Kemasukan Islam Ke Kedah oleh: Dr. Ahmad Jelani Halimi Kedah sebagai salah sebuah negeri Melayu yang tertua di Semenanjung mempunyai perhubungan dagangan dengan negeri-negeri Arab sejak perdagangan laut di antara Tanah Arab dan China dimulakan dalam abad ke-5 Masihi. Negeri Kedah telah wujud tidak lewat daripada abad ke-4 Masihi, R. Braddell menyatakan: " Dari kalangan Negeri-negeri Melayu, hanya Kedah sahaja yang dapat mengemukakan pelbagai bukti membuktikan penempatan yang berterusan sejak dari abad ke-IV Masihi hingga ke masa orang Melayu Kedah memeluk agama Islam pada abad ke-XV " Dalam catatan orang-orang India, Kedah dikenali sebagai Kataha dalam bahasa Sanskrit atau Kadaram dalam bahasa Tamil. Dalam catatan orang-orang China, Kedah dikenali sebagai Chiehch'a atau Kie-teh'a. Dalam catatan ahli-ahli geografi Arab dalam abad ke-8/9 Masihi pula, Kedah dikenali sebagai Kalah. Sungguhpun Fatimi tidak bersetuju mengatakan Kalah itu Kedah, tetapi sebahagian besar sejarawan memperakuinya. Menurut Braddell, orang-orang Yunani juga telah mengetahui mengenai Kedah dalam abad ke-2 Masihi. Braddell percaya pelabuhan Takola, yang disebut oleh Ptolemy dalam buku Geografinya itu adalah Kedah. Kegiatan perdagangan di antara orang-orang Arab dengan negeri Kedah kian meningkat selepas ini. Sebagai bukti kegiatan perdagangan mereka dengan Kedah di masa itu, dua keping matawang dirham (wang perak) zaman Khalifah al-Mutawakil yang bertarikh 234 Hijrah (848 Masihi ) telah dijumpai di Lembah Bujang. Namun demikian, tarikh sebenarnya Islam bertapak di Kedah tidaklah dapat dipastikan, tetapi secara umum dapat diandaikan bahawa Islam telahpun diperkenalkan di Kedah selewatlewatnya dalam abad ke-9 Masihi. Syed Naquib menjelaskan: "Kita dapat mengandaikan, oleh kerana orang-orang Islam telahpun mempunyai pertempatan yang agak besar di Canton (yang bertarikh seawal abad 1/7), menikmati autonomi dalam bidang agama dan awam yang agak tinggi, mereka tentulah telah mengekalkan pola pertempatan dan organisasi sosial mereka di Kedah dan juga di Palembang, di mana mereka juga telah berhijrah. Peristiwa ini nampaknya telah menandakan permulaan kedatangan Islam ke Kepulauan ini." Kenyataan di atas boleh dipertanggungjawabkan kerana Kedah pada masa itu merupakan tumpuan lalu lintas perdagangan laut dari Teluk Parsi ke China dan jalan laut dari India ke selatan melalui Selat Melaka. Mengikut Abu Dulaf, Kedah merupakan sebuah entreport pusat perdagangan kayu manis, kapur barus, cendana, gading, timah, rempah ratus, emas, rotan dan hasil-hasil hutan yang lain. Kedah sangat terkenal dengan kayu manis, kapur barus dan timahnya yang tulen. Selain daripada itu, Kedah juga terkenal dengan eksport utamanya iaitu pedang yang dikenali oleh orang-orang Arab sebagai al-sayf al-Hind itu. Di antara pertengahan abad ke-9 Masihi dan awal abad ke-11 Masihi, kawasan pesisir Kedah merupakan kawasan mewah yang ramai penduduknya dan mempunyai perdagangan yang luas serta tamadun yang tinggi. Braddell telah memetik salah sebuah catatan orang Arab mengenai Kedah pada masa itu. Catatan itu menyatakan bahawa negeri Kedah (Kalah) itu sebuah negeri yang besar, mempunyai tembok yang tinggi, tanaman-tanaman dan sungai yang banyak. Ia juga mempunyai sebuah kubu di mana "pedang India tulen" ditempa. Catatan ini juga mengatakan terdapat ramai orang India, Islam dan Parsi dikalangan penduduk kota itu. Mengikut Mas'udi,
Kalah (Kedah) merupakan pelabuhan tumpuan kapal-kapal Islam dari Siraf dan Oman dalam abad itu. Catatan ini menunjukkan bahawa orang Islam telah berada di Kedah sejak abad ke-9 Masihi lagi. Mereka mungkin telah mewujudkan pertempatan mereka sendiri di sana kerana mereka perlu menetap di pelabuhan itu buat beberapa lama bagi menunggu angin, sama ada untuk balik ke Timur Tengah atau meneruskan perjalanan ke timur. Sebagai bukti wujudnya pertempatan ini, pada 1965 telah dijumpai di Tanjung Inggeris Kedah, sebuah kubur yang bertarikh 291 Hijrah (903 Masihi) kepunyaan seorang hamba Allah yang bernama Syaikh Abdul Kadir bin Husin Syah Alam al_haq: Mengikut sejarah Kedah, raja Kedah yang pertama memeluk agama Islam ialah Maharaja Derbar Raja II. Beliau dikatakan telah diislamkan oleh seorang ulama dari Yaman bernama Syeikh Abdullah bin Syeikh Ahmad bin Syeikh Qaumiri dalam tahun 1136 Masihi (513 Hijrah). Sebagai sultan Islam, ia telah mengambil nama Sultan Muzaffar Syah. Setelah raja memeluk agama Islam, semua menterinya juga berbuat demikian. Selepas itu, mereka telah diikuti oleh rakyat jelata. Sungguhpun wujud bukti, tarikh 1136 Masihi yang diberikan itu masih lagi disangsikan kerana tidak ada bukti lain yang dapat memperkuatkan dakwaan itu. Tidak ada catatan-catatan baik daripada orang Cina, India atau Arab yang menyebut mengenai sebuah kerajaan Kedah Islam hingga abad ke-15 Masihi. Apa yang pernah disebut ialah wujud orang Islam di Kedah dalam abad-abad ke-9 dan ke-11 Masihi. Ibn Battutta yang melewati kawasan ini dalam abad ke-14 Masihi juga tidak ada menyebut tentang sebuah kerajaan Islam di bahagian Semenanjung ini. Ketiadaan bukti bukan bermakna agama Islam belum lagi diperkenalkan kepada penduduk Kedah pada masa itu. Kemungkinan besar agama Islam disebarkan pada masa itu memang ada. Orang-orang Islam telahpun membuat perkampungan mereka di Kedah. Di samping itu, kubur Syeikh Abdul Kadir di Tanjung Inggeris membuktikan bahawa Islam telahpun disebarkan di Kedah ketika itu, kerana pada abad ke-10 Masihi, ibu kota Kedah terletak di Kuala Sungai Merbuk, sedangkan kubur di Kuala Kedah. Seandainya pedagang-pedagang itu menumpukan perhatian kepada perdagangan sahaja, masakan Syaikh Abdul Kadir meninggal dunia dan dikebumikan di satu tempat yang agak jauh ke utara. Jadi, kemungkinan penyebaran itu tetap ada walaupun terhad. Lebih lewat daripada itu terdapat bukti bahawa Kedah pernah ditakluki oleh kerajaan Islam Pasai dalam abad ke-13 Masihi. Sebagai buktinya, di Minje Tujuh Matangkuli, Acheh Utara terdapat sebuah makam yang mencatatkan bahawa Pasai dan Kedah merupakan sebuah kesatuan di sekitar separuh kedua abad ke-14 Masihi. Pada batu nisan makam ini tertulis sebuah syair dalam bahasa Melayu Kuno bercampur Sanskerta dan Arab.Tulisannya bercorak tulisan Jawa Kuno. Sebahagian daripada syair itu berbunyi: Hijrat nabi mungstapa yang parasida, tujuh ratus asta puluh sa warsa, haji catur dan dasa wara sukra, raja iman warda rahmatullah. Gutra baru basa mpu hak kadah pase ma, taruk tasik tanah samuha,
