Tuan Lim Kit Siang minta Perdana Menteri menyatakan langkah-langkah yang beliau ambil untuk memupuk objektif Bangsa Malaysia sejajar dengan Wawasan 2020 memandangkan masalah polarisasi kaum kini semakin memburuk berikutan dengan bunyi riuh komunal mengenai “ketuanan Melayu” atau “kedaulatan Melayu”. Jawapan: Sepertimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, perpaduan dan integrasi nasional sememangnya merupakan salah satu aspirasi utama Kerajaan. Kita percaya bahawa sebuah negara bangsa yang utuh hanya akan dapat lahir hasil daripada perpaduan yang teguh dan mantap. Bagaimanapun, negara yang aman dan makmur tidak mungkin lahir dengan sendirinya. Atas kesedaran inilah maka Kerajaan senantiasa berusaha untuk memastikan agar pembangunan ekonomi negara terus berlangsung dengan pesat, di samping memastikan agar tiada mana-mana golongan yang merasakan mereka ketinggalan dalam arus perdana pembangunan negara. Di samping memastikan kesaksamaan dan keadilan ekonomi di kalangan rakyat, Kerajaan juga turut berusaha untuk memupuk semangat kekitaan melalui system pendidikan, program-program perpaduan negara, program latihan Khidmat Negara dan pelbagai inisiatif lainDEFINISI: Perpaduan dapat diertikan sebagai hubungan erat bersifat toleransi yang diwujudkan secara sengaja dalam kalangan kaum dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat bersama secara jujur dan ikhlas. Dalam kata lain perpaduan adalah proses menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan negara. Integrasi dirujuk kepada proses penyatuan masyarakat berbilang kaum, daerah dan wilayah tempat tinggal, budaya, adat resam, cara hidup, latar belakang, kepercayaan dan pegangan agama yang berlainan untuk menjadi satu entiti yang terikat oleh norma dan nilai murni masyarakat sejagat demi mencapai tujuan dan kepentingan bersama secara adil dan saksama. MASALAH PERPADUAN DAN INTEGRASI NASIONAL. Perpaduan rakyat menjadi satu cabaran utama yang dihadapi oleh Kerajaan Malaysia. Isu perpaduan adalah utama dari sembilan cabaran untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 yang berbunyi ”Mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu yang mempunyai matlamat yang serupa dan boleh dikongsi bersama, berintegrasi di peringkat Wilayah dan antara kaum, berasaskan persamaan hak dan keadilan” Cabaran ini berkait dengan cabaran ke lima yang berbunyi ”Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur dengan rakyat pelbagai kaum bebas
mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada negara’. Cabaran ini berkait pula dengan cabaran ke tujuh iaitu untuk ”Mewujudkan masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang” iaitu sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri dan kebajikan insan tidak berkisar kepada individu tertentu sahaja. HALANGAN DAN KESUKARAN UNTUK PERPADUAN DAN INTEGRASI. Terdapat beberapa faktor sejarah yang menyulitkan proses pencapaian perpaduan di Malaysia. Di antaranya ialah; - Agama dan kebudayaan: Setiap kumpulan etnik mempunyai agama dan kebudayaan yang berlainan. Setiap kaum pula mempunyai adat resam, bahasa, kesenian, budaya dan sistem nilai yang berbeza. Masing-masing kurang mengenali dan memahami dan seringkali menganggap mereka sahaja yang terbaik. Sikap ini menguatkan perasaan buruk sangka yang menghalang pergaulan baik antara pelbagai kaum. - Dasar Penjajah British: Penjajah British mengamalkan dasar pecah dan perintah yang menjarakkan kumpulan-kumpulan etnik demi kepentingan dan keselamatan mereka sendiri.. Penjajah sengaja menentukan status dan peranan yang berlainan bagi kaum yang tertentu. Interaksi antara kaum menjadi terbatas dan lahirlah sikap prasangka negatif yang kukuh antara rakyat