Oleh: Kamarudin bin Jaffar ISM SAINS SERTA PENDIDIKAN (PENGAJIAN ISLAM) UTM Amalan Bidaah Dalam Masyarakat Melayu Masyarakat Melayu Asal-usul orang-orang Melayu amat kabur kerana sejarah kuno Asia Tenggara masih belum diselidiki dengan mendalam . Beberapa teori telah mengatakan bahawa orang Melayu adalah daripada golongan manusia yang diberi nama Austronesia . Ia datang dari daerah Yunan dan telah turun menduduki wilayah Asia Tenggara . Ini berlaku sejak tahun 2 500 sebelum Masehi dengan golongan pertama dikenali sebagai Melayu Proto dan kemudian diikuti oleh Melayu Deutro . Masyarakat Melayu Nusantara mula menerima Islam pada abad ke-13 Masehi dengan dimulai oleh Pasai . Para pedagang Arab atau India telah membawa Islam kepada mereka . Ini berikutan kepada catatan pelayaran Marco Polo , yang menulis bahawa ketika beliau singgah di Pasai pada tahun 1292 , penduduk Pasai telah memeluk Islam. Proses Islamisasi mulai pesat pada abad ke -15 kerana Melaka telah memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam di Nusantara . Puncak kepesatan penyebaran Islam ialah pada abad ke - 16 dan 17. Walaupun Melaka jatuh ke tangan Portugis pada waktu itu tetapi Aceh dapat mengambil alih peranan Melaka dengan keadaan lebih gigih lagi . Oleh kerana Islam berkembang dengan pesat di nusantara dan ramai pula yang ingin mendalami agama tanpa mengenali dengan lebih dekat siapakah guru mereka , ditambah pula mereka terlalu ghairah untuk mengejar pahala dan mengejar banyak fadhilat , maka masyarakat Melayu terjebak ke kancah bidaah . Ini jelas dapat dilihat daripada beberapa amalan yang diamalkan oleh Masyarakat Melayu yang kononnya ajaran Islam tetapi setelah diselidiki , ia adalah satu bidaah .
Makna Bidaah Bidaah adalah daripada perkataan Arab dari perkataan dasar yang bererti mencipta sesuatu tanpa contoh sebelumnya . Ini adalah berdasarkan firman Allah : بديع السموات والرض Ertinya : “ Yang menjadikan langit dan bumi tanpa ada contoh sebelumya .”
Dan firman Allah : قل ماكنت بدعا من الرسل Ertinya : “Katakanlah aku bukanlah orang yang pertama membawa risalah daripada Allah , bahkan banyak rasul-rasul sebelumku .” Bidaah menurut istilah ialah : الحدث في الدين بعد الكمال Ertinya : “Perkara-perkara baru dalam agama sesudah ianya disempurnakan.” Menurut Al-Syatibi pula , pengertian Bidah adalah : “ Dan Bidaah itu ialah satu jalan ( cara ) dalam agama yang diada-adakan yang menyerupai hukum syariat yang dimaksudkan dengan mengerjakannya ialah seperti apa yang dimaksudkan dengan jalan ( cara ) mengerjakan hukum syariat .”
Beliau menambah lagi dengan katanya : “ Maka jika demikian , maka bidaah itu ialah ibarat satu jalan ( cara ) dalam agama yang diada-adakan yang menyerupai hukum syarak yang dimaksudkan dengan mengerjakan ialah mengabdikan diri ( kepada Allah ) secara berlebih-lebihan .” Sebahagian ulama hadis pula mendefinisikan bidaah seperti berikut : “ Ialah urusan yang baharu diada-adakan dalam agama baik berupa akidah , ibadat atau sifat bagi ibadat yang belum pernah terjadi pada zaman Rasulullah SAW .” Sebagai kesimpulan , bidaah didefinisikan sebagai perkara-perkara baru dalam agama yang diada-adakan berlawanan dengan dalil-dalil atau kaedah-kaedaah yang telah ditetapkan oleh syarak . Pembahagian Bidaah Menurut Imam Muhammad bin Idris Assyafi’i yang diriwayatkan oleh Abu Nu’aim : “Bidaah itu terbahagi kepada dua iaitu bidaah terpuji ( mahmudah ) dan bidaah tercela ( mazmumah) . Maka mana-mana yang sesuai dengan sunnah , maka itulah yang terpuji dan mana-mana yang menyalahinya maka itulah yang tercela .”
