Wayang Pembangkang Di Perak

  • Uploaded by: egahmulia
  • 0
  • 0
  • May 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Wayang Pembangkang Di Perak as PDF for free.

More details

  • Words: 4,525
  • Pages: 17
WAYANG PEMBANGKANG DI PERAK Oleh AZNAN BAKAR [email protected]

RABU lalu (2 September 2009), bandar raya Ipoh kecoh lagi. Dan sekali lagi kekecohan itu ditimbulkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada pakatan pembangkang. Puncanya hanya kerana mereka mahu mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka sendiri. Pada hal mahkamah telah memutuskan bahawa Barisan Nasional (BN) yang berhak memerintah negeri itu. Maka untuk mendapat perhatian dan publisiti, ADUN pembangkang di negeri itu terpaksa "main wayang" dengan memanggil satu 'sidang DUN'. Tetapi daripada apa yang berlaku pada hari itu, termasuk insiden ADUN pembangkang terbabit bertengkar dengan polis semuanya seperti telah dirancang. Skripnya seolah-olah telah diatur sejak awal lagi. Skrip wayang itu bermula dengan bekas speaker, S. Sivakumar memanggil sidang DUN haram itu. Kemudian para ADUN terbabit hadir pada hari yang ditetapkan dan berarak ke Bangunan Perak Darul Ridzuan. Di situ mereka dihalang oleh polis maka tercetuslah ketegangan antara pemimpin dan penyokong mereka dengan pihak polis. Setelah puas berdrama di jalan raya mereka menuju ke hotel di mana segala-galanya sudah disusun dan disediakan untuk mereka bermesyuarat. Skripnya jelas. Hotel sudah tentu ditempah dari awal. Susun aturnya ala sidang DUN itu juga tentunya telah diarahkan dari awal. Tetapi untuk menunjukkan bahawa hasrat mereka itu dihalang, ADUN-ADUN pembangkang itu perlu juga berarak di jalan. Apabila berarak sudah tentu polis akan bertindak. Dengan itu mereka akan mendapat publisiti yang diinginkan. Setelah sekian lama agak tenggelam, hari Rabu lalu mereka kembali mendapat publisiti di media. Dengan cara itu juga mereka dapat menunjukkan kononnya polis bertindak kasar. Malah polis didakwa telah menghalang mereka melaksanakan 'proses demokrasi'. Sedangkan mahkamah jelas memutuskan bahawa BN lebih berhak mentadbir Perak. Nampaknya, undang-undang dan apa yang diputuskan oleh mahkamah tidak penting pada kumpulan ini. Pada mereka, yang paling penting ialah mencapai cita-cita peribadi dan mendapatkan publisiti murahan walau dengan apa cara sekalipun. Tindakan ADUN Setiawan, Ngeh Koo Ham yang bertegang leher dengan polis juga seolaholah telah dirancang. Kenapa perlu bertekak dengan polis kalau tempat bermesyuarat di hotel yang berhawa dingin telah siap ditempah? Untuk apa semua itu kalau bukan untuk publisiti murahan? 1

Untuk membolehkan mereka bermesyuarat di hotel itu sudah tentu ia perlu ditempah dari awal. Kalau sudah tempah dewan di hotel kenapa perlu lagi untuk berarak di jalan raya hingga mencetuskan ketegangan dengan pihak polis? Tidakkah itu disengajakan? Tidakkah itu kekecohan yang dirancang dan disengajakan supaya mereka boleh mendakwa pihak polis kejam? Inilah demokrasi yang didokong oleh kumpulan terbabit. Sebagai wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya yang sah, mereka sepatutnya menumpukan kepada usaha-usaha untuk membantu dan memajukan rakyat. Inilah masanya untuk mereka membuktikan kepada penduduk yang diwakili bahawa mereka jauh lebih baik daripada wakil rakyat BN sebelum ini. Inilah juga masa untuk mereka membuktikan segala kata dan janji ketika kempen bahawa rakyat akan mendapat "pemimpin yang lebih baik". Tetapi dengan wayang demi wayang dan lakonan demi lakonan, bilakah masanya mereka akan berbakti kepada rakyat? Kedudukan kumpulan yang berhak memerintah negeri sudah jelas. Kini BN yang lebih berhak. Selain pakatan pembangkang kehilangan majoriti ekoran dua ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak keluar parti itu, mahkamah juga membuat keputusan yang tidak memihak kepada mereka. Sebagai pemimpin-pemimpin dan kumpulan yang selalu melaung-laungkan konsep demokrasi, sepatutnya hormatilah keputusan itu. Apa yang mereka dapat daripada mesyuarat yang diadakan hari itu? Bolehkan keputusan atau usul yang kononnya dibangkit dan dibentangkan pada mesyuarat itu dilaksanakan? Jika tidak boleh, tidakkah itu namanya buang masa? Atau boleh dikatakan lakonan untuk mendapat perhatian dan tumpuan? Sebelum ini mesyuarat yang diadakan di bawah pokok juga tidak memberikan apa-apa manfaat kepada rakyat. Hanya ADUN terbabit sahaja yang mendapat liputan meluas pihak media termasuk media antarabangsa. Rakyat pula hanya mampu melihat dari jauh. Terpinga-pinga dengan apa yang terjadi. Nasib mereka tidak juga berubah. Wakil rakyat telah berubah daripada BN kepada pembangkang dengan harapan akan ada perubahan. Tetapi nasib mereka tetap sama. Sudahlah hasil mesyuarat sekadar masuk angin keluar asap. Masalah yang berkaitan dengan rakyat tidak satu pun dibangkitkan. Sama ada ketika mesyuarat di bawah pokok mahupun yang di hotel itu. Isu yang dibangkitkan semuanya hanya berkenaan dengan hal untuk mengekalkan status quo ADUNADUN terbabit.

