SOALAN 2 Pilih dua daripada sepuluh objektif Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual Sekolah Menengah. Jelaskan bagaimanakah objektif tersebut boleh tercapai. A. Pengenalan Dalam arus kemajuan Negara Malaysia masa kini yang semakin laju menuju matlamat menjadi Negara maju pada tahun 2020, aspek pembangunan teknologi amat dititik beratkan. Kemajuan
teknologi
merupakan
antara
pemacu
utama
sesebuah
Negara
dalam
mempertingkatkan perkembangan ekonomi dan produktiviti Negara. Justeru itu antara langkah yang diambil oleh kerajaan adalah dengan memberi penekanan dari akar umbi lagi iaitu pada peringkat sekolah. Terutama sekali pada mata pelajaran sains dan matematik. Walaupun fokus diberikan pada subjek-subjek ini, ia tidak bermakna subjek Pendidikan Seni Visual menjadi tidak penting. Sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual Sekolah Menengah mempunyai sepuluh objektif. Dua daripadanya ialah mendapat nilai tambah dalam disiplin sains, teknologi dan mata pelajaran lain (objektif keenam), dan menjadikan bidang seni visual sebagai prospek kerjaya (objektif kelapan). Namun persoalannya di sini, bagaimanakah objektif ini hendak dicapai? Paling utama sekali kita harus memahami maksud objektif-objektif tersebut terlebih dahulu dan apakah yang ingin disampaikan melalui objektif tersebut? Melihat kepada objektif keenam sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual iaitu mendapat nilai tambah dalam disiplin sains, teknologi dan mata pelajaran lain; ia membawa makna peranan seni dalam menambah nilai disiplin ilmu lain serta sumbangan yang boleh diberikan kepadanya melalui seni. Objektif kelapan pula bertujuan menjadikan bidang seni suatu bidang yang bernilai tinggi dan menawarkan peluang kerja yang banyak dan lumayan serta dapat menyumbang pada Negara. Apabila objektif-objektif ini difahami sepenuhnya, maka mudahlah objektif tersebut dicapai. Seterusnya, langkah-langkah tertentu boleh diambil bagi menjayakan objektif tersebut. Langkah-langkah yang diambil pula haruslah berfokus dan berlandaskan objektif-objektif itu. Ini adalah bagi memastikan langkah yang diambil benar-benar mencapai objektif yang ditetapkan dan tidak terpesong dari objektif tersebut.
B. Bagaimana Objektif keenam iaitu ‘Mendapat Nilai Tambah Dalam Bidang Sains, Teknologi, dan Mata Pelajaran lain’ boleh dicapai?
Objektif ini boleh dicapai dengan mengaplikasikan seni dalam proses pembelajaran dan pengajaran (P & P). Hal ini melibatkan aspek penyediaan bahan bantu mengajar dan aktiviti P & P yang hendak dijalankan. Persoalannya sekarang ialah bagaimana hendak menyerapkan roh seni dalam penyediaan bahan bantu mengajar dan aktiviti mata pelajaran lain? Perkara yang perlu dititik beratkan ialah tajuk pembelajaran serta isi kandungan topik pengajaran. Tajuk dan isi topik pengajaran harus difahami dan diamati terlebih dahulu untuk melihat di manakah harus diasimilasikan slot seni dalam pengajaran matapelajaran tersebut. Misalnya dalam matapelajaran Moral, topik yang ingin diajar oleh guru ialah mengenai amalan bergotong-royong dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Maka di sini guru boleh menjalankan aktiviti membuat lukisan yang menggambarkan suasana aktiviti bergotong-royong di kawasan kediaman masing-masing. Seterusnya, baharulah pelajar diminta menyenaraikan nilai-nilai murni dalam aktiviti gotong-royong berdsarkan lukisan yang dihasilkan oleh mereka. Dengan cara ini sudah tentu akan menambahkan keseronokan dalam P & P serta membuatkan pelajar lebih memahami topik yang diajarkan oleh guru. Penguasaan mata pelajaran Pendidikan Seni Visual boleh membantu pelajar menyelesaikan masalah matapelajaran lain disamping memberi pengalaman menyeronokkan kepada pelajar. Contohnya dalam mata pelajaran sains, pelajar harus membuat pemerhatian terhadap sebuah eksperimen yang menggunakan mikroskop. Pelajar harus merekodkan imej yang mereka lihat pada mikroskop sebagai penyimpanan data visual. Biasanya mikroskop yang terdapat di sekolah tidak mampu merakam sendiri imej yang terhasil pada kantanya. Jadi, di sinilah penguasaan seni memainkan peranannya. Jika seseorang pelajar itu dapat menguasai seni, sekaligus ia akan dapat membantu pelajar merekodkan imej (melukiskan imej tersebut) yang terbentuk pada mikroskop tersebut dengan baik dan hampir tepat. Kemahiran inilah yang
