan. Terdapat beberapa sebab kenapa hal ini wajar berlaku. Pertama ialah bertambahnya pengkhususan terhadap ilmu dan kemahiran yang memerlukan tumpuan. Kedua ialah kebanyakan pekerja dewasa bekerja di luar kawasan kediaman yang kadangkala tidak diketahui oleh anak-anak. Keadaan ini meyebabkan anak-anak mereka tidak dapat memerhati dengan dekat jenis kemahiran yang ada pada ibu bapa. Ketiga ialah peningkatan tahap kelayakan bagi sesuatu jawatan. Sebahagian besar pekerjaan pada hari ini memerlukan pendidikan peringkat tertiari untuk mendapatkannya. Promosi integrasi dalam masyarakat Pendidikan adalah kaedah yang sangat penting untuk proses integrasi pelbagai kaum dan latar belakang. Perbezaan budaya memberi pelbagai dimensi terhadap usaha mempromosi integrasi. Pendidikan memberi ruang yang banyak bagi penyuburan nilai-nilai positif, menghormati antara satu sama lain dan kesedaran memberi sumbangan ke arah kesatuan masyarakat. Reformasi pendidikan Malaysia bersama-sama negara-negara Asean yang lain sedang berhadapan dengan cabaran yang tidak dapat dijangka dan salah satu daripadanya ialah ekonomi pengetahuan (k-ekonomi) iaitu pengumpulan pengetahuan dan menggunakannya secara produktif. Pembangunan ekonomi sangat penting mengambil kira k-ekonomi dan sedang dipergiatkan oleh kerajaan. Kualiti modal insan negara dilihat sebagai penentu utama kejayaan sebagai sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan. Terdapat beberapa usaha yang telah diambil oleh Kementerian Pelajaran dan

Kementerian Pengajian Tinggi bagi menjadikan Malaysia sebagai “hub” untuk pendidikan tinggi seperti menarik kemasukan pelajar-pelajar luar negara, membenarkan universiti luar membuka cawangan, kerjasama pintar di antara universiti tempatan dan luar negara dan penubuhan kampus pengajian oleh beberapa institusi Malaysia di luar negara. Kawalan kualiti ke atas institusi pendidikan tinggi bagi mencapai taraf antarabangsa akan menjadi mantap dengan penubuhan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) nanti. Pengantarabangsaan universiti adalah satu langkah yang sangat tepat bagi menjadikan Malaysia mempunyai universiti bertaraf global supaya para pensyarah dan penyelidik dapat bekerjasama dengan para akademik daripada luar negara. Bagi merealisasikan hasrat berkenaan, globalisasi adalah elemen utama bagi mendapatkan tenaga kepakaran dari seluruh dunia untuk memenuhi fakulti-fakulti di universiti dengan tenaga pengajar yang bertaraf dunia. Mereka ini bukan sahaja bertindak sebagai memberi nilai tambah terhadap imej dan kedudukan universiti malah terhadap kerajaan dan organisasi antarabangsa. Pembinaan modal insan melalui pendidikan harus bermula seawal yang boleh dan berbentuk formal supaya sistem yang dilalui oleh seseorang itu akan menghasilkan produk yang sama di semua tempat. Pembentukan nilai bagi hidup seseorang bermula sejak kecil iaitu ketika perkembangan mental dan fizikal sedang pesat berlaku (Siegler & Alibali,2005). Umur kritikal ketika ini ialah tiga hingga lima tahun. Pembentukan mental umpamanya, amat pesat semasa kanak-kanak berumur tiga tahun dan masa inilah proses pembelajaran mudah berlaku. Penyerapan maklumat dan informasi amat pantas dan mudah berlaku kerana bagi memenuhi keperluan perkembangan mental tersebut. Pelaburan bagi membina asas pendidikan prasekolah tidak boleh dipandang mudah begitu sahaja ketika ini kerana penyelidikan dalam kaedah pembelajaran dan pengajaran prasekolah sangat cepat berubah. Infrastruktur yang sempurna dan tenaga pengajar yang profesional di samping sokongan ibu bapa adalah antara prasyarat yang perlu bagi membentuk warganegara kecil yang mempunyai nilai dan jati diri yang positif. Hasrat kerajaan untuk menerapkan pendidikan awal sebagai asas melahirkan generasi muda yang lebih hebat dan menjadi modal insan yang berguna kepada negara amat dihargai. Pembangunan pendidikan prasekolah adalah di antara fokus utama dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Sebanyak 1400 tadika baru akan dibina yang melibatkan kos RM450 juta. Tadika-tadika yang uzur dan usang akan dibaik pulih dan dinaik taraf supaya para pelajar dapat berada dalam suasana pembelajaran yang lebih sesuai. Bagi membolehkan ia berkembang, modal insan perlu dilaburkan dalam persekitaran yang betul dan berupaya memberi pulangan yang maksimum. Pendidikan awal usia adalah sangat perlu kerana bagi jangka masa panjang, Malaysia memerlukan sebuah masyarakat yang berilmu pengetahuan. Kajian Kementerian Pelajaran telah mendapati 165,000 pelajar di negara ini masih buta huruf. Daripada jumlah ini, 125,000 orang adalah pelajar sekolah

