Kesan program realiti terhadap masyarakat(mingguan wasilah bil 15-21 jun08) Posted by meor in Media on 06 20th, 2008 | one response Program Realiti AF(Akademi Fantasia)telahpun menutup tirai musim keenamnya baru-baru ini.Dan keputusan pemenangnya berpihak kepada pelajar kelahiran Sabah iaitu Stacy untuk menggondol tempat pertama dan merangkul berbagai hadiah tajaan dari penaja.Pendekata, cerahlah masa depan . Secara keseluruhannya saya bersetuju dengan kritikan para pengkritik terutamanya saudara Adlin,mungkin kritikannya pedas dan kasar,tapi ianya tetap bernas dan bersifat provokatif.Cuma secara peribadi.AC Mizal,pengacara AF pada malam itu dan juga malam-malam sebelumnya tak perlulah melalut sangat,terutama saya lihat pada malam final tersebut.Soalan-soalan yang diajukan pada pelajar kadang saya rasa tidak sesuai dan tidak bijak.Kita sedia maklum mereka akan mempersembahkan nyanyian dan sebenarnya tak perlulah ditemuramah dengan soalan-soalan seperti jual popia,kritikan yang tak boleh dilupakan,sabun Breeze dan berbagai lagi..Soalan-soalan begini sebenarnya mengganggu konsentrasi para pelajar secara psikologinya.Dan kita pun sedia maklum para pelajar AF ni hanyalah budak-budak yang separuh matang,pintu dunia seni dan hiburan baru saja terbuka untuk mereka,apalah yang mereka faham tentang seni dan hiburan melainkan menyanyi sebaik mungkin walau kualiti nyanyian masih masih boleh dipertingkatkan. Apapun, bagi saya program-program realiti sebegini kalau dihentikan lebih berfaedah,sebab ianya tidak bersifat mendidik masyarakat melainkan hiburan kosong yang hanya menjanjikan fantasi dan menggalakkan orang melayu berangan dan dan terus berangan. Kerajaan perlu lebih peka,berperanan dan memantau program-program realiti sebegini sebenarnya,sebab kesan dari segi sosialnya pada masyarakat kita boleh lihat dalam jangkamasa panjang dimana budaya kebaratan dan kepura-puraan tersemat secara perlahan dalam minda masyarakat hari ini. Asasnya hiburan itu adalah muzik dan filem,jika ianya bersifat mendidik dan membuat kita berfikir halallah hukumnya,tapi jika melalai dan melekakan atau membengapkan pemikiran maka haramlah hukumnya.Dan saya tidak nampak apa faedah yang masyarakat akan dapat dari program cedokan dari Barat ini sebenarnya.Kenyataannya tanpa kita sedari minda kita dimanupilasi oleh pihak Media Cetak mahu pun Elektronik,dan ini sebenarnya yang telah dan sedang berlaku sejak tahun 50an lagi.Masyarakat kita suka dibuai dengan mimpi indah fantasi dari berpijak dibumi nyata.Umpama kalau di India,dengan jumlah populasi penduduknya yang ramai,dan majoritinya sangat miskin,dan masyarakatnya memang mahukan hiburan semata, mereka mahu lari dari dunia nyata.Hero digambarkan seperti Dewa.Everything must be perfect,setiap cerita kena ada happy ending,kalau ending sedih,panggung wayang akan dibakar. Itu amalan Negara yang mengamalkan sistem Kapitalis,yang kaya terus kaya,yang miskin makin papa.Realitinya dimana-mana negara membangun pun mengamalkan sistem itu,termasuk di Negara kita. Wartawan hiburan perlulah berilmu dan lebih berperanan dalam menjalankan tugas mereka.Mereka perlu faham muzik mahu pun filem bukan sekadar hiburan kosong.Sebagaimana yang kita tahu dunia Artis adalah dunia hiburan yang penuh dengan nilai seni yang kepura-puraan.Artis digambarkan sebagai subjek yang hebat dan sempurna oleh pihak Media walau kenyataannya tidaklah seperti yang digambarkan..bak kata orang Perak..Bio pape ase begaye(biar papa asal bergaya)..mungkin hanya segelintir para Artis yang berjaya dalam hidup mereka,namun bilangannya boleh dikira dengan jari. Kalau dulu waktu di zaman jalan Ampas,pelakon-pelakon Filem yang dibayar gaji bulan tidak digalakkan menunjukkan muka atau bertemu masyarakat,maknanya perlu ada jurang antara Artis dan masyarakat.Masih relevenkah pandangan yang sebegitu di abad ke-21 ini?Yang pasti Artis-artis atau pelakon diwaktu itu menjadi mangsa manupilasi yang nyata dari golongan Tokeh-tokeh wayang dan Para pengusaha Filem waktu itu.R.Azmi(Allahyarham)penyanyi tersohor langgam 50an,meninggal dunia dalam keadaan papa kedana dan miskin.Siapa yang buat untung?Tentulah Syarikat Rakaman. Tambahan pula diwaktu itu Tiada Akta hak cipta dan bayaran royalti untuk Artis.Artis Cuma dapat Glamour dan puji-pujian kosong yang tak tau kemana hala tuju nya pun. Apa yang kita lihat hari ini,para wartawan lebih suka menceritakan tentang gossip dan skandal para Artis dan ini yang telah disemat dan dididik kedalam pemikiran masyarakat kita hari ini.Dan mereka tahu masyarakat sangat sukakan cerita yang sebegitu,dalam masa yang sama pihak Media Hiburan khususnya gagal dalam peranannya mendidik masyarakat,melainkan bersekongkol membuat fitnah dan dosa dalam cerita-cerita yang tidak matang. Dan faktor ini tidaklah dapat kita nafikan sebenarnya,sebab kebanyakan para wartawan yang terlibat dalam bidang hiburan ini bukanlah punya kefahaman yang baik tentang muzik mahu pun filem.Mereka bukannya faham bahkan mungkin tidak punya minat pun untuk belajar tentang cabang-cabang muzik dan filem.Apa yang mereka faham adalah muzik itu cabangnya hanya Pop,lirik mesti ada unsur-unsur cinta dan putus asa,kalau
Rock pun mesti jiwang dan cintan ,kalau filem pula plot atau jalan ceritanya sama dan stereotype dan misi yang lebih penting adalah untuk mencungkil apa cerita dalam kelambu para Artis yang kadang mengaib bahkan menjatuhkan maruah para Artis itu sendiri.Peranan Wartawan dalam menaik dan menjatuhkan para Artis sangat hebat sebenarnya,tanpa mereka sedari apa yang ditulis itu bakal memberi impak yang baik atau buruk pada nilai seseorang Artis disisi masyarakat.Dan jika ianya sesuatu yang mengaibkan walau apa tujuan sekalipun ,bukankah itu satu dosa besar disisi ugama kita?Sedang kita tidak dapat menghalalkan dosa jika memang benar ianya satu dosa. Kebanyakan cerita-cerita tentang Artis yang kita baca dimajalah-majalah Hiburan hari ini bagi saya membodohkan pemikiran anak muda dan masyarakat amnya,menggalakkan kita taksub dengan dunia Glamour para Artis,menonjolkan imej seksi keterlaluan dan mengagungkan nilai kebendaan. Dan saya bersetuju dengan kenyataan Mufti Perlis yang tidak membenarkan penyanyi Faizal Tahir(Artis yang lahir dari program Realiti) untuk membuat persembahan dinegeri itu,atas kesilapan dan keterlanjurannya membuka baju dalam satu persembahan yang disiar dikaca TV sedikit masa lalu. Muzik mahupun Filem perlulah bersifat lebih mendidik,kerana ianya satu cabang ibadah juga antara sesama kita asal nawaitu kita betul.Hiburan itu satu keperluan ,cuma perlu diseimbangkan dengan waktu dan situasi,kerana realitinya,hidup ini bukanlah sekadar hiburan semata.END
PENGARUH TELEVESYEN TERHADAP PERKEMBANGAN MINDA KANAK-KANAK Posted on Maret 18, 2008 by imbalo
Ditulis oleh : Zulzaidi bin Mahmud Media elektronik dan media bercetak merupakan medium kepada manusia untuk mengetahui banyak perkara, secara tidak langsung menambahkan ilmu pengetahuaan. Media elektronik iaitu televisyen merupakan media yang menjadi “favourite” semua lapisan masyarakat dari peringkat kanak-kanak, remaja, belia dan warga tua. Televisyen memaparkan banyak perkara seperti politik, ekonomi, sosial, sukan dan hiburan. Kanak-kanak merupakan antara golongan yang teramai dan terbanyak menonton televisyen. Perkara yang menjadi tontonan kepada kanak-kanak adalah berhubung dengan hiburan, seperti rancangan kartun dan nyanyian. Hiburan boleh mendatangkan ketenangan, menghilangkan kekecewan, dan mengatasi masalah emosi, tetapi hiburan kartun yang ada di televesyen adalah berorientasikan hiburan yang patut dijauhi oleh kanak-kanak kerana ia bukan mematangkan mereka tetapi menjadikan mereka berfikiran negatif. Kartun adalah rancangan paling diminati oleh kanak-kanak ditambah lagi dengan kecanggihan teknologi sehingga ada rancangan kartun seakan-akan berbentuk “realiti” yang dipanggil 3D. Setiap hari kartun diibarat seperti makanan yang wajib dimakan untuk hidup, tidak lengkap hidup kanak-kanak tanpa menonton kartun. Pihak-pihak penyiaran telah mencuri “Golden Time” kanak-kanak untuk mempertontonkan rancangan-rancangan kartun yang menarik seperti Doraemon, Detektif Conan, Sinchan, Spongebob dan lainlain lagi. “Golden Time” itu sepatutnya menjadi waktu yang digunakan oleh kanak-kanak untuk mematangkan mereka seperti membaca, bermain bersama ibu dan bapa. Rancangan penonton-penonton cilik ini khasnya kartun disiarkan tanpa mengisa masa, ada juga kanak-kanak menyatakan kepada ibu bapa “sabtu dan ahad hari abang tau”. Bermula dari jam 9 pagi kanak-kanak sudah terpacak di hadapan televisyen untuk menonton rancangan yang kononnya memberikan manfaat kepada mereka secara total. Sebenarnya tanpa kita sedari bahawa televisyen yang telah mendidik kanak-kanak bukan ibu bapa. Penulis berkata demikiaan kerana televesyen telah melayani kanak-kanak dengan tekun dan memberi layanan yang memuaskan hati mereka tanpa mereka rasa gusar dan bosan walaupun sesaat. Belaian dan kasih sayang yang sepatutnya diberikan oleh ibu dan bapa telah beralih kepada televisyen, dan perkara ini amat menyedihkan.
