Huraikan. Kegiatan kokurikulum telah dianggap satu aktiviti yang penting tetapi pembabitan pelajar agak mengecewakan. Ada pelbagai faktor yang menyebabkan pelajar tidak mahu melibatkan diri mereka dalam aktiviti ini. Sikap tidak acuh pelajar ini telah menyebabkan kerajaan mewajibkan kegiatan ini dan menjadi syarat unntuk pemilihan ke universiti. Sebenarnya, kokurikulum mempunyai banyak kebaikan yang tersirat. Pelajar yang terlibat dengan kokurikulum dapat menyihatkan badan mereka. Peluh yang keluar dapat menghilangkan toksik badan. Pelajar yang menghadapi era persekolahan zaman ini memang penuh masalah, jadi pembabitan dalam kokurikulum mampu mengurangkan tekanan ini. Kegiatan yang dijalankan itu mampu mengalih fikiran pelajar sejenak daripada persiapan peperiksaan mereka yang penuh dengan penghafalan dan membuat latihan. Jelaslah, minda mereka dapat berehat sebentar apabila melakukan aktiviti yang berbeza iaitu kegiatan kokurikulum. Dalam masa yang sama pembabitan pelajar memastikan mereka tidak terbabit dengan aktiviti yang tidak sihat. Kegiatan kokurikulum dilakukan pada masa-masa yang telah ditetapkan. Penetapan masa ini menyebabkan pelajar terpaksa menguruskan masa mereka dengan bijak. Pelajar
yang terbabit dalam aktiviti ini akan mengutamakan aktiviti kokurikulum dan pembelajaran mereka. Ringkasnya, mereka kekurangan masa untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak sihat seperti melepak. Selain itu, pelajar turut dapat menambah keyakinan diri mereka melalui aktiviti kokurikulum ini. Kokurikulum menyediakan satu “medan” yang sesuai kepada pelajar untuk memimpin atau mengetuai sesuatu pertubuhan. Situasi ini memberikan mereka satu keyakinan terhadap kemampuan mereka dalam aspek-aspek tertentu. Mereka mula menyedari bakat yang ada dan berupaya untuk mengembangkannya serta mengasahnya menjadi sesuatu yang lebih cemerlang lagi seperti memimpin pertubuhan belia, syarikat dan mungkin juga negara. Malahan, aktiviti kokurikulum membuka minda dan mata pelajar tentang erti persahabatan dan pergaulan. Mereka akan bertemu dengan pelbagai orang dalam menjalankan aktiviti kokurikulum itu. Mereka mengenal jenis manusia sebenar terutama apabilamenghadapi masalah untuk menganjurkan sesuatu aktiviti. Mereka juga mengenali erti persahabatan yang sejati. Pengalaman ini semua akan mengajar pelajar erti kehidupan yang tidak boleh mereka peroleh di luar. Pelajar juga mengetahui banyak perkara baru.
Aktiviti dalam pertubuhan beruniform akan mendedahkan mereka kepada cara-cara untuk menyelamatkan mangsa ketika kecemasan, cara berkhemah, cara memasak dan cara menguruskan perbelanjaan persatuan. Semua ini memberi satu pengetahuan yang berguna kepada pelajar. Ilmu ini turut memberi pelajar satu dimensi baru dalam cara mereka melihat sesuatu pertubuhan apabila mereka keluar dari sekolah. Kesimpulannya, aktiviti kokurikulum haruslah disertai oleh semua pelajar tanpa sebarang prasangka buruk. Mereka tidak harus menganggap aktiviti ini akan menghalang kemajuan mereka dalam peperiksaan. Mereka tidak harus menyalahkan kokurikulum kalau mereka tidak memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Mereka seharusnya melihat aktiviti ini sebagai satu proses pembelajaran yang harus dialami oleh semua orang sebagai sebahagian daripada proses kehidupan kita sebagai manusia.
