Dilema Ekonomi Melayu

  • Uploaded by: egahmulia
  • 0
  • 0
  • May 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Dilema Ekonomi Melayu as PDF for free.

More details

  • Words: 2,511
  • Pages: 7
DILEMA EKONOMI MELAYU Oleh IBRAHIM ALI Hari ini orang Melayu juga mengalami dilema ekonomi. Walaupun mulai 1970-an kerajaan telah melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB), dan kemudiannya Dasar Pembangunan Nasional (DPN), ekonomi orang Melayu masih tercorot dan amat ketinggalan. Malangnya, segolongan bukan Melayu asyik mengecam dan mengkritik kerajaan, kononnya kerajaan tidak bersikap adil bila memberikan keistimewaan kepada orang Melayu dan Bumiputera. Ada segolongan bukan Melayu juga mendesak agar kuota pemilikan saham Melayu sebanyak 30 peratus dimansuhkan. Segolongan bukan Melayu juga mendesak supaya kuota biasiswa untuk pelajar bukan Melayu mesti ditambah. Kata mereka, orang Melayu wajar berlumba-lumba dalam hal pendidikan dan ekonomi negara menerusi sistem meritokrasi, iaitu sistem siapa hebat dia yang dapat, sistem siapa yang kuat, dia dapat semuanya. Kalau sistem ini dilaksanakan, orang Melayu akan terpinggir dan akhirnya lesap daripada bumi tercinta ini. Dalam hal ini, sekali lagi saya ulangi, suara-suara yang mengungkit-ungkit keistimewaan Melayu pada hari ini adalah suara orang yang sudah dapat betis, mahukan paha. Ini suara orang tamak dan haloba, tidak menghargai kedudukan orang Melayu dan Bumiputera yang mundur akibat penjajahan British. Kepada kelompok ini, fahamilah maksud perangkaan atau statistik di bawah. Akibat dasar British membawa masuk orang asing ke Tanah Melayu tanpa sebarang kawalan, banci penduduk Tanah Melayu pada tahun 1931 mendapati jumlah orang asing ketika itu mengatasi pribumi di Tanah Melayu. Pada tahun 1932-1933 ada kemelesetan ekonomi dunia. Orang asing pun ramai yang balik ke negara asal mereka. Biarpun begitu, banci penduduk Tanah Melayu pada 1947, pun masih mendapati orang asing mengatasi pribumi. Selepas Perang Dunia Kedua pada 1945, bancian penduduk Tanah Melayu, termasuk Singapura, mendapati daripada 5.7 juta penduduk ketika itu, orang Melayu dan Bumiputera hanya 2.5 juta orang, bukan Melayu seramai 3.2 juta orang (Cheah Boon Kheng 2007). Perkembangan kependudukan seperti ini menyebabkan jumlah orang asing berbanding orang Melayu dan Bumiputera pada 1957 adalah hampir seimbang. Daripada keseluruhan rakyat Tanah Melayu ketika itu, 3.12 juta adalah orang Melayu dan Bumiputera. Orang Cina seramai 2.33 juta, India 690,000 dan 120,000 daripada lain-lain etnik (Federation of Malaya Year Book 1959). Biarpun begitu, daripada segi ekonominya, keturunan Cina pada 1957 telah menguasai ekonomi negara secara kukuh sementara orang Melayu masih dalam kemiskinan. Contohnya, sejak 1937, pelaburan orang Cina di Tanah Melayu sudah pun menjangkau AS$200 juta berbanding pelaburan asing lainnya sejumlah AS$454.5 juta (Ling Liong Sik 1995:3). Pada tahun 1950-an, syarikat-syarikat Eropah menguasai 65 peratus hingga 75 peratus perdagangan eksport dan 60 peratus hingga 70 peratus perdagangan import. Syarikatsyarikat milik orang Cina ketika itu menguasai 10 peratus agensi eksport. Syarikat-syarikat etnik India pula menguasai dua peratus perdagangan berkenaan. Pada ketika itu, orang Melayu langsung tidak memiliki sebarang ekuiti dalam mana-mana perdagangan. (Gomez & Jomo, 1997:14-15). 1

