، الحمدلله الذي بنعمته تتم الصالحات والصلة والسلم على رسولنا المين . وعلى آله وأصحابه أجمعين Ya Allah , Ya Karim Ya Wadud , Kami merafakkan rasa kesyukuran kepada-Mu kerana telah mengizinkan kami untuk berada dan menghadiri Majlis Sambutan Hari Guru tahun 2000 peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Convent pada pagi yang berbahagia ini dengan tema: “Bersatu Memertabatkan Profesion Perguruan”. Ya Allah , Tuhan Yang Berkuasa Melaksanakan apa yang dikehendakki , Jadikanlah hari-hari yang kami lalui dimulai dengan rahmat-Mu , pertengahannya barakah , dan disudahi dengan keampunan-Mu . Dan juga jadikanlah hari-hari yang kami lalui permulaannya hidayah , pertengahannya kemenangan dan diakhiri dengan kecemerlangan . Ya Allah , Tuhan Yang Maha Esa lagi Perkasa Kami menyedari bahawa tugas sebagai guru adalah tugas yang mulia justeru itu kurniakanlah kepada kami hati yang ikhlas dalam menyempurnakan amanah dan tanggungjawab yang berat ini dengan sebaiknya. Lorongkanlah hati kami agar kami dapat menjadikan seluruh aktiviti dunia pendidikan ini sebagai ibadah kepada-Mu semata-mata. Di saat ini kami mempersembahkan tangan pengharapan , memohon ihsan-Mu agar Engkau
menganugerahkan kepada kami semangat kerjasama yang tinggi , semangat sebagai sebuah pasukan ,semangat persaudaraan dan semangat juang yang tidak mengenal erti putus asa kepada barisan pendidik di sekolah ini untuk terus berusaha menyumbang tenaga dan kepakaran demi meningkatkan kualiti akademik dan kokurikulum pelajar di sekolah ini khususnya dan di arena pendidikan perdana umumnya. Ya Allah , kurniakanlah kepada kami Iman yang teguh,mantap dan kukuh demi menghadapi cabaran-cabaran hidup semasa dan dalam mengharungi pancaroba hidup alaf baru tahun 2000 . Ya Allah tunjukkanlah kami taufiq dan hidayah jalan yang benar dan cara-cara melaksanakan serta menghayatinya.Jadikanlah kami insan yang suka mendengar kebaikan lantas melakukannya , begitu juga jadikanlah kami insan yang apabila mengetahui keburukan lantas bersegera meninggalkannya . Ya Allah , jadikanlah perhimpunan kami ini sebagai perhimpunan yang diberkati dan dirahmati . Dan jadikanlah perpisahan kami selepas ini sebagai perpisahan yang Engkau pelihara daripada mara bahaya dan keburukan.
ربنا آتنا في الدنيا حسنة وفي الخرة حسنة وقنا عذاب النار والحمد لله رب العالـمين