diaplikasikan oleh seniman agung Barat iaitu Leonardo da Vinci yang telah merekodkan anatomi manusia dalam bentuk lukisan. Guru seni juga harus melatih pelajar pelbagai kemahiran. Termasuklah kemahiran saintifik dalam pengajaran seni. Misalnya, menggalakkan pelajar membuat pemerhatian teliti terhadap objek yang hendak dilukis. Kemahiran ini akan membantu pelajar memahami proses pemerhatian dalam subjek sains. Selain itu, guru kemahiran hidup juga boleh mengaplikasikan seni dalam projek kemahiran hidup untuk para pelajar. Misalnya dalam projek pertukangan kayu, pelajar diarahkan menghasilkan sebuah meja istirahat. Pelajar pula digalakkan membuat kemasan dan dekorasi pada meja tersebut. Jika meja tersebut kosong sahaja tanpa sebarang dekorasi atau kemasan, sudah tentu tidak menarik dan sukar untuk guru menilai hasil kerja pelajarjika semua meja yang dihasilkan sama sahaja. Maka dengan membuat sedikit kemasan misalnya dengan membuat sedikit ukiran pada meja tersebut bukan sahaja menjadikan meja itu lebih menarik malah akan menambah nilai produk tersebut. Namun siapakah yang harus memainkan peranan untuk menjayakan objektif ini? Sudah tentulah yang paling penting adalah guru Mata Pelajaran Pendidikan Seni Visual. Selain memberi ilmu pengetahuan pada murid-murid, guru seni jugalah yang harus menyedarkan guru matapelajaran lain tentang bagaimana untuk menambah nilai dan makna dalam pengajaran matapelajaran masing-masing. Ini kerana jika guru pendidikan seni itu sendiri tidak bertindak, maka objektif ini akan gagal dan sukar untuk berjaya. Akan tetapi, ini bukan tanggungjawab guru Pendidikan Seni Visual sahaja bagi memastikan ia berjaya. Malah guru-guru matapelajaran lain juga harus turut bekerjasama dan memberi sokongan, C. Bagaimana pula caranya untuk mencapai objektif keeenam iaitu ‘menjadikan bidang seni visual sebagai prospek kerjaya’? Pada masa kini, ruang lingkup dan cakupan dalam pengajaran seni adalah luas selari dengan arus kemodenan dunia. Penyesuaian pengajaran pendidikan seni di sekolah di negara kita dapat dilihat menerusi perubahan bagi nama mata pelajaran pendidikan seni itu sendiri. Bermula
dengan nama Lukisan dan Pertukangan Tangan berubah kepada Lukisan dan Kerja Tangan, seterusnya Lukisan dan Kraf Tangan, kemudian dipermudah kepada Lukisan sahaja, seterusnya diubah kepada Pendidikan Seni dan kemudian diubah pula kepada Pendidikan Seni Visual sehingga kini. Dalam dunia yang semakin maju dan mencabar, kita perlu sentiasa menyesuaikan diri dengan situasi semasa. Begitu juga bagi mata pelajaran pendidikan seni. Sukatan pelajaran pendidikan seni masa kini diubah dan disesuaikan dengan keperluan arus kemajuan dan kemodenan selaras dengan keperluan bidang pekerjaan masa kini. Tujuannya adalah bagi memberi input(ilmu) terkini dan bermanfaat kepada pelajar yang mana dapat mendedahkan kepada mereka keperluan seni dalam bidang pekerjaan. Melalui ilmu yang diberikan, diharapkan pelajar dapat mengaplikasikannya di alam pekerjaan. Seni amat penting peranannya pada masa kini. Terdapat banyak bidang kerja yang memerlukan seni dalam pelaksanaannya. Antaranya ialah bidang seni bina, industri, animasi, pengiklanan, perfileman, grafik komputer, dan banyak lagi. Oleh kerana itu pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia menyesuaikan sukatan pelajaran dengan bidang kerja masa kini bagi menyediakan pelajar ke arah alam pekerjaan. Cara untuk menjadikan seni itu suatu bidang yang mempunyai prospek kerja yang luas adalah dengan menyesuaikan sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual di sekolah dengan kehendak pasaran pekerjaan masa kini. Misalnya memperkenalkan topik yang berkaitan tentang kerjaya yang berkaitan bidang seni dalam sukatan pelajaran. Tujuannya ialah memberi gambaran awal dan kesedaran kepada murid-murid bagaimana menjadikan seni sebagai modal untuk menjana pendapatan dan menjamin kelangsungan kehidupan. Selain mengajar teori seni kepada murid-murid, guru seharusnya juga menekankan aspek penghasilan produk seni di dalam kelas. Setiap bidang seni seperti, seni halus, tradisional, mahupun moden haruslah diajar kepada pelajar sekurang-kurang akan dapat menanam asas seni dalam diri pelajar. Jadi, ia akan menjadi aset kepada pelajar apabila sudah tamat persekolahan. Jika pelajar itu tidak dapat memperolehi keputusan yang baik dalam peperiksaan, sekurang-
kurangnya dengan kemahiran yang dimilikinya, dia akan dapat memanfaatkannya untuk memperoleh pekerjaan mahupun membuka perusahaan sendiri. Misalnya dengan kemahiran seni ukiran kayu, pelajar tersebut dapat membuka kedai ukirannya sendiri. Pada masa yang sama akan membuka lebih banyak peluang kerja untuk orang lain serta melahirkan modal insan yang dapat menjana kemajuan negara pada suatu hari nanti.
D. Kesimpulan Kesimpulannya, guru adalah watak utama yang berperanan menjayakan objektif-objektif ini. Guru harus berusaha mencari cara baru dalam mengajar subjek pendidikan seni kerana bidang seni masa kini semakin luas dan meliputi teknologi canggih. Guru tidak seharusnya menggunakan cara yang lama dalam mengajar pendidikan seni kerana pelajar masa kini lebih matang dan terdedah dengan pelbagai teknologi ciptaan dunia tanpa sempadan. Selain itu pihak kerajaan juga harus memberi sokongan kepada subjek ini malah kepada subjek-subjek lain dan bukan sains dan matematik sahaja yang diketengahkan. Ini kerana sesuatu ilmu itu tidak boleh berdiri sendiri tanpa adanya kehadiran disiplin ilmu yang lain.
SOALAN 3. Bagaimanakah pelajaran Pendidikan Seni Visual boleh berperanan untuk menyediakan asas kepada penyediaan guna tenaga manusia yang berkemahiran untuk pembangunan negara. Bahaskan. A. Pengenalan Pendidikan seni adalah suatu bidang ilmu yang boleh memberi pendidikan yang mana mencabar keupayaan individu membuat pemerhatian, pengamatan, penaakulan, pemilihan,
pentafsiran dan penterjemahan idea kepada bahan atau media. Beliau turut menyatakan bahawa pendidikan seni merupakan satu disiplin ilmu yang melibatkan ketiga-tiga domain manusia. Masyarakat harus sedar bahawa pendidikan seni bukan seperti dahulu. Pada masa kini, ruang lingkup dan cakupan dalam pengajaran seni adalah luas selari dengan arus kemodenan dunia. Penyesuaian pengajaran pendidikan seni di sekolah di negara kita dapat dilihat menerusi perubahan bagi nama mata pelajaran pendidikan seni itu sendiri. Bermula dengan nama Lukisan dan Pertukangan Tangan berubah kepada Lukisan dan Kerja Tangan, seterusnya Lukisan dan Kraf Tangan, kemudian dipermudah kepada Lukisan sahaja, seterusnya diubah kepada Pendidikan Seni dan kemudian diubah pula kepada Pendidikan Seni Visual sehingga kini. Setiap perubahan nama yang dilakukan bukanlah secara membuta tuli sahaja. Akan tetapi melambangkan apa yang ingin disampaikan oleh mata pelajaran ini. Jika dilihat pada nama subjek pendidikan seni visual, apa yang ingin ditunjukkan di sini bahawa mata pelajaran ini mengajar bidang seni yang luas dan dapat ditatap dan dilihat oleh semua manusia. Mencakupi bidang-bidang ilmu lain termasuk sains dan teknologi.
