Malaysia Negara Hibrid.docx

  • Uploaded by: Cid Are
  • 0
  • 0
  • December 2019
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Malaysia Negara Hibrid.docx as PDF for free.

More details

  • Words: 960
  • Pages: 3
Malaysia Negara Hibrid Sejurus selepas menyapa peserta bengkel, Prof. Dr. Faridah Jalil awal-awal lagi sudah menyatakan bahawa perbincangan pada petang itu tidak akan berkisar dalam wacana untuk mengetahui sama ada Malaysia merupakan sebuah negara sekular ataupun sebuah negara Islam. Sebaliknya perbincangan akan tertumpu kepada aspek kebebasan beragama di Malaysia dari segi undang-undang. Prof. Faridah memulakan bicara mengenai kebebasan beragama dengan memperbetulkan tanggapan umum mengenai perlembagaan persekutuan Malaysia. Perlembagaan persekutuan tidak sepenuhnya sekular mahupun Islamik sebagaimana yang sering diperdebatkan umum tetapi, ianya adalah berbentuk hibrid yakni campuran antara keduaduanya. Tanggapan bahawa perlembagaan persekutuan adalah sepenuhnya sekular atau sepenuhnya Islamik adalah tanggapan yang bermasalah. Isu Penukaran Agama di Malaysia Diberikan sifat dan posisi negara Malaysia sebagai sebuah negara hibrid dari segi undangundang, Malaysia tidak menyekat penukaran agama warganegaranya termasuk yang beragama Islam. Menurut Prof. Dr. Faridah, pertukaran agama dalam kalangan penganut agama Islam adalah tidak mustahil, tetapi ianya harus melalui proses undang-undang. Undang-undang sedia ada di negara ini tidak membataskan hak seseorang individu untuk bertukar agama dan tidak pula bercanggah dengan mana-mana peruntukan perlembagaan. Namun demikian, proses undang-undang dalam kes pertukaran agama adalah rumit dan hal ini menjadi sekatan dalam kes pertukaran agama. Memandangkan negara ini adalah negara majoriti Muslim, isu pertukaran agama dalam kalangan orang Islam yang melibatkan proses undang-undang adalah amat sensitif. Kes Azlina Jailani atau Lina Joy yang mendapat perhatian (dan tohmahan) masyarakat kerana menuntut agar pertukaran agamanya kepada agama Kristian diiktiraf undang-undang adalah sebuah contoh ampuh dalam membuktikan bahawa kes pertukaran agama melibatkan orang Islam adalah sangat sensitif dalam konteks masyarakat Malaysia. Sentimen agama yang menebal serta sikap menuduh kumpulan agama lain sebagai cuba mencabar kesucian agama Islam di Malaysia dengan membawa ‘dakyah’ agama yang berbeza dengan Islam menjadikan mekanisme pertukaran agama menjadi lebih rumit. Apabila moral dan akhlak sang penukar agama menjadi persoalan masyarakat, pada ketika itulah kerumitan undang-undang berselirat dengan kerumitan untuk berhadapan dengan tuntutan masyarakat. Kerumitan Undang-undang Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan kebebasan pertukaran agama bagi semua warganegara. Tafsiran undang-undang yang liberal mengenai perkara ini berpendapat bahawa tiada halangan bagi sesiapa yang berusia 18 tahun dan ke atas untuk menukar agama secara sukarela. Tafsiran rigid atau konservatif mengenai perkara ini pula berpandangan bahawa perkara 11 (1) perlu dibaca bersama perkara 11 (4) yang menyekat pengembangan agama lain terhadap penganut agama Islam.

