NAMA
: NURUL AIN FATHIHAH BT MOHD ROSHIDAN
NO MATRIK
: D20081032381
TUGASAN 2
: TAHAP PERKEMBANGAN KOGNITIF REMAJA DAN CARA MERANGSANG PERKEMBANGAN KOGNITIF REMAJA DALAM MENYELESAIKAN MASALAH.
Zaman remaja disebut fasa peralihan antara usia kanak-kanak dan dewasa. Peringkat ini bermula dari akil baligh sehingga akhir usia belasan tahun. Semasa fasa peralihan yang penting ini, pelbagai perubahan dapat dilihat pada remaja. Perubahan yang terjadi dapat dibahagikan kepada dua, iaitu perubahan dalaman dan perubahan fizikal. Perubahan dalam melibatkan perubahan biologikal (hormon), emosi dan kognitif. Perkembangan kognitif bermaksud keupayaan untuk berfikir, belajar, mengingat, mengerti dan menyelesaikan masalah. Teori Perkembangan Kognitif yang diperkenalkan oleh Jean Piaget menerangkan banyak konsep utama dalam lapangan psikologi perkembangan dan berpengaruh terhadap perkembangan konsep kecerdasan. Perkembangan kognitif remaja berlaku secara berperingkat. Semasa usia awal remaja, remaja sudah mampu berfikir secara abstrak dan menggunakan logik akal untuk membayangkan perkara-perkara yang abstrak. Remaja ini dapat bertanyakan pelbagai soalan mengenai perkara-perkara yang ingin diketahuinya. Semasa usia ini juga, remaja telah dapat memahami dan menggunakan analogi dan metafora dengan betul. Selain itu, mereka mampu memberi idea dan pendapat sendiri terhadap pelbagai topik, terutamanya yang berkaitan dengan kehidupan mereka. Pada peringkat ini, remaja sudah boleh berfikir sendiri contohnya ; permainan sukan apa yang sesuai dengan minatnya, adakah penampilannya menarik perhatian orang lain dan juga memprotes peraturan-peraturan yang dikenakan ibubapa yang difikirkan tidak sesuai dengan kehendak mereka. Seterusnya pada peringkat pertengahan usia remaja, soalan yang dikemukakan mereka lebih bersifat menyeluruh. Mereka juga sudah berkebolehan menganalisis dengan baik perkara yang berlaku di sekitarnya. Selain itu, mereka sudah mula memikirkan baik buruk perkara yang dilakukan oleh mereka sendiri dan orang di sekelilingnya. Remaja pada peringkat ini menumpukan perhatian pada diri mereka dan ingin kelihatan menonjol dan lain daripada orang lain. Dalam masa yang sama, mereka juga sudah mampu berfikir secara
sistematik dan meletakkan matlamat yang ingin dicapaikan apabila dewasa kelak. Mereka juga boleh merancang kehidupan sehariannya dengan baik. Pada peringkat akhir usia remaja, pemikiran remaja sudah mencapai tahap kompleks dan pelbagai. Mereka sudah mampu memahami konsep falsafah, keadilan, politik dan semangat nasionalisme. Selain itu, remaja ini juga boleh melontarkan pendapat dan idea secara berkesan dan mendalam. Mereka berkebolehan mengupas isu-isu tertentu dan berdebat mengenainya. Jika diberikan pendapat mengenai sesuatu perkara, mereka mampu memperluas skop pandangannya. Pada peringkat ini juga, remaja sudah berfikir secara serius matlamat kerjayanya dan perancangan hidupnya dalam tempoh jangka masa panjang. Selain itu, mereka berjaya meletakkan peranan tertentu mereka dalam struktur sosial masyarakat. Walaubagaimanapun, perkembangan kognitif remaja perlu dipantau oleh ibubapa supaya tidak memesong daripada had yang sepatutnya. Perkembangan kognitif remaja dapat dirangsang secara berterusan dan sistematik supaya remaja ini bakal membesar sebagai individu dewasa yang cemerlang inteleknya. Ibubapa perlu memainkan peranan merangsang minda remaja dengan mengajak remaja menyertai perbincangan dan perbualan yang berlaku di rumah. Ibubapa juga digalakkan bertanya pendapat mengenai sesuatu isu pada remaja suapaya remaja mempunyai ruang untuk menyatakan ideanya. Individu dewasa disarankan untuk berkongsi idea mereka dengan remaja untuk merangsang otak mereka untuk berfikir. Selain itu, bagi membantu remaja menyelesaikan masalah dan membuat keputusan, ibubapa dicadangkan supaya menggalakkan remaja membuat keputusan sendiri. Caranya, ibubapa memberikan pro dan kontra mengenai semua pilihan yang ada dan membiarkan remaja membuat keputusan sendiri untuk dirinya. Namun demikian, ibubapa seharusnya memantau keputusan yang dibuat oleh anak remajanya. Dengan cara ini, remaja itu mampu berfikir secara matang dan menjana kebolehannya membuat keputusan. Remaja sering berfikir mengenai masa depannya. Dalam hal ini, guru juga memainkan peranan penting bagi membantu remaja membuat keputusan mengenai masa depannya. Guru harus membantu remaja memilih apa yang diingininya setelah diterangkan perkara baik buruk mengenai apa yang diinginkan remaja tersebut. Selain itu, apabila remaja berhadapan dengan masalah, mereka harus diajar supaya berdepan dengan masalahnya. Remaja ini disarankan menyenaraikan semua keburukan dan kebaikan yang ada dalam penyelesaian masalah itu
seterusnya membuat pilihan setelah memikirkan kesan akhir penyelesaian yang dipilihnya. Apa yang penting, remaja harus diajar bahawa mereka perlu berani bertanggungjawab atas keputusan dan tindakan yang telah dilakukannya. Selain itu, bagi menyediakan remaja dengan kematangan menyelesaikan masalah, ibubapa dan guru seharusnya memberikan peluang kepada remaja untuk merasai dan mengalami sendiri pengalaman-pengalaman baru. Guru disarankan untuk menggalakkan remaja meneroka dunia luar dengan lebih banyak membaca dan menyertai komuniti masyarakat. Remaja juga perlu disedarkan bahawa mereka mempunyai peranan tertentu dalam struktur masyarakat di sekelilingnya. Hasil daripada cara ini, diyakini remaja mampu bertindak secara matang dalam menyelesaikan masalah apabila mempunyai banyak pengalaman yang dapat membimbingnya. Rujukan : http://www.healthofchildren.com/C/Cognitive-Development.html http://www.ed.gov/parents/academic/help/adolescence/part4.html