B. Bagaimana mata pelajaran pendidikan seni menyediakan asas kepada penyediaan guna tenaga manusia yang berkemahiran untuk pembangunan Negara? Menurut tokoh seni Malaysia, Syed Ahmad Jamal yang juga merupakan seorang guru mengatakan seni tampak ialah rupa dan jiwa. Bagi beliau, seni ialah sesuatu yang indah berlandaskan akal, etika, dan proses. Fokusnya di sini ialah beliau menyebut tentang etika dan proses. Etika adalah perkara penting yang harus dimiliki oleh setiap manusia yang ingin berjaya dalam hidup. Penekanan aspek etika dalam seni boleh dilihat dari segi penghasilan karya. Bermula dari mencari idea hinggalah terhasilnya karya tersebut. Ini sekali gus akan mempertajamkan kemahiran proses seseorang. Ini akan menjadikan seseorang individu pelajar itu lebih berhati-hati dan cermat dalam melakukan kerjanya. Sikap ini seterusnya akan
dibawanya ketika di alam pekerjaan dan seterusnya menjadi guna tenaga yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Oleh itu, dalam memantapkan sumbangan pendidikan seni dalam melahirkan modal insan yang bermutu, empat bidang utama dalam seni diajarkan kepada para pelajar di sekolah iaitu seni halus, seni komunikasi visual, rekabentuk dan kraf. Pengajaran keempat-empat bidang ini akan meningkatkan kemahiran dalam diri pelajar yang mana akan menjadi satu aset bagi mereka apabila menjejakkan kaki di alam pekerjaan. Seni halus mencakupi beberapa disiplin seni iaitu terdiri daripada lukisan, catan, arca dan cetakan. Kemahiran yang diperoleh oleh pelajar dari bidang ini akan mengasah jiwa artistik dalam diri mereka. Dengan kemahiran yang mereka miliki ini dapat membantu mereka melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi swasta mahupun awam. Meskipun mereka tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi selepas tamat persekolahan, mereka tetap dapat menggunakan bakat mereka dalam bidang seni halus ini dengan menjadi artis (pelukis, pengarca dan sebagainya). Sekaligus, ia akan menjadi modal kepada mereka untuk memperoleh pendapatan iaitu hasil jualan karya yang mereka hasilkan. Bidang seni komunikasi visual merangkumi rekabentuk grafik dan juga multimedia. Dalam dunia yang serba mencabar dan penuh persaingan kini, kemahiran baru seperti ini memang amat penting. Terutama sekali dalam bidang pengiklanan. Pengajaran bidang ini di peringkat sekolah sudah tentu dapat menarik minat pelajar masa kini yang sering terdedah dengan kecanggihan gajet dan teknologi-teknologi baru. Sudah pasti mereka teruja untuk menjadi salah satu watak di balik tabir kepada kecanggihan teknologi ini. Jika mereka memperolehi kemahiran dalam bidang ini, sudah tentu mereka akan dapat memanfaatkannya di alam pekerjaan. Sama ada mereka menceburi pekerjaan yang sedia ada seperti pereka grafik iklan komersial di televisyen, penganimasi, mahupun mewujudkan satu bidang kerjaya yang baru. Rekabentuk pula merupakan satu bidang yang sangat memainkan peranan besar dalam perkembangan teknologi sejak lama lagi. Cuma adakalanya tidak disedari yang ia juga adalah