Cuba bayangkan kasìh sayang seorang ibu kepada anaknya telah dirampas orang ketiga tanpa disedari. Setiap ibu bapa harus sedar bahawa orang ketiga itu adalah “Prof Dr. Televesyen” yang bisa mengajar kanak-kanak apa sahaja. Ungkapan yang dijadikan asas kepada sicilik untuk menonton televesyen adalah “sesuai untuk semua lapisan masyarakat” ditambah lagi dengan perkataan “U” bagi UMUM. Rancangan-rancangan yang ditonton tidak semuanya sesuai untuk kanakkanak kerana ada juga yang berunsur negatif yang patut dijauhi. Bukan hanya cerita kartun sahaja yang patut dijauhi, tetapi televesyen itu sendiri mesti dijauhi agar keseimbangan emosi kanak-kanak terjaga tanpa ada noda-noda negatif. Jauh di sini bermaksud jika sicilik yang ingin menonton televisyen ia mestilah dipantau secara total kerana ditakuti dipengaruhi unsur-unsur negatif dalam fikiran mereka. “Akademi Pediatrik Amerika (APP) telah menyarakan supaya televesyen diharamkan bagi kanak-kanak di bawah usia dua tahun. Ini disebabkan dalam tempoh dua tahun pertama bayi memerlukan sentuhan manusia bukan didikan imej di televesyen” [petikan Buku Kesan TV Terhadap Perkembangan Anak Anda Terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang]. Terdapat begitu banyak kesan kanakkanak menonton televesyen, bukan hanya terhadap fizikal menurut sains tetapi juga terhadap emosi dan tingkahlaku yang akan diterangkan selepas ini. KESAN DAN PENGARUH TV TERHADAP ANAK ANDA. Menjejaskan Prestasi Akademik Dan Pembacaan Lancar Rancangan kanak-kanak dipertontonkan kepada sicilik pada “Golden Time” kanak-kanak iaitu diantara jam 2 petang sehingga 8 malam. “Golden Time” adalah waktu yang sesuai dan sewajarnya untuk sicilik menyiapkan kerja sekolah, membaca bacaan ilmiah untuk melancarkan pembacaan, belajar mengaji, riadah untuk menyihatkan tubuh badan dan masa untuk menjana kreativiti sicilik. Tetapi waktu-waktu ini telah digunakan oleh sicilik untuk menonton televesyen tanpa rasa rugi. Menurut laporan 1994 dari Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat, pencapaian akademik jatuh ketara bagi kanakkanak yang menonton lebih daripada 10 jam seminggu. 10 jam seminggu ini jika digandakan selama setahun jauh lebih banyak dengan masa seorang penuntut Ijazah Sarjana Muda menghabiskan jumlah jam kredit untuk menjadi graduan. Perkara ini perlulah difikirkan oleh ibu bapa dan perlu dititikberatkan untuk menjana generasi mendatang. Melalui pembacaan otak sicilik berfungsi semaksima mungkin untuk membayang dan menganalisis apa yang dibaca dan ia juga memerlukan bantuan ibu bapa. Penulis bertanya kepada pembaca artikel sekelian, pernah tidak anak anda membaca dalam keadaan merangkak dan bertanya kepada anda, contohnya anak anda mengeja “ L O R I “ kemudian bertanya “ibu apa itu lori ?” pastinya pertanyaan itu telah menjana kecerdasan otak kanak-kanak itu untuk menganalisi perkataan yang disebut dan cuba membayangkan apa itu lori. Menurut Dr Jerre Levy Pakar Perkembangan Hemisfera Otak di Universiti Chicago telah menyatakan “ otak direka bagi memenuhi cabaran-cabaran kognitif. Ia seperti otot: jika anda tidak membuat latihan ia akan lemah. Jika tidak melatih otak anda, ia juga akan lemah”. Kemahiran bahasa boleh diransang melalui pembacaan dan juga perhubungan dua hala lebih-lebih lagi keluarga iaitu ibu bapa bukannya menonton televisyen. Menonton televisyen adalah proses interaksi sehala sahaja iaitu televisyen menayangkan rancangan dan sicilik sibuk menonton tanpa berfikir dan tidak kreatif. Menurut Dr Patti Valkenburg dan Dr Tom Van De Voort dari Pusat Kajian Media Kanak-Kanak di Leiden, Belanda, yang telah meneliti semua kajian yang dijalankan dalam