Berdasarkan kenyataan ini , ada ulama yang membahagikan bidaah kepada 4 bahagian iaitu : Bidaah sunnah Bidaah Sunnah ialah bidaah yang termasuk dalam kaedah sunnah seperti solat Tarawih secara berjamaah . Bidaah harus Bidaah harus ialah tiap-tiap perkara yang harus seperti makan bermeja dan memakai pakaian yang berbagai-bagai bentuk fesyen yang tidak bertentangan dengan hukum syara’ . Bidaah haram Bidaah haram ialah bidaah yang termasuk dalam kaedah bidaah haram dengan dalil dari syara’ seperti menziarahi kubur-kubur dengan tujuan meminta sesuatu pertolongan . Bidaah makruh Bidaah makruh ialah bidaah termasuk kaedah makruh seperti menentukan hari tertentu untuk menunaikan sesuatu ibadat dengan kepercayaan bahawa hari itu lebih baik pada hari-hari lain . Jenis-jenis Bidaah Bidaah Fi’liah dan Bidaah Tarkiah Bidaah Fi’liah ialah mengerjakan sesuatu amalan atau perbuatan yang tidak dikerjakan oleh Rasullullah . Ini termasuklah membuat hadis palsu , mengurangkan atau menambahkan rakaat atau kaifiat solat , mengadakan solat-solat atau puasa khusus pada masa dan hari-hari yang khusus pada masa dan hari-hari yang khusus , bersembahyang atau berpuasa pada waktu-waktu dan hari-hari yang terlarang . Bidaah Tarkiah pula ialah meninggalkan perkara-perkara yang dituntut oleh agama atau agama menggalakkannya kerana memandangkan ia lebih baik tidak dikerjakan . Bidaah yag termasuk dalam kategori Tarkiah ini ialah : • Tidak mahu berkahwin kerana hendak beribadat kepada Allah tanpa sesuatu sebab yang dibolehkan oleh syara , atau beribadat terus menerus . • Mengharamkan atas diri sesuatu yang dihalalkan oleh Allah tanpa sebab yang dibolehkan oleh syarak dan juga sebaliknya .
• Meninggalkan hukum-hukum atau ketentuan Allah dan Rasul kerana mengutamakan akal fikiran . • Menolak dan meninggalkan hadis-hadis sebagai dalil syar’i ataupun mendahulukan akal dari hadis .
Bidaah yang dikelaskan dalam kategori Bidaah Fe’liah pula ialah : • Menyeksa diri dalam melakukan ibadat kepada Allah. • Menceraikan isteri dalam masa haidh atau semasa isteri suci yang sudah dicampurinya atau menceraikan isteri dengan talak tiga sekaligus . • Merombak atau mengubah hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul . • Mengadakan azan dan qamat pada solat dua hari raya . Azan dan iqamat disyariatkan bagi solat-solat fardhu dan Rasullullah dan para sahabat tidak pernah berazan dan iqamat pada solat hari raya Puasa dan Haji dan tidak ada hadis menyuruhnya . Bidaah I’tiqadiah , Amaliah dan Qauliah Beri’tiqad berlainan dengan apa yang telah diajarkan oleh Rasullullah dinamakan bidaah I’tiqadiah seperti : kepercayaan Wihdatul , Syiah , Khawarij , Mu’tazilah . Qadariah dan Murjiah yang beri’tiqad bahawa malaikat Harut dan Marut telah berbuat jahat dengan Zuhrah lalu dikenakan hukuman gantung dengan kaki di atas dan kepala di bawah di Babilon sampai hari kiamat , manakala Zuhrah disumpah menjadi bintang Zuhrah . Ini juga termasuklah juga beri’tiqad bahawa para wali lebih tinggi martabatnya daripada nabi dan Rasul . Bidaah Qauliah pula ialah mengubah sesuatu yang keluar daripada mulut rasul . Bidaah Zamaniah dan Makaniah Bidaaah Zamaniah ialah bidaah yang bersangkutan dengan masa-masa tertentu seperti melakukan solat atau puasa pada kepercayaan WihdatulWujud di kalangan orang-orang sufi pada masa-masa dan hari-hari tertentu seperti solat khas pada malam lailatul Qadar , solat khas pada malam dua hari raya , solat khas pada malam Jumaat pertama bulan Rajab , solat khas pada malam nisfu Syaaban , berpuasa khas pada satu haribulan Muharram , puasa khas pada hari nisfu Syaaban , puasa khas pada hari Khamis minggu pertama bulan Rajab dan pada hari yang kedua puluh tujuhnya .
Bidaan Makaniah ialah Bidaah yang dilakukan pada tempat-pempat yang tertentu seperti tempat-tempat kematian , di perkuburan para wali syuhadak dan sebagainya . Bidaah Kulliah dan Juziah Kulliy bermaksud keseluruhan dan Juziah bererti sebahagian-sebahagian . Bidaah kulliah ialah satu bidaah pada keseluruhannya atau memberi kesan kepada orang lain , bukan hanya kepada orang yang melakukannya sahaja seerti menggunakan akal untuk menetapkan sesuatu baik atau buruknya sebagai ganti syarak dan seperti menolak hadis-hadis Ahad ( bukan Mutawatir ) menjadi hujah atau mengingkari beramal dengan hadis-hadis Ahad . Bidaah Juziah hanya melibatkan pembuat atau pelakunya sahaja tanpa melibatkan orang ramai seperti seorang yang menyalahi Sunnah Rasul tetapi kesannya tidak mempengaruhi atau melibatkan orang ramai kerana dia bukan menjadi ikutan orang ramai . Bidaah Haqiqiah dan bidaah Idhafiah Bidaah Haqiqiah ialah bidaah yang langsung tiada dalil baik dari al-Quran ataupun sunnah , ijmak , athar sahabat atau lainnya dari kaedah syarak yang muktabar . Contohnya ialah sembahyang Raghaib yang dikerjakan pada malam jumaat minggu pertama bulan Rajab sesudah berpuasa siang harinya dan solat - solat serupa itu yang tidak didasarkan kepada dalil syar’i tetapi didasarkan kepada hadis-hadis maudhu’. Bidaah Idhafiah pula ialah satu pekerjaan atau perbuatan yang terdapat padanya dua jurusan , iaitu jika dilihat dari satu sudut kelihatan ia bukan satu bidaah tetapi bila dilihat dari sudut lain ia adalah satu perbuatan bidaah idhafaiah seperti membaca al-quran dengan kuat di dalam masjid sehingga menganggu ahli jamaah yang sedang beribadat dan membaca alQuran dengan suara yang nyaring dari menara-menara masjid lalu mengganggu orang yang sedang tidur. Bidaah Ibadiah dan Bidaah Adiah Bidaah Ibadiah ialah bidaah yang dilakukan dengan maksud mendekatkan diri dengan Allah SWT , untuk mendapatkan pahala yang banyak daripada Allah . Manakala Bidaah Adiah ialah bidaah yang dikerjakan bukan kerana hendak mendekatkan diri dengan Allah tetapi mengenai urusan muamalah antara manusia yang bertentangan dengan batas-batas yang ditetapkan oleh Allah dan Rasulnya . Contoh Bidaah Ibadiah ialah solat khas Nisfu Syaaban , solat raghaib dan lain-lain.