sebahagian daripada bidang seni. Bidang ini terbahagi kepada beberapa disiplin seni iaitu rekabentuk industri, hiasan dalaman dan juga landskap. Penerapan ilmu-ilmu ini dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan seni di sekolah dapat memberi peluang kepada pelajar untuk menunjukkan apa yang mereka harapkan dalam kehidupan seharian. Maksudnya di sini ialah produk yang mereka mahu tetapi belum ada di pasaran. Jadi dengan adanya bidang rekabentuk ini dalam pendidikan seni di sekolah, perkembangan teknologi juga akan menjadi pesat dan tidak mustahil negara kita ini akan menjadi salah satu kuasa besar dalam penghasilan teknologi baru. Para pelajar yang mempunyai kemahiran bidang ini akan menjadi aset penting kepada negara pada suatu hari nanti. Hal yang sama juga dalam bidang kraf. Bidang ini meliputi disiplin seni batik, tenunan, kayu dan tembikar. Bidang kraf masa kini bukan sahaja menghasilkan produk kraf semata-mata. Malah pada masa kini, ia juga sudah dikomersialkan dan menjadi penyokong dan nilai tambah kepada bidang rekabentuk. Misalnya, mengaplikasikan unsur ukiran dalam penghasilan sesuatu produk baru. Jadi, pengajaran bidang kraf juga amat penting di sekolah (melalui pendidikan seni) bukan sahaja untuk melahirkan seniman kraf, malah pereka bentuk industri juga. C. Kesimpulan: Kesimpulannya, pendidikan seni pada masa kini adalah satu mata pelajaran yang sangat penting sepertimana subjek-subjek lain terutama sekali di dalam dunia yang semakin mencabar pada masa kini. Seni diaplikasikan dalam setiap bidang ilmu dan bidang kerja. Sepertimana yang dikatakan oleh Walter Gropius,”seni seharusnya memberi faedah dan berfungsi kepada kehidupan seharian dan masyarakat. Bukan sekadar untuk menyatakan hasrat diri”. Maksudnya antara fungsi seni adalah memberi manfaat kepada manusia iaitu dengan menggabungkan seni halus (tradisional) dengan seni gunaan untuk kehidupan seharian. Ilmu dalam bidang seni yang dipelajari dapat membantu pelajar dalam hidup mereka iaitu dengan mengaplikasikannya dalam hidup mereka.
BIBLIOGRAFI Hassan Mohd Ghazali(2000). Teks Lengkap Pendidikan seni Tingkatan 4 dan 5. Petaling Jaya: Fajar Bakti Ocvirk, Stinson, Wigg, Bone, Cayton,(1998). Art Fundamentals: Theory and Practice, Edisi ke8, McGraw-Hill En.Baba Ahmad bin Omar.(8-11 Oktober 2001). Pengertian dan peranan seni visual. Kertas kerja yang dibentangkan dalam Taklimat Sukatan Pelajaran Seni Visual Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Golden Straits Villas Beach Resort, Part Dickson, Negeri Sembilan. Ahmad Khair Mohd Nor, Idris Mohd Radzi, dan Mohd Ra’in Shaari(2005). Bahasa Melayu Profesional Edisi Semakan, terbitan ketujuh. Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak. Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman(2008). Falsafah Pendidikan dan Kurikulum Edisi Kedua. Quantum Books, Tanjong Malim, Perak
Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia (2000).Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual KBSR tahun 5. [On-line]. Diperoleh pada Disember,22,2008 dari World Wide Web: http://www41.websamba.com/sjkttapah/files/hsp_pseni_y5.pdf Kementerian Pelajaran Malaysia (2000). Sukatan Pelajaran Bersepadu Sekolah Rendah Pendidikan Seni Visual. [On-line]. Diperoleh pada Disember,22,2008 dari World Wide Web: http://myschoolnet.ppk.kpm.my/sp_hsp/seni/kbsm/sp_pseni_kbsm.pdf Hassan Mohd Ghazali, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prosedur Penghasilan & Penilaian
Kerja Kursus Seni Visual STPM. [On-line]. Diperoleh pada Ogos,22,2009 dari World Wide Web: http://www.pdfcoke.com/doc/16310896/Seni-Visual-STPM-Aspek-Penghasilan