Tulisan Jawi Sebagai Jiwa Bm

  • Uploaded by: Mohd Isa Abd Razak
  • 0
  • 0
  • May 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Tulisan Jawi Sebagai Jiwa Bm as PDF for free.

More details

  • Words: 5,310
  • Pages: 13
Esei

TULISAN JAWI SEBAGAI JIWA BAHASA MELAYU Oleh Mohd Isa bin Abd Razak (Kertas ini dibentangkan dalam Seminar Tulis Jawi di Maktab Perguruan Sandakan pada 13 Mei 1984.)

1.0

PENDAHULUAN

1.1 Tajuk kertas ini pilihan saya sendiri sebagai menggantikan tajuk asal yang diberi oleh Pengerusi Seminar Kecil Tulisan Jawi ini kepada saya, iaitu “Pelajaran Jawi Masa Kini”. Saya tidak dapat membicarakan tajuk asal itu kerana kesempitan skopnya dan pengetahuan saya mengenai juga terhad. 1.2 Saya fikir tajuk yang saya pilih ini sesuai dengan peserta seminar yang sebahagian besarnya terdiri daripada bakal guru. Saya berpendapat mereka sangat memerlukan gambaran umum tentang betapa berharganya tulisan Jawi. Hal ini saya bicarakan di bawah tajuk kecil “Tulisan Jawi dalam Sejarah Bahasa Melayu”. Isu ini merupakan pokok kertas kerja dan amat sesuai dengan tujuan seminar ini. 1.3 Supaya kertas kerja ini menjadi lebih lengkap, saya bicarakan juga “Tulisan Jawi dalam Kurikulum” dan “Sikap Kita Terhadap Tulisan Jawi”. Melalui tajuk-tajuk keci ini saya berharap para peserta terdorong untuk membuat rumusan ke arah mengagungkan semula tulisan Jawi. 1.4 Sungguhpun tajuk kertas ini pilihan saya sendiri, hal ini tidaklah bermakna isi dan persembahannya sudah cukup sempurna. Saya mengakui kelemahan saya dan berharap dapat mempelajari sesuatu daripada seminar ini. Kata orang, pada masa ini tiada rotan akarlah berguna. Mudah-mudahan usaha kecil ini ada juga faedahnya. 2.0

TULISAN JAWI DALAM SEJARAH BAHASA MELAYU

2.1 Para sarjana menamakan bahasa Melayu yang dituturkan pada zaman dahulu sebagai bahasa Melayu kuno dan perkembangan bahasa itulah yang mewujudkan bahasa Melayu yang kita kenal pada hari ini. Para sarjana juga mempercayai bahawa bahasa Melayu kuno itu sudah mempunyai huruf dan sistem tulisan sejak zaman awal pertumbuhannya. Tulisan itu, yang dipercayai seakan-akan tulisan Rencong seperti yang terdapat di Sumatera dan tulisan Kawi yang terdapat di Jawa, dikatakan berasal daripada tulisan Kampuchea purba. Tulisan itu tidak dapat kita warisi kerana daun lontar yang dijadikan kertas tulis pada zaman itu tidak tahan lama, orang dahulu kurang berminat menyimpannya dan kerana beberapa malapetaka sejarah seperti pembinasaan secara sengaja yang dilakukan oleh kalangan istana terhadap segala sesuatu yang berbau Hindu di peringkat awal perkembangan Islam di Kepulauan ini. Oleh sebab kewujudan huruf dan sistem tulisan bahasa Melayu pada zaman awal pertumbuhannya itu berupa telahan, kita boleh mengatakan bahawa pada masa itu bahasa Melayu

bukan bahasa yang penting tetapi “hanyalah merupakan satu daripada lebih kurang 200 bahasa dalam kepulauan Melayu sahaja”.1 2.2 Perkembangan bahasa Melayu kuno dapat dianggap bermula pada abad ketujuh Masehi. Ada empat batu bersurat tinggalan abad ini. Batu bersurat yang pertama, dijumpai di Kedukan Bukit di kaki Bukit Siguntang, bertarikh 683 Masehi; batu bersurat yang kedua dijumpai di Talang Tuwo, Palembang, bertarikh 684 Masehi; batu bersurat yang ketiga dijumpai di Karang Brahi, Jambi, bertarikh 686 Masehi; dan batu bersurat yang keempat ditemukan di Kota Kapur, Bangka, bertarikh 686 Masehi juga. Kesemua batu bersurat itu tertulis dengan huruf Pali (Pallava) iaitu huruf orang Pallava di selatan India. Bahasa yang terdapat pada batu-batu bersurat itu terlalu jauh berbeza daripada bahasa Melayu kini. Para sarjana menganggapnya sebagai contoh bahasa Melayu kuno. Sebuah batu bersurat lagi dijumpai di Gandasuli, Jawa Tengah. Batu bersurat itu ditulis dengan huruf Nagiri. Huruf ini berasal dari utara India dan mempunyai hubungan rapat dengan agama Buddha. Batu bersurat itu dianggap sebagai penyata “betapa jauhnya pengaruh bahasa Melayu ketika itu, sehingga sudah sampai ke tengahtengah Pulau Jawa, satu tempat yang bahasa daerahnya amat berlainan sama sekali”.2 2.3 Batu-batu bersurat di atas memperlihatkan bahawa bahasa Melayu kuno menggunakan tulisan yang dibawa dari India. Batu bersirat bertarikh 1356 Masehi yang ditemukan di Pagar Ruyong dan batu bersurat (nisan) bertarikh 1380 Masehi di Minye Tujuh, Aceh, menunjukkan bahawa tulisan itu mungkin digunakan hingga abad keempat belas. Catatan pengembara Cina pula, seperti I Tsing yang pernah singgah di Sriwijaya pada tahun 672 Masehi, serta beberapa bukti sejarah yang lain, menunjukkan wujudnya kata Melayu (Mo-lo-yu) dan luasnya penggunaan bahasa Melayu kuno sejak abad ketujuh lagi. Oleh sebab hal ini jugalah maka sarjana-sarjana kita berpendapat bahawa bahasa Melayu sudah menjadi bahasa perantaraan (lingua franca) lebih awal dari kurun ketiga belas. Profesor Ismail Husain membuat kesimpulan: “Maka dapatlah kita anggap sebagai satu hal yang pasti, bahawa dalam abad ketujuh dan dalam abad-abad berikutnya, bahasa Melayu sudah dapat dan memang digunakan sebagai bahasa pengantar kebudayaan, sedang dalam hal-hal tertentu dipergunakan juga bahasa itu untuk keperluan sedemikian di daerah-daerah yang bukan termasuk daerah bahasa Melayu yang sebenarnya.”3