2

Dalam lain perkataan, semuanya untuk kepentingan peribadi dan untuk mengisi tembolok sendiri. Sampai ke tahap sanggup berlakon dan bersandiwara. Seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin: "Mahkamah sudah buat keputusan, desak macam mana pun tak jalan... ikut prinsip Perlembagaan, mahkamah dah tetapkan Menteri Besar dan kerajaan sah jadi apa lagi nak desak?" Tentu ADUN pembangkang yang semuanya bijak-bijak itu faham akan keputusan mahkamah tersebut. Tetapi mungkin ada kumpulan rakyat yang tidak faham. Mereka seperti mahu menggunakan wayang ini untuk mengabui dan mempengaruhi rakyat supaya membenci BN. Mungkin ada juga yang terhibur apabila melihat gelagat ADUN-ADUN terbabit. Setelah berpeluh-peluh dan kering air liur bertegang leher dengan pihak polis mereka dengan mudah bergerak ke hotel tersebut. Jelas dan nyata tempat telah tersedia untuk mereka. Semuanya sudah disusun cantik termasuk gelas berisi air tersedia di atas meja. Setelah menyaksikan gelagat dan lakonan itu, terpulang kepada rakyat untuk menilai wakil rakyat mereka. Dari situ boleh dinilai bentuk pemimpin yang macam mana yang dimahukan. Tepuk dada tanya selesa. Dulu orang selalu berkata, terlajak perahu boleh diundur. Tetapi orang zaman ini yang tersalah memangkah terpaksa tunggu lima tahun lagi untuk merubah. PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia Utusan Malaysia, 8 September 2009

3

PEMBANGKANG TERUS BUAT KECOH Oleh Zaini Raban [email protected]

TINDAKAN ADUN pembangkang di Perak mengingkari arahan polis dan mahkamah supaya tidak mengadakan `sidang DUN‟ menyebabkan suasana kecoh di pekarangan bangunan Perak Darul Ridzuan, di Ipoh semalam.Polis yang mengawal keadaan terpaksa bertegang leher dengan wakil rakyat pembangkang Ngeh Koo Ham (kanan) dan V. Sivakumar yang tetap berdegil mahu memasuki bangunan itu yang menempatkan Dewan Undangan Negeri Perak. – BERNAMA

IPOH 2 Sept. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari pakatan pembangkang di negeri ini terus mencetuskan kekecohan apabila mengadakan perhimpunan di sebuah hotel di sini, hari ini. Mereka bertindak demikian kerana tidak dapat menerima hakikat telah hilang kuasa mentadbir Perak ekoran tindakan dua ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak keluar parti. Kumpulan ADUN tersebut yang gagal memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini telah mengadakan perhimpunan tersebut di sebuah hotel. Kekecohan itu bermula kira-kira pukul 9.45 pagi ini apabila mereka berarak beramai-ramai menuju ke bangunan SUK dari bangunan Ibu Pejabat DAP Negeri Perak di Medan Istana. Bagaimanapun, kemaraan mereka dihalang pasukan polis kira-kira 100 meter dari bangunan SUK hingga berlaku kekecohan dan perang mulut antara wakil rakyat bersama penyokongnya dengan anggota pasukan keselamatan. Keadaan bertambah kecoh apabila sekumpulan lelaki berbaju kuning turut muncul sambil melaungkan kata-kata „Daulat Tuanku‟. Ekoran keadaan yang semakin tidak terkawal, polis mengambil langkah tegas menahan tujuh lelaki termasuk tiga ADUN dan seorang jurugambar akhbar Nanyang Siang Pau, Tan See Yee, 41.