tempoh 40 tahun. Kajian-kajian itu meneliti perbezaan dalam daya imaginasi kreatif kanak-kanak yang di rumah mempunyai televisyen berbanding kanak-kanak yang tidak mempunyai televisyen [petikan Buku Kesan TV Terhadap Perkembangan Anak Anda Terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang]. Contohnya anda melihat anak anda sibuk bermain dengan sebatang pen. Pastinya anda tertarik bahawa sicilik menggunakan hanya sebatang pen dengan banyak cara antaranya menulis, menconteng dan ada juga yang menganggap ia adalah “microphone” untuk menyanyi. Bukankah itu tandanya otak sicilik telah digunakan untuk menjana kreativiti? Mempertontonkan Unsur Keganasan Kanak-kanak lebih banyak terdedah kepada unsur keganasan. Tidak kita sedar bahawa kebanyakan cerita kartun yang dipertonton kepada sicilik di dunia global ini mempunyai unsur-unsur ganas. Penulis yakin jika anak anda menonton rancangan Ultraman pasti mulut anak ada akan menyebut perkataan “BUNUH”. Anak anda akan berkata “Ultraman bunuh raksasa itu” bukankah itu merupakan unsur keganasan tanpa kita sedari?. Keganasan di televisyen adalah terlalu banyak berbanding dengan dunia realiti kerana televesyen dapat menyediakan adegan-adegan bunuh, pukul memukul, menembak, menampar, menjerit dan sebagainya yang boleh diistilahkan sebagai ganas. Unsur ini jika tidak dibendung mendatangkan mudarat yang besar pada emosi kanakkanak dalam kehidupan. Ada juga bila ibu menyuruh sicilik melakukan apa-apa kerja, lalu sicilik naik angin dan berkata “kalau ibu suruh lagi, adik fire ibu “. Bukankan itu satu pembentukan sahsiah yang merucing dan kebejatan yang tidak sepatutnya berlaku. Mempertontonkan Unsur seks Rancangan yang dipertontonkan kepada kanak-kanak seperti kartun yang mempunyai imej-imej seksi dan berunsurkan seks. Jika si hero dalam rancangan televesyen mempunyai imej ganas, si heroin pula mempunyai imej seksi. Imej seksi ini menampakkan bentuk atau lekuk-lekuk tubuh wanita yang sepatutnya dijauhi oleh kanak-kanak?. Babak-babak cinta, cium dan tidur bersama adalah babak yang menjadikan sicilik terlalu cepat matang, bukan matang dengan perkara positif, tetapi matang dengan perkara negatif. Ibrahim M.Hefzallah dalam bukunya Critical Viewing of Televisyen menyatakan televesyen memaparkan hubungan seks yang berulangkali. [petikan Buku Kesan TV Terhadap Perkembangan Anak Anda Terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang] Seks yang biasa ditunjukkan bukan hanya dalam cerita kartun tetapi cerita realiti juga yang mana unsur-unsur cinta si hero dan heroin telah berakhir di ranjang katil untuk menunjukkan bahawa itu adalah tanda cinta sejati. Perkara ini jika setiasa berulang dalam kehidupan sicilik ia akan mengangap ia adalah perkara lumrah dan biasa. Pembaziran Dalam buku “The Overspent American”, Pakar Ekonomi Harvard, Juliet Schor menegaskan lebih banyak seseorang menonton televesyen, lebih banyak ia berbelanja.[petikan Buku Kesan Tv Terhadap Perkembangan Anak Anda Terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang]. Dua benda yang menjadikan tontonan televesyen ini dikatakan membazirkan bagi penulis adalah “fun” and “fashion” dikalangan kanak-kanak. Bagi kanak-kanak lelaki apabila selepas melihat rancangan kegemaran meraka pasti keinginan mereka membuak-buak untuk membeli alatan-alatan yang kurang bermanfaat yang ada kaitan dengan rancangan yang ditonton. Contohnya mainan-mainan seperti robot, senapang dan kad-kad mainan yang mempunyai imej hero mereka. Bagi kanak-kanak perempuan patung-patung, t-shirt atau Costum dan sebagainya yang memaparkan imej heroin yang
disukai. Sicilik sanggup untuk bermogok kepada ibu pada sekiranya tidak membeli peralatan hiburan ini. Bukankah ia sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Penulis merasakan ibu bapa perlu memikirkan keperluan sicilik, jika ia dianggap keperluan yang mampu merangsang minda sicilik tanpa ada unsur negatif, penulis berpendapat itu boleh dipertimbangkan, kerana bukan semua perkara itu negatif. Selain itu rancangan berbentuk game yang dipertontonkan juga menarik minat sicilik. Game berbayar ini jika ibu bapa tidak memantau rapi anak-anak, ia mudah menarik minat anak untuk bermain. Permainan game di rancangan televisyen mengenakan bayaran yang tinggi justeru meningkat perbelanjaan ibu bapa. Panggilan-panggilan telefon telah meningkat akibat keinginan anak-anak untuk bermain permainan televesyen ini. Bahasa Kasar Dan Khayalan Melampau Bahasa yang digunakan oleh rancangan kartun mempunyai bahasa-bahasa kasar yang patut dijauhi. Contohnya dalam Ultraman atau Power Rangers perkataan yang tidak pernah ditinggalkan adalah perkataan “tak guna” atau “jahanam punya penjahat”. Perkataan atau frasa ini tidak sepatutnya di jadikan makanan untuk sicilik, kerana peringkat kanak-kanak merupakan peringkat pertuturan yang baik-baik dan tidak berunsur negatif. Jika perkataan ini berulang-ulang didengar oleh kanak-kanak