Bidaah yang berlaku dalam Masyarakat Melayu Bidaah Dalam Bulan Rabiul Awal Masyarakat Melayu di Malaysia amat bersungguh-sungguh mengadakan majlis Maulid al-Rasul . Perbuatan ini adalah tidak boleh kerana hal itu adalah bidaah dalam agama . Selain itu , Rasullullah tidak pernah mengerjakannya , begitu pula Khulafa al-Rashidin , para sahabat lain dan para Tabiin yang hidup pada kurun paling baik . Mereka juga tidak menganjurkan mengadakan majlis seperti ini walaupun mereka adalah dari kalangan orang-orang yang lebih memahami terhadap sunnah , lebih banyak menyintai rasul daripada generasi selepasnya dan benar-benar menjalankan syariatnya . Bidaah Dalam Bulan Safar Masyarakat Melayu juga percaya bahawa bulan Safar mendatangkan kecelakaan terutamanya pada hari Rabu akhir bulan . Dipercayai bahawa diturunkan bala pada tiap-tiap tahun sebanyak 12 000 bala dan sekaliannya itu pada hari Rabu akhir bulan Safar. Untuk menolak bala ini , disunatkan banyak bersedekah dan membaca doa tolak bala dengan kaifiat-kaifiat tertentu . Perkara ini adalah bidaah kerana ia bertentangan dengan hadis nabi S.A.W , yang bermaksud : “ Tiada kejangkitan , tiada kesialan kerana burung hantu dan tiada kesialan kerana bulan Safar . Allah menjadikan tiap-tiap jiwa dan ia telah menentukan hidupnya , musibat-musibatnya dan rezekinya .” Bidaah Dalam Bulan Rajab Lazimnya masyarakat Melayu menyambut Bulan Rajab dengan mengadakan perayaan Israk dan Mikraj , mengadakan solat khas pada malam Jumaat minggu pertama bulan Rajab yang dinamakan solat alRaghaib , puasa khas pada hari Khamis minggu pertama bulan Rajab , solat khas pada malam 27 Rajab dan puasa khas pada siang hari 27 Rajab . Amalan-amalan itu tidak ada dasarnya dalam agama sama ada dari alQuran atau hadis yang sabit dari Rasulullah dan tidak pula diamalkan oleh para sahabat dan ulama salaf , maka oleh kerana itu ia termasuk dalam perbuatan bidaah . Hadis tentang solat khas pada malam Jumaat minggu pertama bulan Rajab dan puasa khas pada hari Khamis adalah hadis maudhu’ ciptaan tukangtukang bidaah atau orang-orang kafir zindiq . Hadis tentang solat khas dan puasa khas ada 27 Rajab juga adalah mungkar yang tidak boleh dijadikan sebagai targhib dan tarhib ataupun
menyatakan fadhilat amal . Bidaah dalam Bulan Ramadhan Dalam bulan Ramadhan pula , masyarakat Melayu gemar mempercepatkan solat tarawih . Mereka mengerjakan solat tarawih hanya mengambil masa setengah jam dari solat Isyak sehingga witir . Oleh kerana terlalu laju , banyaklah kecacatan yang berlaku . Ini termasuklah surah al-Fatihah yang dibaca senafas , tidak menjaga tuma’ninah dalam rukuk , sujud , duduk antara dua sujud dan iktidal . Dalam hal ini imam al-Ghazali berkata : “ Kamu manghadiahkan solat kamu kepada Allah , maka janganlah kamu menghadiahkan solat kamu dengan sifat-sifat yang tersebut ( buruk ) , pasti anda akan menerima siksaannya .” Bidaah Azan Dan Iqamat Untuk Jenazah Masyarakat Melayu juga mengamalkan banyak perkara bidaah dalam hal pengurusan jenazah . Mereka gemar membaca azan dan qamat sewaktu mayat diturunkan dari rumah atau ke dalam kubur . Sebenarnya tidak ada hadis yang mensyariatkan azan dan qamat untuk jenazah . Amalan ini adalah semata-mata bidaah kerana ia tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah , sahabat-sahabat dan al-salaf al-shalih . Apa yang nabi ajar ialah azan pada solat fardhu dan sewaktu menyambut kelahiran bayi . Bidaah Solat Teman Selain itu , mereka juga percaya bahawa mayat perlukan bantuan untuk menghadapi alam baru . Untuk tujuan itu , mereka juga melakukan sejenis solat yang dinamakan Solat Teman . Solat ini bertujuan untuk membantu mayat menghadapi soalan Mungkar dan Nakir . Solat ini adalah mungkar dan bidaah . Ini adalah kerana Rasulullah hanya melakukan solat jenazah dan solat ghaib . Rasululullah juga hanya mensyariatkan supaya berdoa dan meminta ampun untuk si mati . Ini adalah bersesuaian dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud , al-Hakim dan al-Bazzar , yang bermaksud : Uthman bin ‘Affan r.a meriwayatkan : “ Adalah nabi SAW apabila selesai mengkebumikan jenazah , baginda berdiri di sisi perkuburan dan bersabda : Mohonkanlah keampunan untuk saudara kamu dan mintalah ketetapan untuknya kerana dia sekarang akan disoal .” Bidaah Tunggu Kubur Ada juga sebahagian masyarakat Melayu yang mengamalkan ‘Tunggu kubur’ . Mereka mengupah beberapa orang untuk menunggu kubur si mati
untuk beberapa malam . Panjang masa menunggu adalah bergantung kepada kemampuan keluarga si mati . Lazimnya adalah dalam bilangan ganjil iaitu semalam , tiga malam , lima malam , tujuh malam dan seterusnya . Sebuah rumah kecil dibina berhampiran kubur si mati untuk tujuan membaca al-quran , berzikir dan sebagainya untuk simati . Penunggu-penunggu mendapat upah yang agak lumayan . Hukum mengupah dan mengambil upah membaca al-Quran kepada simati , jumhur ulama menyatakan haram . Ini kerana , tiada pahala bagi orang yang membaca al-Quran kerana upah . Pada tahun 1917 , Syeikh Muhammad Bakhit telah mengeluarkan fatwa berhubung permasalahan kadar upah yang terjadi di antara pemberi dan penerima upah , beliau memfatwakan hukum mengambil upah membaca al-Quran untuk si mati adalah haram . Fatwa yang sama juga dikeluarkan oleh Mufti Mesir Abdul Majid Sulaim pada tahun 1942 dan Badan Kajian Dakwah dan Fatwa Kerajaan Arab Saudi , ( Fattawa Islamiyah , halaman 23 ) . Amalan ini adalah bidaah dan perbuatan mungkar yang wajib dicegah kerana ia jelas tidak dianjurkan oleh Rasullullah S.A.W dan tidak pula diamalkan oleh para sahabat dan ulama Salafus - Shalihin . Bidaah Membina Bangunan Di atas Kubur Di antara bidaah lain ialah ada juga di antara orang Melayu yang membina binaan di atas kubur . Ada kubur yang dibina dengan konkrit , marmar dan lain-lain yang mahal harganya . Kadang kala dibina kubah , menara , memasang lampu-lampu dan hiasan yang indah khususnya dari kalangan orang berada dan kubur-kubur keramat atau wali . Ini adalah perbuatan yang membazir , riak dan takabbur . Di situ juga tersirat konsep pemujaan kepada ahli-ahli kubur . Perbuatan ini menyerupai amalan agama-agama lain. Jabir ra. meriwayatkan katanya : “ Rasullullah SAW melarang mengecat kubur dengan kapur , duduk di atas kubur dan membina binaan di atasnya .” Hadis riwayat Muslim . Selain itu , ada juga amalan yang menjadikan kubur sebagai tempat :• Meminta sesuatu hajat • Meminta sesuatu melalui perantaraan kubur . • Berdoa di kubur kerana percaya bahawa berdoa dimakbulkan lebih mustajab dari di masjid . • Bernazar kepada kubur .