2.4 Bagaimanapun, kenyataan di atas tidak menunjukkan kepada kita ketinggian bahasa Melayu ketika menggunakan huruf yang dibawa dari India itu. Batu Nisan Minye Tujuh yang bertarikh 1380 Masehi dan masih menggunakan huruf Pallava, mungkin dapat dianggap sebagai membuktikan bahawa bahasa Melayu sudah begitu tinggi sehingga sudah dapat menjadi bahasa penyataan puisi yang halus”4 tetapi tidaklah sebanding dengan mutu bahasa Batu Bersurat Terengganu, yang 83 tahun lebih awal daripada Batu Nisan Minye Tujuh itu, lebih dekat dengan gaya bahasa Melayu kini dan kemelayuan bahasanya juga jelas. Sebaliknya, gaya bahasa yang terdapat pada Batu Nisan Minye Tujuh ialah gaya bahasa pra-Islam. Lebih menarik lagi apabila kita fikirkan pandangan Profesor 1

Ismail Hussein, 1981, Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita (Kuala Lumpur: Dewan bahasa dan Pustaka), h. 5. 2 Ibid, h. 21. 3 Ibid, h. 20-21. Saya Cuma bersetuju setakat bahasa perantaraan sahaja. 4 Ibid, h. 27.

Jawi Jiwa BM

2

Syed Muhammad Naguib al-Attas yang mengatakan bahawa sebelum Islam tiba di Kepulauan Melayu, tiada terdapat suatu bahasa umum yang dapat digelar bahasa Melayu. Menurut beliau, “Bahasa ‘Melayu kuno’ yang difikirkan orang itu sebenarnya tiada dapat dirumuskan sebagai Melayu, kerana zaman itu nampaknya belum timbul konsep bahasa Melayu. Prasasti-prasasti kala sebelum Islam tiada memberi kesimpulan yang cukup dan jelas terhadap bentuk sifat bahasa orang Melayu; hanya seolah-olah tulisan-tulisan yang terpahat padanya, adalah bentuk sifat bahasa campuran bahasa Pali dan lain-lain yang mungkin pula merupakan bahasa golongan tertentu yang tiada membayangkan bahasa orang sehari-hari. … Nampaknya besar pula kemungkinan bahawa pada zaman pra-Islam tiada terdapat satu tulisan tunggal, satu abjad, yang menyatu padu serta dengan kukuhnya mengikat bahasa meliputi golongan-golongan yang dapat diberi gelaran Melayu.”5

2.5 Daripada perbincangan tadi kita dapat membuat beberapa kesimpulan tentang kedudukan bahasa Melayu serta tulisannya sebelum kemunculan tulisan Jawi. Pertama, bahasa Melayu mula tumbuh pada abad ketujuh Masehi. Kedua, abad ketujuh hingga abad kedua belas merupakan tahap perkembangannya secara evolusi. Pada tahap ini bahasa Melayu berkemungkinan menjadi bahasa perantaraan di Kepulauan Melayu tetapi belum dapat menyaingi bahasa Jawa yang terbukti lebih maju.6 Pada tahap ini bahasa Melayu belum dapat menyatukan pelbagai bahasa daerah yang terdapat di Kepulauan ini, iaitu belum menjadi bahasa persatuan kerana belum dianggap standard. Pada tahap ini juga bahasa Melayu mula, secara evolusi, menjadi bahasa ilmu pengetahuan tetapi belum boleh dianggap sebagai bahasa ilmu pengetahuan yang sebenarnya. Ketiga, bahasa Melayu menggunakan berbagai-bagai tulisan tetapi belum mempunyai satu sistem tulisan yang praktis.7 2.6 Kemunculan tulisan Jawi membuka lembaran baharu dalam sejarah bahasa Melayu. Sebuah batu bersurat dijumpai pada tahun 1899 Masehi di Sungai Teresat, kira-kira, 32 kilometer dari muara Sungai Terengganu. Pada batu itu terpahat huruf Arab-Melayu dianggap tulisan Jawi tertua di Asia Tenggara. Batu bersurat itu bertarikh Jumaat, 4 Rejab 702 Hijrah bersamaan dengan 22 Februari 1303 Masehi.8 Inti batu bersurat itu ialah pengumuman sepuluh fasal “syarat undang-undang”. Pengumuman itu dimulakan dengan perisytiharan supaya semua raja dan orang besar yakin dan berpegang teguh pada agama Islam dan ajaran Rasulullah SAW. 2.7 Batu itu disurat supaya pengumuman dan perisytiharan itu sampai kepada kumpulan sasarnya. Hal ini bermakna, sebelum tahun 1303 Masehi, sekurangkurangnya di Terengganu, sudah ada orang yang mengetahui (boleh membaca) tulisan Jawi. Jika tidak, masakan si penyurat memilih tulisan itu untuk

5

Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam dalam Sejarah Kebudayaan Melayu (Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1977), h. 42 – 43. Kenyataan ini saya fahami berkaitan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa umum. jadi, kenyataan ini tidak bercanggah dengan maksud bahasa Melayu sebagai lingua franca. 6 Bahasa Jawa pada masa itu sudah tersebar luas. Seni sasteranya tinggi dan digunakan oleh mereka yang bertamadun tinggi pula. 7 Ismail Hussein, op. cit., h. 32. 8 Lutfi Abas dan Omar Awang, “Kesan Pengaruh Islam dan Bahasa Arab ke Atas Bahasa Melayu”, dalam Islam dan Kebudayaan Kebangsaan, ed. Hamdan Hassan (Kuala Lumpur: Utusan Melayu, 1979), h. 101.