4

Tiga wakil rakyat itu ialah ADUN Sitiawan yang juga Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham; ADUN Simpang Pulai, Chan Ming Kai (Parti Keadilan Rakyat-PKR) dan ADUN Malim Nawar, Keshvindher Singh (DAP). Tindakan polis itu meredakan sedikit keadaan apabila kumpulan wakil rakyat terbabit termasuk ADUN Tronoh, V. Sivakumar dan ADUN Pasir Panjang, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin bersama penyokongnya berundur ke pejabat DAP. Pada sidang akhbar selepas itu, Sivakumar mengumumkan „perhimpunan‟ berkenaan akan diteruskan di sebuah hotel pada pukul 11.30 pagi. Perhimpunan itu yang berlangsung selama dua jam mulai 11.45 pagi, dihadiri kesemua 24 Adun pakatan pembangkang kecuali tiga orang yang ditahan polis. ADUN Titi Serong dari Pas, Khalil Idham Lim Abdullah, pula sedang mengerjakan ibadah umrah. Perhimpunan itu turut menyediakan susunan tempat duduk kononnya untuk ADUN Barisan Nasional di sebelah kiri „Speaker‟ manakala ADUN DAP, Pas dan PKR duduk di „pihak kerajaan yang memerintah‟ di kanan „Speaker‟. Utusan Malaysia, 3 September 2009

'PERSIDANGAN DUN' HARAM DI HOTEL

Dr. Zambry Abdul Kadir mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri seperti biasa di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, semalam. - UTUSAN/Mohd. Najib Mohd. Nor

IPOH 2 Sept. - 'Persidangan DUN' haram pakatan pembangkang Perak yang berlangsung di sebuah hotel di sini hari ini meluluskan usul supaya polis menangkap Speaker, Datuk R. Ganesan dan Timbalan Speaker, Hee Yit Foong dengan serta-merta.

5

Perkara itu diumumkan oleh V. Sivakumar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dari DAP yang kelihatan begitu yakin bertindak sebagai 'Yang Dipertua' atau 'Speaker' Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula pukul 11.30 pagi ini. Menurut beliau, selain ditangkap, kedua-dua mereka mesti menjalani hukuman penjara selama enam bulan kerana mengambil alih persidangan DUN yang berlangsung pada 7 Mei lalu. Persidangan haram yang sama turut meluluskan tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa KiraKira Wang Awam, Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap Dewan serta Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN yang baru. "Dewan ini juga meluluskan usul tergempar untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan polis yang menghalang wakil rakyat mengadakan persidangan dewan di SUK pagi ini," kata Sivakumar.

V. Sivakumar mempengerusikan 'persidangan DUN' haram pakatan pembangkang di Hotel Heritage, Ipoh setelah percubaan mengadakan persidangan tersebut di Bangunan Perak Darul Ridzuan gagal, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS

Sementara itu, Sivakumar pada sidang media selepas itu agak tergamam apabila ditanya wartawan apakah langkah seterusnya yang hendak diambil sebaik sahaja 'persidangan' itu selesai bersidang. "Kami akan ambil langkah selanjutnya. Kita ada proses tersendiri mengenai segala usul yang telah diluluskan. "Kami tunggu masa sahaja untuk ambil alih kerajaan. Kami akan wartakan segala usul dan bawa kepada pihak istana untuk mendapat perkenan," katanya. Ketika ditanya mengapa pihaknya mengadakan 'persidangan' tersebut sedangkan pada 3 Mac lalu atau 'persidangan bawah pokok' mereka telah meluluskan usul DUN dibubarkan, 6

Sivakumar berkata: "Memang kami usul supaya DUN dibubarkan tetapi usul itu tidak diperkenankan oleh Sultan Perak (Sultan Azlan Shah). Sebab itu kami terpaksa mengadakan persidangan kali ini," katanya. Sivakumar juga kelihatan agak sensitif apabila ditanya apakah yang mereka akan lakukan jika selepas ini Ganesan mengeluarkan notis untuk mengadakan persidangan Dewan yang sebenar. "Kita tidak akan layan notis tersebut. Dia (Ganesan) bukan Speaker DUN," katanya. Dalam pada itu, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, polis mesti melaksanakan perintah 'DUN yang bersidang' hari ini terutama sekali arahan menangkap Ganesan dan Yit Foong. Kata beliau, ini adalah 'persidangan' yang sah dan pihak polis mesti menghormati serta menjalankan peraturan yang telah ditetapkan oleh 'persidangan' tersebut. "Kami juga akan menyaman pihak polis kerana melakukan kekerasan pada pagi ini berdasarkan bukti dan rakaman video yang ada. Kami mahu tahu siapa sebenarnya yang bertanggungjawab dalam kes ini," katanya. Utusan Malaysia, 3 September 2009