• Membayar nazar kepada kubur . • Menyembelih binatang nazar di kubur . Amalan-amalan di atas adalah bidaah dan tidak ada bezanya dengan kelakuan penyembahan berhala . Menurut Muhammad bin Abdul Wahab ( pengasas mazhab Wahabi ) , perbuatan ini adalah maksiat dan boleh membawa syirik . Perbuatan memuliakan kubur adalah terkeluar daripada batas-batas agama dan harta benda yang dibelanjakan untuk tujuan tersebut itu adalah sia-sia sahaja . Bidaah Fidyah Solat Dan Kenduri Arwah Dalam hal berkaitan kematian juga , kebanyakan masyarakat Melayu ada mengamalkan membayar fidyah untuk orang yang telah meninggal dunia yang semasa hidupnya ada meninggalkan solat . Perbuatan ini juga adalah bidaah kerana perbuatan ini tidak pernah dilakukan oleh nabi , para sahabat , al-salaf al-shalih dan tidak ada ulama yang membolehkannya . Kenduri arwah atau kenduri kematian yang diamalkan oleh Masyarakat Melayu juga adalah bidaah . Amalan ini akan membebankan waris dengan menyediakan makanan dan banyak berbelanja untuk malam-malam tiga , malam tujuh , malam empat puluh hari dan seterusnya. Ini adalah juga bidaah yang bertentangan dengan sunnah Rasulullah dan golongan alSalafu al-Salih r.a. dan kemudiannya . Ulama memutuskan amalan ini berasal daripada budaya Firaun . Justeru itu , amalan ini adalah bidaah dan kadang-kadang berlaku salah guna pada harta peninggalan si mati seperti hutang yang sepatutnya dibayar , tidak diutamakan . Oleh itu , maka Majlis Fatwa Mesir tahun 1947 memutuskan haram dan hendaklah dihentikan amalannya . Dalam satu peristiwa , apabila berlaku kematian anak bekas Mufti Mesir , Syeikh Hasanain Makhluf , setelah hampir empat puluh hari , beliau ditanya tentang tarikh memperingati hari kematian yang ke - 40 . Beliau menjawab “ Menghayati malam 40 dengan cara seperti yang biasa dilakukan itu suatu bidaah yang tidak bersumberkan Islam , buat anakku , cukuplah dengan amalan yang dilakukan olehnya sendiri .” Jawapan tentang permasalahan ini telah disiarkan oleh akhbar al-Ahram bertarikh 27 Julai 1947 dan disahkan oleh Majlis Fatwa Mesir dan dikeluarkan dengan rasminya pada 14 Ogos 1947 . Bidaah Dalam Berwirid Dan Berdoa Selain daripada itu , masyarakat Melayu juga gemar berdoa dengan suara keras dengan menggunakan pembesar-pembesar suara sehingga kedengaran jauh kerana sudah menjadi kebiasaan .
Sebenarnya , untuk berdoa , kita perlulah memenuhi tentang pantang larangnya , tidak boleh melalui perantaraan , dengan ikhlas , khusyuk dan tawadhuk , tidak riak , tidak takabbur dan tidak boleh dengan suara keras menengking . Dalam hal ini Abu Musa al-Asf’ari meriwayatkan : “Orang-orang yang mengangkat suara mereka dengan berdoa dalam sebahagian perjalanan , maka Rasulullah SAW bersabda kepada mereka : Batasilah diri kamu ( jangan bersuara keras ) , kerana bahawasanya kamu tidak memohon kepada orang pekak dan bukan pula kepada orang yang tiada , sesungguhnya yang kamu meminta kepadanya itu adalah Maha mendengar dan dekat , lebih dekat kepada seseorang kamu dari tengkuk kenderaannya .” Apatah lagi jika berdoa dengan suara yang keras sehingga mengganggu orang lain , ia termasuk dalam bidaah yang tercela . Bidaaah Membaca Al-Quran Atau Tarhim Di Menara Masjid Membaca Al-Quran atau tarhim di menara masjid adalah juga bidaah .Lazimnya ia dilakukan dengan dibaca atau melalui pita rakaman lebihlebih lagi dilakukan di waktu dinihari sebelum subuh . Bacaan-bacaan ini boleh mengganggu orang-orang sakit , orang-orang tidur ataupun orangorang yang ingin beribadat . Menurut al-Imam Ibnu al-Jauzi , di antara pekerjaan-pekerjaan mungkar ialah seseorang bangun di malam hari di menara-menara masjid lalu membaca zikir atau sesuatu surah al-Quran dengan suara yang lantang lalu mengganggu manusia yang sedang tidur dan mengganggu bacaan orang-orang yang sedang bersolat tahajjud . Sebab-sebab Timbulnya Bidaah Jahil Bidaah amat mudah membiak dalam satu masyarakat yang jahil , pemimpin yang jahil dan ulama yang beku dan kaku . Masyarakat ada sebahagiannya yang gemar membicarakan masalah agama yang tidak difahaminya . Tindakan memperkatakan urusan-urusan agama tanpa ilmu adalah satu kesesatan dan menyesatkan orang . Jahil dalam Bahasa Arab Al-Quran , al-Hadis dan kitab-kitab yang muktabar adalah dalam bahasa Arab . Kejahilan dalam bahasa ini akan menyebabkan salah faham dan kesesatan .
Sebagai contohnya : Allah berfirman : و اعبد ربك حتى يأ تيك اليقين Ertinya : “ Dan hendaklah kamu menyembah Tuhanmu sehingga datanglah keyakinan kepadamu ,” Yang dimaksudkan dengan perkataan yakin di situ ialah mati , tetapi kerana kejahilan bahasa Arab , yakin disini dimaksudkan dengan keyakinan . Ayat itu diertikan sebagai : “Hendaklah kamu berabdi kepada Allah sehinggalah datang kepadamu keyakinan ” , maka apabila sudah ada keyakinan tidaklah lagi wajib berabdi kepada Allah . Akhirnya tidak berzakat, tidak bersolat dan tidak menunaikan fardhu haji kerana mereka beralasan telah sampai ke martabat yakin . Jahil Sunnah Maksudnya ialah kejahilan tentang martabat hadis sama ada shahih , hassan, dhaif dan maudhu’. Hadis-hadis yang terlalu dhaif seperti hadis mungkar , matruk , batil dan maudhu’sama sekali tidak boleh digunakan . Sebagai contoh , bagi menggalakkan umat supaya mengadakan perayaan maulid Nabi SAW maka hadis ini digunakan : من عظم مو لدى كنت شفيعا له يوم القيا مه Ertinya : “Barangsiapa yang membesarkan hari kelahirannku , maka akulah pemberi syafaat kepadanya pada hari qiamat .” Jahil Konsep Ibadat Sebahagian masyarakat Melayu hanya memahami bahawa ibadat itu hanyalah terbatas kepada ibadat-ibadat yang khusus sahaja seperti solat wajib atau sunat , puasa wajb atau sunat , zakat , haji , umrah , sedekah , wakaf , zikir , tahlil , takbir , tasbih , tahmid , istighfar , membaca al-Quran dan sebagainya . Apa yang mereka faham ialah perkara yang selain daripada itu , tidak termasuk ibadat . Akhirnya mereka merasakan bahawa ruang lingkup ibadat menjadi sempit walaupun mereka telah melakukan semua ibadat khusus tersebut . Justeru itu , mereka mencari amalanamalan lain dengan membaca sesetengah kitab yang diajar oleh sesetengah guru seperti solat khas pada malam-malam tertentu dan puasa khas pada hari-hari tertentu . Mengikut Hawa Nafsu Oleh kerana mengikut hawa nafsu , masyarakat Melayu sanggup melakukan penyelewengan . Nafsulah yang mengajak orang ingin menjaga kemasyhuran , menjaga kepentingan diri , keluarga , suku dan ingin dipuji . Nafsu jugalah yang menyebabkan timbulnya puak-puak sesat .
Mereka sanggup mengada-ada , membuat alasan dan dolak dalik yang keluar dari dasar dan roh Islam yang sebenarnya . Allah berfirman di dalam al-Quran : ان النفس ل مارة بالسوء المارحم ربى Ertinya : “ Sesungguhnya nafsu itu menyuruh berbuat jahat kecuali nafsu yang dirahmati oleh Tuhanku .” Taqlid Buta Kepada Guru Manusia selain Rasul , walaupun betapa tinggi martabat keilmuannya dan kesolehannya tidak terlepas daripada kesilapan dan kesalahan . Sikap bertaqlid buta akan menyebabkan matinya roh ijtihad . Apabila berlakunya pertembungan antara fatwa guru dengan al-Quran dan al-Sunnah , fatwa gurulah yang diutamakan kerana guru dianggap serba tahu , keramat dan maksum . Jika dikaji , tidak ada imam-imam mujtahidin yang mewajibkan orang bermazhab kepada mereka . Sikap bertaqlid buta kepada guru-guru dan kitab-kitab tertentu adalah menjadi penyakit kepada umat dan menjadi punca lahirnya bidaah . Memperdaya Umat Islam Sebahagian kaum Syiah dan sebahagian kaum Sufi mencipta bidaah dengan tujuan menghancurkan Islam dan menyesatkan kaum muslimin . Di dalam ilmu Tasauf , ada satu ajaran mengenai kasyaf . Kasyaf ialah sumber pengetahuan dalam ilmu tasawuf yang sama kedudukannya seperti akal dalam Ilmu Tauhid . Dengan kasyaf , orang boleh merombak sesuatu hukum yang telah ada atau mengadakan sesuatu cara ibadat yang belum atau tidak disyariatkan melalui lidah para rasul . Tidak hairanlah jika Agama Kristian di dunia sekarang ini ialah dari ajaran Paulus . Pengikutnya yakin bahawa beliau mendapat kasyaf berjumpa dengan Nabi Isa a.s sedangkan Nabi Isa sudah diangkat . Menurut tafsiran kitab Tafsir al-Azhar , juzu’ II , halaman 287 – 288 : “Yang sangat merosak agama pula ialah yang ditimbulkan oleh golongan tasawwuf yang semacam itu ialah tentang adanya kasyaf . Kasyaf ertinya pembukaan rahsia yang tersembunyi . Menurut mereka , seseorang yang telah mencapai martabat wali itu boleh diberi Allah kelebihan dengan dikasyafkan kepadanya oleh Allah rahsia-rahsia yang tersembunyi , yang ghaib . Kadang-kadang mereka mengubah hukum agama yang tertulis di dalam al-Quran dan Hadis sebab tuan Syaikh telah mendapat kasyaf dari Allah baik di dalam suatu mimpi atau suatu ilham supaya dikerjakan begini atau begitu , yang tidak ada dari pokok syariat dari al-Quran dan Hadis itu .”