Jawi Jiwa BM

3

menyampaikan mesejnya. Juga, apabila diteliti tulisan pada batu itu, terdapat 20 daripada 29 abjad Arab dan lima huruf ciptaan. 20 abjad Arab itu ialah:

‫ﻄ‬ ‫ﻱ‬

‫ﺲ ﺺ ﺾ‬ ‫ﻩ‬

‫ﻮ‬

‫ﻦ‬

‫ﺮ‬

‫ﺪ‬

‫ﺝ‬

‫ﺖ‬

‫ﺐ‬

‫ﻢ‬

‫ﻞ‬

‫ﻚ‬

‫ﻖ‬

‫ع ﻒ‬

‫ﺬ‬

‫خ‬

‫ح‬

‫ث‬

‫ﺍ‬

Huruf ciptaan baharu ialah:

‫۬ڪ ڽ‬

‫ڨ‬

‫ڠ‬

‫ﭺ‬

Huruf Arab lain yang tiada ialah:

‫ﺀ‬

‫ﻍ‬

‫ﻈ‬

‫ش‬

‫ﺰ‬

Walaupun abjad Arab yang digunakan itu cuma 20, hal ini tidaklah bermakna si penyurat tidak mengetahui huruf-huruf yang lain. Semasa menulis satu catatan ringkas, tidak semestinya semua huruf terpakai. Oleh itu dapat kita katakan bahawa pada tahun 1303 Masehi huruf tulisan Jawi sudah lengkap, iaitu 29 huruf Arab dan lima huruf ciptaan.9 Apabila mengingat bahawa proses menyesuaikan sesuatu tulisan untuk digunakan sebagai tulisan bahasa lain dan proses penciptaan huruf baharu memakan masa yang panjang; apabila mengingat bahawa tulisan Jawi itu tidak lengkap dengan serta-merta, dapat kita katakan bahawa tulisan Jawi wujud pada akhir abad ketiga belas. Abjad tulisan Jawi itu lengkap dan digunakan untuk menyampaikan maklumat pada awal abad keempat belas. 2.8 Jelas pada kita bahawa huruf Arab menjadi asas tulisan Jawi. Tulisan ini sebenarnya dapat dinamai tulisan Arab-Melayu tetapi orang Melayu lebih suka menamakannya tulisan Jawi. Kata jawi berasal daripada istilah Arab al-Jawah. Sumber-sumber Arab sebelum abad keempat belas Masehi menunjukkan bahawa orang Arab menggelar semua bangsa di Kepulauan Melayu ketika itu, terutamanya bangsa-bangsa di Sumatera, sebagai Jawi atau al-Jawah.10 Tidak syak lagi daripada kata inilah kemudian tercipta ungkapan beras jawi dan masuk Jawi. Beras jawi ialah beras biasa (bukan beras pulut). Nasi daripada beras ini menjadi makanan utama semua bangsa di Kepulauan Melayu. Hal ini menunjukkan satu sifat umum mereka dari satu sudut. Masuk Jawi, kadangkadang disebut juga masuk Melayu, dari segi lahiriahnya bermakna berkhatan tetapi takrif sebenarnya ialah memeluk agama Islam. Dengan kata lain, orang Arab menggelar semua penduduk di Kepulauan Melayu yang sudah memeluk agama Islam sebagai Jawi atau al-Jawah. Makna kata ini memperlihatkan penyataan berbagai-bagai bangsa melalui satu agama sesuai dengan tuntutan agama itu sendiri. Dengan ini jelas pula pada kita akan sebab bahasa Melayu dinamakan juga bahasa Jawi dan tulisan bahasa itu dinamakan tulisan Jawi. Bahasa Jawi dan tulisan Jawi itu ialah bahasa dan tulisan semua penduduk Kepulauan Melayu yang sudah memeluk agama Islam. Dengan ini juga jelas pada kita bahawa Islam dan mereka yang menyampaikan risalahnya melakukan 9

Ibid, h. 102. Syed Muhammad Naguib al-Attas, op. cit., h. 43.

10

Jawi Jiwa BM

4

peranan utama untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa umum, bukan bahasa satu bangsa lagi tetapi bahasa semua bangsa atau bahasa persatuan, dengan tulisan Jawi sebagai tulisan tunggal mengikat dan menyatukan bahasabahasa daerah ke dalam satu golongan yang disebut bahasa Melayu. Dengan kata lain, bahasa Melayu mula menjadi bahasa baku apabila penduduk Kepulauan Melayu menerima Islam dan menerima abjad Arab sebagai tulisan bahasa Melayu. 11Lebih jauh daripada itu, Profesor Syed Muhammad Naguib alAttas berkata: “Konsep Jawi yang merangkum pelbagai bangsa itu sebagai satu berdasarkan penyatupaduan bahasa Melayu sebagai bahasa umum melalui alat satu tulisan yang sama terdapat di mana-ana dalam kalangan bangsa Melayu-Indonesia inilah juga salah satu unsur kebudayaan yang menggerakkan proses sejarah ke arah pemupukan faham kebangsaan dalam peribadi masyarakat Melayu-Indonesia.”12