ilahi ya robbi tuhan samuha, taruk dalam swarga tuhan tetuha. Yang mangkat pada Jumaat 14 Zulhijjah tahun hijrah nabi besar 781, raja yang beriman Warda Rahmatullah keturunan Barubasa (Barygaza) yang menguasai Kedah dan Pasai meluas ke segala laut dan darat. Berdasarkan syair di atas, Stutterheim berpendapat bahawa Kedah dan Pasai pada masa itu di bawah satu pemerintahan. Oleh kerana itu, seandainya kenyataan Stutterheim dapat diterima maka dapatlah diandaikan Islam telahpun diperkembangkan atau sekurang-kurangnya diperkenalkan di Kedah pada masa itu kerana Pasai sendiri telah Islam dan pembesar yang dikuburkan itu seorang Islam. Tahun 781 Hijrah itu bersamaan dengan tahun 1380 Masihi. Namun demikian, bukti yang dikemukakan ini masih boleh dipersoalkan lagi. Walaupun nisan itu jelas menyatakan yang Warda Rahmatullah berkuasa ke atas Kedah dan Pasai, tetapi siapakah Warda ini? Dalam salasilah Raja-raja Pasai tidak ada seorang pun raja Pasai yang bernama atau bergelar Warda Rahmatullah. Tarikh kematiannya 1380 Masihi itu bersamaan dengan zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin bin Sultan al-Malik al-Zahir II (1350-1394). Oleh kerana itu, wujud persoalan apakah catatan yang terdapat pada nisan itu benar? Tarikh-tarikh awal mengenai kemasukan Islam ke Kedah yang diberikan di atas tadi tidak dapat diterima oleh sarjana-sarjana Barat. Wales mengatakan bahawa Kedah hanya diislamkan kirakira dalam tahun 1474 Masihi. Ia menolak sama sekali tarikh yang diberikan oleh Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan Sejarah Kedah itu. Wales telah membuat andaian mengenai tarikh pemerintahan raja-raja Kedah yang diperolehinya daripada Hikayat Merong Mahawangsa. Ia mengandaikan Phra Ong Mahawangsa, iaitu raja Kedah yang mula-mula memeluk Islam itu memerintah di antara 1452-1476 Masihi dan telah menerima Islam dalam tahun 1474 Masihi, dua tahun sebelum beliau mangkat. Ia telah mengambil gelaran Mudzaffal Syah. Pandangan Wales ini disokong oleh Braddell. Wan Yahya pula menyatakan Kedah mula-mula menerima Islam kira-kira 1400 Masihi apabila seorang ulama dari Yaman bernama Sheikh Abdullah datang ke Kedah untuk mengajar agama Islam. Sheikh Abdullah juga dikatakan telah menukar nama asal negeri itu iaitu Langkasuka kepada Kedah Darul Aman. Raja Kedah yang pertama memeluk Islam telah mengambil nama Sultan Mahmud Syah. Sungguhpun beberapa tarikh telah diberikan tentang kemasukan Islam ke Kedah, tetapi tidak satupun dapat dipegang sepenuhnya kerana kekurangan bukti. Walaupun demikian, Kedah telahpun memeluk agama Islam dalam zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah Melaka (1488-1511/28 Masihi). Sejarah Melayu ada menceritakan bahawa Raja Kedah telah datang ke Melaka untuk memohon nobat. Nobat hanya dianugerahkan kepada raja-raja yang beragama Islam seperti yang dianugerahkan oleh Sultan Mahmud kepada Cau Seri Bangsa, pemerintah Patani yang telah memeluk Islam. Ia kemudian digelar Sultan Ahmad Syah. Di samping itu, seandainya Raja Kedah tidak memeluk Islam sudah pasti beliau diminta berbuat demikian oleh pemerintah Melaka seperti yang dilakukan oleh Sultan Mansor Syah terhadap Syah Indera Berma, anak raja dari Cempa (Campa). Selain daripada itu, seandainya Raja Kedah itu bukan Islam adalah lebih baik ia tunduk kepada kerajaan Siam daripada kerajaan Melaka. Sejarah Melayu tidak menyatakan mengenai Melaka menakluki Kedah untuk memaksa Raja Kedah tunduk kepadanya. Kedatangan Raja Kedah itu seolah-olah secara sukarela atau kerana memberi
penghormatan, iaitu daripada sebuah kerajaan yang kecil kepada sebuah kerajaan yang besar yang sama sebangsa dan seagama. Sebagai kesimpulannya, dapat kita katakan Islam telahpun dikenalkan di Kedah sejak abad ke-9 Masihi lagi, tetapi ia hanya menjadi agama negeri pada abad ke-15 Masihi.
Khamis: 1 Oktober, 2009
Anda di sini:
Kegemilangan Kedah > Perkembangan Islam
sambungan Sejarah Kemasukan Islam Di Kedah Dan Perkembangannya •
Perhubungan Arab Dengan Kedah Sebelum Islam
•
Perhubungan Arab Dengan Kedah Selepas Islam
•
Barangan Nusantara Melalui Pelabuhan Kedah
•
Jalan Darat Kedah ke Langkasuka
•
Negeri "Kalah" atau "Kalaha" dibuka oleh Orang Kurdi Kaum Kalahar
•
Saudagar Islam dari China Berhijrah ke Kedah
•
Kedah Yang Dilawati Oleh Abu Dulaf 940 TM
•
Pendapat Abu Zaid 916 TM Dan Mas'udi TM
•
Penduduk Kedah Sudah Islam Sejak 877 Masihi
•
Kesan-kesan Awal Islam Wujud Di Kedah
•
Peperangan Seri Rama Dan Andanum
•
Raja Kedah yang pertama sebelum Islam menjadi agama rasmi
•
Butiran dari "Al-Tarikh Salasilah"
•
Perasmian Agama Islam mengikut "Merong Mahawangsa"
•
Perasmian Agama Islam Mengikut "Al-Tarikh Salasilah"
•
Tindakan Sultan Muzaffar Syah Mengembangkan Islam 1136 Masihi
•
Cara Agama Islam Berkembang di Kedah
•
Sumbangan Kedah Kepada Perkembangan Agama Islam
•
Gelaran Darul Aman
•
Kedah Dan Samudera - Pasai Berbiras
•
Batu Bersurat Minye di Acheh Utara
•
Penulisan-penulisan Awal Di Kedah
Pendapat Abu Zaid 916 TM Dan Mas'udi TM Abu Zaid, seorang penduduk Siraf menulis dalam tahun 916 bahawa : "Kalah menjadi wilayah Maharaja al-Zabaj (Sri Wijaya) terletak di antara China dan Tanah Arab… Pelabuhan Kalah menjadi tumpuan kapal-kapal dari Uman dan dari sini kapal-kapal bertolak ke Tanah Arab… Kalah ialah pusat perdagangan kayu gaharu, kapur barus, kayu cendana, gading gajah, bijih timah, kayu arang, kayu sepang, pelbagai jenis rempah ratus dan lainlain barangan yang amat banyak hendak dihitungkan…" (Paul Wheatley, 1961:218) Mas'udi yang menulis dalam tahun 943 Masihi mengenai penghijrahan saudagar-saudagar Arab dan Iran dari Kanton pada 877 Masihi ke negeri Kedah adalah seorang pengembara Islam yang banyak menulis. Dalam kitabnya bernama "Muruj al-Dhahab wa Ma'adin al-Jawhar" tertulis pada 943, beliau berkata : "…di sekitar Kalah (Kedah) dan Sribuza (Sri wijaya) terdapat lombonglombong emas dan perak, ikut jalan laut, Kalah terletak lebih sedikit dari setengah perjalanan antara Negara Arab dan Negara China. Hari ini Kalah menjadi tempat tumpuan saudagar-saudagar Islam dari Siraf dan Uman. Dari sini mereka menaiki kapal China untuk pergi ke Negeri China. Laut Kalah cetek dan sukar dipelayari serta banyak pula pulau-pulau kecil
