25 Dzulkaedah 1430H
Terbitan Masjid As Salam
http://assalambs.blogspot.com
Ujian Dan Cubaan Ke Atas Orang Berilmu Orang berilmu mempunyai kedudukan yang mulia di dalam Islam. Allah SWt mengiktiraf kedudukan orang berilmu sehingga Allah swt memulakan penyaksian itu dengan zatNya yang mulia keduanya dengan para malaikat dan sesudah itu kepada para ahli ilmu. FirmanNya di dalam surah ali-Imran ayat 18 “Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Begitu juga dengan ayat dalam surah al-Mujadalah ayat 11 “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah sebolehbolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orangorang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.” dan Surah az-Zumar ayat 9 “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orangorang yang berakal sempurna.” Hal ini menggambarkan keutaman mereka yang berilmu kerana mereka lebih hampir ke arah jalan mengenal Allah. Keahlian seseorang atau keilmuan yang diiktiraf di dalam Islam diikat dengan nilai ketaatan kepada Allah dan Rasul serta sejauh mana kemampuannya mengamalkan ilmu tersebut. Mereka adalah orang yang bertegas dengan keyakinan terhadap kebenaran dan tidak mudah tunduk kepada kekuasaan makhluk. Ketegasan ilmunya merentasi kepentingan terhadap dunia dan seisinya sehingga Allah menyatakan keahlian mereka di dalam ilmu dengan takut kepada Allah Firman Allah dalam surah al-Fatir ayat 28 “Dan demikian pula di antara manusia dan binatangbinatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.”
Menurut hadis yang riwayatkan dari Anas b Malik Nabi SAW bersabda : “Ulama itu sebagai orang-orang yang dipercayai oleh para Rasul (Nabi-nabi) untuk memimpin dan mengajar hamba-hamba Allah selama mereka tidak tidak menjilat kepada raja(pemerintah) dan tidak rakus kepada dunia, maka apabila telah memasuki urusan dunia maka telah mengkhianati Nabi-nabi dan rasul maka jauhilah mereka ( dan berhati-hatilah dari mereka. )” Orang berilmu adalah hamba Allah yang tidak terlepas dari fitnah. Mereka juga adalah manusia biasa yang punya naluri kemanusiaan seperti manusia lain. Allah berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 2 “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” Fitnah yang dimaksudkan di sini adalah Ujian dan Cubaan. Maka oleh sebab itu seorang ulama tidak boleh mendabik dada menyatakan dialah yang benar dan menolak kebenaran yang dibawa oleh orang lain. Mereka yang merasakan diri mereka lebih berilmu dari orang lain sesungguhnya mereka hilang kelayakan sebagai seorang ulama’ . Seorang ulama juga harus sentiasa berhati-hati kerana mereka juga tidak terlepas dari tipu daya (ghurur) dunia dan musuh-musuh Allah. Firman Allah dalam surah al-Kahfi ayat 103 dan 104 “Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan” Selain itu hawa nafsu tidak pernah sunyi menjadi sebab terfitnahnya seseorang ulama. Persoalan hawa nafsu ini terlalu banyak diceritakan di dalam al-Quran dan jalan untuk mengawalnya adalah dengan bermujahadah. Biarpun orang berilmu memahami bahaya hawa nafsu mereka juga tidak terlepas dari fintahnya. Firman Allah kepada Nabi Daud a.s : Hendaklah engkau berikan peringatan kepada kaum engkau tentang bahaya seluruh syahwat, kerana segala hati manusia yang begantung dengan segala syahwat dunia bererti akalnya akan terdinding lagi jauh daripadaKu( Allah) Demikianlah sebahagian dari ujian mereka yang berilmu. Mudah-mudahan menjadi renungan untuk semua. Lantas, tidak terlalu gopoh dalam pendirian dan tindakan. Ingatlah dan contohilah sifat tawaduk ulama terdahulu di dalam perselisihan pendapat. Namun prinsipnya yang benar tetap benar, tidak mungkin bersatu dengan kebatilan.