2.9 Penggunaan tulisan Jawi sebagai tulisan bahasa Melayu menolong bahasa itu menjadi bahasa pengantar dan bahasa ilmu pengetahuan di institusi pendidikan Islam seperti masjid, surau dan pondok. Bahasa Melayu dan tulisan Jawi menjadi bahasa dan tulisan rasmi kerajaan Melayu-Islam, iaitu SamuderaPasai (1280 – 1409 Masehi), Melaka (1409 – 1511 Masehi), Aceh (1511 – 1650 Masehi) dan Johor-Riau (1650 – 1800 Masehi). Kitab agama dan hasil kesusasteraan pada zaman ini menggunakan bahasa Melayu bertulisan Jawi. Hikayat Raja-raja Pasai, Sejarah Melayu, Hukum Kanun Melaka, Syair Perahu, Rubai Hamzah Fansuri, Syarab al-‘Asyikin, Bustanus Salatin, Bustanul Katibin, Gurindam Dua Belas dan Tuhfat an-Nafis ialah karya contoh daripada sekian banyak hasil kesusasteraan Melayu yang menggunakan tulisan Jawi. Hasil kesusasteraan ini sangat tinggi nilainya. Malah, Syair Perahu dan Rubai Hamzah Fansuri karya Hamzah Fansuri (1550 – 1600 Masehi) dan Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji (1809 – 1870 Masehi) sukar ditandingi hingga kini. Kenyataan ini menunjukkan tulisan Jawi adalah praktis. Selama beberapa abad tulisan Jawi berupaya menjadi tulisan tunggal mengiringi bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan, bahasa kebangsaan, bahasa rasmi pemerintahan, bahasa ilmu pengetahuan dan bahasa kesusasteraan. 2.10 Tidaklah dapat disangkal lagi bahawa pengaruh Islam dan tulisan Jawi memungkinkan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu. Perkembangan ini memungkinkan pula bahasa Melayu menerima beribu-ribu kosa kata Arab, termasuk istilah dalam bidang falsafah yang dianggap sebagai ilmu duniawi yang tertinggi. Bahasa Arab itu bukan sekadar menambah perbendaharaan kata bahasa Melayu tetapi memberikan jiwa baharu terhadap kata-katanya. Tentang hal ini, Abdul Rahman Rukaini menulis: “Dari sudut pandangan Islam, perkataan langit, bumi, bulan, bintang, gunung, sungai (tidak semestinya kata Arab) dan sebagainya bukan sahaja memberikan erti kejadian alam atau benda yang telah dijadikan tetapi juga memberikan erti siapa yang menjadikan dan untuk siapa dijadikan. Jadi jiwa bangsa Melayu yang sebelumnya kuat dipengaruhi oleh faham dogmatis yang tahayul telah bertukar menjadi jiwa yang rasional lagi intelektual. “… Penerimaan itu bukan setakat itu sahaja tetapi melibatkan penerimaan hakikatnya sekali gus. Maka itulah yang dilaksanakan dalam sistem 11 12

Lutfi Abas dan Omar Awang, op. cit. Syed Muhammad al-Attas op. cit.

Jawi Jiwa BM

5

pendidikan tradisi (zaman Islam di Alam Melayu), iaitu menerapkan jiwa kata-kata itu dalam kehidupan sehari-hari. …. dan hal ini menjadi asas pembentukan pandangan hidup mereka.”13

Bahasa dan tulisan yang mempunyai jiwa yang utuh tidak akan mudah mengalah kecuali, seperti yang akan dijelaskan nanti, bangsa yang memiliki tulisan itu sendiri meracunnya. Demikianlah juga halnya dengan bahasa Melayu dan tulisan Jawi. Tulisan Jawi tetap berdaulat pada peringkat awal konteks Kepulauan Melayu dengan kuasa-kuasa Barat. Warisan sejarah yang masih dapat dibaca di perpustakaan luar negara14 menunjukkan surat izin berniaga dan perjanjian antara raja-raja Melayu dengan penjajah Barat menggunakan bahasa Melayu dan tulisan Jawi. 2.11 Abjad Jawi yang sebahagian besarnya berasal daripada abjad bahasa Arab (bahasa al-Quran) itu pernah menolong mengurangkan perbezaan sebutan dalam kalangan penutur bahasa Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana Islam menyuruh penganutnya membaca al-Quran dengan betul (irab). Imam sembahyang juga dituntut supaya terdiri daripada qari atau orang yang terbaik bacaan al-Qurannya. Melalui ilmu tajwid, antara lain, ditegaskan cara mengeluarkan bunyi huruf dengan betul. Oleh sebab semua huruf hija’iyah alQuran itu digunakan dalam tulisan Jawi, mubaligh dahulu melafazkannya dengan sebutan yang betul dan tetap. Khabar diucapkan /xabar/, “ramai” diucapkan /ramai/ dan kata yang seharusnya diucapkan /a/ tetap diucapkan demikian dan bukan /ə/. Oleh sebab kedudukan mereka dipandang tinggi ketika itu, sikap mereka diteladani oleh penutur lain. Hal ini menyebabkan pengucapan bahasa Melayu itu agak seragam. Malangnya, semasa kuasa-kuasa Barat menjajah Kepulauan Melayu ini, kita dijauhkan (atau sengaja menjauhkan diri kerana takut dianggap kolot) daripada bahasa al-Quran itu dan dijauhkan daripada ilmu tajwid. Apabila kita lupa pada dasar tulisan itu, kita mulai menemukan masalah atau sengaja menari-cari sebab untuk berasa sukar mengucapkannya. Di sini saya turunkan keluhan seorang ahli bahasa kita, Lutfi Abas, yang sepatutnya menjadi keluhan kita juga. “Izinkan juga di sini saya menyentuh adanya segolongan orang Melayu yang mahu melafazkan alif be te se dan yang menganggap mereka berbeza daripada orang Melayu yang lain, baik di Malaysia sendiri atau di luar Malaysia yang melafazkan alif ba ta sa. Golongan yang pertama beranggapan bahawa persatuan sesama Melayu biarlah dilambangkan oleh huruf pertama sahaja, dan mulai dari huruf kedua mereka berbeza daripada orang Melayu yang lain. (Hal ini ialah) satu kejahilan yang merosakkan ikhwan Islam. “Huruf alif bukan sahaja lambang persatuan tetapi juga lambang kekuasaan atau kekuatan. Huruf itu berdiri tegak. Huruf itu melambangkan pengislaman seluruh jazirah Arab, Afrika Utara dan Andalusia. Huruf itu juga melambangkan pengislaman seluruh Nusantara. Orang Melayu jadi terbangun daripada tidur mereka selama berabad-abad, bangkit berdiri, mendirikan syiar Islam, dan mendirikan kerajaan Islam. Bangsa Melayu terkenal sebagai orang yang berani mengharungi laut Nusantara dan belayar jauh sampai ke benua lain. “Dengan sedih saya mengatakan di sini semangat itu kelihatan seperti pudar, dan bunyi /ə/ mulai kedengaran di mana-mana menggantikan bunyi 13

