HURAIKAN KEPENTINGAN BERSARAPAN KEPADA MURID-MURID SEKOLAH
Sarapan atau makan pagi adalah makanan pertama setiap hari, yang diambil pada waktu pagi. Kebanyakan murid sekolah memandang remeh akan kepentingan bersarapan. Hal ini kerana mereka mengejar masa untuk ke sekolah dan mereka hanya bersarapan jam 10 pagi pada waktu rehat di sekolah. Antara kepentingan bersarapan adalah untuk mendapatkan kesegaran tubuh badan. Murid-murid yang bersarapan akan dapat tubuh yang segar dan sihat sekali gus memudahkan belajar. Kita perlulah makan pagi walaupun sekadar segelas susu, sekeping roti atau sedikit bijirin. Makanan yang berkahsiat membantu menyihatkan badan kerana otak yang cerdas datangnya daripada badan yang sihat. Selain itu, bersarapan juga dapat mengelakkan kita daripada mengalami sakit perut seperti gastrik kerana perut yang kosong. Apabila perut kosong, kita tidak mampu melakukan pelbagai aktiviti malah jika dibiarkan kita boleh pitam secara tiba-tiba. Dengan itu, kita perlu bijak memilih sarapan. Pemilihan sarapan, terutama kaya karbohidrat dapat membekalkan tenaga dan mampu menahan rasa lapar. Seterusnya, bersarapan juga memudahkan kita fokus ketika belajar terutama apabila berhadapan dengan topik-topik yang sukar. Karbohidrat yang diambil pada waktu pagi akan merangsang paras glukos dan mikro nutrien dalam otak. Contohnya, vitamin B yang diperkaya dalam roti dan bijirin dikenal pasti mampu memberikan kesan positif kepada fungsi otak. Kesimpulannya, bersarapan amat penting kepada badan kita bukan sahaja kepada murid sekolah malah kepada semua orang. Makanan yang kita makan pada awal pagi dapat membekalkan tenaga dan menyihatkan badan. Sarapan juga dikatakan memberikan kesan positif terhadap aktiviti otak yang lebih cergas, peka dan fokus.