SIVAKUMAR SEPERTI ORANG 'GILA TALAK' - ABU ZAHAR KUALA LUMPUR 2 Sept. - Keengganan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar menerima hakikat kehilangan jawatan itu disifatkan sama seperti seorang 'gila talak'. Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, tindakan Sivakumar yang mengadakan 'sidang DUN sendiri' itu juga jelas menunjukkan beliau tidak menghormati perlembagaan dan amalan demokrasi meskipun itu yang 'diperjuangan' selama ini. "Dia (Sivakumar) seperti orang 'gila talak'. Dia tetap mahu menyandang jawatan itu sehingga sanggup mengadakan 'sidang DUN sendiri' sehingga menyebabkan huru-hara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau diminta mengulas tindakan Sivakumar yang mengadakan 'sidang DUN' hari ini tanpa perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Abu Zahar berkata, Sivakumar juga dianggap sebagai seorang yang tidak bertamadun apabila berkeras dengan keputusan Sultan Perak yang tidak membenarkan sidang itu diadakan.

7

"Sebagai seorang peguam, beliau sehingga hari ini jelas tidak menjalankan tanggungjawab berdasarkan peraturan serta prosedur pentadbiran yang telah dipelajarinya. "Dia seharusnya lebih arif mengenai undang-undang dan perlu rasa malu kerana masih gagal memahami maksud sebenar Perlembagaan Negara," ujarnya. Sehubungan itu, Abu Zahar meminta rakyat menilai tindakan Sivakumar itu kerana ia adalah gambaran sebenarnya sikap pembangkang. "Masyarakat umum khususnya rakyat di Perak perlu membuka mata dan menilai apa sebenarnya yang diperjuangkan oleh golongan ini," katanya. Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein berkata, tindakan Sivakumar yang 'kononnya' mahu mendapatkan keadilan hanyalah lakonan dan lebih kepada satu permainan politik. "Apa yang cuba dilakukan oleh Sivakumar hanyalah satu 'umpan' parti pembangkang untuk membubarkan DUN. Ini semua kita dapat lihat berdasarkan pengalaman lepas. "Perhimpunan haram, tak puas hati dengan keputusan yang telah dibuat, semua perkara biasa. Golongan 'penderhaka' ini memilih taktik sedemikian apabila terdesak mahukan kedudukan," katanya. Justeru itu, Ahmad Atory menasihatkan Sivakumar serta 'konco-konconya' merujuk dan menghayati perkara yang menyentuh hak orang Melayu dalam Perlembagaan. "Keharmonian negara yang dinikmati sehingga kini adalah tanggungjawab kita bersama dan perlu dikekalkan sampai bila-bila. "Buat masa ini, saya rasa lebih baik parti pembangkang cuba memperlihatkan keupayaan menghormati demokrasi daripada terus cuba mengeruhkan keadaan," ujarnya. Utusan Malaysia, 3 September 2009

TAK HORMAT UNDANG-UNDANG Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI [email protected]

IPOH 2 Sept. - Pakatan pembangkang langsung tidak menghormati undang-undang dan rakyat tidak boleh mengharapkan mereka untuk berbuat demikian.

8

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pakatan pembangkang tidak akan mempedulikan undang-undang dan mereka akan terus bertindak sesuka hati. ''Itulah depa (pakatan pembangkang), dia buat undang-undang sendiri, buat sistem sendiri, jalan sendiri, syok sendiri dan apa-apa pun dia buat sendiri. Mana ada dia hormat undangundang. ''Semalam kononnya hendak babitkan proses undang-undang tetapi apabila dapat injunksi tak boleh, mereka tak peduli, mereka buat juga. ''Adakah kamu harapkan mereka akan jadi baik? Tidak, mereka tidak akan hormat langsung (undang-undang)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini. Beliau mengulas tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang yang mengadakan 'sidang DUN' di sebuah hotel di sini hari ini. Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, pakatan pembangkang mengadakan 'sidang DUN' di hotel tersebut setelah gagal memasuki Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) selepas dihalang polis. Polis turut menahan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, ADUN Simpang Pulai, Chan Ming Kai dan ADUN Malim Tawar, Keshvinder Singh kerana menyertai perhimpunan haram. Mengulas lanjut, Zambry berkata, pakatan pembangkang sengaja berbuat demikian kerana mahu mewujudkan bahan cerita mengenai mereka dan pada masa sama menarik perhatian rakyat. Katanya, ia juga sudah menjadi satu keseronokan kepada mereka untuk berdrama dan mendapat liputan media secara meluas. ''Dia suka polis pegang, tahan dan gari dia. Kalau polis tidak gari, lagi dia minta, garilah saya. ''Sebab itulah, akhbar-akhbar antarabangsa dibawa untuk ambil gambar dan apabila masuk dalam akhbar itu dan akhbar ini, ia menjadi bahan cerita kononnya mereka dizalimi dan dikasari," ujar Zambry. Beliau berkata, rakyat boleh menilai sendiri sikap hipokrit pakatan pembangkang yang sentiasa memberitahu rakyat kononnya mereka sahaja betul. ''Dia kata ada speaker, ada sidang dewan yang sah. Mereka kata 'sidang DUN bawah pokok' sah tetapi apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) panggil adakan sidang dewan, mereka datang juga buat muka tidak malu. 9

''Kalau kata mereka punya halal dan kita punya haram, masa kita panggil sidang, tidak payah datang tetapi mereka datang juga. Tengoklah betapa hipokrit, sifat talam dua muka mereka,'' katanya. Menurut Zambry, pakatan pembangkang mengetahui segala tindakan termasuk prosedur dan proses yang dilakukan mereka adalah salah tetapi tetap berbuat demikian kerana mahu mengelirukan rakyat dan mewujudkan suasana tidak tenteram. Diminta mengulas mengenai khabar angin yang bertiup kencang kononnya DUN akan dibubarkan selepas Hari Raya Aidilfitri, beliau berkata, sebelum ini pun pakatan pembangkang sudah beberapa kali mendakwa DUN akan dibubarkan tetapi ia tidak berlaku. ''Mula-mula kata April atau Mei dan kemudiannya Jun serta Julai dan lepas tu mereka kata tunggu sebulan lagi untuk bubar. Macam P. Ramlee cakap, berapa kali daaa?" kata Zambry dalam nada berjenaka. Utusan Malaysia, 3 September 2009

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT CUBAAN kumpulan anggota Dewan Undangan Negeri Perak daripada parti pembangkang untuk mengadakan sidang Dewan haram di Bangunan Perak Darul Ridzuan semalam sebenarnya mendedahkan usaha berterusan untuk mengelirukan rakyat Perak. Kekeliruan itu boleh menyumbang kepada ketidaktentuan yang akan menjadikan suasana tegang dan tidak senang di kalangan orang ramai. Pada masa yang sama langkah itu mencerminkan terdapat usaha pihak terbabit cuba mengetepikan undang-undang negara. Akibatnya, berlaku percubaan untuk menjejaskan ketenteraman awam. Kumpulan terbabit secara jelas tidak mematuhi arahan polis supaya bersurai. Adalah menjadi tugas polis memelihara ketenteraman awam, malah dalam kes tersebut, pihak polis telah pun mendapatkan perintah mahkamah bagi melarang orang ramai berhimpun sekitar pagar bangunan kerajaan negeri itu. Bagi Awang, dalam kes tersebut, parti-parti pembangkang perlu menerima hakikat bahawa kerajaan negeri pimpinan mereka telah lama tumbang dan ia telah pun melalui proses undang-undang. Masa sudah tiba bagi pihak terbabit berpijak di bumi nyata; menghormati proses undangundang; dan berhenti daripada menafikan hak orang lain. Awang – Hak bersuara. Utusan Malaysia, 3 September 2009 10

DARI BAWAH POKOK KE HOTEL Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN [email protected]