Abdul Rahman Rukaini, “Pencemaran Istilah Agama Islam (Bahagian I)”, Dewan Bahasa, 23: 5 (Mei 1979), h. 26 -27. 14 Lihat Ismail Hussein, op. cit., h. 37 – 40. Antaranya ialah di perpustakaan London dan Leiden.

Jawi Jiwa BM

6

/a/. Bunyi /ə/ ialah lambang kejahilan, kembali ke zaman jahiliah, dan tiada mempunyai semangat. Dalam ilmu bahasa, perubahan bunyi /a/ kepada bunyi /ə/ disebut proses neutralization. Bunyi itu dilafazkan dengan menggunakan tenaga sedikit mungkin. Lidah dalam keadaan rehat sehingga orang sedang tidur pun boleh mengeluarkan bunyi itu tanpa disedarinya.”15

2.12 Penjajahan Barat sebagai alasan, sikap orang Melayu sendiri sebagai puncanya, lama-kelamaan tulisan Jawi hidup segan mati tak mahu. Pada tahun 1904, satu panitia dibentuk oleh Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang dikenali dengan nama Panitia Wilkinson, untuk membentuk sistem ejaan Rumi yang telah mula diperkenalkan sedikit-sedikit sebelumnya. Panitia ini diketuai oleh H. Conway Belfield, Pemangku Residen British, Perak; D.G. Campbell, Pemangku Residen British, Selangor; R.J. Wilkinson, Inspektor Sekolah-sekolah Melayu. Hasilnya, ejaan Rumi yang dinamakan Ejaan Sekolah tetapi lebih dikenali dengan nama Ejaan Wilkinson, menjadi ejaan rasmi bagi bahasa Melayu di Malaya. Pada bulan Januari 1954, Kongres Persuratan Melayu se-Malaya yang kedua di Sereban membuat rumusan: “Bahawa Kongres Persuratan Melayu seMalaya yang kedua yang bersidang di Seremban pada 1 Januari 1954 ini, setelah mengkaji penyata tulisan Jawi-Rumi yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Penyiasat Tulisan Jawi-Rumi itu, mengambil keputusan sudah sepatutnya tulisan Rumi dirasmikan bagi persuratan Melayu dengan tidak menghapuskan tulisan Jawi sehingga asa akan menentukannya.” Pada bulan Mac tahun yang sama, Asas 50 mengemukakan memorandum menyokong ketetapan kongres itu. Memorandum itu menghuraikan sebelas kelebihan tulisan Rumi dan satu sahaja kekurangannya, serta satu sahaja kelebihan tulisan Jawi (yang dianggap kekurangan juga) dan dua belas kekurangan tulisan Jawi.16 Bagaimanapun perkara ini diimbangi oleh Sidang Bahagian C (i), Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Tanah Melayu Ketiga pada bulan September 1956. Rumusan sidang itu diturunkan sepenuhnya: “Sidang Bahagian C (i) telah mengambil ketetapan membentuk satu badan yang diberi tugas memelihara tulisan Jawi: (a) Bagaimana cara-cara memelihara tulisan Jawi supaya kekal hidup di Malaya ini, dan (b) Bagaimana cara-cara menyamakan ejaan tulisan Jawi yang digunakan di Malaya dengan ejaan tulisan Jawi yang digunakan di Indonesia. Sidang ini mengambil ketetapan memberi kuat kuasa membentuk badan tersebut kepada Lembaga Tetap Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Tanah Melayu. Lokman Musa, Pengerusi, Sidang Bahagian C (i)”17

Peristiwa-peristiwa ini mungkin mempengaruhi penggubalan Akta Bahasa Kebangsaan dan tercatatlah ayat ini dalam akta itu: “Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.”18 Dengan kata lain tulisan Jawi tetap dilindungi. Bagaimanapun, sebelum tahun 1970, bolehlah kita katakan tulisan Jawi hidup 15

Lutfi Abas dan Omar Awang, op. cit., h. 110. Memoranda Asas 50 (Kuala Lumpur: Oxford, 1962), h. 14 – 30. 17 Ibid, h. 265 – 266. 18 Malaysia, Akta Bahasa Kebangsaan, 1963/69 (Disemak 1971) (Kuala Lumpur: Pencetak Kerajaan, 1971), h. 7. 16

Jawi Jiwa BM

7

berkelana di masjid surau, pondok, di pinggir kurikulum sekolah Melayu dan agak subur sedikit di negeri-negeri Pantai Timur dan Utara Semenanjung. 3.0