Sebab-sebab Bidaah Membiak Puncanya ialah , orang Melayu merestui dan mengikuti amalan-amalan bidaah setengah-setengah orang alim kerana berkeyakinan bahawa apa yang diamalkan orang alim itu adalah benar . Selain itu , adat tradisi orang-orang Melayu sebelum kedatangan Islam masih dilakukan sebagai satu amalan agama seperti berkaitan dengan wanita mengandung , urusan kematian , perkahwinan dan perkara ini direstui oleh sesetengah guru dan mendiamkannya . Perbuatan ini ( mendiamkan diri ) dianggap membenarkan perbuatan bidaah . Ada juga orang yang cuba menegakkan sunnah dan menafikan bidaah tetapi dianggap mengajar ilmu sesat yang kononnya bertentangan dengan ajaran mazhab Syafi’i . Tidak kurang juga yang menganggap bidaah adalah masalah remeh-temeh dan tidak perlu diberi perhatian . Selain itu apabila perasaan cintakan kedudukan dan ingin mempertahankannya berkumpul di dalam jiwa mula bermaharajalela , ada juga pemimpin tarikat atau pemimpin jamaah yang buta agama , untuk menjaga kedudukannya , sedangkan mereka bukan ahlinya , telah mencipta wirid , amalan zikir doa dan sebagainya untuk diberikan kepada murid-muridnya . Inilah sebabnya mengapa bidaah bertambah banyak sehingga tidak terhitung . Bidaah Yang Menjadikan Pengamalnya kufur Ada beberapa kepercayaan di kalangan masyarakat Melayu yang jika diamalkan boleh membawa kepada kufur . Bidaah ini ialah yang berkaitan dengan prinsip-prinsip agama seperti dalam masalah aqidah . Contohnya ialah seperti berikut : Berfikiran dan berkeyakinan bahawa para wali di dalam kubur boleh♣ melakukan perkara-perkara seperti di dalam dunia , boleh mengarahkan manusia yang hidup serta menjadi penyebab dalam mendapatkan sesutau ataupun tidak . ♣ Berkeyakinan bahawa para wali lebih mulia daripada nabi SAW . Berkeyakinan bahawa ada di antara para wali yang dipanggil untuk♣ mendengar dan mengabulkan permohonan peminta seperti diselamatkan dari kesusahan atau kecelakaan . ♣ Berkeyakinan bahawa ada ayat-ayat yang bertentangan di dalam alquran . ♣ Berfikiran bahawa siksa dan nikmat kubur itu tidak ada kerana bertentangan dengan akal . ♣ Berkeyakinan bahawa sifat Allah itu ruh bagi Nabi Muhammad; sifat Muhammad ruh bagi manusia; sifat manusia ruh bagi binatang. ♣ Mempercayai bahawa Awal pun Nur, Akhir pun Nur; Nur itu zat Allah'
Nur itu Muhammad. ♣ Sembahyang itu memadai dengan niat dalam hati jua. Tidak perlu mengerjakan rukun yang 13 itu , iaitu niat yang termaklum di sisi mereka sahaja . Al-Masalihul Mursalah bukan bidaah Al-Masalihul Mursalah adalah bukan bidaah . Ia adalah tindakan lanjut dari kaedah prinsip “Suatu kewajipan yang tidak boleh sempurna kecuali dengan sesuatu maka sesuatu tersebut menjadi wajib. ” Perkara-perkara tersebut termasuklah :1. Mengumpulkan catatan-catatan Al-Quran sehiggga menjadi sebuah kitab. 2. Mengenakan denda dengan harta yang telah ditetapkan . 3. Memanfaatkan harta haram sementara tidak ditemukan harta halal . 4. Membuat mihrab di dalam masjid . 5. Membuat menara-menara dan tempat azan yang tinggi di masjid. 6. Meninggikan mimbar dengan bertingkat-tingkat agar jemaah yang besar dapat mendengar khutbah dengan lebih jelas. 7. Membuat pembesar suara agar dapat didengar oleh orang ramai . 8. Membukukan penemuan-penemuan baru seperti ilmu hadis , ilmu fiqh , nahu saraf dan lain-lain . 9. Membuat mesin-mesin berteknologi tinggi untuk menumbuk bji-bijian . 10. Menaiki kederaan seperti kapal terbang dan helikopter . 11. Membuat alat percetakan moden untuk mencetak buku . Kesemua ini tidak ada dalam al-quran dan hadis , mahupun ijma’ . Kesemuanya termasuk dalam al-marsalihulmursalah . Ia adalah bukan bidaah . Cara-cara Mencegah Dan Membasmi Bidaah 1. Mengharamkan buku-buku yang mengandungi perkara-perkara bidaah daripada disebarkan kepada masyarakat 2. Pihak berkuasa tentang agama negeri ini hendaklah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk memeriksa dan meneliti buku-buku agama . 3. Memberi penerangan kepada masyarakat supaya menghindari bidaah melalui khutbah jumaat , risalah , ceramah dan pengajian di surau-surau . 4. Menyebarkan kepada masyarakat sunnah-sunnah yang shahih . 5. Memastikan perlantikan jawatan-jawatan seperti pegawai-pegawai agama , bilal-bilal , mubaligh-mubaligh , guru agama hendaklah diberikan kepada yang benar-benar layak . 6. Semua tenaga agama hendaklah diberi kursus tentang perkara bidaah dan cara mengatasinya . 7. Kerajaan , alim ulama dan guru-guru hendaklah terlebih dahulu meninggalkan perkara bidaah .
