Tahap perkembangan kognitif remaja dan apa yang boleh dilakukan bagi merangsang perkembangan kognitif remaja ini terutamanya dalam menyelesai masalah. “Interaksi Sosial: Adakah Perlu Untuk Remaja?” Tempoh remaja merupakan suatu proses peralihan yang normal daripada umur kanakkanak kepada umur dewasa. Perkembangan diri remaja melibatkan perubahan dari segi fisiologi dan psikologi. Persekitaran yang baik memainkan peranan yang amat penting dalam pembentukan diri remaja yang baik dan harmoni dari aspek fizikal, kognitif, emosi dan sosial. Pada peringkat ini, remaja mula menunjukkan tingkah laku yang sesuai dengan jantina mereka. Perkembangan kognitif bermaksud keupayaan untuk berfikir, belajar, mengingat, mengerti dan menyelesaikan masalah. Pada masa remaja, perkembangan kognitif mereka semakin meningkat dan mereka mula berfikir secara abstrak dan matang berbanding sebelumnya. Mereka mempunyai keupayaan untuk memanipulasi konsep-konsep yang abstrak, mengkaji perasaan dan pemikiran sendiri, mengaplikasikan prinsip-prinsip untuk menyelesaikan masalah, membentuk hipotesis bagi penyelesaian yang bijak, berbahas mengenai sesuatu fenomena yang berlaku di hadapan mereka serta berlakunya pertambahan struktur mental mereka. Masa remaja dianggap sebagai masa kemuncak dalam perkembangan umur seseorang individu terutamanya bagi mereka yang berumur 12 hingga 14 tahun. Setiap pelajar memerlukan interaksi sosial yang berterusan, terutamanya bagi remaja sekolah. Menurut teori Lev Vygotsky, pembelajaran adalah suatu pengalaman interaktif. Hal ini demikian kerana guru mampu membantu pembelajaran pelajar dengan cara memberi peluang kepada mereka untuk bercakap dan berkongsi pendapat. Sekiranya seseorang guru ingin merangsang perkembangan kognitif pelajar, mereka seharusnya diberikan peluang untuk terlibat secara langsung terutamanya dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P).
Secara umumnya, kehadiran orang dewasa terutamanya ibu bapa dan guru adalah penting dalam membantu perkembangan kognitif remaja. Menurut Vygotsky dalam penulisannya, aktiviti interaksi sosial adalah penting kepada remaja terutamanya semasa kehadiran orang dewasa. Kehadiran ibu bapa atau guru akan membantu remaja unutk belajar semasa peringkat umur mereka. Pembelajaran bersama serta aktiviti dramatik seperti lakonan merupakan dua cara yang bijak bagi menambahkan interaksi sosial dalam kalangan remaja semasa di sekolah. Remaja-remaja ini perlu diberikan masa untuk berbual bersama secara bebas dan terkawal serta diberikan masa untuk berehat semasa sesi persekolahan. Selain itu, semasa aktiviti fizikal seperti suatu bentuk permainan dalam sesi P&P, guru seharusnya memasukkan sedikit proses sosialisasi untuk pembangunan diri remaja yang lebih sihat. Di samping itu, sekiranya pendidik mahupun ibu bapa mengharapkan remaja memahami bagaimana untuk berkomunikasi dengan baik secara lisan dan bertulis, mempunyai hubungan yang mesra dengan orang lain serta mempunyai sifat-sifat kepimpinan; oleh itu, aktiviti interaksi sosial remaja seharusnya diperkenalkan kepada mereka semasa atau selepas sekolah melalui sikap masyarakat sekeliling itu sendiri. Sebagai kesimpulannya, perkembangan kognitif remaja yang sihat mampu melahirkan remaja yang berdaya saing sama ada dari segi akademik mahupun masa depan mereka. Remaja perlu diberi peluang untuk berinteraksi dengan rakan mereka serta orang dewasa bagi bertanyakan pendapat atau berkongsi idea. Mereka juga harus diajar dan dibimbing bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul tanpa memperlekehkan pendapat atau pertolongan yang mereka berikan. Justeru itu, sebagai seorang guru, kita seharusnya bijak merancang aktiviti yang mampu melibatkan setiap pelajar sekaligus membantu perkembangan kognitif mereka secara maksimum.
Reference: Jones, Rose B (2006). Social Interaction: Is It Necessary for Adolescents? Diperoleh pada Julai 27, 2009 daripada http://findarticles.com/p/articles/mi_qa3614/is_200601/ai_n16510686/? tag=content;col1 Kaufman, Miriam (2006). Role of adolescent development in the transition process. Diperoleh pada Julai 27, 2009 daripada http://findarticles.com/p/articles/mi_qa4117/is_200612/ai_n17193620/? tag=content;col1