Bahaya Makanan
Ringan (Junk Food) Makanan ringan boleh dikategorikan sebagai makanan kurang khasiat yang memudaratkan kerana ia mengandungi karbohidrat jenis biasa, lemak tepu dan garam dengan kadar yang tinggi, di samping rendah ataupun tiada langsung bahan serat, protein, vitamin dan zat-zat logam di dalamnya (Ask The Dietitian-‘Junk Food,’ Joanne Larsen (MS RD LD), 1996, di dietition.com). Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah.” (Surah Al-Baqarah ayat 172) Nabi Muhammad bersabda: “Jauhilah sesuatu yang memudaratkan...” (Riwayat Malik, Al-Hakim, Baihaqi dan Ibnu Majah) Pelbagai Makanan Ringan Kek dan kuih-muih mengandungi kadar gula yang tinggi dan kadar vitamin serta zat-zat logam yang amat rendah. Minuman jenis cola juga mengandungi lebihan gula dan kadangkala ia dicampurkan dengan sejenis dadah yang boleh membawa kepada ketagihan, iaitu kafeina. Ais krim pula mengandungi banyak gula dan lemak. Minuman jus buah-buahan yang dijual di dalam botol kebanyakannya tidak mengandungi jus buah-buahan asli, sebaliknya mengandungi banyak gula, air, bahan pewarna dan perisa tiruan. Kentang goreng atau potato chips pula mengandungi kadar lemak dan garam yang tinggi yang memudaratkan (The Smart Food, Junk Food, The Learning Network Inc, 2001, factmonster.com/ipka/A0768674.html) Makanan Ringan Dan Darah Tinggi Makanan ringan amat berbahaya kepada kesihatan apatah lagi apabila ia diambil selalu. Pengkaji-pengkaji dari Pusat Pendidikan Pacific Health di Bakersfield California, dan Prevention Concepts, Inc. di Los Angeles, pernah menjalankan satu kajian yang melibatkan 200 pelajar sekolah dan mendapati lapan daripada sepuluh pelajar-pelajar itu mengambil lebihan lemak tepu melalui makanan ringan. Ujian makmal menunjukkan, satu pertiga daripada mereka mengandungi kadar kolesterol di dalam darah yang tinggi dan 10% daripada mereka menghidap penyakit darah tinggi. Kajian ini jelas menunjukkan lebihan lemak tepu yang terdapat di dalam makanan ringan akhirnya menyempitkan pembuluh darah dan menjadi penyebab kepada penyakit darah tinggi terutamanya apabila umur seseorang sudah meningkat (CBC4Kids Daily News Story, The Dangers of a Junk Food Diet, March 16 2000, cbc4kids.ca/general/whats-new/daily-top-stories). Makanan Ringan Dan Asma Di dalam kajian yang lain, ahli-ahli sains dari Scotland dan Saudi Arabia mendapati makanan ringan merupakan penyebab utama berlakunya peningkatan penyakit alahan dan asma di kalangan kanak-kanak. Kajian ini yang melibatkan 100 kanak-kanak yang mempunyai gejala penyakit asma dan 200 kanak-kanak lain yang tidak menghidapnya mendapati, mereka yang kurang mengambil
sayur-sayuran, vitamin E, zat-zat logam dan susu lebih mudah diserang penyakit ini. Kes-kes asma didapati meningkat sebanyak 50% di dalam jangka masa 10 tahun (Junk Food Linked to Child Asthma, Richard T. Herrick (MD), Titan Support Systems Inc, USA, 1998, titansupport.com/people/medical/childasthma). Makanan Ringan Dan Sakit Jantung Makanan ringan berbhaya kepada jantung. CNN.com.health bertarikh 14 Mac 2000 melaporkan, makanan} ringan meningkatkan risiko remaja menghidap sakit jantung. Ia berpunca daripada lebihan lemak tepu dan kolesterol yang terdapat di dalam makanan ringan pada hari ini. Penemuan ini dibentangkan di dalam mesyuarat Kolej Kardiologi Amerika di Anaheim, California (CNN.com.health, Study: Junk Food Raises Teens' Risk Of Heart Disease, Elizabeth Cohen, March 14, 2000, .cnn.com/2000/HEALTH/03/14/teen.arteries/
Makanan Ringan Dan Kesan Pada Otak Makanan ringan juga boleh merosakkan fungsi otak. Satu kajian telah di lakukan di Baycrest Centre for Geriatric Care di Universiti Toronto, Kanada, berhubung dengan perkara ini. Mereka mendapati makanan ringan yang memang mengandungi lebihan lemak, merosakkan daya konsentrasi dan ingatan otak. Hal ini disebabkan, otak memerlukan glukosa untuk berfungsi dengan baik sedangkan lebihan lemak mengganggu peranan glukosa itu. Profesor Carol Greenwood, seorang pakar sains dari Kunin-Lunenfeld Applied Research Unit di Universiti Toronto merumuskan, makanan ringan yang mengandungi kadar lemak dan protein yang tinggi dan karbohidrat yang rendah pastinya bukan makanan yang sesuai untuk otak manusia (Junk Food Impairs Brain: Study, Steven de Sousa, Feb. 26 2001, University of Toronto, newsandevents.utoronto). Makanan Ringan Dan Buta Mereka yang banyak mengambil makanan ringan yang tinggi kadar lemaknya, menghadapi risiko yang tinggi menjadi buta apabila berumur dalam lingkungan 55 tahun. Penyakit ini yang dikenali sebagai macular degeneration sering menyerang perokok-perokok namun sekarang ia juga menyerang peminatpeminat makanan ringan. Penemuan ini yang dimuatkan di dalam Archives of Ophthalmology, dilaporkan oleh pakar-pakar sains dari Massachusetts Eye And Ear Infirmary di Amerika, selepas melakukan kajian ke atas 349 orang pesakit yang berumur di antara 55 hingga 80 tahun. Semua ini mengesahkan tentang bahaya makanan ringan yang popular di kalangan masyarakat moden pada hari, justeru pengambilannya perlu dikawal sebelum kemudaratan yang lebih teruk menimpa ke atas diri kita (ABCNEWS.com, Blinded by Junk Food? Study: Snacks May Be Bad For Vision, Aug. 15 2001, abcnews.go.com/sections/GMA/GoodMorningAmerica). Tambahan daripada itu, kajian oleh para saintis dari Universiti Oxford, England, mendapati pengambilan makanan ringan juga meningkatkan peratus keganasan dalam masyarakat.
Peningkatan ini begitu ketara dalam masa 50 tahun ini. Hal ini mungkin disebabkan oleh kekurangan khasiat-khasiat tertentu, terutamanya omega-3, jika seseorang banyak mengambil makanan ringan. Omega-3 membantu di sudut pengawalan emosi seseorang.
Nukilan Dr. Danial b Zainal Abidin (M.B.Ch.B., Alexandria). Rujukan: Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden oleh Dr. Danial.