Sejak kebelakangan ini, isu “nasi menjadi bubur” seringkali terpapar di media akhbar khususnya Utusan. Ada pemimpin yang mencadangkan tindakan segera perlu dilakukan untuk mengelakkan ”nasi menjadi bubur” dan ada yang mencadangkan menyelamatkan ”nasi sebelum ia menjadi bubur”. Sehinggakan sesetengahnya terlupa jati diri dan akhlak melayu islam dalam menegur kesalahan saudaranya. Perbuatan menuding jari atau menyatakan pendapat secara terbuka sebenarnya akan mendatangkan masalah yang lebih besar. Perbuatan membuat kenyataan secara terbuka sama ada menyokong atau membangkang sebenarnya adalah perbuatan menambahkan air ke dalam nasi. Tidak usahlah bercakap untuk mengelakkan atau menyelamatkan nasi dari menjadi bubur sedangkan perbuatan yang dilakukan ialah menambah air ke dalam nasi . Sepatutnya mereka duduk semeja dan berbincang secara terhormat. Ironinya dalam keghairahan pemimpin dan ahli UMNO menyatakan pendirian masing-masing, mungkin mereka terlepas pandang situasi semasa yang menunjukkan ”nasi akan menjadi bubur” pada bila-bila masa sahaja. Krisis makanan global perlulah diambil perhatian, harga beras yang meningkat perlu dipantau dan suatu mekanisma terbaik perlu dijalankan bagi menangani masalah ini. Stok bekalan beras mungkin bertahan hanya beberapa bulan, mungkin selepas ini rakyat Malaysia perlu menambahkan air ke dalam nasi supaya manjadi bubur bagi menjimatkan beras. Demi mendapatkan makanan manusia sanggup melakukan pelbagai cara, lihatlah rusuhan yang berlaku di Haiti yang menyebabkan lima orang maut. Semuanya berpunca dari kenaikan harga beras. Mujurlah krisis ini timbul pada saat kita mempunyai seorang menteri yang berwibawa, Datuk Mustapha Mohamed. Faham tentang isu nasi menjadu bubur dan kemungkinan menjadikan nasi sebagai bubur, beliau merangka strategi dan tindakan yang boleh dikatakan efisien bagi menangani masalah ini. Syaba Datuk. Inilah contoh pemimpin yang mempunyai kepimpinan.
Pakcik- Serdang, Selangor