Faktor yang menyebabkan salah laku termasuklah faktor keturunan. Baka atau keturunan merupakan ciri-ciri perwarisan yang dibawa oleh ibu bapa kepada anak-anak. Menurut Norman L.Munn, baka merupakan ciri-ciri yang diturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anaknya melalui genetik. Antaranya sifat yang dipengaruhi oleh genetik ialah sifat introvert dan ekstrovert. Sifat-sifat ini boleh diwarisi oleh kanak-kanak melalui ibu bapa mereka. Keadaan emosi yang tidak stabil di kalangan ibu bapa juga boleh menyebabkan anak mereka mengalami keadaan yang sama. Contohnya jika seseorang itu mempunyai sifat pemarah, pembengis dan sukar mengawal emosi, kemungkinan anaknya juga akan berkeadaan sedemikian. Ini akan menyebabkan beberapa masalah seperti tantrum, suka mengamuk, dan berkemungkinan mencederakan diri sindiri atau orang lain. Selain itu, baka juga akan mempengaruhi perkembangan fizikal seseorang. Kajian telah menunjukkan bahawa ciri-ciri fizikal luaran, khasnya bentuk fizikal, warna rambut dan organ deria adalah diwarisi daripada gen-gen ibu bapa. Sebagai contoh, jika ibu bapa mempunyai saiz badan yang besar dan gemuk, ini juga boleh menyebabkan kemungkinan anak mereka akan mengalami masalah tubuh badan yang sama. Saiz tubuh yang terlalu gemuk, terlalu kurus atau terlalu rendah dan kecil akan menyebabkan timbulnya perasaan rendah diri dan malu dalam diri seseorang murid itu. Ini seterusnya boleh menyumbang kepada timbulnya tingkah laku bermasalah seperti tidak mahu bergaul dengan orang lain, mengasingkan diri, dan tidak mahu melibatkan diri dalam sesi pengajaran dan pengajaran kerana malu dan takut diejek oleh kawan-kawan. Seterusnya, perkembangan mental seseorang juga dipengaruhi oleh baka. Sekiranya ibu bapa mempunyai tahap kemampuan mental yang rendah, kemungkinan anak mereka juga akan menghadapi masalah yang sama. Ini seterusnya akan menyebabkan anak ketinggalan dalam pelajaran dan akhirnya menjadi tidak minat untuk belajar. Hal ini akan menyebabkan berlakunya tingkah laku yang tidak diingini seperti kemurungan, suka mengasingkan diri dan mempunyai tahap kebergantungan yang tinggi. Keadaan ini juga akhirnya boleh membawa kepada tingkah bermasalah yang lain yang akan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung.