JENIS HIDAYAH
Hidup umat manusia akan sesat tanpa pedoman wahyu. Oleh itu kita umat Islam dididik agar sentiasa berdoa ke hadrat Allah agar diberikan petunjuk bagi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Setiap hari jika kita merupakan hamba Allah yang sentiasa mendirikan kewajipan sembahyang maka sudah tentu sekurang-kurangnya kita akan membaca surah al-Fatihah sebanyak 17 kali sehari semalam di mana dalam surah tersebut kita disuruh berdoa agar diberikan petunjuk ke arah jalan yang lurus.Di sini akan diperjelaskan serba sedikit tentang jenis hidayah yang diperolehi oleh manusia bagi meneruskan perjalanan hidupnya di dunia yang fana ini. Pertama : Hidayah al-Wijdan at-Tabie'i yang bererti petunjuk yang timbul daripada perasaan mengikut tabiat semenjak lahir ke dunia seperti lapar, dahaga, panas, sejuk, sakit dan lainnya. Sebagai contohnya bagaimana seorag anak kecil akan menangis untuk keselamatan dirinya di mana tangisan itu bertujuan meminta si ibu atau pengasuhnya supaya menguruskannya. Setelah mendapat layanan atau pengurusan yang secukupnya maka petunjuk daripada rasa puas dalam diri anak kecil itu menyuruh dia agar berhenti menangis. Kedua : Hidayah al-Hawas iaitu petunjuk pancaindera yang lima iaitu mata, hidung, telinga, lidah dan kulit. Petunjuk yang terhasil daripada rangsangan pancaindera ini memang perlu bagi keselamatan diri manusia dalam menjauhi sesuatu yanhg membahayakan serta menimbulkan perasaan untuk mendekati sesuatu yang memberi manfaat kepada diri. Namun begitu petunjuk pancaindera ini tidak sentiasa benar kerana banyak keadaan mata melihat barang yang lulus jadi bengkok, lidah tersalah merasa di mana sesuatu yang manis dirasanya pahit, hidung tersalah bau di mana sesuatu yang harum dirasa busuk dan selainnya. Kesimpulan daripada sini maka kita dapati bahawa petunjuk pancaindera tidak cukup dalam menjaga keselamatan manusia di mana kita semua memerlukan petunjuk yang lebih tinggi untuk mencapai keselamatan diri. Ketiga : Hidayah al-'Aqal iaitu petunjuk berasaskan akal iaitu suatu alat yang dianugerahkan oleh Allah sebagai penimbang dan memikirkan sesuatu yang disampaikan oleh rangsangan pancaindera dan apa yang timbul daripada perasaan tabie'i. Setelah ditimbang dan difikirkan oleh akal maka manusia dapat bertindak untuk mencapai sesuatu matlamat yang dirasakan dapat memberi kebahagiaan untuk dirinya. Tetapi setelah melihat apa yang berlaku di hadapan mata kita bagaimana petunjuk berasaskan akal semata-mata turut gagal untuk menggapai kebahagiaan yang sejati kerana tahap penggunaan akal adalah terbatas. Tindakan berasaskan akal semata-mata seringkali tersilap di mana sesuatu yang difikirkan baik tetapi menjadi sebaliknya. Oleh itu Allah telah menganugerahkan petunjuk yang lebih tinggi daripada petunjuk akal kepada mereka yang dikehendakiNya dalam mencapai jalan yang lurus