Jangan Nyalakan Api Fitnah 1. Fitnah adalah satu malapetaka yang membinasakan . Sememangnya Islam memberi perhatian serius terhadap bahaya fitnah sehingga disebut implikasinya lebih buruk dari membunuh . 2. Fitnah secara umumnya adalah pencetus sengketa justeru ia sering membabitkan tuduhan tanpa bukti , pra sangka tanpa asas dan persepsi yang salah . Malah fitnah sering beriringan dengan dendam atau sekurang - kurangnya rasa tidak puas hati terhadap pihak yang lain. 3. Ia juga seperti harimau yang sedang tidur. Sesiapa sahaja yang mengejutkannya dari tidur yang nyenyak hanya membuatkan harimau itu bingkas dan menerkam . Sedikit sahaja percubaan meniup api fitnah , ia akan menyala dan menyambar. 4. Fitnah jua boleh tercetus dalam pelbagai situasi juga dari aneka posisi . Lantaran itu, berhati - hatilah kerana fitnah adalah agenda syaitan yang pastinya ingin melihat para pejuang Islam berantakan sesama sendiri. 5. Semoga kita dipelihara oleh Allah swt daripada kebinasaan ini. Jauhi
fitnah malah jangan sekali - kali berjinak - jinak dengan fitnah. Jika ingin membuat tuduhan, pastikan ada bukti yang kukuh dan jelas. Jika mahu mengandai atau menyangka, pastikan andaian atau sangkaan itu baik. Jika mahu membentuk persepsi, bentuklah persepsi yang tepat dan benar . 6. Terlebih wajar sikap itu diambil tatkala kita berhadapan dengan sahabat seperjuangan. Meskipun wujud perbedaan pandangan dan kelainan tindakan dikalangan anggota jamaah, ianya tidak menghalalkan kita mencetus dan menabur fitnah. Fitnah yang dicetus samalah kita menikam dan membunuh sahabat seperjuangan kita bahkan kesannya lebih kejam . 7. Mengelak agar fitnah tidak terus subur menjadi tanggungjawab kita semua dengan memastikan diri kita tidak bercakap dan mengulas dalam perkara yang kita tidak tahu hujung pangkal atau jangan sekali - sekali membentuk sikap dan fikiran semata mata mendengar dari satu pihak tanpa menilai dengan adil dan memberi peluang kepada pihak lain pula . 8. Padam segera api fitnah dan padam juga semangat dendam yang membara. Tiada siapa yang boleh mengaut keuntungan apabila fitnah ini merebak,
sebaliknya jamaah akan binasa, anggota jamaah akan berpecah, masa depan perjuangan menjadi suram dan Allah swt akan murka . 9. Atas nama Allah SWT kita bersyahadah, kitab suci al Quran menjadi rujukan bersama dan mendaulatkan Islam adalah matlamat kita, maka dengan itu wajar diseru semua pihak agar kita bertaut kembali di atas nokhtah yang sama ini. Tiada yang membezakan kita dan tiada siapa yang boleh menjarakkan kita kecuali kita sengaja melakukannya atau kita sengaja membuka ruang kepada agen - agen musuh Islam untuk menyelinap masuk merosakkan jamaah dari dalam. 10. Marilah kita menghayati kembali ruh berjamaah yang berpaksi di atas semangat ukhuwwah fillah yang utuh lagi intim. Jangan pula kita seronok melihat jamaah retak dan hubungan kita rosak. Mungkin banyak perkara terpaksa kita korbankan khasnya perasaan kita agar jamaah dan ukhuwwah kita kembali pulih malah lebih baik dari sebelumnya. Ianya tidak mustahil dan kita boleh melakukannya demi Islam .
Dia-lah yang menurunkan Al Kitab (Al Quran) kepada kamu. Di antara (isi) nya ada ayat-ayat yang muhkamaat, itulah pokokpokok isi Al qur'an dan yang lain (ayat-ayat) mutasyaabihaat. Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat yang mutasyaabihaat daripadanya untuk menimbulkan fitnah untuk mencari-cari ta'wilnya, padahal tidak ada yang mengetahui ta'wilnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: "Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyaabihaat, semuanya itu dari sisi Tuhan kami." Dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan orang-orang yang berakal. (Surah Ali 'Imran : 7)