Tambahan pula, perkara 3 (1) mengiktiraf Islam sebagai agama persekutuan walaupun kebebasan diberikan kepada penganut agama lain – agama Islam tetap diberikan kedudukan istimewa di negara ini. Pertentangan penafsiran undang-undang ini merumitkan lagi proses pertukaran agama dalam kalangan Muslim di Malaysia. Jelas Prof. Dr. Faridah lagi, walaupun pada zahirnya kelihatan seperti wujud halangan dan ancaman terhadap penganut agama Islam untuk menukar agama dari segi undang-undang, undang-undang sedia ada memberikan ruang untuk pertukaran agama dalam kalangan umat Islam. Ketika ditanya mengenai faktor yang menjadikan pertukaran agama seorang Islam menjadi rumit di negara ini, Prof. Dr. Faridah menyatakan bahawa ianya adalah kecaman masyarakat terhadap individu yang ingin keluar daripada Islam. Liputan meluas media dan tekanan umum mengimpak proses undang-undang. Lebih-lebih lagi mengambil kira pandangan majoriti mengenai status Malaysia sebagai sebuah negara Islam – hasil proses undang-undang yang memihak kepada sang penukar agama seringkali diterjemah sebagai sebuah keputusan yang mengancam kedudukan Islam dan penganutnya di negara ini. Percanggahan keputusan antara mahkamah sivil dan juga mahkamah shariah serta persoalan mengenai siapakah yang mempunyai lebih autoriti dalam membicarakan tuntutan pertukaran agama menyulitkan lagi keadaan. Menurut Prof. Dr. Faridah, terdapat kes di mana mahkamah shariah membenarkan tuntutan pertukaran agama seorang Muslim, dan terdapat juga kes di mana mahkamah sivil tidak membenarkan tuntutan pertukaran agama orang Islam. Kompleksiti undang-undang seperti ini agak sukar untuk difahami oleh masyarakat biasa yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai cara undang-undang ditafsir, dan berfungsi. Maka, adalah amat penting untuk memperbanyak bacaan, kajian, dan analisis mengenai sesebuah keputusan undang-undang sebelum menyimpulkan bahawa ianya adalah merupakan sebuah keputusan yang tidak adil – sepertimana yang sering dirumuskan dalam keputusan mahkamah mengenai kes pertukaran agama. Menghayati Kebebasan Beragama di Malaysia Negara Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang mendokong nilai-nilai demokrasi. Justeru, negara ini membenarkan perbezaan pandangan dan kepercayaan, dan seharusnya memberikan kebebasan untuk seseorang mengamal atau merubah agamanya. Kebebasan beragama adalah hak asasi manusia. Seseorang tidak boleh didiskriminasi hanya kerana ingin menganuti agama yang difikir sesuai baginya. Jika seseorang individu ingin mengubah kepercayaan beliau kepada sebuah kepercayaan yang lain atas kerelaannya sendiri, ianya tidak patut membawa kepada pengecaman terhadap individu terbabit. Masyarakat perlu menghormati kebebasan beragama di negara ini, dan dalam pada yang sama, tidak bersikap berat sebelah dalam kes pertukaran agama. Jika seorang bukan Islam dirai ketika memeluk agama Islam, mengapa apabila seorang Islam memeluk agama lain beliau dikecam serta diancam oleh masyarakat kita? Apakah sebilangan daripada kita hanya bertindak atas pegangan sendiri dan mendesak supaya semua orang lain untuk mempunyai pegangan yang sama?

Bukan. Ini bukanlah sebuah artikel yang menggalakkan pertukaran agama dalam kalangan Muslim Malaysia mahupun meremehkan agama Islam sebagai sebuah agama yang dianuti oleh majoriti rakyat Malaysia, tetapi ini adalah sebuah artikel yang mengajak kita untuk sama-sama berfikir mengenai isu ini secara kritis. Konsep keadilan dan ehsan di dalam Islam seharusnya diaplikasikan dalam semua keadaan – termasuk dalam keadaan yang melibatkan pertukaran agama oleh seorang Muslim. Konflik yang melibatkan kepercayaan beragama seringkali disebabkan oleh sensitiviti keagamaan yang terlalu menebal dalam sesebuah masyarakat. Tiada agama yang mengajar kita untuk berkonflik, bahkan, semua agama menyeru kepada kebaikan dan kasih sayang sesama manusia dan juga alam sekeliling. Tatkala agama dijadikan sebagai punca untuk berkonflik, ketika itulah agama telah jatuh darjatnya kepada sebuah alat permainan emosi dan kuasa. Dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia, kurangnya toleransi antara agama dan kaum sering menjadi sebab utama yang membawa kepada pergeseran antara kaum dan agama di negara ini. Harapnya, apabila timbul isu-isu sensitif seperti isu pertukaran agama ini, kita dapat berbincang secara rasional dan kritis untuk mengelak timbulnya konflik dan kebencian sesama kita.

Related Documents

Negara Malaysia
May 2020 30
Malaysia Negara Hibrid.docx
December 2019 34
Bank Negara Malaysia
June 2020 23
Negara
May 2020 35

More Documents from ""