ditakuti ia akan diterjemahkan kedalam kehidupan harian terutama apabila berinteraksi dengan ibu bapa atau rakan sebaya. Khayalan dalam cerita-cerita di televesyen juga tidak ada bandingan lagi kerana khayalan yang dibawa adalah khayalan yang melampau dan ditakuti menjadi habit atau cubaan kepada sicilik. Contohnya kartun Superman atau Spiderman yang memaparkan khayalan yang mustahil berlaku, dan jika diterjemahkan oleh sicilik dalam dunia realiti ini dikhuatiri mendatangkan kesan buruk. Unsur Yang Merosakkan Nilai-Nilai Keagamaan. Rancangan di televesyen mempunyai kesan-kesan negatif yang telah diterangkan diatas, ada juga kesan yang paling buruk yang akan merundung dan menyelubungi anak kita secara tidak langsung. Kesan itu adalah pengaruh terhadap nilai-nilai keagamaan terutama kepada yang kanak-kanak yang mula mengorak langkah mengenal agama. Contoh yang paling ketara adalah masa rancangan disiarkan di televesyen, kita sedia maklum untuk menarik kanak-kanak waktu yang paling sesuai adalah dari jam 7 hingga ke 8 malam. Di dalam waktu ini bagi yang menganut agama Islam terdapat waktu Maghrib yang mana umat Islam akan mengerjakan solat Maghrib. Waktu kanak-kanak adalah waktu yang paling sesuai untuk mentarbiah sicilik untuk belajar solat. Jika waktu ini disia-siakan maka tiang agama mudah dirobohkan. Selain waktu yang tidak sesuai, rancangan-rancangan berbentuk merosakkan akhlak juga banyak dipertontonkan seperti pakaian, atau watak-watak yang tidak senonoh dipertontonkan. BAGAIMANA CARA MENGATASI DAN MEMBANTU PERKEMBANGAN ANAK ANDA Kesan televisyen terhadap perkembangan sicilik telah diterangkan di atas secara ringkas agar pembaca dapat mengetahui bahawa kesan negatif adalah lebih banyak kesan positif apabila anak anda menonton rancangan di televesyen. Bukan semua rancangan di televesyen mempunyai kesan buruk dan negative tetapi pemantauan ibu bapa adalah perlu agar sicilik hanya melihat rancangan yang berunsurkan ilmu pengetahuan yang mempunyai positif. Peranan Ibu Bapa
Ibu bapa mestilah meluangkan waktu bersama kanak-kanak dalam setiap aktiviti mereka. Belaian ibu bapa terhadap sicilik merupakan tanda kasih sayang yang amat diperlukan mereka. Jika menonton rancangan televesyen sewajibnya ibu bapa menemani sicilik agar rancangan televesyen yang dipertontonkan dipantau dengan rapi agar tidak terdedah kepada unsur-unsur negatif. Rancangan Berunsur Dokumentari Bukan semua rancangan di televesyen itu negatif, terdapat juga rancangan yang menjana otak mereka supaya menjadi matang. Antaranya rancangan berbentuk dokumentari yang mana rancangan tentang unsur-unsur alam semulajadi. Kehidupan haiwan dan tumbuhan yang ditayangkan memberi kesedaran kepada mereka bahawa Alam ciptaan Tuhan amat luas dan tiada penghujungnya. Apabila sicilik melihat rancangan dokumentari ini dengan ditemani ibu bapa dan keluarga secara tidak langsung keterikatan hubungan makin erat dan rapat. Pastikan Televesyen Jarang Terpasang Televesyen yang dipertontonkan kepada anak anda haruslah jarang dipasang agar televesyen tidak menjadi keperluan mereka. Jika perkara sebegini berlaku dan televesyen menjadi kehidupan mereka, hubungan ibu bapa dengan anak-anak akan mula renggang akibat ada orang ketiga. Dalam tempoh 12 tahun pertama kehidupan kanakkanak ia haruslah rapat dengan budaya membaca. Budaya membaca ini akan menjadikan anak anda lebih matang dan berwawasan jauh. KESIMPULAN Selaku orang dewasa yang diamanahkan untuk mendidik kanak-kanak, perlulah kita mentarbiah mereka agar mereka menjadi generasi yang terbaik. Setelah diterangkan secara ringkas berkenaan dengan kesan dan pengaruh televisyen terhadap kanak-kanak, dapatlah kita fahami bahawa televisyen bukanlah cara menyelesaikan masalah yang terbaik. Selaku orang yang berfikiran matang haruslah kita mengambil beberapa langkah untuk membendung gejala yang kurang bermanfaat ini. Antaranya televisyen perlulah berada di tempat yang kurang strategic agar kanak-kanak susah untuk menontonnya. Selain itu pastikan televisyen sentiasa tertutup kecuali rancangan yang member manfaat kepada anak anda, kemudian pertimbangkanlah keperluan televisyen dalam hidup keluarga anda. Jelaslah bahawa bukan mudah untuk membentuk genarasi kanak-kanak yang bijak pada hari ini dan gemilang pada masa depan.