RANCANGAN pembangkang mengadakan apa yang disebut sebagai 'Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)' diteruskan juga walau pun menyedari tindakan itu jelas membelakangi undang-undang selain tidak mendapat perkenan daripada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dan Pengerusi DAP, Datuk Ngeh Koo Ham, ADUN-ADUN pembangkang 'berusaha' merempuh pasukan polis yang berkawal sejak awal pagi di pekarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Keadaan menjadi semakin kelam kabut memaksa pihak polis yang pada mulanya hanya bertujuan untuk mengawal keadaan, mengambil tindakan lebih tegas - beberapa ADUN termasuk Koo Ham kemudian ditahan. Serentak itu, satu sidang media diadakan di ibu pejabat DAP negeri. Ini adalah 'modus operandi' parti pembangkang di Perak. Apa yang berlaku hari ini tiada bezanya dengan peristiwa-peristiwa sebelum ini. Tujuannya adalah untuk menarik perhatian. Usaha itu perlu diteruskan kerana mereka merasakan sokongan terhadap pembangkang makin berkurangan. Mungkin ada yang beranggapan sokongan yang dimaksudkan tidak berubah. Jika benar, mana mungkin mereka sanggup bertindak 'sebijak' ini. Sebagai parti yang hanya bermodalkan 'kata-kata,' isu 'kehilangan perhatian' dianggap satu mala petaka yang tidak seharusnya berlaku. Maka, tidak dapat diadakan di SUK, 'sidang DUN' pun dibuat di sebuah hotel, yang terletak kira-kira lima kilometer dari bangunan SUK. Bersidanglah mereka. Dengan lagak masih sebagai seorang Speaker, ADUN Tronoh, V. Sivakumar memulakan 'persidangan' yang dihadiri semua ADUN pembangkang kecuali mereka yang ditahan polis dan ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah yang dikatakan menunaikan umrah di tanah suci Mekah. Tiga usul menjadi inti pati 'persidangan'. Ketiga-tiga usul hanya berkisar soal 'peralihan kuasa' dan 'kuasa yang hilang'. Sementara satu usul tergempar mempertikaikan peranan polis melaksanakan tugas mereka. Dalam masa sama, mereka sedar setiap keputusan yang dibuat tidak akan membawa sebarang erti atau makna kepada pentadbiran negeri. 11

Bagi orang ramai, apa yang disaksikan mungkin sebahagian daripada kisah atau warnawarna hidup yang seronok untuk dijadikan bahan bualan. Menyalahkan polis bertindak kasar terhadap pembangkang mungkin boleh dianggap satu isu lapuk. Ini kerana sejak pembangkang merancang untuk mengadakan 'sidang DUN', polis telah mengeluarkan amaran berkali-kali. Malah sehingga semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah telah menasihati orang ramai dan parti pembangkang supaya tidak berkumpul di SUK bagi menggelakkan perkaraperkara tidak diingini. Arahan itu juga berikutan penolakan injuksi oleh mahkamah terhadap permohonan Sivakumar untuk mengadakan 'sidang DUN'. Apa yang pasti, sidang DUN bawah pokok yang mendapat sambutan box office selepas 'ditayangkan' Mei lalu, dinaik taraf kepada 'sidang DUN di hotel'. Mungkin juga ia sebagai tanda menghormati bulan Ramadan. Utusan Malaysia, 3 September 2009

Senyum Kambing – Utusan Malaysia 3 September 2009

12

NIZAR HANYA MAHU PERHATIAN SEPERTI yang telah dijangkakan, Pakatan Rakyat sekali lagi membuat kontroversi dengan mengadakan „sidang ADUN‟ tergempar untuk mengambil tindakan kepada Speaker dan timbalan yang sah di atas kesalahan daripada acuan mereka sendiri. Sekali pandang seperti sebuah filem jenaka atau mungkin mereka merasakan mereka mempunyai bakat dalam bidang lakonan untuk dipertontonkan kepada rakyat negeri Perak, Malaysia dan dunia. Saya ingin mencadangkan kepada Datuk Seri Nizar untuk membuat sebuah filem kung fu yang paling sesuai buat dirinya dan beliau merupakan pelakon utama. Kontroversi terbaru ini telah menampakkan kegelisahan di kalangan mereka yang saya percaya ketika ini, orang Melayu khususnya di Perak sudah mula sedar dan insaf, sudah bangun daripada diulit mimpi yang indah, sudah tahu mana kaca dan permata dan yang nyata sekali, bibit-bibit penyatuan sudah mula dilihat di mana-mana sahaja di negeri Perak. Alhamdulillah. Bersatunya orang- orang Melayu Perak amatlah tidak disenangi dan digeruni oleh Pakatan Rakyat. Mereka tidak takut dengan kaum lain sebab mereka rasakan kaum lain sudah dalam genggaman mereka mungkin di atas janji-janji yang mempesonakan. Selepas ini pastinya akan timbul lagi cerita terbaru daripada mereka. Mereka inginkan cerita itu menjadi topik perbualan. Tanpa cerita terbaru, mereka takut populariti mereka merudum dan sejuk seperti artis yang inginkan gosip, begitu jugalah mereka ini. Mereka amat takut dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry di atas kejayaan beliau mentadbir negeri. Gesaan daripada mereka untuk membubar ADUN ialah disebabkan sekiranya ADUN tidak dibubarkan dan ia berlanjutan sehingga pilihan raya umum akan datang, pastinya impian mereka untuk memerintah semula Perak akan hancur. Tambahan pula, Datuk Seri Dr. Zambry mentadbir negeri Perak dengan baik, pastinya rakyat Perak akan memberi sokongan penuh kepada beliau terutama orang Melayu. Itulah kenyataannya. Kepada semua orang Melayu Perak, marilah kita bersatu, lupakan persengketaan politik yang tidak menguntungkan yang pasti merugikan kaum kita sendiri. Kita beri peluang sekali lagi kepada UMNO untuk mentadbir negeri tanah tumpah darah kita yang kita sayangi. 13