dan selat-selatnya." (Paul Wheatley, 1961:218-219) Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Kedah ialah sebuah pelabuhan besar yang disinggahi oleh saudagar-saudagar Islam Arab dan Iran dalam KM 9 dan awal KM 10 Masihi. Apabila memasuki pelabuhannya kapal-kapal hendaklah menggunakan jurumudi tempatan yang arif dengan laut Kedah. Sejak 877 Masihi Kedah menjadi sebuah dari pelabuhan Sri Wijaya yang amat sibuk. Saudagar-saudagar Islam dan bukan Islam berkumpul di Kedah sebelum meneruskan pelayaran ke Negara China atau Palembang. Bagaimanapun, Raja Kedah tetap mengekalkan hubungan baik - politik dan ekonomi dengan Negara China. Selepas penghijrahan 877 Masihi itu, orang-orang China bertindak melayari sendiri kapal-kapal mereka membawa dagangan keluar negeri. Dalam KM 8 dan KM 9 ini, ahli-ahli pelayaran China tidak belayar lebih jauh dari Kedah. Dibawah Dinasti Song dan Ming yang muncul kemudian barulah kapalkapal China belayar ke tempat yang lebih jauh dari Kedah. Penduduk Kedah Sudah Islam Sejak 877 Masihi Orang-orang Arab dan Iran membuka tempat kediaman di tempat mereka berurusan. Begitulah yang terjadi di Kanton, Champa, India, Afrika dan lain-lain tempat. Mereka menjadi orang-orang yang dihormati dan berpengaruh dengan semua lapisan masyarakat. Tidak dapat diragukan bahawa Islam telah sampai di Kedah dalam KM 9 dan mempunyai penganutnya dikalangan orang-orang Kedah. Dr. Syed Naguib al-Attas membuat andaian bahawa: "Setelah orang-orang Islam membentuk kawasan kediaman yang agak besar di Kanton (sejak kurun Hijrah pertama atau KM 7 lagi) dan mereka menikmati kebebasan yang luas mengendalikan hal ehwal agama dan undang-undang awam sesama mereka, tentulah senang mereka mengekalkan urusan-urusan penempatan atau perkampungan mereka dan membentuk pula masyarakat Islam di Kedah dan juga di Palembang tempat mereka juga telah berhijrah dari Kanton itu. Penghijrahan ini wajar dikata sebagai satu petanda kedatangan Islam yang paling awal di Nusantara". (Syed Naguib al-Attas, 1969:11) Pengembara China pernah menulis bahawa di Kedah didapati ramainya orang yang mempunyai nama berpangkalkan "Pu". Ahli kaji bahasa China bersetuju "Pu" itu ialah "Abu". Ini membuktikan bahawa Kedah mempunyai ramai orang Islam. Kesan-kesan Awal Islam Wujud Di Kedah Sebatang nisan di perkuburan Kampung Tanjung Inggeris di Mukim Langgar berhampiran Alor Star terpahat nama "Syeikh Abdul Qadir ibni Hussain Shah Alirah" bertarikh 903 Masihi telah ditemui. Langgar ialah perkataan Iran Tua yang bererti sekolah atau surau tempat belajar agama. Syeikh Abdul Qadir ialah orang Iran. Perkataan "Alirah" itu tidak jelas jawinya mungkin "Shah Alam", atau mungkin "Syah Al-Yara" dan mungkin
"Syah Kalahar". Jelas sudah ada perkampungan orang Islam dengan langgarnya di Langgar ini pada masa itu. Dan jika seorang Syeikh meninggal di sini tentulah ada pesantrennya. Patut benar kita menemui kampung orang-orang Islam di Langgar ini kerana letaknya berhampiran dengan Sungai Kedah yang menjadi jalan rentas dari Kuala Kedah ke Patani dan terus ke China. Di Lembah Bujang khususnya di Tapak 14, telah ditemui dirham perak zaman Khalifah al-Mutawakkil. Dirham yang ditemui tidak lengkap sekeping dirham, satunya tinggal separuh dan satu lagi cuma sesuku. Di atas sekeping separuh itu tertera tarikhnya 234 Hijrah, yang dikira sebagai 848 Masihi, zaman al-Mutawakkil di Baghdad. Di Lembah Bujang juga, iaitu di Tapak 18 ditemui serpihan kaca yang apabila dicantum-cantum menyerupai setolop, lampu orang Arab KM 10. Banyak kaca yang ditemui dan mungkin banyak setolop dan corong-corong yang dibawa oleh orang Arab ke situ. Beribu-ribu butir manik dalam pelbagai rupa dan bentuk dipungut oleh pengkaji purba di Lembah Bujang dan di Sungai Emas. Diantaranya terdapat juga manik-manik dari Timur Tengah. Selain dari merupakan perhiasan manik ialah juga alat penghebahan atau pertukaran barangan masa itu. Diantara barangan yang dibawa oleh saudagar Arab dan Iran selalunya ialah kain tenunan atau sulaman, barang-barang kemas dari emas dan permata, cermin muka dari logam yang berkilat, rempah perubatan dan bau-bauan seperti narwastu dan ambar kasturi. Seketul batu pejal berukuran 19 sm x 37 sm ditemui diantara longgokan batu-batu candi yang tersimpan di Muzium Arkeologi Lembah Bujang, di Merbok Kedah. Di atas batu tertulis dengan huruf Jawi "ibnu Sardan 213". Adakah batu ini serpihan dari batu nisan atau petanda sempadan tanah tidak dapat dipastikan. Tarikh 213 bersamaan 829 Masihi. Ibnu Sardan ialah nama satu keluarga Arab yang dikenali sebagai ahli ilmu, ahli pelayaran dan pendakwah Islam. Antara nisan-nisan lama yang menarik di Kedah ialah nisan Tok Jambi di Bukit Tinggi, Tok Lidah Hitam di Langgar, nisan Makam Purba di Langkawi, nisan Tok Pasai di Kuala Kedah, nisan yang dikatakan kepunyaan Sultan Muzaffar Syah, Sultan Kedah yang pertama di Pengkalan Bujang - tetapi di Bukit Hijau, Baling; dan nisan-nisan lain di Siputeh, di Langgar, di Tualang dan di Sik, di Anak Bukit dan di lain-lain lagi. Yang paling menarik ialah makam lama di Kampung Seberang Toh Soh berhampiran Pinang Tunggal, 9 kilometer dari Sungai Petani. Makam itu juga tiada bertarikh dan tiada bernama tetapi bentuk nisannya seperti kebudayaan pembesar Acheh. nisan kepalanya berpahat dengan Kalimah Syahadah dan beberapa ayat Quran. Orang Kampung Seberang Tok Soh memanggilnya Makam Raja Bersiung kerana letaknya di sisi tapak sebuah kota tanah yang lama. Kepada orang-
orang Kedah, apa sahaja yang dikira lama dan misteri dilekatkan nama 'Raja Bersiung' di situ. Bentuk nisan tanpa tarikh dan tanpa nama begini tetap utuh sebagai nisan yang bersejarah.
KE DEPAN
SEBELUM | 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 | SELEPAS
KE ATAS
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah
Perhubungan Arab Dengan Kedah Sebelum Islam Berkurun-kurun sebelum Semenanjung Malaysia diketahui oleh Barat, perniagaan antara Arab dan China sudah pun berjalan dengan laris. Hubungan perniagaan ini berlangsung melalui jalan darat yang dikenali sebagai "Jalan Sutera" dan melalui jalan laut yang dikenali sebagai "Jalan Rempah". Jalan Laut bermula dari Adan atau Hadramaut menuju Gujerat dan Cambay di India terus ke Sri Lanka dan dari situ belayar menyeberangi Teluk Benggala ke Kepulauan Melayu, atau menyusuri Pantai Koromandel ke Tamluk di Muara Sungai Gangga sebelum menuju ke Pulau Andaman dan terus ke Kedah di Kepulauan Melayu. Jalan perdagangan darat dimulai dari Damsyik ke Bukhara, Samarkhand, Kashgar dan Khotan. Kemudian menyeberangi Padang Pasir Gobi ke Hansyhu dan terus ke Peking. Di Bukhara terdapat persimpangan menuju ke Balkh, Kabul dan ke Benggala terus ke Arakan, Kemboja, Angkor dan Champa. Dari sini pengembara boleh memasuki Nusantara atau ke Negara China. Orang-orang Arab yang datang ke Nusantara kebanyakannya dari selatan Tanah Arab di persisiran Laut Qazlum dan Laut Arab. Mereka berniaga kerana bumi mereka tandus untuk pertanian. Mereka membuat perhubungan dengan Damsyik (Syam) dan dengan bandar-bandar lain di sekitar laut di sekitar Laut Mediterranean atas urusan perniagaan. Dalam berulang alik dari Adan ke Damsyik itu mereka singgah di Makkah dan Jurusalem. Sebenarnya orang-orang Arablah yang menguasai dua-dua jalan perdagangan, darat dan laut untuk ke Kepulauan Melayu dan Negara China.