SN025 - KEGAGALAN SISTEM KAPITALISMA MENANGANI MASALAH SOSIAL Monday, 09 June 2008 21:42 PDF SN Keluaran 2005
[SN025] Masyarakat Malaysia dikejutkan lagi dengan satu lagi gejala sosial. Episod menyedihkan musim baru menyaksikan seorang pelajar Sekolah Menengah Agama Al-Maidah Addiniah, Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang bernama Muhammad Afiq Qusyairi Baharuddin, 13, dilaporkan telah dipukul pelajar senior pada 24 April lepas sebagaimana yang dilaporkan di laman web Bernama pada 14 Jun 2005. Ketika ramai dari kalangan anggota masyarakat mengurut nafas lega kerana adik Afiq tidak mengalami lumpuh seluruh anggota badannya dan boleh berjalan sendiri, dengan tiba-tiba insiden seorang remaja dibelasah sekelompok samseng menjadi berita sensasi negara. Laporan Berita Harian, Khamis 30hb Jun 2005 menyatakan Allahyarham Asrin Mohsin, 18, yang bertarung nyawa selepas dibelasah di Pesiaran Gurney, Georgetown awal pagi Sabtu lalu, disahkan meninggal dunia jam 4 pagi setelah koma selama 4 hari. Gara-gara seorang perempuan, nyawa yang jadi galanggantinya! Sungguhpun isu ini menarik perhatian seluruh anggota masyarakat termasuk ahli Parlimen dan Sultan yang sudi mencemar duli untuk turun ke padang, gejala sosial yang semakin menjadi-jadi ini seolah-olah sekadar hangathangat tahi ayam kerana ujudnya terlalu banyak agenda hiburan yang menenggelamkan berita-berita sebegini. Rancangan televisyen realiti seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Audition dan Bintang RTM lebih mendapat tempat di hati peminat seni hiburan tanahair. Sambutan konsisten terhadap rancangan yang mampu menjana keuntungan stesyen televisyen dan syarikat telekomunikasi dibuktikan dengan siri airmata peminat menangisi ‘pemergian’ idola mereka, sebaliknya isu sosial seperti insiden buli dan belasah hanya disambut dengan rungutan yang bersifat sementara. Kemunculan artis-artis jelita ‘ala mi segera’ ini sangat menarik minat apatah lagi dengan penampilan seksi yang sudah tentu boleh menggelorakan syahwat. Siapa yang telah lupa laporan media sejurus selepas tamat Akademi Fantasia 2 yang mana sejumlah RM7.5 juta telah ‘dilaburkan’ oleh rakyat Malaysia dalam bentuk undian SMS (Utusan Malaysia, 15 Ogos 2004). Dalam masa yang sama, isu rogol dan sumbang mahram masih tetap mewarnai senario media cetak dan maya. Kegelisahan umat yang ditunjukkan dengan tulisan-tulisan di media-media tersebut dan paparan MySiasat NTV7 serta 999 (TV3) seakan tidak mampu menangani masalah sosial yang bertali arus seiring dengan kepesatan pembangunan madaniyyah demi meletakkan Malaysia di peta dunia. Sebahagian golongan bersikap acuh tidak acuh. Ketika keluarga Allahyarham Asrin masih berduka, sebahagian masyarakat ibu kota sibuk membanjiri Dataran Putrajaya untuk menyaksikan secara langsung konsert mingguan kelima Akademi Fantasia 3 (AF3). Apakah sikap sebegini mampu merealisasikan aspirasi melahirkan masyarakat cemerlang? Sautun Nahdhah ingin mengungkap masalah sosial masa kini yang berpunca dari tidak ujudnya pemisahan antara lelaki dan wanita dalam kehidupan dan apakah perspektif Islam menanganinya untuk melahirkan masyarakat gemilang di dunia dan akhirat. Reaksi Masyarakat Sesetengah kaum Muslimin melihat realiti yang menyakitkan ini sebagai masalah akhlak dengan bersandarkan pada tanggapan “Jika setiap individu memiliki akhlak yan baik, maka masyarakat pun akan menjadi baik. Kemunduran dan kebangkitan suatu masyarakat sangat ditentukan oleh kebangkitan dan kemunduran akhlaknya”. Pandangan ini adalah sangat dangkal kerana insiden-insiden menyedihkan yang dipaparkan di atas sebenarnya adalah gejala atau symptoms, manakala penyakit sebenar yang melanda masyarakat hari ini adalah disebabkan oleh dominasi sistem kapitalis dan tidak dilaksanakan hukum-hakam Islam secara kaffah (menyeluruh) dalam kehidupan. Akibatnya masyarakat tidak pernah ambil pusing antara punca masalah sosial yang sangat menonjol iaitu pergaulan lelaki wanita yang tidak menurut batasan yang ditetapkan oleh syarak. Cara Merubah Masyarakat dalam Sistem Kapitalis