Bersatulah kita di atas nama Islam dan Melayu. Jangan kita „menang sorak, kampung tergadai‟. Ini adalah tanah tumpah darah kita, peninggalan daripada datuk nenek moyang kita dahulu. Jangan kita ditertawakan oleh orang lain di atas perpecahan kita. Kepada Dr. Zambry dan pemimpin-pemimpin UMNO negeri, buktikanlah kepada orang Melayu di negeri Perak, berjuanglah demi agama dan bangsa. Kepada pemimpin-pemimpin di kalangan bukan Melayu, anda mempunyai tugas untuk memastikan bangsa anda bersama-sama dengan kerajaan negeri demi keamanan dan kejayaan negeri Perak. Kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Perak, patik merayu di atas perkenan Tuanku untuk melucutkan gelaran Datuk Seri yang diberikan kepada Nizar dan konco-konconya. Utusan Malaysia, 4 September 2009

JANGAN AMBIL PEDULI – TUN MAHATHIR ALOR SETAR 3 Sept. – Rakyat dan Barisan Nasional (BN) tidak perlu ambil peduli tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang di Perak semalam kerana ia hanya taktik mereka untuk meraih sokongan politik, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad. Bekas Perdana Menteri berkata, tindakan mereka mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu bukannya sah daripada segi undang-undang. “Dia nak buat, biar pi dia buat. Buat apa nak ambil peduli. Bukan ada taraf rasmi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membeli-belah dan meninjau Kompleks Pekan Rabu di sini hari ini. Beliau ditanya mengenai tindakan ADUN pakatan pembangkang di Perak yang mengadakan perhimpunan haram di sebuah hotel di Ipoh semalam selepas gagal memasuki Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak setelah dihalang polis. Dr. Mahathir berkata, ADUN pakatan pembangkang bertindak demikian untuk meraih undi daripada rakyat dengan cuba menggambarkan BN sebagai sebuah parti yang teruk. “Dia nak cari undi, nak menunjukkan betapa teruk BN. Kalau kita halang dia, nampak lagi buruk,” katanya. Ditanya tindakan Speaker DUN Kedah mahu mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan kedudukan ADUN Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif di mahkamah, beliau berkata, Datuk Dr. Abdul Isa berhak berbuat demikian jika terdapat peruntukan undang-undang yang membolehkan perkara itu dibawa ke badan kehakiman.

14

Kata beliau, sebagai sebuah negara yang mempunyai undang-undang sendiri, hasrat Abdul Isa untuk mencabar keputusan SPR di mahkamah tidak boleh ditahan. Utusan Malaysia, 4 September 2009

KECOH DI PERAK TIDAK MASUK AKAL KUALA LUMPUR 3 Sept. - Tindakan pakatan pembangkang di Perak yang terus menimbulkan kekecohan dengan mengadakan perhimpunan di sebuah hotel semalam disifatkan sebagai sesuatu yang tidak masuk akal. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan itu mencerminkan keperibadian pembangkang yang gemar bertindak sesuka hati. "Apabila undang-undang dan mahkamah memihak kepada mereka (pembangkang), mereka mendiamkan diri. "Jika sebaliknya berlaku, macam-macam dilakukan termasuk melanggar undang-undang yang sebelum ini dipertahankan apabila ia sesuai untuk mereka. Ini jelas menunjukkan tindakan yang tidak masuk akal," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari pakatan pembangkang di Perak terus mencetuskan kekecohan apabila mengadakan perhimpunan di sebuah hotel. Kumpulan ADUN tersebut berbuat demikian selepas gagal memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula menyifatkan tindakan pakatan pembangkang itu sebagai tidak menghormati institusi mahkamah dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Menurutnya, rentetan tindakan-tindakan mereka yang mencabar kedaulatan institusi Raja Berperlembagaan telah menjadi peristiwa paling hitam dalam sejarah orang Melayu. "Ia memperlihatkan tindakan mereka yang gemar amalkan politik propaganda untuk menimbulkan rasa benci rakyat kepada pemimpin Barisan Nasional (BN). "Dalam masa yang sama, ada antara mereka mendakwa sebagai pejuang Islam dan orang Melayu tetapi amalan dan tuntutan Islam itu tidak diamalkan yang akhirnya menjerumuskan orang Islam dalam kehancuran akibat perpecahan," ujarnya. Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan pula berkata, tindakan itu merupakan usaha untuk mengalih pandangan rakyat daripada konflik yang berlaku seperti di Kampung Buah Pala, Pulau Pinang dan isu pembinaan kuil di Seksyen 23, Shah Alam. Menurutnya, mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa Perak sudah berada di tangan BN dan rakyat sudah menerima perubahan yang berlaku. "Segalanya sudah jelas apabila majoriti sudah melebihi tiga kerusi. Sebaliknya mereka ingin DUN dibubarkan, mengapa perlu bubar kerana itu hak mutlak kerajaan yang ada," jelasnya. Ahmad Maslan berkata, pakatan pembangkang perlu menghentikan tindakan yang memporak-perandakan rakyat Perak yang telah tenteram sejak BN kembali menjadi pemerintah. 15

