Kelazatan maddi mudah digambarkan. Melalui berbagai kegiatan fizikal sesaorang boleh menikmati berbagai bentuk kelazatan seperti memakan makanan yang sedap, munuman yang lazat, bauan yang haruman, besetubuh dengan Isteri dan sebagainya. Kelazatan dapat dirasai dengan mudah oleh pelakunya dalam semua situasi tersebut dan situasi yang seumpamanya. Sebaliknya tidak ramai orang yang membicarakan tentang kelazatan ruhi yang sebenarnya lebih hebat daripada itu dan sering melepaskan kata-kata bahawa kelazatan ruhi suatu yang tidak digambarkan. Bebeza dengan Ibnu al Qayyim al Jauzi. Beliau berpendapat bahawa kelazatan ruhi dapat dirasai oleh manusia didunia ini. Bahkan kelazatan ruhi terbukti lebih hebat dari kelazatan hissi yang sangat sementara sifatnya. Sebagai contoh; seseorang yang menunggu kepulangan atau kedatang orang yang di sayangi akan dapat merasai nikmat dan kelazatan ruhi yang hebat apa apabila ia mendengar berita orang kesayangannya itu akan pulang kepadanya. Kegembiraan yang tidak terhingga sering digambarkan dengan kata-kata perumpamaan yang disebut seperti "makan tak kenyang", "mandi tak basah", "tidur tak lena" dan sebagainya kerana sangat kembira dan tenggelam dalam nikmat bertemu dengan orang tersayang khususnya. Keadaan rindu kadang-kadang menguasai sesaorang sehingga menyebabkan ia melakukan perbuatan yang tertentu tanpa disedarinya. Ia kadang-kadang senyum sendiri, bercakap sendiri dan menyebut nama-nama kekasihnya tanpa ia sedari. Contoh ini juga berlaku kepada peminat bola, kita melihat mereka bersorak, bertempik, menendang kaki dan mengelilingi padang mengikut rentak permainan tanpa mereka sengajakan. Ini semua adalah tindakbalas ruhi yang benar. Dalam bentuk yang berlainan, kisah yang seumpama ini diriwayatkan berlaku kepada sahabat dan orang yang soleh sebelum zaman silam. Kerana tenggelam dengan kelazatan ibadat, mereka diceritakan tidak menyedari apa yang berlaku disekeliling. Khusuk dalam sembahyang telah menguasai mereka, sehingga tidak merasa sakit walaupun kakinya dipotong atau tombak dicabut dati tubuhnya.Berbanding dengan apa yang berlaku dalam contoh diatas cerita ini juga bukan suatu yang ganjil. Orang yang soleh rindukan kedatangan Ramadhan seperti menunggu kekasih setelah setahun berpisah. Ia ditunggu-tunggu dengan hati penuh kerinduan dan disambut sangat gembira dan penuh persiapan, kerana Ramadhan adalah ibarat taman ruhi yang paling besar dalam masa setahun dimana kekasih melepaskan rasa cintanya. Ramadhan menjanjikan jaza' yang besar disisi Allah. Diawalnya maghfirah, pertengahannya rahmah dan diakhirnya pelepasan daripada neraka. Dalam bulan Ramadhan hawa nafsu dikekang, Syaitan ditambat, waktuwaktu dimakmurkan dengan zikir, solat, membaca alquran, iktikaf , qiamullail, sedekah dan sebagainya. Keperitan hissi menghadapi lapar dan dahaga dilupakan atau dipandang mudah oleh orang yang beriman kerana ketagihkan kenikmatan ruhi yang maksimun daripada ibadat pada bulan Ramadhan. Walaubagaimana pun adakah ini suatu yang benar dan boleh berlaku di alam rialiti kepada manusia muslim hari ini?. Jawapannnya ya, ia bukan suatu yang mustahil dengan syarat kita memenuhi syarat-syarat yang diperlukan untuk mendapat kemanisan iman ini. Rasulullah s.a.w mangajar kita tiga perkara yang jika dilakukan sesaorang ia akan merasai kelazatan iman: 1. Ia mencintai Allah dan Rasul s.a.w melebihi cintanya kepada