Perhubungan Arab Dengan Kedah Selepas Islam Jalan laut asalnya digunakan oleh saudagar dan pengembara dari India dan Iran. Apabila Iran diislamkan oleh orang-orang Arab, saudagar Arab pula turut belayar ke India, ke Kepulauan Melayu, ke seluruh Tenggara Asia dan ke "al-Sin" (China) menggunakan "Jalan Rempah" ini. Hubungan yang berlangsung sejak KM 2 iaitu sejak wujudnya Funan dan Langkasuka yang mempengaruhi sebahagian besar utara Semenanjung Tanah Melayu menimbulkan istilah-istilah "Negeri di Bawah Angin" dan "Negeri di Atas Angin". Pantai Barat Semenanjung letaknya "Di Bawah Angin". Kapal-kapal Arab dan Iran dari Jeddah, Adan, Al-Syihr, Suhar, Masqat dan Siraf sampai di pelabuhan Kedah diantara bulan Jun hingga November dan balik ke India diantara bulan Disember hingga Mei setiap tahun. Rahsia angin yang rancak menghembus enam bulan ke sana dan enam bulan ke sini disimpan sulit oleh ahli-ahli pelayaran Timur supaya tidak cetus ke telinga ahli-ahli pelayaran Barat. Piama-piama musim dan pertukaran angin, arus dan bintang mewujudkan satu kalender istimewa yang amat dicemburui. Mengikut Ahmad ibn Yahya al-Baladhuri dalam "Futuh al-Buldan"nya Abu Jaafar Muhammad al Tabari dalam kitabnya "Tarikh al-Rasul wal Muluk" - dua sejarawan awal Islam KM 9 - 10, bahawa sudah wujud perkampungan Melayu di Teluk Parsi di zaman Saiyidina Umar ibn Khattab dan orang-orang Melayu ini dikerah membantu tentera Khalid ibn al-Walid menyerang dan mengislamkan Iran. Ini berlaku dalam tahun 634 Masihi. Orang Melayu yang sibuk bersama saudagar-saudagar Arab menarik perhatian Khalifah Umar bin Abdul Aziz (717 - 720) di Damsyik dan menimbulkan hasrat baginda mengutus surat ke Srivijaya supaya rajanya memeluk Islam. Pada 718 Masihi, Raja Srindra Warman memeluk Islam di Jambi. Pada tahun 126 Masihi pula, Raja Jay Sima iaitu putera kepada Ratu Sima, Raja Kalingga Jawa Timur turut memeluk agama Islam. Orang-orang Arab yang berkampung halaman di Pantai Barat Sumatera sejak 674 turut memainkan peranan mereka. Barangan Nusantara Melalui Pelabuhan Kedah Pelabuhan-pelabuhan di Kepulauan Melayu atau Nusantara yang sibuk dalam KM 7 ialah tempat-tempat seperti Palembang, Melayu (Jambi), Lamuri (Acheh), Pasai, Perlak, Barus di Sumatera; Taruma , Kediri , Mataram dan Singgora di Jawa; Pulau Nicobar dan Andaman, Trang, Takuapa dan Patani, Langkasuka, Senggora, Legor (Jakut), Phatalung dan Kalah (Kedah) di utara Semenanjung. Inilah diantara pelabuhan-pelabuhan di Kepulauan Melayu dalam KM 7. Nusantara bukan sahaja menghasilkan rempah-rempah seperti yang diperlukan oleh saudagarsaudagar Arab dan Iran tetapi juga menghasilkan cendana, gaharu, kapur barus, jebat, halia dan mutiara. Bahan-bahan ini amat diperlukan oleh Barat dan saudagar-saudagar Islam menjualnya di pelabuhan mereka. Bijih timah didapati dengan banyaknya di Semenanjung dan Kedah ialah pelabuhan yang membekalkan timah paling banyak di seluruh dunia pada masa itu dan kekal begitu buat beberapa kurun. Kedah bertambah terkenal apabila hasil hutannya dibawa ke kuala iaitu seperti rotan, damar, madu lebah, lilin sambang, gajah dan gading, pinang, kayu sepang dan kayu hitam. Hasil-hasil dari Patani dan Senggora juga dibawa ke Kedah. Diantara bahan-bahan dari sana termasuklah emas dan geliga. Jalan Darat Kedah ke Langkasuka Jalan yang paling dekat untuk orang-orang Arab, Iran dan India pergi ke Pantai Timur ialah merentas jalan darat dari Kuala Kedah ke Senggora mengikut jalan keretapi sekarang ataupun ke
Patani dengan perahu, rakit, gajah atau berjalan kaki. Dari Kuala Merbok saudagar -saudagar boleh juga bergalah dan bergajah hingga ke Patani. Pada zaman dahulu Kuala Sungai Muda sekarang ialah Kuala Merbok. Dan dari Kedah juga terdapat jalan darat yang menghubungi ulu-ulu Sungai Tipa, Sungai Petani, Sungai Belum,Sungai Sai dan Pergau untuk meneruskan perjalanan ke lombong-lombong emas di Kelantan dan Pahang. Malahan dari Senggora atau Patani saudagar-saudagar boleh teruskan perjalanan ke Kemboja, Champa dan ke Negara China dalam masa yang lebih singkat dari mengelilingi Semenanjung. Negeri Kedah menyediakan alat pengangkuatan dan tenaga iaitu perahu, rakit buluh, rakit buluh, gajah, pendayung, penanggung barangan di tempat-tempat yang memaksa berjalan kaki atau mendaki. Kedah juga menyediakan rumah rehat (pesanggrahan), kedai makanan dan pusat kawalan serta pemungut cukai di tempat-tempat tertentu di sepanjang perjalanan darat tersebut. Kerja-kerja menyediakan gajah memerlukan pawang-pawang yang mahal. Pendiat atau perangkap gajah terdapat di mana-mana sahaja di negeri ini. Entah benar entah tidak, negeri ini dipanggil "Kadah" oleh orang-orang India kerana banyak kadah di sini. 'Kadah' ertinya lubang perangkap gajah liar dan di dalam lubang itu juga gajah-gajah ini dilatih supaya menjadi kenderaan yang baik. Peperangan Seri Rama Dan Andanum Ketika Islam menyerang India lebih kurang dalam tahun 1000 sebuah kerajaan Hindu di pantai Koromandel bernama Chola mempunyai angkatan laut yang kuat. Perhubungan antara Srivijaya dan Chola dikira boleh tahan tetapi Chola tidak senang dengan undang-undang dan peraturan yang dikenakan oleh Srivijaya ke atas kapal-kapal asing dan dengan monopoli-monopoli ekonomi yang dipegang oleh Srivijaya di Nusantara. Serangan-serangan orang Islam di Utara India dan rancaknya saudagar-saudagar Islam: Arab dan Iran serta Melayu di Lautan India merimaskan Rajendra Chola. Dengan itu pada 1025, Raja Rajendra Chola menyerang Srivijaya dan menyebut bahawa Kedah yang menjadi sebuah dari pusat-pusat penting empayar itu dimusnahkan dengan teruknya. Dalam bahasa Tamil yang digunakan oleh Rajendra Chola, Kedah disebut sebagai "Kadaram". Sebuah inskripsi di dalam sebuah kuil di Tanjor berbunyi: "Beta Rajendra menghantar beratus-ratus kapal ke lautan bergelora telah berjaya menawan Sang Rama Bijaya Tungga Warman iaitu Raja Negeri Kadaram sekali dengan gajah-gajah angkatan perangnya yang sangat hebat. Beta telah merampas harta-harta yang amat banyak kepunyaaan raja itu yang dikumpulnya dengan jujur sejak beberapa lama." (Paul Wheatley, 1961 : 199-200) Seterusnya inskripsi Tanjor mendaftarkan nama negeri-negeri dalam Empayar Srivijaya yang dimusnahkan oleh Rajendra Chola…Diantara negeri-negeri yang dapat dikenali ialah Pannai (Pane di Sumatera), Malayur (Jambi), Legor, Phanrang di Champa; Trang, Chaiyya di Thailand, Lamuri (Acheh), Pulau Nikobar dan Kadaram (Kedah). Kedah telah disebut-sebut oleh Rajendra sebagai negeri yang paling hebat membuat tindak balas dan kita sedari ini terjadi kerana Kedah mempunyai paling ramai penduduk Islam. Dari serangan Chola, Kedah menjadi padang jarak, padang tekukur.