TULISAN JAWI DALAM KURIKULUM

3.1 Tulisan Jawi dimasukkan semula dalam kurikulum sekolah rendah yang dilaksanakan pada tahun 1970. Kandungannya dalam kurikulum itu dinamakan Pelajaran Jawi, iaitu satu dari aspek bahasa mata pelajaran Bahasa Malaysia. Pelajaran Jawi itu dimulakan pada darjah dua. Matlamatnya tidak diberi. Bagaimanapun, berdasarkan kegiatan pengajaran dan pembelajaran pada darjah lima dan enam, boleh kita katakan pelajaran itu bertujuan agar pada akhir program itu pelajar boleh membaca dan menulis Jawi. Pada akhir program pelajar dijangka dapat mengeja, termasuk ejaan Arab, dapat membaca bahan Jawi yang sesuai dan dapat menulis karangan pendek dengan menggunakan tulisan Jawi. 3.2 Pelajaran Jawi itu diteruskan di sekolah menengah rendah dengan tujuan memahirkan murid menulis dan membaca Jawi. Pelajaran itu merupakan satu daripada lima aspek bahasa mata pelajaran Bahasa Malaysia. Pengajaran digabungjalinkan dengan aspek bahasa lain, iaitu bacaan dan kefahaman dan karangan.19 Perkara ini mula dilaksanakan pada tahun 1973. Pada tahun ini, mengikut program Bahasa Malaysia sekolah rendah, pelajaran Jawi baru sampai di darjah empat. Sekolah menengah hanya menerima pelajar yang boleh membaca dan menulis Jawi, hasil program Bahasa Malaysia sekolah rendah, pada tahun 1976. Jadi, adalah sebab untuk guru Bahasa Malaysia di sekolah menengah untuk tidak mengajarkan aspek bahasa ini. Malangnya, selepas tahun 1976 hingga kini, banyak guru Bahasa Malaysia di sekolah menengah mengabaikan pengajaran aspek bahasa ini. Alasan utama mereka ialah murid tidak boleh membaca dan menulis Jawi. Hal ini membayangkan pengabaian yang serupa berlaku di sekolah rendah. 3.3 Banyak guru Bahasa Malaysia di sekolah rendah dan di sekolah menengah rendah tidak sedar bahawa mereka mesti mengajarkan pelajaran Jawi. Segolongan mereka menganggap aspek bahasa itu tidak wajib diajarkan kerana tidak diuji dalam peperiksaan. Sebahagian lagi memberikan alasan yang cukup mudah, iaitu mereka sendiri tidak boleh membaca dan menulis Jawi. Keadaan ini membayangkan mutu latihan yang mereka terima di maktab perguruan. Bagaimanapun, pada tahun 1973 maktab perguruan di Semenanjung memulakan program Kursus Perguruan Asas Dua Tahun (Bersepadu), dikuti oleh Sabah dan Sarawak beberapa tahun kemudian. Dalam program itu pelajaran Jawi merupakan sebahagian daripada kandungan sukatan pelajaran Bahasa Malaysia (Kod 08 dan Kod 09).20 Dalam peperiksaan, soalan mengenai tulisan Jawi juga dimasukkan.21 Berdasarkan catatan di atas kertas, sepatutnya semua guru lepasan maktab perguruan di Semenanjung pada tahun 1975 dan seterusnya, menguasai tulisan Jawi. Oleh sebab kenyataan yang ada tidak dapat membuktikan hal ini, bolehlah kita katakan catatan di atas kertas itu dilaksanakan sambil lewa sahaja.

19

Kementerian Pelajaran Malaysia, Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia untuk Tingkatan I – III (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1973), h. 16. 20 Bahagian Latihan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia, Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia Kursus Perguruan Asas Dua Tahun (Kuala Lumpur: Bahagian Latihan Guru, 1973), h. 7 dan 16. 21 Soalan Jawi ialah soalan pilihan. Calon boleh memilih puisi (Rumi) atau Jawi.

Jawi Jiwa BM

8

3.4 Program Latihan Perguruan Asas Tiga Tahun yang dimulakan di Semenanjung pada tahun 1981 dan di Sabah serta Sarawak pada tahun 1982 menjanjikan harapan baharu dalam banyak hal termasuk penggunaan tulisan Jawi. Semua guru pelatih mesti mempelajari tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Teras (BMT, PM101). Pelajaran Jawi dalam BMT bertujuan supaya mereka dapat (i) (ii) (iii) (iv)

menggunakan ejaan Jawi dengan betul mengenal pasti kesilapan ejaan dan membetulkannya menambah kemahiran dan kelancaran membaca Jawi membaca dan memahami bahan bertulisan Jawi dalam surat khabar, majalah dan bahan-bahan lain (v) berminat untuk membaca bahan bertulisan Jawi (vi) menambah kecekapan menulis Jawi (vii) menggunakan tulisan Jawi dalam kerja bertulis, dan (viii) meninggikan bentuk tulisan Jawi22 Selain itu, guru pelatih Pengajian Melayu diajarkan sistem ejaan Jawi sebagai sebahagian daripada tajuk kajian bahasa pada peringkat pertama dengan peruntukan masa selama 12 jam atau lebih kurang 10% daripada peruntukan masa kajian bahasa pada peringkat pertama itu.23 3.5 Kesungguhan Bahagian Pendidikan Guru (BPG) melaksanakan program itu dijelmakan dengan mewajibkan soalan mengenai tulisan Jawi dijawab dalam peperiksaannya. Misalnya, kertas peperiksaan Bahasa Malaysia Teras (PM 101) 1984 memestikan calon menjawab soalan mengenai tulisan Jawi tanpa pilihan dengan peruntukan markah sebanyak 16.5%. Hal ini merupakan satu petanda baik. Kita berharap pada masa akan datang peruntukan markah ini digenapkan menjadi 20% dan usaha dilakukan untuk menentukan matlamat yang dinyatakan tadi benar-benar tercapai. 3.6 Kedudukan tulisan Jawi dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) tidaklah sekukuh kedudukannya dalam kurikulum lama. KBSR menetapkan pelajaran Jawi mula diajarkan pada tahap II, iaitu mulai darjah empat.24 Bagaimanapun, jika guru benar-benar melaksanakannya, ada harapan kisah lama tidak berulang lagi. Sekiranya maktab perguruan gagal melahirkan guru yang mampu melaksanakan program baharu ini serta program lain yang mungkin menyusul, kit akan terus hampa. 4.0