yang lain 2. Ia mengasihi sesaorang hamba hanya kerana Allah 3. Ia benci kepada kekufuran sebagaimana ia benci dimasukkan kedalam api neraka. Sesiapa yang memiliki tiga perkara ini ia akan menikmati kemanisan iman, kemanisan ibadat dan kemanisan melaksanakan perintah Allah. .Untuk mendapat kecintaan kepada Allah sesaorang itu perlulah melihat ihsan Allah pada dirinya dan pada makhluk-makhluk yang lain, mengimani kesempurnaan sifatnya tanpa kurang dan cacat cela, menyedari hikmah disebalik qada' dan qadarnya dan menyelami keadilan dalam hukum-hakamnya. Dengan memerhatikan ayat-ayat Allah samada yang dibaca atau dilihat, hakikat-hakikat diatas akan muncul dalam keyakinan kita. Sebab itu kita digesa tertafakkur dan memperbanyakkan membaca al Quran. Kuatkan keyakinan tersebut dengan berzikir menyebut nama-nama Allah yang sempurna, solat, iktikaf, besedekah dan qiamullail. .Kemudian disamping itu kajilah sirah, bacalah tentang budi pekerti baginda dan sifat rabbani yang ada pada diriNya. Dialah Rasul yang mambawa hidayat dan memimpin kejalan yang benar. Lihatlah cahaya kebenaran yang terpancar dari lidahnya dan qudwah amali dalam kehidupanya. Hidayahnya menyinari seluruh alam dan telah mengeluarkan manusia dari kegelapan jahiliah kepada cahaya petunjuk. Bagindalah yang berhak dicintai lebih dari diri kita dan keluarga kita...
.Setelah itu kita hendaklah mencintai auliya Allah. Hadhirkan keluhuran iman mereka dan kehampiran diri mereka kepada Allah, carilah mereka dan dampingilah mereka samada yang masih hidup atau yang telah mati. Rasailah kehadhiran mereka menemani kita dalam kesunyian hidup kita diatas kebenaran, sebagaimana kita selalu berdoa supaya Allah menunjukkan jalan mereka yang dia redhai, dan menghimpun kan kita bersama nabi-nabi, sidiqin dan syhada'. Mereka adalah sebaik baik kawan. .Dan seterusnya hendaklah ada kebencian dalam hati kita terhadap kekufuran dan keburukannya. Gambarkan bahawa menghampir diri dengan kekufuran seperti menghampiri api neraka. Jangan kita berkawan dengan orang kafir kerana mereka akan mengajar kita kekufuran, jangan kita berkawan dengan orang zalim kerana mereka akan mengajarkan kita kezaliman dan jangan berkawan dengan orang fasik kerena mereka akan mengajar kita kefasikan. Ini semua adalah perkara pokok dalam manhaj hidup mukmin. Jika kita dapat benar-benar menghayati pengertian- pengertian ini dan dapat pastikan ia sentiasa hidup dalam hati kita tidak ada ragu dan shak bahawa kita akan dapat merasai kemanisan iman dan kemanisan ibadat kepada Allah subhanahu wataala, khususnya dibulan Ramadhan yang penuh rahmat ini. Ramadhan akan datang menemui kita tidak lama lagi dan kita perlu melakukan persiapan yang sewajarnya dari segi ruhi kita. Untuk mendapat faedah maksimum daripada kedatangan Ramadhan kali ini, kita perlu melaksanakan segala persiapan dengan penuh syarat dan rukunnya. Pastikan puasa kita melengkapi syarat zahir dan batinnya,dan ibadat kita, sujud kita, ruku' kita, doa kita, munajat kita, bacaan quran kita, sedekah kita, niat kita serta segala ibadat yang kita lakukan dengan ikhlas, keimanan dan mengharapkan apa yang ada disisi Allah iaitu keampunan, rahmat, kemaafan yang jauh lebih besar daripada segala kenikmatan diatas dunia ini dengan nisbah 1:99. Sesiapa memasuki Ramadhan dan tidak singgah dalam taman-taman ruhi dan menikmati kelazatannya sesungguhnya dia adalah orang yang rugi.