Jika aspirasi murni ialah melahirkan masyarakat cemerlang, ini bermakna konteks yang hendak dikaji adalah kebangkitan umat atau kebangkitan masyarakat, bukan kebangkitan individu. Maka, cara membangkitkan individu pasti tidak sama dengan membangkitkan masyarakat. Contoh: seorang lelaki yang mengamalkan rukun Islam dengan sempurna, dapatkah dia mengawal jirannya dari terjebak dengan perzinaan? Justeru cara membahas kebangkitan masyarakat adalah dengan memahami unsur-unsur penyusun masyarakat serta cara mengubah masyarakat yang terdiri dari 4 unsur – manusia, pemikiran, peraturan dan perasaan. Jika penyelesaian yang dicari berasaskan sistem kapitalis yang mementingkan manfaat-mudarat, untung-rugi semata-mata kita menyaksikan hukuman yang dilaksanakan tidak mampu menyelesaikan berbagai krisis sosial yang kian meruncing. Hukuman berasaskan common law juga terbukti gagal sehingga tidak mampu melindungi masyarakat sehingga hak masyarakat untuk menikmati ketenangan telah dirampas. Hukuman dari Perspektif Islam Syariat Islam adalah sistem yang ditetapkan oleh Allah untuk mengatur kehidupan manusia melalui Rasulullah saw untuk seluruh dan demi kerahmatan umat manusia sepanjang masa dimana jua. Hukum Islam dengan sumber Al-Quran dan As Sunnah, adalah hukum yang lengkap yang akan mengatur segenap aspek kehidupan manusia. Dengan ijtihad para mujtahid, hukum Islam akan mampu menjawab tiap persoalan baru yang muncul. Ia tidak akan pernah kering dan sentiasa relevan di sepanjang masa. Hukum Islam diturunkan kepada manusia dengan memandang manusia sebagai manusia yang memiliki sifat kemanusiaan (insaniah)yang secara sunnahtullah, tidak mengalami perubahan. Manusia yang hidup 14 abad yang lalu di negeri Arab, memiliki sifat kemanusiaan yang dengan manusia yang hidup sekarang. Menurut Syekh Muhammad Muhammad Ismail dalam kitab Al-Fikru al Islamy, pada diri manusia terdapat potensi kehidupan iaitu keperluan organik serta naluri berupa naluri beragama, naluri pembiakan dan naluri survival sebagai sunnatullah, yang mana potensi ini tetap ada sepanjang masa. Justeru cara menangani sebarang permasalahan yang melanda manusia hendaklah mengambil kira fitrah atau sunatullah manusia ini. Antara Wanita dan Lelaki Wanita dan lelaki adalah makhluk Allah SWT yang diciptakan untuk saling lengkap-melengkapi. Di dalam Al Qur’an, Allah Swt berfirman berkaitan dengan keberadaan manusia, yang terdiri dari laki-laki dan perempuan, sebagai berikut :“ Hai manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kalian dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, lalu menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kalian saling mengenal. (Surah alHujurat 49:3).) " Diantara tanda-tanda kekuasaannya ialah Dia menciptakan untuk kalian isteri-isteri dari diri kalian sendiri supaya kalian cenderung dan merasa tenteram dengannya" (Surah ar-Rum 30:2) Adalah suatu yang lumrah apabila ujud 'chemistry' antara wanita dan lelaki. Ia adalah manifestasi naluri manusia untuk melanjutkan keturunan, yang menuntut suatu pemuasan ketika bergejolak. Akan tetapi, naluri tersebut tidak akan bergejolak, kecuali kerana adanya fakta yang dapat diindera atau adanya fikiran-fikiran yang sengaja ditimbulkan. Kita dapati masalah sosial yang bermaharajalela di dalam masyarakat saat ini disebabkan tidak adanya batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita. Masyarakat Islam sendiri telah termakan idea Barat yang mana mereka tindakan menciptakan fakta-fakta yang terindera dan fikiran-fikiran dan fantasi-fantasi seksual merupakan tindakan yang lazim mereka lakukan. Tujuannya adalah demi membangkitkan naluri seksual mereka sehingga naluri tersebut menuntut pemuasan. Apabila masyarakat lebih selesa menghabiskan masa dengan aktiviti-aktiviti hiburan dan kurang peduli masalah-masaah sosial disekeliling mereka, bagaimanakah aspirasi melahirkan masyarakat cemerlang & gemilang hendak dicapai? Penyelesaian Menurut Perspektif Islam i. Ketaqwaan Individu Islam yang lengkap ini memiliki pengaturan dan hukum-hakam tentang apa jua permasalahan yang menimpa manusia. Seorang muslim sejati yang menjadikan redha Allah sebagai penentu perbuatannya meyakini bahawa akidah yang mantap akan membantu seseorang menangani isu berkenaan dengan pemenuhan naluri melanjutkan keturunan (gharizatul nau’) iaitu melalui pernikahan. Sekiranya masih belum berkemampuan, naluri ini dikekang dengan mengalihkannya pada aktiviti yang mendekatkan diri pada Allah (taqarrub ilalLah) seperti berpuasa sebagaimana hadis riwayat Bukhari yang bermaksud, "Wahai pemuda, sesiapa sahaja diantara kamu yang mampu berumahtangga, maka menikahlah. Sebab, menikah itu dapat menundukkan pandangan dan membentengi kemaluan. Namun, sesiapa sahaja yang tidak mampu, maka hendaknya berpuasa, sebab puasa itu dapat menjadi benteng (bagi seseorang)" Ini selaras dengan firman Allah – "Orang-orang yang tidak mampu untuk menikah, hendaklah menjaga kesucian (diri)nya hingga Allah memberikan kepada mereka kemampuan dengan kurnia-Nya (Surah an-Nur 24;33). Dia juga disarankan agar. Sekiranya terdapat realiti seperti wanita seksi lalu di hadapan mata, dia akan dengan segera menundukkan pandangannya sebagaimana perintah Allah
