Yang Berusaha Pn. Rozaine Tawik Guru Besar SK Bunsit Yang Dihormati Guru-Guru Kanan Pentadbiran Ahli Jawatankuasa Pengelola Majlis Teman-teman Guru, Para Ibu Bapa Murid-murid serta para hadirin sekalian. Selamat pagi, salam sejahtera dan salam satu Malaysia. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih di atas jemputan ini bagi turut serta dalam merayakan Hari Kecemerlangan SK Bunsit pada tahun ini. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak sekolah yang berjaya mengadakan program ini sebagai satu program tahunan di sekolah ini demi kepentingan murid-murid. Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian! Seperti yang kita semua sedia maklum, para murid merupakan tiang negara dan bakal pemimpin negara. Jadi pengasuhan, bimbingan dan dorongan dari segi semua aspek hidup dari peringkat awal lagi adalah amat penting. Pencapaian mereka dari segi akademik sahaja tidak memadai. Malahan pembangunan dan perkembangan yang tinggi dalam aspek keperibadian juga adalah perlu diberi perhatian yang sama berat. Saya percaya sambutan Hari Kecemerlangan Sekolah pada hari ini adalah selari dengan matlamat memberi
dorongan dan memotivasikan para murid agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam beberapa aspek penting seperti kurikulum, ko-kurikulum dan Sahsiah. Diharapkan semoga program seumpama ini dapat berterusan pada masa-masa akan datang bukan sahaja untuk murid yang cemerlang tetapi juga yang kurang cemerlang tetapi ada kemajuan. Tuan-tuan dan puan-puan, Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak pentadbir sekolah, para pengelola dan warga guru amnya kerana dapat menggemblengkan tenaga dan berkorban dari segi masa sehingga memungkinkan majlis ini dapat kita rayakan pada hari ini. Majlis seumpama ini amat wajar dirayakan oleh sekolahsekolah bagi memberikan pengiktirafan kepada kejayaan serta kecemerlangan yang ditunjukkan oleh para murid selama ini. Menyentuh tentang kecemerlangan murid-murid, usaha dan kesungguhan menerapkan semua elemen JERI ini bukan sahaja dipikul di bahu para guru tetapi juga para ibu bapa amnya. Dengan itu diharapkan agar para ibu bapa juga akan dapat memberi lebih tumpuan pada anak-anak dan membantu mereka untuk mencapai kecemerlangan bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga perkembangan “soft skill” iaitu sifat-sifat peribadi yang murni dan lapangan hidup. Jika tidak, mereka akan ketinggalan zaman dan terpaksa mengharungi banyak masalah dan cabaran yang tidak terhingga di zaman ini.
Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk memastikan anak-anak mendapat ilmu pendidikan yang sempurna. Ibu bapa tidak boleh menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak 100% kepada pihak sekolah. Perlu kita sedar bahawa masa anak-anak di sekolah hanya 6 jam sehari manakala masa mereka di rumah dan di bawah pengawasan ibu bapa adalah lebih kurang 18 jam. Maka tidak wajarlah jika terus menuding jari menyalahkan guru-guru di sekolah jika anak-anak kita tidak berjaya dalam pelajaran. Oleh itu, sebagai ibu bapa, kita hendaklah sentiasa memberi kerjasama kepada pihak sekolah untuk kebaikan anak-anak. Masanya belum terlambat untuk kita semua memperbaiki perkara ini. Harapan kita di masa-masa akan datang ialah dapat melihat peningkatan peratusan murid-murid yang mampu untuk mencapai kecemerlangan. Sepertimana yang kita sedia maklum, bahawa masalah sosial yang melanda para belia kita sudah semakin runcing. Oleh itu, kita sebagai ibu bapa mestilah mampu menerokai dunia global yang penuh cabaran ini. Kita harus mempersiapkan generasi muda kita dengan berbagaibagai kemahiran hidup dan ilmu pengetahuan agar anak-anak muda ini dapat bersaing bukan sahaja di peringkat lokal tetapi secara global. Kita juga tidak mahu anak kita ini dikatakan anak yang tidak tahu mengenang budi dan tidak tahu berterima kasih terhadap jasa baik dan pengorbanan yang diberikan oleh ibu bapa, guru-guru, masyarakat.
Wawasan dalam pendidikan amat menitikberatkan pandangan dan masa hadapan. Justeru, untuk merealisasikan hasrat dan wawasan pendidikan yang kita inginkan, maka salah satu strategi yang boleh dilaksanakan ialah dengan merapatkan hubungan sekolah dengan ibu bapa melalui PIBG. Peranan dan hubungan baik antara ibu bapa, guru dan masyarakat setempat seharusnya sentiasa terjalin dan kukuh. Hubungan dan kerjasama ini akan mewujudkan pemuafakatan yang saling memerlukan, ibarat ‘aur dengan tebing’ bagi menjana kecemerlangan sekolah. Telah terbukti bahawa peranan PIBG yang mantap telah mengurangkan malah menyelesaikan masalah disiplin di peringkat sekolah. Saya turut mengambil peluang ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan syabas kepada pihak sekolah atas daya usaha untuk mendidik, mengajar, dan membimbing para murid dalam menanamkan nilai jati diri yang terpuji serta lengkap dari segi JERInya. Saya percaya komitmen ini bukan hanya kerana upah sebagai guru semata-mata tetapi dalam diri teman-teman guru sekalian sudah tertanam nilai intergriti dan kesedaran yang tinggi untuk memajukan anak watan meraih kecemerlangan kini dan sepanjang hayat. Bagi murid-murid yang telah menunjukkan kecemerlangan , tahniah diucapkan. Anda telah menunjukkan kesungguhan anda selama ini dan layaklah anda menerima anugerah pada hari ini. Kepada murid-murid lain yang tidak berjaya janganlah kecewa. Yang penting bukanlah hadiah. Sebaliknya
yang lebih penting ialah usaha yang berterusan dengan penuh gigih sehingga mencapai matlamat diri yang telah ditetapkan dalam sanubari masing-masing. Murid-murid, datanglah kepada ibu bapa dan guru-guru anda dan ucapkanlah jutaan terima kasih kepada mereka. Sesungguhnya kejayaan anda adalah kejayaan kami para ibu bapa dan guru-guru sekalian. Dengan rasa syukur dan gembiranya saya merasmikan Majlis Kecemerlangan Sekolah SK Bunsit Tahun 2009. Semoga kita semua akan beroleh manfaat. Sekian, terima kasih.