SIKAP KITA TERHADAP TULISAN JAWI

4.1 Rumusan kongres, seminar dan yang seumpamanya serta laporan rasmi dapat menggambarkan sikap sesuatu kumpulan, kerajaan dan masyarakat, bahkan sikap kita juga, tentang sesuatu perkara. Jadi, apabila seminar dasar IV dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 mengenai “Daya Cipta Bahasa Malaysia dalam Pembentukan Keperibadian Kebudayaan Kebangsaan” tidak membuat sebarang rumusan mengenai tulisan Jawi,25 hal itu dapat dianggap 22

Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia(a), Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia Teras (Kuala Lumpur: Bahagian Pendidikan Guru, 1983), h. 12 – 13. 23 Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia (b), Sukatan Pelajaran Pengajian Melayu (edisi kedua) (Kuala Lumpur: Bahagian Pendidikan Guru, 1984), h. 9. 24 Kementerian Pelajaran Malaysia, Sukatan Pelajaran Sekolah Rendah 1983 (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983. 25 Lihat Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Asas Kebudayaan Kebangsaan (Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, 1973), h. 519 – 521.

Jawi Jiwa BM

9

menggambarkan sikap “tidak apa” dalam kalangan ahli bahasa kita tentang hal ini. Sikap yang sama tertayang lagi beberapa tahun kemudian apabila tulisan Jawi langsung tidak disentuh oleh Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran ketika meneliti kurikulum Bahasa Malaysia.26 Namun, sikap tidak ambil peduli ini tidak menyeluruh. Seminat Dasar V dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 mengenai “Nilai-nilai Sosial yang Penting di Sisi Pemupukan Keperibadian Malaysia” merumuskan agar digalakkan semula pengajaran dan penggunaan tulisan Jawi.27 Seminar Pendidikan Islam Malaysia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1972 juga membuat rumusan yang serupa.28 Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia yang membuat perakuan supaya sistem ejaan Jawi yang ada kini dikaji dan diperkemas,29 memperlihatkan sikap positif jawatankuasa yang berkenaan terhadap tulisan Jawi. 4.2 Konvensyen Tulisan Jawi di Terengganu pada 9 hingga 11 April yang lalu menunjukkan perubahan besar sikap masyarakat kita terhadap tulisan itu. Rumusan yang dibuat nampaknya cukup menyeluruh.30 Pelaksanaan rumusan itu menjanjikan harapan baharu untuk kebangkitan tulisan Jawi. Di bawah payung pemerintah yang cenderung melihat diri sendiri, cenderung melihat masa lalu untuk mengenal diri dan untuk membina masa hadapan, dan mengutamakan nilai-nilai Ilahi semula; rasanya apa-apa yang sudah dirumuskan itu segera menjadi bukti. Kita menjangka tidak lama lagi tulisan Jawi akan menunjangi bahasa Melayu semula. Peranannya pada masa hadapan tidaklah sama dengan peranannya masa lalu. Kita menjangka, tidak lama lagi tulisan Jawi sebagai tunjang, tulisan Rumi sebagai adik yang gagah, akan bersama-sama membina bahasa, sastera, budaya dan tamadun kita. 5.0

PENUTUP

5.1 Nyatalah pada kita bahawa tulisan Jawi sangat berharga. Tulisan itu berjaya memainkan peranan yang cukup besar dan sangat penting untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang berwibawa dalam semua bidang kehidupan kita. Tulisan jawi memungkinkan bahasa Melayu digunakan oleh lebih 175 juta manusia di Asia Tenggara dan, dari segi jumlah penuturnya, merupakan bahasa yang kelima di dunia.31 Sayangnya, ketika ini tulisan Jawi semacam terpisah daripada bahasa yang pernah dibinanya itu. Disebabkan oleh proses sejarah dan kelalaian pemiliknya yang bersikap seperti kacang lupakan kulit, tulisan itu hidup merana dan baru pada akhir abad kedua puluh ini menunjukkan tanda untuk berjiwa semua. 5.2 Oleh sebab berbagai-bagai pihak sudah dan sedang berusaha meletakkan tulisan Jawi semula pada tepatnya yang wajar, kita mesti menyokong usahausaha itu. Sesuai dengan perisytiharan Batu Bersurat Terengganu, sesuai dengan 26

Lihat Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979), h. 84 – 86. 27 Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, op. cit., h. 522. 28 Kamal Hassan, “Ke Arah Penyerapan Unsur-unsur Islam dalam Dasar Pendidikan Negara”, dalam Islam dan Kebudayaan Kebangsaan, ed. Hamdan Hassan (Kuala Lumpur: Utusan Melayu, 1979), h. 56. 29 Kementerian Pelajaran Malaysia, Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia (Kuala 1981), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, h. 131. 30 Berdasarkan berita akhbar pada 1 April 1984. Petikan berita itu dilampirkan. 31 Sutan Takdir Alisjahbana, “Saat-saat dan Unsur-unsur yang Memutuskan untuk Perkembangan Bahasa Indonesia-Malaysia”, Dewan Bahasa, 27: & (Julai 1983), h;. 442.

Jawi Jiwa BM 10

usaha menerapkan nilai-nilai Islam, sesuai dengan dasar kebudayaan kebangsaan, menyedari bahawa bahasa Arab ialah bahasa pilihan Islam, dan untuk menjadi supaya tulisan Jawi terus hidup; sudah sampai masanya bahasa Arab disejajarkan dengan bahasa Inggeris dalam kurikulum kita supaya bahasa itu terus mendasari perkembangan batin bahasa Melayu.