"Sebermula maka tersebutlah perkataan Pulau Langkapuri itu selama peninggal Perang Seri Rama dan Andanum jadi sunyilah pulau itu, tiada siapa-siapa duduk". Beginilah gambaran peperangan antara Raja Chola dan Kedah yang terdaya dicatatkan oleh Hikayat Merong Mahawangsa. Raja Kedah yang pertama sebelum Islam menjadi agama rasmi Lebih kurang dalam tahun 1000 Masihi Syi'ah di Iran memulakan gerakan memburu orang-orang Ahli's Sunnah Wal Jamaah dari bumi Iran. Kedudukan orang-orang Ahli's Sunnah amat pincang dan terdesak sekali. Mereka terpaksa berhijrah besar-besaran ke tempat-tempat yang tidak diganggu gugat oleh Syi'ah. Sebahagian dari orang-orang Ahli's Sunnah Iran sampai di Nusantara dan pada masa inilah Merong Mahawangsa atau Maha Raja Durbar Raja sampai di Kedah. Bumi Kedah dibakar oleh Chola masih berasap. Hikayat Merong Mahawangsa menyebut bahawa Raja Kedah yang pertama ialah Merong Mahawangsa. Baginda menjadi duta Maharaja Rom untuk membawa Putera Raja Rom berkahwin dengan Puteri Maharaja China. Dalam pelayaran, angkatan Merong Mahawangsa telah diserang oleh burung garuda di laut berhampiran Pulau Langkapuri. Angkatan Merong Mahawangsa yang "penuh laut" telah binasa melainkan kapal Merong Mahawangsa sendiri. Baginda terpaksa mendarat di pantai berhampiran kaki Gunung Jerai. Di situ baginda dirajakan oleh penduduk tempatan. Negeri Rom yang dimaksudkan ialah wilayah Empayar Parsi atau Iran, satu masanya sebahagian dari wilayah Empayar Rom Timur. Kawasan ini sudah pun menerima Islam sejak zaman Khulafa-ur Rasyidin. Kepada orang-orang Arab bekas wilayah Empayar Rom di Utara Iran ini ialah "Rom". Di kawasan inilah orang-orang Iran dan orang-orang Turki silih berganti menegakkan beberapa buah kerajaan Islam yang kuat. Burung Garuda ialah kenderaan Dewa Wisnu dan menjadi satu dari lambang-lambang agama Hindu. Angkatan Merong Mahawangsa tidak dapat dielakkan dari diserang oleh angkatan perang Hindu. Dalam KM 11 dan 12, serangan-serangan angkatan Hindu ke atas angkatan Islam di Laut India adalah fenomena biasa. Merong Mahawangsa dikatakan telah berkahwin dengan seorang gadis Orang Laut dari suku Gergasi dan menggalakkan rakyatnya bercampur darah diantara kaum. Amalan ini bukanlah amalan orang beragama Hindu. Butiran dari "Al-Tarikh Salasilah" Mengikut "Al-Tarikh Salasilah", Raja Kedah yang pertama ialah Maharaja Durbar raja yang berasal dari "Negeri Gumarun di dalam Tanah Parsi". Baginda ditewaskan oleh angkatan suku Iran lain yang lebih kuat. Gumarun ini ialah sebuah pelabuhan Gambroon di Laut Kaspian sekarang. Dan kawasan ini telah memeluk Islam sejak zaman Khulafa-ur Rasyidin lagi. Raja Kedah yang pertama telah memperkenalkan "Nobat" di istananya. Orkestra ini berasal dari istana Khalifah Harun al-Rashid di Baghdad. Alat-alat muziknya yang dikumpul bercorak Hindu dan Peribumi. Bagaimanapun, nobat adalah pakaian khalifah-khalifah Islam di Baghdad. Jadi Raja Kedah yang pertama, mengikut dua-dua buku ini ialah orang yang sudah kenal dengan kebesaran agama Islam dan ajaran-ajaran Nabi Muhammad S.A.W. walaupun tidak tercatat mereka memeluk Islam.
Maharaja Durbar membina istananya "Kota Langkasuka" di Sok, enam puluh batu ke timur Gunung Jerai berhampiran persimpangan jalan perdagangan Kedah dan Langkasuka. Merong Mahawangsa pula mendirikan istananya di timur Gunung Jerai di tempat yang tidak dapat dipastikan tetapi amat berhampiran dengan Kuala Merbok iaitu tapak permulaan jalan menuju ke Langkasuka di Pantai Timur. Dari persamaan ini dan persamaan-persamaan lain lagi boleh dikatakan bahawa Merong Mahawangsa dan Maharaja Durbar Raja itu raja yang sama. Merong Mahawangsa lebih popular disebut orang sebagai raja yang pertama kerana hikayatnya lebih awal dan lebih meluas dibaca anak negeri. "Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah" ditulis oleh Muhammad Hassan hanya dalam tahun 1928. Perasmian Agama Islam mengikut "Merong Mahawangsa" Hikayat Merong Mahawangsa menceritakan bagaimana Islam diperkenalkan di Kedah. Kononnya seorang Wali Allah bernama Syeikh Abdullah di Baghdad mempunyai seorang murid yang bernama Syeikh Abdullah al -Yamani. Melalui pertolongan gurunya, Syeikh Abdullah alYamani dapat bersahabat dengan iblis. Syeikh Abdullah diberi sebatang tongkat yang dapat menghilangkan dirinya dari penglihatan manusia apabila memegang tongkat itu. Iblis membawa Syeikh Abdullah terbang ke Kedah mengunjungi Raja Phra Ong Mahawangsa di istananya di Bukit Meriam. Di istana itu iblis mengharingkan minuman keras yang akan diminum oleh raja. Tuan Syeikh memarahi iblis kerana berkelakuan demikian dan timbullah satu pertengkaran kecil. Iblis bertindak merebut kembali tongkat saktinya dari Syeikh Abdullah dan Raja Kedah pun terlihatlah tubuh badan Syeikh Abdullah al-Yamani berdiri di hadapannya. Syeikh Abdullah menerang satu persatu apa yang terjadi dan sejak itu Raja Phra Ong terus memeluk Islam, bertaubat tidak mahu minum arak lagi, dan mengubah nama baginda menjadi Sultan Muzaffal Syah. Perasmian Agama Islam Mengikut "Al-Tarikh Salasilah" Kita tidak tahu bilakah Pra Ong Mahawangsa memeluk Islam tetapi dari "Al-Tarikh Salasilah" Muhammad Hassan meletakkan tarikh 531 Hijrah iaitu 1136 Masihi sebagai tahun Raja Kedah yang pertama memeluk Islam. Nama Raja dalam "Al-Tarikh Salasilah" ialah Maharaja Durbar dan nama Islamnya ialah Sultan al-Muzaffar Syah. Masa ini al-Muqtafi baru saja menjadi Khalifah di Baghdad dan Khalifah Harun al-Rasyid telah mangkat 130 tahun sebelumnya. Nama sultan yang disebut oleh Muhammad Hassan dianggap rasmi sebagai nama Sultan Kedah yang pertama, Sultan Muzaffar Syah. Versi Muhammad Hassan berbunyi : "Sebermula tersebutlah seorang pendeta daripada bangsa Arab bernama Tuan Syeikh Abdullah bin Tuan Haji Syeikh Ahmad bin Tuan Syeikh Jaafar Qaumiri keluar daripada Negeri Syahir perintah Yaman belayar dengan sebuah baghalah bersama-sama dengan sebelas orang kawannya. Maka dalam tahun Hijrah 531 sampailah baghalah tuan Syeikh Abdullah itu ke Negeri Kalaha. Maka Tuan Syeikh Abdullah pun masuk mengadap Seri Paduka Maha Raja Durbar Menzahirkan hukum-hukum agama Islam" Tindakan Sultan Muzaffar Syah Mengembangkan Islam 1136 Masihi
Sultan Muzaffar Syah memerintah supaya candi di Puncak Gunung Jerai dimusnahkan dan sebuah masjid dengan menaranya didirikan di situ. Syeikh Abdullah Yamani menjadi mufti pertama di Negeri Kedah. Sultan Muzaffar Syah mangkat pada 1179 Masihi setelah memeluk Islam selama 44 tahun. Di puncak Gunung Jerai terdapat "Padang Tok Syeikh" iaitu tapak masjid yang didirikan di zaman Syeikh Abdullah Yamani. Masih terdapat juga "Telaga Tok Syeikh" tempat beliau mengambil air sembahyang dan sekeping batu rata seperti permukaan meja yang dipanggil "Sejadah Tok Syeikh" tempat beliau bersembahyang. Kononnya ada gua dipanggil "Gua Tok Syeikh" di Gunung Jerai tempat orang sembahyang Jemaah. Di dalam gua itu masih boleh dilihat orang berdiri betul, ruku' dan sujud dan dalam pelbagai rupa orang bersembahyang tetapi semuanya batu, kaku dan berlumut. Menarik jika kita dapat mengetahui kegiatan sebelas orang lagi kawannya yang sama-sama turun dari Makkah bertabligh di negeri "Bawah Angin" Merasmikan Islam sebagai agama rasmi pada 1136 di Kedah tidaklah terlalu awal untuk disangsikan. Perhubungan erat yang berlangsung pergi balik antara Kedah dan negara-negara Islam di Timur Tengah bermula sejak mereka Jahiliah lagi. Setengah sarjana meletaknya sejak KM 2. Perhubungan bertambah rancak sejak Khalifah Umayyah (661 - 750) bertapak di Damsyik. Cara Agama Islam Berkembang