Pada tahun 2008, penduduk Malaysia adalah 25.056 juta. Melayu 13.667 juta, Bumiputera 2.963 juta, etnik Cina 6.256 juta, etnik India 1.880 juta, lain-lain etnik 290,000 dan bukan rakyat 2.826 juta (Unit Perancang Ekonomi:2008). Bagaimanapun, pemilikan modal saham pada 2008 adalah RM100 bilion atau 18.9 peratus sahaja di tangan Bumiputera, RM215 bilion atau 40.6 peratus dikuasai oleh bukan Bumiputera, RM42.3 bilion atau 8 peratus dikuasai oleh syarikat nomini, dan RM172.3 bilion atau 32.5 peratus dipegang oleh pemodal asing. Ekuiti Bumiputera sebanyak RM100 bilion pada tahun 2008 terbahagi kepada RM79.4 bilion atau 15 peratus milik individu, RM11.9 bilion atau 2.2 peratus milik institusi, dan RM8.7 bilion atau 1.7 peratus milik agensi amanah. Ekuiti milik bukan Bumiputera, RM207 bilion atau 39 peratus dikuasai oleh etnik Cina, RM6.4 bilion atau 1.2 peratus dalam tangan etnik India, dan RM1.9 bilion atau 0.4 peratus kepunyaan lain-lain kaum. (The Star: 27.6.2008). Statistik di atas membuktikan jumlah penduduk Melayu dan Bumiputera berbanding lain-lain etnik yang hampir seimbang sewaktu kemerdekaan tanah air, meningkat secara prominen pada 2008. Tetapi, kenyataan mengenai kemiskinan serta lain-lain petunjuk ekonomi di era sebelum merdeka adalah manifestasi dan dampak dasar pecah dan perintah penjajah British yang memihak kepada bukan Bumiputera dan menindas orang Melayu dan Bumiputera. Petunjuk ekonomi di era sesudah merdeka, seperti pada tahun 2008, adalah realiti dan manifestasi bahawa sehingga hari ini, orang Melayu dan Bumiputera adalah golongan rakyat Malaysia yang jauh ketinggalan berbanding bukan Bumiputera dan berbanding kedudukan pemodal asing di negara ini. Hakikat ini jadi lebih ketara jika dikaji lain-lain petunjuk sosio-ekonomi seperti pendapatan isi rumah, kadar kemiskinan relatif dan kemiskinan tegar, jumlah profesional Melayu dan Bumiputera dan sebagainya. Dikaji ikut perspektif mana sekalipun, adalah jelas Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Negara (DPN) terbukti belum berjaya mengatasi jurang perbezaan ekonomi dan kadar kemiskinan antara orang Melayu dan Bumiputera dengan bukan Bumiputera di Malaysia. Oleh sebab itu, apakah asas yang menghalalkan segolongan orang bukan Melayu untuk mempersoalkan DEB, DPN, keistimewaan orang Melayu, biasiswa untuk Bumiputera dan segala-gala dasar yang disifatkan memihak kepada orang Melayu dan Bumiputera kebelakangan ini? Apakah alasan kerajaan melayan desakan demi desakan, termasuklah dalam bidang pelajaran rendah, pelajaran menengah dan pendidikan tinggi, daripada sesetengah kelompok bukan Melayu pada hari ini? Kepada golongan ini, ingatlah bahawa di era penjajah, hanya 10 peratus sahaja anak Melayu masuk universiti. Bakinya yang 90 peratus semuanya dibolot oleh bukan Melayu. Dalam hal dilema ekonomi ini, saya juga merayu semoga kerajaan tidak akan berkompromi dan tidak akan tunduk kepada tuntutan keterlaluan oleh sesetengah kelompok bukan Melayu. Saya juga menyeru segolongan pegawai Melayu yang selama ini kononnya kurang sensitif terhadap kemajuan orang Melayu dan Bumiputera dalam bidang ekonomi, supaya insaf dan ubah sikap untuk membantu Melayu dan Bumiputera dengan lebih ikhlas dan dedikasi.

2

Kepada seluruh pegawai dan profesional Melayu dalam bidang korporat dan syarikat milik kerajaan (GLC), saya menyeru, fikirkanlah masa depan orang Melayu dan Bumiputera dalam ekonomi dan perniagaan. Janganlah bila sudah dapat tempat tinggi-tinggi, kelompok pegawai dan profesional Melayu ini jadi seperti kacang yang lupakan kulit. Jangan di pandang hina usahawan dan peniaga Melayu dan Bumiputera. Ingatlah bahawa tanpa perjuangan Melayu terdahulu, para profesional Melayu dalam GLC dan mereka yang berada dalam sektor awam dan sektor korporat pada hari ini, belum pasti dapat menikmati kedudukan yang mereka nikmati sekarang. Seluruh pegawai Melayu dalam sektor kerajaan dan GLC sewajarnya memberikan peluang perniagaan kepada orang Melayu dan Bumiputera. Jangan tergamak sesetengah pegawai menafikan peluang perniagaan yang sepatutnya diberikan kepada usahawan dan peniaga Melayu serta Bumiputera. Badan-badan korporat dan GLC Melayu perlu turut memainkan tanggungjawab sosial kepada NGO dan pertubuhan Melayu yang mendukung perjuangan untuk memperkasakan aspirasi Melayu dan Bumiputera. Mereka perlu mempunyai keutamaan dan fokus yang tepat dan betul mengenai perkara ini. Janganlah kalau untuk hiburan yang melekakan, mereka sanggup menderma hingga berjuta-juta ringgit jumlahnya. Janganlah pula untuk menggerak serta memperkasakan perjuangan Melayu dan Bumiputera, mereka sentiasa berdolak-dalik untuk membantu perjuangan ini. Saya sangat berharap, semoga golongan pegawai-pegawai Melayu dan eksekutif Melayu dalam syarikat korporat dan GLC, tidak akan tergamak untuk mengkhianati aspirasi perjuangan Melayu. Jangan digadaikan masa depan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini di masa akan datang. Demikianlah penegasan semula saya mengenai perjuangan orang Melayu dan Bumiputera pada hari ini. Penegasan semula ini saya lahirkan semata-mata kerana saya tidak rela orang Melayu dan Bumiputera terus dilanda dilema politik dan dilema ekonomi di tanah airnya sendiri. Penegasan semula aspirasi perjuangan ini saya lakukan kerana saya tidak reda dagang lalu ditanakkan, anak di rumah mati kebuluran. Penegasan semula aspirasi perjuangan bangsa ini saya lafazkan kerana saya mahukan majoriti orang Melayu dan Bumiputera kembali memberikan sokongan serta keyakinan mereka kepada pemerintah. Penegasan semula aspirasi perjuangan Melayu ini juga saya lahirkan supaya pihak pemerintah juga sentiasa mempertahankan seluruh hak dan keistimewaan Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan yang termaktub dalam seluruh dasar afirmatif kerajaan. Marilah sama-sama kita memohon restu dan hidayat daripada Allah SWT semoga usaha kita melakukan penegasan semula aspirasi perjuangan ini akan menghasilkan tindakan yang positif oleh semua pihak, rakyat jelata daripada semua keturunan, pemerintah, pemimpin politik, pemimpin masyarakat sivil, para pegawai kerajaan, pemimpin korporat dan para pendukung GLC di Malaysia. Datuk Ibrahim Ali ialah Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia. Utusan Malaysia, Selasa, 9 Jun 2009 3

PARTI POLITIK JANGAN PERSOAL 30 PERATUS EKUITI BUMIPUTERA KUALA LUMPUR 7 Jun - Pelbagai pihak menyeru parti-parti politik supaya tidak terus mempersoal dan melihat dasar memperuntukkan 30 peratus ekuiti bumiputera dari sudut kerangka kaum semata-mata. Sebaliknya, mereka mahu supaya perkara itu yang diwujudkan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) diterima sebagai dasar yang membentuk kestabilan sosial hingga akhirnya berjaya membawa limpahan kekayaan kepada negara untuk dinikmati rakyat tanpa mengira kaum. Sehubungan itu mereka melahirkan rasa lega dan syukur apabila Dewan Pemuda Pas tampil dengan penegasan tersebut yang menunjukkan bahawa sentimen pengekalan DEB bukan hanya datangnya daripada UMNO tetapi parti Melayu yang lain. Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, resolusi yang dikeluarkan Pemuda Pas kelmarin adalah satu mesej yang jelas bahawa orang Melayu amat tegas dalam soal ini. Katanya, walaupun berbeza fahaman politik tetapi dalam soal-soal tertentu orang Melayu masih boleh bersatu seperti yang ditunjukkan Pemuda Pas dalam meluluskan resolusi menggesa 30 peratus ekuiti bumiputera dikekalkan. ''Saya ucap tahniah kepada Pemuda Pas kerana meluluskan resolusi berkenaan. Ia menunjukkan mereka sedar apa yang penting untuk memelihara kepentingan orang Melayu. ''Walaupun berbeza dengan pandangan rakan kongsi Pas yang lain, namun sebagai Melayu, mereka kena tegas dalam hal kepentingan bangsa kerana mereka juga Melayu sama macam UMNO,'' katanya kepada Utusan Malaysia. Pemuda Pas yang pada muktamar parti itu kelmarin meluluskan lima resolusi dengan satu daripadanya ialah menggesa kerajaan mengekalkan dasar 30 peratus ekuiti untuk golongan bumiputera. Bagaimanapun, MCA dalam reaksi segera mereka membidas resolusi berkenaan sambil menyifatkan resolusi itu sebagai tidak membantu memajukan negara sebaliknya hanya bersifat jangka pendek. Sementara itu, Majlis Muafakat Melayu (MMM) kesal dengan kenyataan MCA itu yang masih menganggap DEB sebagai alat untuk membantu bumiputera sedangkan dasar itu berjasa memajukan negara seperti yang dicapai kini. Setiausahanya, Prof. Madya Datuk Dr. Zainal Abidin Borhan berkata, soal 30 peratus untuk bumiputera sepatutnya tidak dibangkitkan pun kerana ia tidak mencerminkan demografi sebenar penduduk Malaysia yang 65 peratus adalah bumiputera. Katanya, sebab itu sewajarnya atas semangat 1Malaysia kerajaan mengeluarkan data terperinci pencapaian kaum bagi semua sektor merangkumi perbankan, insurans, industri, peruncitan, borong, pelancongan dan lain-lain. ''Jangan hanya data untuk bilangan profesional saja. Dengan itu kalau ada kaum yang masih jauh ketinggalan maka atas semangat Satu Malaysia kita buat penyesuaian balik untuk mengimbangkan penglibatan kaum dalam ekonomi negara. 4