Dalam pada itu Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, apa yang berlaku di Perak semalam adalah sesuatu yang amat memalukan. Menurutnya, para pemimpin Pas seharusnya memberi kefahaman kepada rakan-rakan yang bukan Islam tentang fadilat bulan Ramadan sebaliknya ia diketepikan semata-mata untuk memenuhi nafsu mereka. "Sebaliknya, DUN yang merupakan institusi tertinggi negeri menjadi bahan mainan, ditertawakan dan tidak dihormati lagi. Matlamatnya adalah untuk mencapai kepentingan peribadi mereka semata-mata," katanya.

Utusan Malaysia, 4 September 2009

SIVAKUMAR MEMALUKAN SULTAN - SPEAKER IPOH 3 Sept. - Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V. Sivakumar memanggil persidangan Dewan, telah memalukan Sultan Perak yang sepatutnya dimaklum untuk mendapat perkenan. Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk R. Ganesan berkata, selepas mendapat perkenan, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah akan memanggil Dewan bersidang, diikuti pengumuman tempat, tarikh dan masa persidangan DUN akan dijalankan. ''Jadi kenapa Sivakumar dan konco-konconya begitu biadab dan kurang ajar mengadakan perhimpunan Dewan haram semalam?" katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini. Beliau diminta mengulas perhimpunan DUN haram anjuran pakatan pembangkang di sebuah hotel di sini semalam. Ganesan berkata, semua usul yang diluluskan dalam perhimpunan haram itu termasuk mengarahkan polis menangkap beliau dan timbalannya, Hee Yit Foong tidak membawa apaapa makna dan dianggap tidak wujud. Jelas beliau, arahan 'syok sendiri' pakatan pembangkang itu tidak boleh diiktiraf kerana Sivakumar bukan lagi Speaker atau Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN. Katanya, semua jawatan yang dipegang oleh ADUN pembangkang sama ada sebagai Speaker atau dalam apa-apa jawatankuasa berkaitan Dewan sudah lucut pada sidang DUN 7 Mei lepas. ''Saya dipilih dengan suara majoriti selaku Speaker pada sidang yang lepas dan saya juga dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN. ''Ini bermakna saya yang berhak mengambil tindakan ke atas mana-mana ADUN yang bertindak melampau atau tidak senonoh.

16

''Sivakumar hanyalah ADUN Tronoh dan segala keputusan yang diumumkan semalam hanyalah cerita gila," katanya. Kata Ganesan, perhimpunan DUN haram itu juga jelas sekali menunjukkan sikap 'bodoh sombong' pakatan pembangkang yang sudah tidak mempunyai sokongan majoriti. ''Kamu lihatlah sendiri 'perjumpaan' semalam hanya dihadiri oleh 24 ADUN termasuk Sivakumar. Mana mereka ada majoriti? Macam mana mereka boleh luluskan usul dengan sesuka hati? Ia jelas sekali tidak sah. ''Sidang DUN pada 7 Mei lalu sah kerana mendapat sokongan majoriti daripada 28 ADUN Barisan Nasional (BN) dan tiga ADUN Bebas. Dalam demokrasi siapa ada majoriti, dialah yang memerintah," katanya. Menurut Ganesan, pihaknya kini sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undangundang ke atas Sivakumar dan konco-konconya sebagai memberi pengajaran kepada mereka. Katanya, tindakan mereka yang keterlaluan semalam tidak ubah seperti musuh negara kerana sanggup membawa masuk media asing bagi memburukkan imej BN dan kerajaan negeri. Utusan Malaysia, 4 September 2009

17

Related Documents

Wayang Jawa.docx
May 2020 19
Wayang Demokrasi
June 2020 18
Ketua Pembangkang Koko.docx
December 2019 20
Bab I Wayang
June 2020 15

More Documents from "Nurul Hamdani"