di Kedah Berdasarkan alasan-alasan di atas, Merong Mahawangsa atau Maharaja Durbar adalah Islam. Satu teori yang amat kerap diketengahkan ialah apabila raja memeluk sesuatu agama maka rakyatnya turut memeluk agama itu, maka rakyat Kedah sekurang-kurangnya yang tinggal di sekeliling istana telah memeluk Islam. Teori rakyat mengikut agama raja benar pada sesetengah kes tetapi bukan kepada semua kes. Agama Islam berkembang dengan dua cara: satunya dengan berperang sabil dan satu lagi dengan cara meyakinkan orang lain agama Islam itu sesuai dengan penghidupan mereka. Cara kedua itu berlaku di Kedah. Ahli-ahli perniagaan Islam telah mengembangkan agama Islam di sepanjang jalan perdagangan dari Damsyik ke Peking dan begitu juga Islam telah wujud di pelabuhan-pelabuhan sepanjang jalan perdagangan laut dari Jeddah hingga ke Palembang dan dari situ berkembang ke seluruh pelabuhan di Nusantara. Kedah tidak begitu istimewa untuk berkecuali. Sebagai agama yang berkembang di pusat-pusat perniagaan dan dikalangan orang madani dan orang-orang lama didedahkan dengan kebudayaan orang Arab dan orang-orang Islam lain Kedah pasti menerima Islam lebih awal dari rajanya, lebih awal dari 1136 iaitu di zaman "Dum Makhdum" - maksudnya di zaman makhdum-makhdum dari Iran bergiat menyebarkan Islam di sini dalam KM 9. Sumbangan Kedah Kepada Perkembangan Agama Islam Setelah Islam, Kedah bertindak memusnahkan kesan-kesan agama Hindu dan Buddha yang terdapat di negeri ini. Bersama dengan Patani, Kedah menjadi benteng menahan kemaraan agama Buddha masuk ke negeri-negeri Melayu. Akibatnya Kedah dan Patani menjadi sasaran Thailand. Islam menyerap ke dalam masyarakat Melayu di pelabuhan-pelabuhan terlebih dahulu sebelum muncul di istana. Rakyat sesama rakyat menjadi pengembang agama dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai medianya. Pendeknya, kebangkitan Islam di Nusantara ialah kemunculan
bahasa dan sastera Melayu kerana di dunia sebelah sini Bahasa Melayu ialah pembentung agama yang berkembang itu. Kita mengakui peranan mubaligh-mubaligh dari Tanah Arab Iran dan India telah berjasa mengembangkan Islam di sini. Kita akui juga bahawa bukan sedikit orang-orang Melayu yang mengembara ke Timur Tengah dan pulang menjadi mubaligh bersama-sama mubaligh lain meninggikan peradaban bangsa kita dan menyatupadukan manusia Melayu dibawah Islam. Sebenarnya mubaligh dari bangsa Melayu sendiri lebih handal menggunakan Bahasa Melayu yang menjadi alat perantaraan itu. Gelaran Darul Aman Walaupun Islam diterima sebagai agama rasmi di negeri Kedah Darul Aman pada tahun 1136 Masihi dan mengikut "Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah" gelaran "Darul Aman " diisytiharkan lima tahun kemudian iaitu dalam tahun 1141. Tetapi bukti penggunaan gelaran itu tidak ditemui untuk menyokong pendapat tersebut. Penggunaan perkataan "Darul Aman" yang paling awal diketahui setakat ini ialah duit perak Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Muazzam Syah bertarikh 1741 Masihi. Dalam surat menyurat dicop mohor Sultan Muhammad Jiwa terdapat perkataan "Darul Aman" digunakan bolehlah dikatakan bahawa gelaran itu dipergunakan dengan rasminya dalam zaman Sultan Muhammad Jiwa (1710 - 1778). Sehingga kini belum ditemui perkataan "Darul Aman" diguna lebih awal dari atas duit tahun 1741 (1154 Hijrah) itu. Selepas zaman Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Muzaffar Syah, gelaran "Darul Aman" sentiasa digunakan mengiringi nama negeri di dalam semua urusan rasmi.
Kedah Dan Samudera - Pasai Berbiras Di negeri Acheh terdapat sebuah "Hikayat Atjeh". Mengikut hikayat itu, Islam sampai di sana pada hari Jumaat 1 Ramadhan 601 Hijrah. Tahunnya bersamaan dengan 1204 Masihi. Sultan Johan Syah tiba di Acheh dari Negeri Atas Angin dan mengislamkan orang-orang Acheh. Tidaklah hairan apabila Merah Silu disuruh mengucap Dua Kalimah Syahadah oleh Fakir Muhammad dari Mengiri Syaikh Ismail kerana mengislamkan negeri Pasai (wilayah Acheh sekarang), baginda telah pun fasih membaca Quran Tiga Puluh Juzu'. Sejarawan dari Indonesia menarik perhatian bahawa ada seorang Sultan di Semenanjung Melaka, maksudnya Semenanjung Malaysia, bernama Sultan Muhammad Syah sezaman dengan Sultan Perlak yang bernama Sultan Makhdum Alauddin Malik Muhammad Amin Syah Johan Berdaulat (1225 - 1263). Sultan Muhammad Syah telah berkahwin dengan puteri Sultan Perlak ini yang bernama Puteri Ratna Mala; dan adik puteri ini telah berkahwin dengan Sultan Malik us-Salih Samudera-Pasai (1262 - 1289). Sejarawan di Indonesia berpendapat Sultan Muhammad Syah telah memainkan peranan besar membangunkan Islam di Semenanjung Melaka. Dalam pengetahuan kita, negeri Islam yang wujud di Semenanjung Melaka atau di Malaysia masa itu hanya Kedah. Sultan Kedah pada masa itu ialah Sultan yang ketiga: Sultan Muhammad Syah (1201 - 1236) ibni Sultan Muazzam Syah ibni Sultan Muzaffar Syah. Kemungkinan Sultan Muzaffar Syah Kedah yang berkahwin dengan Puteri Ratna Gemala amat besar. Negeri Kedah pada zaman ini lebih luas kawasannya dari Kedah sekarang. Sempadan
Kedah di selatannya ialah "di hujung Melaka dan Beruas". Hubungan Kedah dengan Perlak dan Samudera-Pasai amat rapat. Dalam bulan September 1982, orang bertemu sebutir bejana tembikar penuh duit syiling perak di Pulau Langkawi. Setiap kepingnya bertulis "Muhammad Syah" dan di sebelah lagi bertulis "alSultan al-Qadah". Duit itu ialah duit Kedah sebelum 1236, duit zaman Sultan Mahmud Syah. Batu Bersurat Minye di Acheh Utara Sultan Malik al-Zahir Thani (1326 - 1350) pemerintah negeri Islam Samudera-Pasai telah menakluk Kedah dan buat beberapa waktu Kedah dan Pasai berada di bawah naungan SamuderaPasai itu. Ibn Battutah pengembara Tunisia yang menjadi utusan dari Sultan Muhammad Tugluq Delhi melawat istana Raja Samudera-Pasai mendapati sultannya seorang yang alim dan bermazhab Syafie. Baginda gemar mengumpul alim ulama di sekelilingnya. Dalam zaman Sultan Zainal Abidin (1360 - 1394) Samudera - Pasai diserang oleh Majapahit dari Jawa dan Samudera - Pasai ditekankan dengan kebudayaan Jawa buat seketika waktu. Sebuah makam ditemui di Minye Tujuh, Acheh Utara. nisannya bertarikh 1380. Sebuah dari nisannya mengandungi dua rangkap syair Bahasa Melayu Kuno bercampur Sanskrit dan Arab ditulis dengan huruf Kawi atau Jawa Kuno. Syair itu berbunyi: "Hijrah Nabi mungstapa yang prasaddha Tujuh ratus asta puluh savarasaa Haji catur dan dasa vara sukra Raja iman varda rahmat Allah. Gutru bharu bhasa (ng) hak Kadah Pase. Ma tarukk tasih tanah samuhallahi ya rabbi tuhan samuha Taruh dalam svarga tutuha". Syair itu menerangkan bahawa pada hari Jumaat 14 Zulhijjah 781 Hijrah puteri yang beriman kembali ke rahmatullah. Beliau adalah keturunan dari penganut "Gutra Bharu Bhasa" atau "Kaum Bahasa Baharu" bermaksud penganut-penganut budaya baru iaitu agama Islam serta mempunyai hak dan kuasa ke atas Kedah dan Pasai, dan atas segala laut dan darat. Ilahi ya Rabbi, Tuhan semesta alam, letakkanlah beliau di dalam syurga. Pada pertengahan akhir KM 14 Kedah dan Pasai adalah negeri-negeri Islam di bawah pemerintahan Samudera atau Acheh sekarang. Samudera dan Pasai bercantum menjadi satu negara dengan Acheh selepas 1428. Makam ini kepunyaan Ratu Al-Alah, Puteri Sultan Malik al-Zahir Thani. Puteri ini mangkat pada 1380 TM. Ini diketahui setelah dikaji satu lagi nisannya yang bertulis dengan bahasa Arab pada makam yang sama. Makam Puteri Al-Alah ini menangkis dakwaan-dakwaan sejarawan-sejarawan yang menegaskan Kedah menerima Islam hanya pada 1474. Penulisan-penulisan Awal Di Kedah Islam menggalakkan pertumbuhan cendekia dikalangan umatnya. Selain dari tulisan-tulisan di batu nisan, tidak lagi ditemui sebarang karya yang boleh diketengahkan sebagai hasil sastera rakyat Kedah sebelum KM 17. Pada hal, sejak orang Kedah mempelajari ilmu membaca Quran serentak dengan mengucap Dua Kalimah Syahadah mereka telah menguasai tulisan jawi. Dalam tahun 1622 seorang bernama Ahmad bin Aminuddin Kadi telah menulis sebuah kitab ilmiah Tauhid membicarakan hal yang berkait dengan "Sifat Dua Puluh" di Kota Siputeh. Kota Siputeh ialah ibu negeri Kedah ketika Acheh menyerang dalam tahun 1619. Undang-undang Pelabuhan Kedah ditulis dalam tahun 1625 ketika Sultan Rijaluddin Muhammad Syah (1625 - 1651) menjadi Sultan dan bersemayam di Kota Naga, Kubang Pasu. Undang-