''Kalau Melayu lebih, maka buat penyesuaian balik. Tapi dalam hal ini kita tahulah siapa yang lebih hingga tahap monopoli. Patut buat penyesuaian balik ekonomi kalau kita nak agihkan kekayaan negara secara seimbang," jelasnya. ''Jadi apabila Pemuda Pas buat resolusi supaya dikekalkan kuota 30 peratus maka ia melegakan Melayu walaupun pada masa sama mungkin ada tujuan politik di sebalik resolusi itu termasuk mahu menunjukkan Pas sebagai alternatif UMNO sebagai parti Melayu,'' jelasnya. Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar berkata, resolusi Pemuda Pas itu dilihat sebagai satu perkembangan yang cukup menggembirakan umat Melayu. Katanya, ia menunjukkan bahawa UMNO tidak keseorangan dalam memperjuangkan agenda ini yang sebenarnya bukan sahaja untuk orang Melayu tetapi untuk kestabilan negara yang akhirnya membolehkan kemakmuran semua kaum bertambah. ''Jadi apa perlu kita nak ungkit hal-hal yang telah dipersetujui. Lagipun dasar itu digubal berdasar peruntukkan Perlembagaan Persekutuan. ''Sepatutnya apabila ia menjadi peruntukan Perlembagaan maka jangan kita nak ungkit kerana kalau kita sentuh orang lain juga boleh ungkit hak kita yang termaktub dalam Perlembagaan,'' katanya. Utusan Malaysia, Isnin, 8 Jun 2009 FAHAMI SUARA, DENYUT NADI ORANG MELAYU SEJAK kebelakangan ini, ruangan pojok Awang Selamat menjadi hangat. Di kalangan politikus, penganalisis politik dan tidak kurang juga portal-portal anti kerajaan mula mengambil kesempatan untuk menangguk di air yang keruh. Alasannya hanya satu - ruangan itu cuba mengisahkan kembali fakta sejarah mengenai tokoh-tokoh politik silam bukan Melayu dalam mengiktiraf pengorbanan yang telah dilalui oleh orang Melayu (UMNO) ketika itu. Sejarah adalah kenyataan yang berpaksikan kepada realiti dan rekod. Semua pihak harus menerima dan fakta sejarah tidak boleh dipolitikkan demi populariti. Malangnya, persepsi mengenai politik hari ini jauh berbeza. Apa sahaja yang dikatakan 'putih' oleh sejarah, pihak yang sebelah lagi akan mengatakannya 'hitam.' Rakyat seluruhnya akan terheret dalam gaya politik 'separuh masak' ini. Yang hak diputar belitkan dan yang batil diagung-agungkan. Kita perlu fahami bahawa Malaysia yang berjaya, aman, damai dan makmur pada hari ini tidak datang bergolek. Ia telah disulami dengan pengorbanan serta peranan bertanggungjawab bersama semua pemimpin terdahulu yang terdiri daripada berbilang kaum. Mereka ini telah hidup saling bergantungan dan bermuafakat antara kaum sejak Malaysia mencapai kemerdekaan lebih 52 tahun yang lalu. Secara peribadi, saya berani mengatakan bahawa pemimpin-pemimpin bukan Melayu terdahulu seperti Tun Sambanthan dan Tun Tan Siew Sin adalah contoh pemimpin politik 5

yang lebih jujur, tulus dan pasrah terhadap realiti politik negara. Mereka bukan sahaja telah membuktikan pengorbanan sejagat dalam berpolitik malah menunjukkan teladan yang amat baik untuk dijadikan tauladan kepada pemimpin politik bukan Melayu pada masa ini. Namun, mengapa tulisan Awang Selamat tiba-tiba menjadi polemik serta igauan kepada sesetengah pemimpin pada hari ini harus menjadi renungan bersama. Saya cukup hairan apabila pemimpin seperti Datuk Seri S. Samy Vellu sendiri mengecam rencana pojok Awang Selamat itu berbentuk perkauman? Apakah Sami Vellu lupa atau beliau buat-buat buta sejarah? Apakah Samy Vellu menidakkan kenyataan yang pernah dibuat oleh Tun Sambanthan, pengasas MIC dahulu? Sekadar untuk mengingatkan Samy Vellu, kaum apakah yang menjadi sebilangan besar pengundi di Parlimen beliau selama ini? Bukankah ini satu bentuk pengorbanan orang Melayu? Kini, dalam negara sedang berusaha untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang prihatin, saya kira apa yang tertulis di dalam ruangan Awang Selamat itu adalah suara serta denyutan nadi dan jantung orang Melayu yang juga merupakan sebahagian besar daripada rakyat Malaysia. Sebagai orang Melayu, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Awang Selamat yang dapat merasai nadi serta kegusaran orang Melayu di setiap pelosok tanah air yang mula resah dengan keghairahan sesetengah pihak mengambil kesempatan terhadap slogan 1 Malaysia. Harapan saya agar pihak kerajaan serta pemimpinnya peka dengan apa yang cuba disampaikan dan jangan sampai sudah terhantuk baru hendak terngadah. Sudah sampai masanya. Kerajaan tidak hanya cuba menjadi popular dengan melaksanakan berbagai-bagai konsep liberalisasi tetapi pada hakikatnya hak dan kedaulatan orang Melayu terhakis. Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa liberalisasi Melayu telah lama terlaksana tanpa pemimpin-pemimpin Melayu sendiri menyedarinya. Tidak perlulah kita ulangi kisah tongkat Melayu, meritokrasi, bahasa dan sebut apa sahaja yang melibatkan orang Melayu yang telah sedikit demi sedikit dimamah atas nama liberalisasi. Mungkin belum terlambat untuk saya mengingatkan kepada pemimpin politik terutamanya pemimpin Barisan Nasional supaya ditanamkan semangat Satu Barisan Nasional agar ia dapat memupuk semangat Satu Malaysia dalam kita mengharungi zaman kegawatan politik di negara ini. Kurangkan membuat kenyataan-kenyataan yang melibatkan sensitiviti orang Melayu di akhbar-akhbar dan jangan jadikan media massa tempat untuk berdialog di antara sesama pemimpin perihal dalaman parti. Marilah kita sokong dan dokong teguran yang di buat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak kepada pemimpin-pemimpin BN supaya jangan terlalu asyik mengejar jawatan dalam parti sehinggakan mengabaikan kebajikan rakyat. Penyakit ini harus dihentikan sebelum parti ini dihukum oleh rakyat. Yang penting, segenap pemimpin yang telah diberi amanah dan mandat oleh rakyat harus melaksanakan dengan adil dan jujur. Lakukanlah yang terbaik dan ia harus juga dipikul bersama oleh semua pemimpin parti komponen BN. 6

Harapan rakyat menggunung agar transformasi kali ini adalah transformasi tulen dan bukan sekadar ala transformasi Akademi Fantasia yang penuh dengan retorik dan publisiti yang menghampakan DR MOHD. AZAM RAUZAN Bandar Baru UDA, JOHOR BAHRU Utusan Malaysia, 9 Jun 2009

7

Related Documents

Dilema Ekonomi Melayu
May 2020 14
Dilema
November 2019 45
Dilema
October 2019 35
Dilema
November 2019 35
Dilema 2
June 2020 20

More Documents from ""