rendah dan selebihnya di sekolah menengah. Kajian oleh seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia pada April 2005 mendapati masih ramai murid yang tertinggal dalam pelajaran termasuk tidak tahu membaca, menulis dan mengira (3M). Kajian ini melibatkan pencapaian murid-murid Tahun Satu di 121 buah sekolah luar bandar di Pulau Pinang pada tahun 2003. Hasil kajian mendapati 59 peratus masih belum dapat mengenal pasti 26 abjad; 17 peratus belum lagi mengenal sebutan suku kata yang mudah dan 24 peratus masih kurang lancar membaca. Kemahiran asas mengira turut didedahkan melalui kajian ini yang mana didapati 12 peratus murid dapat mengira di bawah angka 10, 23 peratus tidak yakin dengan tambah dan tolak (bawah angka 10) dan 12 peratus tidak tahu hendak mendarab atau membahagi. Kelemahan kemahiran asas akan membantutkan hasrat negara untuk mencapai tahap “pendidikan kelas dunia”. Infrastruktur yang baik tidak dapat membantu jika kemahiran asas tidak diperkasakan. Program terkini yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran bagi mengatasi masalah ini ialah Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis atau KIA2M pada awal tahun 2006. Matlamatnya ialah untuk mempastikan 100 peratus pelajar Tahun Satu mampu menguasai kemahiran asas membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu. Bagi mempastikan pelajar-pelajar Islam lancar dan fasih membaca al Quran, Bahasa Arab dan Jawi, kerajaan memperkenalkan j-QAF untuk membentuk generasi pelajar yang berkemahiran dalam pelbagai bidang seperti ilmu pengetahuan, ekonomi, budaya, nilai-nilai moral dan ketahanan diri. Seramai 30,000 orang guru diperlukan untuk melaksanakan program ini. Rumusan Modal insan adalah teras kepada pembangunan sesebuah negara. Pembangunan aspek modal insan sangat penting bagi menjadikan negara lebih berdaya saing. Ia sememangnya menjadi cabaran utama untuk mencapai Wawasan 2020. Rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran berpotensi memiliki modal insan yang besar untuk dirinya sendiri, masyarakat dan negara. Bersusah payah meningkatkan tahap pendidikan adalah usaha murni yang hanya akan dikecapi dalam jangka masa panjang. Ia selari dengan perkembangan dunia yang menyaksikan persaingan sihat antara negara untuk memperkasakan pendidikan masing-masing. Pendidikan menguatkan pembinaan modal insan. Individu yang berpendidikan lebih berjaya di tempat kerja dan kurang memerlukan bantuan. Keluarga yang berpendidikan juga akan membantu memperkukuhkan modal insan setiap individu yang ada di dalamnya. Modal insan yang berkualiti merupakan elemen paling kritikal dalam mencapai Misi Nasional yang kedua

iaitu meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk “minda kelas pertama”. Sepanjang tempoh RMK-9, kerajaan akan terus giat membangunkan modal insan untuk memacu transformasi ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan. Di sekolah, para guru membangunkan dan menerapkan silibus yang menekankan nilai-nilai seperti patuh kepada peraturan, berkongsi dan bekerjasama dalam konteks yang luas. Kesedaran untuk berkongsi pengalaman dan memahami peranan masing-masing boleh meningkatkan kepercayaan masyarakat umum terhadap keharmonian negara pada masa depan. Kesungguhan kerajaan meletakkan 40 peratus daripada rakyat Malaysia mendapat pendidikan peringkat tertinggi sebagai tanda aras untuk mencapai status negara maju sebelum tahun 2020 adalah cabaran kepada semua pihak. Halangan kewangan bukanlah masalah besar kerana kerajaan sendiri sentiasa memperuntukkan sejumlah perbelanjaan yang besar setiap kali belanjawan tahunan dibentangkan. Ahli sosiologi Islam tersohor, Ibnu Khaldun memberi ingatan melalui buku Mukadimah bahawa kecemerlangan sesebuah tamadun akan hilang apabila nilai dan budaya keseronokan yang melampau menjadi kompas yang dijunjung di kalangan masyarakat. Pendidikan yang membina modal insan masyarakat dan negara adalah sangat penting dan perlu terus diberi perhatian. Rujukan A.Aziz Deraman.2005. Intelektualisme Budaya. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Asnarulkhadi Abu Samah & Jayum A.Jawan.1997. Kenegaraan Malaysia. Serdang : Penerbit Universiti Putra Malaysia. Fadzilah Abdullah.1993. Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dalam Yusuf Ismail & Khayati Ibrahim (ed.) Dasar-Dasar Kerajaan Malaysia. Kuala Lumpur : A.S. Nordeen. Federico R.C & Whitaker W.H.1997. Social Welfare in Today’s World. New York : MMcGraw-Hill. Second edition. Ibnu Khaldun.1993. Mukadimah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Karya terjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Ibrahim Ahmad Bajunid.2005. Pendidikan Sepanjang Hayat; Cabaran Revolusi Cara Fikir dan Cara Hidup Kualiti Tinggi. Kertas kerja yang dibentangkan dalam Kongres Pendidikan Melayu Ke-2, Persekutuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu. Kuala Lumpur. Mahathir Mohamad.1991. Malaysia Melangkah Ke Hadapan. Kuala Lumpur: Pecetakan Nasional. Mohamad Zahir Zainudin.2005. Memperkasa Pendidikan DI Malaysia : Kelangsungan Kecemerlangan. Dalam Malaysia Isu-Isu Sosial Semasa. Kuala Lumpur : Institut Sosial Malaysia. Mohd Amim Othman.2004. Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan. Dalam Golongan Berpendapatan Rendah ; Realiti dan Cabaran. Serdang : Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Senu Abdul Rahman.2002. Revolusi Mental. Kuala Lumpur : Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd. Edisi pertama. Siegler,R.S. & Alibali,M.W.2005. Children’s Thinking. New Jersey : Prentice Hall. Fourth edition. Zulhilmi Paidi & Rohani Abdul Ghani.2003. Pendidikan Negara Bangsa. Bentong : PTS Publications & Distributior Sdn Bhd. Zainal Abidin Ahmad (Za’ba).2005. Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Cetakan ketiga. Posted by Zahir Zainudin at 8:53 PM Labels: Pendidikan

Related Documents