BIBLIOGRAFI Abbas Mohd. Sharif, 1979. “Ulasan Terhadap Rencana Abdul Rahman Rukaini: Pencemaran Terhadap Istilah Agama Islam”, Dewan Bahasa, 23: 10 (Oktober 1979), h. 60-69. Abdul Rahman Rukaini, 1979. “Pencemaran Istilah Agama Islam I – III”, Dewan Bahasa, 23: 5 – 7 (Mei – Julai 1979), h. 23 – 28. Abdul Rahman Rukaini, 1982. “Tulisan Jawi: Ditelan Mati Emak”, Dewan Budaya, 1: 2 (Januari 1982), h. 4 – 5. Abdul Samad Ahmad, 1974. Sejarah Kesusasteraan Melayu I. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka. Abdullah Hassan, 1980. Linguistik Am untuk Guru Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Fajar Bakti. Amran Kasimin, 1979. “Transliterasi Arab-Melayu”, Dewan Bahasa, 23: 10 (Oktober1979), h. 48 – 59. Edwar Djamaris, 1980. “Ulasan terhadap Rencana ‘Transliterasi Arab-Melayu’ Tulisan Amran Kasimin”, Dewan Bahasa, 24: 1 (Januari 1980), h. 66 – 68. Ismail Hussein, 1981. Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kamal Hassan, 1979. “Ke Arah Penyerapan Unsur-unsur Islam dalam Dasar Pendidikan Negara”, dalam Hamdan Hassan, penyusun, 1979. Islam dan Kebudayaan Kebangsaan Kuala Lumpur: Utusan Melayu. Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, 1973. Asas Kebudayaan Kebangsaan. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Kementerian Pelajaran Malaysia, 1972. Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia untuk Sekolah Rendah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kementerian Pelajaran Malaysia, 1973(a). Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia untuk Tingkatan I – III. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kementerian Pelajaran Malaysia, 1973(b). Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia Kursus Perguruan Asas Dua Tahun. Kuala Lumpur: Bahagian Latihan Guru. Kementerian Pelajaran Malaysia, 1979. Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji dasar Pelajaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kementerian Pelajaran Malaysia, 1981. Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jawi Jiwa BM 11

Kementerian Pelajaran Malaysia, 1982. Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia Teras. Kuala Lumpur: Bahagian Pendidikan Guru. Kementerian Pelajaran Malaysia, 1983. Sukatan Pelajaran Sekolah Rendah 1983. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kementerian Pelajaran Malaysia, 1984. Sukatan Pelajaran Pengajian Melayu, Pendidikan Perguruan Asas Tiga Tahun, Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Bahagian Pendidikan Guru. Lutfi Abas dan Omar Awang, 1979. “Kesan Pengaruh Islam dan Bahasa Arab ke Atas Bahasa Melayu”, dalam Hamdan Hassan, penyusun, 1979. Islam dan Kebudayaan Kebangsaan Kuala Lumpur: Utusan Melayu. Malaysia, 1971. Akta Bahasa Kebangsaan (Akta 32). Kuala Lumpur: Pencetak Kerajaan, 1971. Memoranda Asas 50, 1962. Kuala Lumpur: Oxford. Sulaiman Mohd. Noor, 1983. “Huruf Hija’iyah: Masalah Transliterasi dan Tafsiran Makna dalam Bahasa Malaysia”, Dewan Bahasa, 27: 12 (Disember 1983), h. 847 – 857. Sutan Takdir Alisjahbana, 1983. “Saat-saat dan Unsur-unsur yang Memutuskan untuk Perkembangan Bahasa Indonesia-Malaysia”, Dewan Bahasa, 27: 7 (Julai 1983), h. 440 – 448. Syed Muhammad Naquib al-Attas, 1977. Islam dalam Sejarah Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia. Zainal ‘Abidin Ahmad, 1965. Pelita Bahasa Melayu I. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Lampiran 1 Konvensyen Gesa Tulisan Jawi Diletakkan pada Tahap yang Tinggi Utusan Malaysia, 13 April 1984. KUALA TERENGGANU, 12 April – Konvensyen Tulisan Jawi yang berakhir di sini semalam mendesak supaya tulisan Jawi dijadikan salah satu asas kewibawaan bangsa dengan meletakkan tarafnya pada rahap yang tinggi. Konvensyen itu menegaskan, sebagai salah satu cara berkesan untuk mencapai maksud tersebut adalah dengan mengadakan akta atau undangundang khas tentang tulisan Jawi di negara ini. Konvensyen Tulisan Jawi itu juga dalam rumusannya berpendapat pelaksanaan pengajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah hendaklah benar-benar terancang supaya keberkesanannya terjamin, iaitu dengan memperuntukkan satu waktu khas dalam jadual waktu persekolahan bagi pengajaran Jawi dan juga mengajarkan Jawi kepada semua murid berbagai-bagai kaum. Rumusan-rumusan lain yang dicapai termasuklah: • Bahan bacaan dalam tulisan Jawi hendaklah diperbanyak oleh para penerbit buku, akhbar, majalah dan sebagainya supaya masyarakat dapat merasakan meluasnya penggunaan tulisan Jawi di samping dapat membantu masyarakat muda menguasai tulisan Jawi. Jawi Jiwa BM 12

• Meminta Kementerian Pelajaran, khasnya Bahagian Pendidikan Guru, memastikan bahawa pensyarah maktab perguruan yang mengajarkan kurikulum tulisan Jawi benar-benar menguasai ejaan serta kaedah mengajarkan Jawi. • Menggesa kerajaan memberatkan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda, logo, lambang, iklan, surat akuan, watikah, mata wang dan lain-lain. • Kerajaan hendaklah menarik balik surat pekeliling Ketua Setiausaha Negara (rujukan surat diselidiki oleh panitia konvensyen) yang melarang penggunaan tulisan Jawi pada mana-mana bangunan dan sebagainya. • Semua kementerian dan jabatan kerajaan mestilah mengikuti segala perkembangan tentang pelaksanaan tulisan Jawi dengan menyertai konvensyen, seminar dan sebagainya yang berkaitan dengan penggunaannya di kementerian dan jabatan.

Jawi Jiwa BM 13

Related Documents

Tulisan Jawi Dan Khat Arab
November 2019 7
Tulisan
November 2019 43
Tulisan
June 2020 29
Tulisan
October 2019 42

More Documents from ""