undangnya berlunaskan Undang-undang Melaka tetapi disesuaikan dengan keadaan negeri Kedah pada masa itu. Satu lagi buku undang-undang dipanggil "Tembera Dato' Seri Paduka Tuan" ditulis dalam tahun 1667 oleh sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Tuan Syaikh Alauddin. Sebuah lagi buku undang-undang lama Negeri Kedah ialah "Undang-undang 1199 Hijrah". Buku ini ditulis dalam tahun 1784. Buku-buku yang ditulis semuanya bertulis tangan dengan huruf Jawi. Kandungan buku semuanya berasaskan hukum syara' seperti juga yang terkandung di dalam Undang-undang Negeri Melaka. Perkara-perkara khas mengenai negeri ini yang ditokok tambah ialah seperti peraturan-peraturan bersawah, pemeliharaan kerbau dan tugas-tugas tok kewing dan sebagainya. Dipercayai bahawa "Hikayat Merong Mahawangsa" telah ditulis dalam KM 17 juga kerana zamannya merupakan zaman kebangkitan penulis-penulis dan penyalin-penyalin mewujudkan semula karya-karya agama, undang-undang dan sastera yang hilang dan binasa didalam Peperangan Acheh 1619. Mungkin atas kehilangan-kehilangan yang tidak dapat diganti itu, Sultan memerintahkan penulisan dan penyalinan karya-karya dipergiatkan semula. Negeri "Kalah" atau "Kalaha" dibuka oleh Orang Kurdi Kaum Kalahar Negeri Kedah yang dibuka dalam KM 11 asalnya bernama "Kalaha". "Kalaha" itu ialah satu nama suku kaum Kurdi, iaitu penduduk asli Negara Iran yang membuyung ke Nusantara dalam KM 10 dan KM 11. Nama suku kaum ini ialah "Kalahar". Ketika suku kaum "Kalahar" bertapak di Kedah, suku lain berhijrah ke tempat lain di Nusantara. Ahli-ahli sejarah pernah membuktikan bahawa kerajaan Pasai, Rokan, Kuntu dan Siak di Sumatera dibuka oleh orang-orang Iran yang beragama Islam sebelum 969 Masihi lagi. Terdapat di sana nesan-nesan yang berpahat dengan tulisan Pahlawi. Legor atau Nakhorn Si Thammarat telah dibuka oleh orang-orang Iran Kuno dan menamakan kota itu Jamguerd. Orang Arab menyebutnya Jamkut. Begitu juga perkampungan di Leren dekat Gerisik di Jawa Timur, dipercayai dibuka oleh orang Iran suku Lor. Zainab binti Maimun yang dikebumikan di Leren pada 1101 Masihi bertitisan dari Sulaiman al-Farisi. Suku Kalahar tiba di Kedah dan menamakan tempat itu mengikut nama sukunya: Kalahar. Muhammad Hassan dalam "Al-Tarikh Salasilah.." menyebutnya "Kalaha". Orang Arab menyebutnya "Kalah". Suku -suku Kurdi berhijrah ke Nusantara bukan sahaja kerana berniaga tetapi juga kerana mencari tempat penghidupan yang damai dan tenang di tanahair mereka yang berkecamuk dengan huru-hara dan persengketaan. Rakyat Iran berhijrah ke Afrika, India, Timur Tengah, Timur Jauh dan New Zealand. Kepulauan Melayu atau Nusantara turut menjadi tumpuan. Saudagar Islam dari China Berhijrah ke Kedah Saudagar-saudagar Islam dari Arab, Iran dan lain-lain berkumpul di sebuah pelabuhan bernama Kanton di Negara China, sekarang dipanggil Guangzhou. Saiyidina Uthman ibn Affan (644-656) pernah menghantar Saad Abi Waqqas dan lima belas orang lagi dalam satu rombongan dengan kapal laut sebagai utusan dari baginda meminta Raja China memeluk Islam. Rekod China tahun 651 mengakui mereka menerima utusan dari Han MiMo Moni" ("Amir ul-Mukminin") dan di dalam KM 7 itu Raja China Tai Ti Sung telah memeluk Islam. Di sekitar 877 Masihi saudagar-saudagar Arab dan Iran di Kanton telah diamok dan diusir oleh segerombolan pemberontak yang menentang Kerajaan China. Saudagar-saudagar Islam yang
tinggal sejak dua ratus tahun sebelumnya di Kanton dan amat berpengaruh di sana telah dibunuh beramai-ramai. Yang terkorban dianggarkan antara 120 ribu hingga 200 ribu orang. Sebahagian besar dari pelarian-pelarian Islam ke Kedah. Satu pemberontakan berlaku sekali lagi disekitar 900 TM di Yong Chow. Lima ribu orang termasuk saudagar-saudagar Islam telah terkorban dan yang sempat melepaskan diri telah berhijrah ke Kedah dan Palembang. Kesibukan bandar Kanton sebagai pusat perdagangan telah berpindah ke Kedah. Dalam KM 8 lagi, Islam telah bertapak di England. Dua keping duit emas tersimpan di Muzium British menjelaskan bahawa King Offa, pemerintah Kerajaan Mercia telah memeluk Islam. Duitnya bermuatkan dua kalimah syahadah. Kerajaan Mercia mencakupi wilayah yang terletak di antara Sungai Thames dan Sungai Humber termasuk Kent, Essex dan bandar London dalam tahun 825, Mercia diserang dan dicantum dengan wilayah-wilayah lain sehingga hilang khabar beritanya sebagai sebuah kerajaan Islam. Kedah Yang Dilawati Oleh Abu Dulaf 940 TM Dalam tahun 940, Abu Dulaf al-Muhalhil berasal dari Bukhara singgah sendiri di Kalaha (Kedah) dan meriwayatkan bahawa: "Apabila saya sampai di Kalah, saya dapati tempatnya amat indah dengan tembok-tembok kota, taman-taman bungan dan aliran mata-mata air dari bumi. Saya lihat lombong bijih timah yang tidak ada tolok bandingnya dalam dunia ini. Di dalam kota ada tukang-tukang membuat pedang "qala'I" iaitu pedang Hindi yang tulen…seperti di Negara China, terdapat orang-orang yang tidak menyembelih ternakan yang mereka makan. Penduduknya mempunyai sistem keadilan dan mempunyai penjara serta hukuman denda". "Mereka makan gandum, buah kurma, sayur-sayuran yang ditimbang bila dijual dan roti yang dilonggok-longgok sahaja bila dijual. Mereka tidak mempuyai hamam tetapi mandi di sungaisungai yang mengalir deras. Wang mereka ialah dirham perak…yang dipanggil 'fahri'. Mereka memakai kain 'al firand' (sutera) yang sangat mahal seperti orang-orang China dan menyebut Maharaja China di dalam Khutbah Jumaat dan qiblat Raja Kalah pun mengadap ke arah Maharaja itu…" (Paul Wheatley, 1961:217) Abu Dulaf menyebut orang-orang di Kedah telah pandai menggunakan tepung gandum, buah kurma, roti dan sayur seperti orang-orang Arab. Tergambar bahawa kebudayaan Arab telah sedikit sebanyak terserap dikalangan orang-orang Melayu di sini. Mengikut Paul Wheatley dalam nota kecilnya di muka surat yang sama, dirham perak yang dipanggil "Fahri" itu ialah matawang yang digunakan di Khurasan, Utara Iran. Di Kedah dipraktikkan sistem 'barter' atau sistem hebah barang dengan barang dan "fahri" itu digunakan ketika amat perlu sahaja. Pedang "qala'i" yang ditempah di Kedah menjadi barangan eksport yang dikenali oleh orang-orang Arab sebagai "al-sayf al-Hind" Abu Dulaf menimbulkan kekeliruan apabila menyebut bahawa Raja Kalah "…menyebut nama Maharaja China di dalam Khutbah Jumaat dan qiblat Raja Kalah pun Mengadap ke arah Maharaja itu…" Abu Dulaf keliru melihat penduduk di Kedah yang beragama Islam tidak menyebut nama Khalifah Al-Muttaqi (940 - 944) yang baru bersemayam di Damsyik pada masa itu di dalam Khutbah mereka. Berita begitu belum sampai ke sini lagi. Mungkin orang Kedah menyebut nama Maharaja Sribuza (Sri Wijaya) atau lain yang didengarnya sebagai nama Maharaja China.
Maksud qiblat mengarah ke negara China ialah qiblat Raja Kalah atau Kedah dan bukan orang bersembahyang. Abu Dulaf memungkinkan bahawa agama Islam belum lagi dianuti oleh Raja Kedah sungguhpun rakyatnya telah Islam.
Penemuan bersejarah Islam mula bertapak di Kedah bukan Melaka Artikel oleh Rosmawati Mion ini dipetik dari Arkib: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp? y=2005&dt=0512&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm&arc=hive
REKA bentuk dalaman masjid lama Pengkalan Kakap mempunyai tiang seri mimbar serta mihrab, sama dengan struktur bangunan yang dijumpai tertimbus.
PENEMUAN struktur bangunan dipercayai masjid di Pengkalan Bujang, Merbok baru-baru ini menguatkan lagi dakwaan sebilangan ahli sejarah bahawa Islam telah bertapak di Negeri Kedah lebih awal dari Melaka. Lebih-lebih lagi struktur bangunan yang berusia lebih 1,100 tahun dan tertanam sedalam 140 sentimeter itu jika diamati dengan lebih dekat menyamai reka bentuk sebuah masjid tertua di Kedah yang terdapat di Kampung Pangkalan Kakap, tidak jauh dengan tempat penemuan terbaru itu. Jika dikaji sejarah awal, Lembah Bujang sememangnya sudah termasyhur sebagai sebuah pelabuhan besar dan pusat dagangan yang didatangi oleh pelbagai bangsa, budaya dan agama dari seluruh pelusuk dunia untuk tujuan berniaga. Pedagang-pedagang yang belayar melalui Lautan Hindi dan Selat Melaka berpandukan puncak Gunung Jerai sebagai mercu tanda sebelum berlabuh di muara Sungai Merbok di utara Semenanjung Tanah Melayu yang juga dikenali Semenanjung Emas. Namun begitu, struktur bangunan baru yang sedang dalam kajian pihak muzium itu tetap menimbulkan pelbagai andaian lain lebih-lebih lagi sebahagian besar struktur yang ditemui di Lembah Bujang adalah tapak candi bersama dengan artifak-artifak seperti seramik, manik, celedon yang kesemuanya menjurus kepada agama Hindu dan Buddha. Menurut Naib Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Kedah, Datuk Wan Shamsudin Mohd. Yusof, penemuan terbaru itu dipercayai sebuah masjid memandangkan tiada penemuan artifak lain yang cenderung kepada agama lain sama ada di dalam atau di sekitarnya. Struktur menyerupai masjid itu ditemui dibina antara tapak kuil Hindu dan Buddha yang dijumpai di kawasan itu sebelum ini. Bagaimanapun terbongkarnya bahan sejarah baru itu secara tidak langsung sudah mampu membuktikan bahawa Islam sememangnya lebih dahulu bertapak dan berkembang di Kedah. Tulis Kata Wan Shamsudin, dalam sebuah buku lama yang ditulis oleh seorang pengarang Istana Kedah, Muhammad Hassan Datuk Kerani Muhammad Arshad pada 1928 yang bertajuk Al-
Tarikh Salasilah Negeri Kedah telah menyatakan bahawa Islam secara rasminya diterima di Kedah pada tahun 1136 Masehi atau 531 Hijrah iaitu 300 tahun lebih awal berbanding Melaka. Dalam buku itu juga tertulis bahawa nama raja terakhir beragama Hindu yang memeluk Islam adalah Maharaja Derbaraja II dengan nama Islamnya Sultan Mudzaffar Shah yang dikatakan telah diIslamkan oleh seorang pendakwah dari Yaman bernama Syeikh Abdullah. Meneliti butiran buku tersebut, dinyatakan juga bahawa Islam bermula di Kota Bukit Meriam di Kuala Muda dan kemudiannya berpindah-pindah sehinggalah ke Alor Star iaitu dengan Sultan yang ke-28 di bawah lapan pusat pemerintahan. Wan Shamsudin menegaskan lagi, terdapat bukti-bukti terawal yang menunjukkan Islam telah bertapak di Kedah sebelum secara rasminya tetapi tidak berkembang secara menyeluruh iaitu penemuan kepingan batu bersurat di Bukit Tupah, Merbok bertarikh 828 Masihi bersamaan 214 Hijrah dan di batu itu tercatat nama Ibni Sirdhan. Kata Shamsudin, Ibni Sidhan ini mungkin seorang pendakwah dari Timur Tengah yang telah mula memperkenalkan dan memperkembangkan Islam di Kedah. Bukti lain yang ditemui adalah sebatang nisan di sebuah perkuburan lama di Kampung Tanjung Inggeris berhampiran Pekan Langgar yang bertarikh 3 Rabiulawal 291 Hijrah/904 Masehi yang tersembunyi dalam sebuah busut besar dan nama yang terukir di batu nisan itu adalah Syeikh Abdul Kadir. Menurut kaji selidik yang dilakukan oleh beberapa orang profesor juga menunjukkan bahawa Syeikh Abdul Kadir merupakan seorang pendakwah Islam dari Timur Tengah yang mengembangkan Islam di daerah itu. Pada waktu yang sama iaitu pada abad ke-9 dan 10, dari catatan para pedagang dan pendakwah atau ahli pelayaran dari Timur Tengah menunjukkan bahawa mereka sudah ramai datang berniaga di Kedah. Di samping berniaga, mereka turut menggunakan kesempatan memperkenalkan Islam. Pemberontakan Selain itu, ketika itu juga telah berlaku pemberontakan di Canton (Ghuangzhou) dan seramai 200,000 orang pedagang dari Timur Tengah terpaksa meninggalkan pelabuhan Canton kerana takut dan mereka menuju ke pelabuhan lain seperti Kedah (Lembah Bujang) dan Palembang. Kesimpulan daripada maklumat dan bukti yang diperolehi itu menunjukkan Islam telahpun bertapak pada abad yang ke-9 dan 10 secara tidak rasmi. Manakala secara rasminya Islam bertapak pada 1136 Masehi apabila Sultan mula memeluk agama Islam di Bukit Meriam. ``Jadi pendapat-pendapat atau kajian awal tidak begitu tepat dan tidak boleh diguna pakai lagi apabila menyatakan Islam mula bertapak di Melaka pada 1424 Masehi iaitu sewaktu Parameswara memeluk Islam sedangkan Kedah sudah 300 tahun lebih awal menerima kedatangan Islam,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Bukti kedua pula ditemui seakan-akan mihrab yang menghala ke arah kiblat di dalam bangunan berkenaan semasa kerja ekskavasi dijalankan dan tidak pula terdapat sebarang artifak yang berkaitan dengan agama Hindu dan Buddha. ``Ini menunjukkan kesucian tempat itu dijaga``, kata Wan Shamsuddin dan menjelaskan ia mungkin dibangunkan oleh pedagang yang datang ke Timur Tengah dengan izin penduduk di kawasan itu pada abad ke 10. Kalau kajian dibuat dengan lebih terperinci dan diakui oleh ahliahli arkeologi, kita mungkin akan boleh menukar catatan sejarah sekiranya terbukti Islam mula datang ke Kedah. Satu lagi yang hendak ditekankan, janganlah mendakwa orang yang mendirikan rumah-rumah ibadat itu adalah orang-orang Hindu atau India tetapi oleh orang-orang Melayu tempatan yang beragama Hindu atau Buddha kerana struktur binaan itu adalah senibina Melayu orang tempatan.