SWT dalam surah An-Nur ayat 30, "Katakanlah kepada lelaki-lelaki beriman, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka". Sementara bagi para wanita pula, mereka mematuhi perintah menundukkan pandangan, memakai khimar (tudung kepala) dan berjilbab ketika di tempat umum dan di hadapan lelaki bukan mahram sebagaimana firman Allah : "Hendaklah mereka melabuhkan kain tudung ke dada mereka. Janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa tampak pada dirinya (surah An-Nur 24: 31) "Hendaklah mereka mengulurkan jilbab mereka keatas seluruh tubuh mereka (Surah al-Ahzab :59). Selain itu, dia juga mengelakkan tabarruj seperti memakai wangian dsb, contohnya hadis dari Abu Musa al-Asy'ari yang bermaksud: Siapapun wanita yang memakai wewangian kemudian melalui suatu kaum agar mereka mencium baunya, bererti dia seorang penzina. ii. Kawalan Masyarakat Walaubagaimanapun, seperti mana hukum-hakam lain, pelaksanaan syariat sepenuhnya tidak sekadar bergantung kepada ketaqwaan individu tetapi juga kawalan masyarakat yang mana apabila berlaku sesuatu aktiviti maksiat, setiap ahli masyarakat terpanggil untuk melakukan tindakan pencegahan, iaitu nahy munkar seperti mana hadis Barangsiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lidahnya. Jika tidak mampu, dengan hatinya (di dalam hati). Itulah selemah-lemah iman. iii. Keujudan Negara yang menerapkan Islam secara Kaffah Sungguhpun begitu, ketaqwaan individu dan campur tangan masyarakat untuk mengatasi masalah sosial tidak akan mencegah dan menyelesaikan kemaksiatan yang bermaharajalela dalam masyarakat tanpa adanya penguatkuasaan dan hukuman oleh negara kepada yang melanggarnya. Hukuman hudud kepada penzina adalah satu contoh hukuman kepada pelaku maksiat, selain dari penguatkuasaan tentang penampilan dan pakaian muslimat dan non-muslimat di tempat awam yang mana ia bertujuan menjaga kemaslahatan masyarakat. Khatimah Islam sebagai sebuah ideologi lengkap memiliki setiap penyelesaian akan permasalahan yang melanda manusia. Dalam menangani masalah sosial, apa yang perlu difokuskan ialah kita mengakui akan ujudnya naluri melanjutkan keturunan (procreation instinct) yang mana, rangsangan dan tarikan antara berlainan jantina yang didorong oleh naluri ini dihalusi dan ditangani sesuai dengan syara'. Ketiadaan sistem pemerintahan yang menerapkan Islam secara kaffah menyebabkan tidak adanya hukum-hakam bersepadu yang ujud seiring jalan antara ketiga faktor – ketaqwaan individu, kawalan masyarakat dan keujudan negara yang menerapkan hukumhakam Islam secara kaffah. Maka, sebagai seorang Muslim yang berfikiran jernih, adalah sangat perlu melihat sesuatu isu dengan mengkaji akar umbinya (root of the problem) dan bukan sekadar melihat gejala (symptoms) yang lahir disebabkan ketiadaan Negara Islam, yang dengannya penerapan hukum-hakam Islam dapat dilaksanakan secara menyeluruh. Justeru, penyelesaian paling tuntas dalam apa jua permasahan yang dihadapi umat manusia tidak ada cara lain selain dari melanjutkan kehidupan Islam yang berarti mengajak kaum muslimin kembali hidup secara Islami dalam Darul Islam. Seluruh kegiatan kehidupannya diatur sesuai dengan hukumhukum syara’ dan pandangan hidup yang menjadi pedoman adalah halal dan haram, di bawah naungan Daulah Islamiyah, yang dipimpin oleh seorang Khalifah yang menjalankan pemerintahan berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya. Tidak perlu mempertikaikan hukum hakam Allah atas alasan masyarakat masih belum bersedia kerana ketika di Malaysia diterapkan lebih dari 80% undang-undang British (hingga sekarang) dan pelaksanaan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, rakyat tidak pernah ditanya samada sudah bersedia atau belum. Marilah kita bersama-sama berjuang mengajak seluruh umat Islam kembali kepada Islam dan merealisasikan pelaksanaan Islam secara kaffah. Namun begitu, dalam mengorak langkah memastikan hanya Islam yang menjadi tolok ukur, marilah kita menghalusi hukum-hakam Islam satu persatu supaya apabila perahu telah di lautan dan pendayung telah ada di tangan, kita tidak terkapai-kapai mencari as-Syafie dan al-Ghazali untuk meraih restu Illahi. Wallahu ‘alam.