Kesimpulan Bidaah ialah perkara yang baru yang tiada dalam syariat . Jika ia berkaitan dengan akidah , amal ibadat dan kepercayaan , ia akan menjadikan pengamalnya kufur . Jika ia berkaitan dengan al-marsalih al-mursalah , ia tidak dinamakan bidaah .Urusan-urusan adat yang tiada ketentuannya dari syarak adalah satu kebebasan kepada manusia untuk mengurus mengikut kebijaksanaan mereka .Bidang-bidang ini termasuklah pertanian , perladangan , perburuan penternakan, perlombongan dan sebagainya . Mewujudkan jentera , kilang mesin dan sebagainya adalah tidak dinamakan bidaah walaupun menurut bahasa ia dinamakan bidaah . Bidaah adalah satu perbuatan yang tercela dan dosa serta melibatkan penolakan amalan oleh Allah . Besar atau kecilnya dosa bidaah yang dilakukan dan berdasarkan motif apa bidaah itu dilakukan . Allah telah berfirman : ام لهم شركؤا شرعوا لهم من الدين مالم يادن به ال Ertinya : “ Adakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka dari urusan agama yang tidak diizinkan Allah ?” Masyarakat Melayu perlulah lebih berfikiran terbuka dan lebih banyak membaca serta berguru . Mereka tidak boleh hanya mengharapkan satu sumber pengetahuan sahaja . Lebih-lebih lagi pada zaman moden yang memasuki era globlisasi ini . Mereka perlu melihat dunia dengan mata burung dan bukan dengan mata tempurung . Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa kita telah mengamalkan bidaah yang tercela dan boleh membawa kepada kekufuran . Sesungguhnya batu sempadan kekufuran itu tidak kelihatan . Jika kita tersilap langkah , kita akan berada di sebelah kiri batu sempadan keimanan dan menjerumuskan diri ke dalam neraka Allah . Dengan mendalami Tauhid Uluhiyah , Tauhid Rububiyah dan Tauhid Asma’ dan Tauhid al-Sifat , kita akan lebih tenteram kerana kita berada dalam lingkungan kefahaman yang boleh menyelamatkan diri kita daripada perkara-perjara syirik , khurafat dan bidaah dan Insya Allah kita tergolong dalam golongan yang dinamakan golongan Al-sabiqun dan golongan ashabul Yamin . Semoga amalan kita semua diterima oleh Allah dan kita terhindar daripada sebarang anasir bidaah , syirik dan khurafat .
Wallhu a’lam bis sawwab .
Bibliografi AbdulFattah Haron Ibrahim ( Prof. Madya ), Beberapa Masalah Utama Dalam Tasawuf : 1992 , Kuala Lumpur , Bahagian Hal Ehwal Islam , Jabatan Perdana Menteri . Abdul Ghani Bin Yahya , Idaman Penuntut Pada Menghuraikan Yang Kusut Penggal Yang Pertama ( Ilmu Fiqh ) : 1990 , Johor Bahru , Penerbitan Haji Abd. Ghani Haji Yahya . Abdul Ghani Azmi bin Haji Idris ( Drs. ) , Al- Bidaah Bahaya dan keburukannya : 2000 , Kuala Lumpur , Al-Hidayah Publishers . Hassan bin Haji Ahmad , Usul Fiqh : 2002 , Kuala Lumpur , Pustaka Haji Abdul Hamid H.M. Tuah Iskandar , 600 Jawapan Kemusykilan Agama Jld. 1 : 1998 , Kuala Lumpur , Karya Bistari Sdn. Bhd. H.M. Tuah Iskandar , 600 Jawapan Kemusykilan Agama Jld. 2 : 1999 , Kuala Lumpur , Karya Bistari Sdn. Bhd. Kasmuri Selamat MA , Rahsia Dan Amalan Bulan Islam , Muharam Zulhijjah : 2000 , Kuala Lumpur , Darul Nu’man . Ma’mur Daud , Terjemah Hadis Shahih Muslim : 1997 , Selangor , Klang Book Centre . Muhammad Sjafi’i Hadzami bin Muhammad Saleh Raidi , Seratus masalah Agama : 2000 , Kuala Lumpur , Victoria Agencie . Mohd . Yusuf Ahmad , Perkembangan Mazhab-Mazhab Ilmu Kalam Dalam Islam : 1995 , Kuala Lumpur , Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia . Noh bin Gadut , Khutbah-khutbah Jumaat : 1991 , Johor Bahru , Bahagian Penerbitan Jabatan Agama Johor . Salim Bahreisy , Terjemahan Riadhus Shalihin Jld. 1 dan 2 : 1995 , Kuala Lumpur , Victory Agencie . Syed Alwi bin Tahir al-Hadad , Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor : 1990 , Johor Bahru , Bahagian Penerbitan Jabatan Agama Johor . Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz , Berhati-hati terhadap Bidaah :
2004 , Johor Bahru , Perniagaan Jahabersa . Syeikh Abu Bakar Jabir Al-Jazairi , Bidaah sumber Kehancuran Umat : 2002 , Johor Bahru , Perniagaan Jahabersa . Zainuddin Hamidy , Fachruddin Hs , Tafsir al-Quran : 1991 , Selangor , Klang Book Centre . Akhbar Mingguan Malaysia , Ruangan 1,001 Kemusykilan .