tempatan yang berbilang etnik. - Sistem pendidikan, persekolahan dan bahasa yang berlainan: Laporan Razak menyebut bahawa tiada satu sistem pendidikan nasional di Tanah Melayu di mana setiap etnik lebih gemar menghantar anak mereka ke sekolah yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Kurikulum yang digunakan juga tidak sama. Ada pula yang berpusat ke negara nenek moyang mereka, tidak terdapat bahasa pengantar yang sama. Keadaan ini melebarluaskan lagi jurang pergaulan, menghasilkan pandangan yang berlainan dan menjejaskan persefahaman dan perhubungan sesama rakyat di samping mewujudkan keperibadian dan perwatakan yang berbeza tanpa mempedulikan pembentukan warga negara yang beridentitikan satu negara. - Amalan ekonomi yang berlainan: Setiap etnik menjalankan aktiviti ekonomi yang tertentu dan mendiami kawasan yang berlainan. Keadaan ini mewujudkan jurang pendapatan yang tidak seimbang dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan etnik yang berlainan jenis dan ras serta mengakibatkan perpaduan negara terancam. - Perbezaan politik mengikut bangsa, kaum dan etnik: Kewujudan persatuan politik, sosial dan ekonomi berdasarkan bangsa, kaum dan etnik tertentu telah memmperkuatkan identiti sesuatu kumpulan dan menimbulkan perasaan syak
wasangka kerana setiap kumpulan hanya memperjuangkan hak dan kepentingan kumpulan tertentu sahaja. Parti-parti politik yang berasaskan kepada suku kaum juga memainkan pelbagai isu sensitif seperti bahasa, budaya, ekonomi dan hak keistimewaan sehingga memburukkan lagi masalah perpaduan. - Pendudukan Jepun: Kemasukan tentera Jepun ke Tanah Melayu menambah jurang permusuhan antara orang Melayu dan orang Cina. Sebilangan besar tentera anti Jepun terdiri dari orang-orang Cina, sementara ramai pula orang Melayu yang diambil oleh tentera Jepun untuk menjadi askar dan polis. Keadaan ini menjadikan menjejaskan persefahaman dan menimbulkan perasaan kurang senang antara masyarakat Melayu dan Cina. PERISTIWA BERDARAH 13 MEI 1969 Penjajahan British melalui dasar pecah dan perintah serta mementingkan kuasa dan ekonomi menyebabkan terjadi jurang perbezaan dan pengenalan ekonomi berbentuk etnik antara kaum dan wilayah. Pelbagai kaum terasa seperti tidak mendapat pembelaan dan peluang yang sewajarnya. Dalam kempen pilihanraya 1969 pula, terdapat parti-parti politik yang telah menimbulkan isu-isu sensitif yang menyentuh kaum tertentu. Kehilangan dua pertiga majoriti parti Perikatan dalam pilihanraya umum tersebut, diikuti kelantangan beberapa pemimpin parti pembangkang dan penyokong mereka yang menimbulkan perasaan saling membenci dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Kemuncak manifestasi perkauman ini ialah peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Kerajaan bertindak pantas dengan menubuhkan sebuah badan khas yang dikenali sebagai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Majlis ini dipertanggungjawabkan untuk mengembalikan keamanan dan undang-undang negara, menentukan pentadbiran yang licin, adil dan sempurna serta mengembalikan suasana keharmonian dan kepercayaan antara kaum. Peristiwa ini menunjukkan bahawa perpaduan nasional sukar dicapai jika terdapat jurang perbezaan yang terlalu besar terutama dari segi ekonomi, politik dan sosial antara rakyat pelbagai kaum. Pada bulan Januari 1970, Majlis Perundingan Negara (MPN) ditubuhkan. Fungsi utama majlis ini ialah meneliti isu-isu perpaduan negara serta mencari jalan untuk menyelesaikannya. Antara hasil utama Majlis ini ialah Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru. Perisytiharan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 sebagai ideologi kebangsaan negara adalah bertujuan agar fikiran, pendapat dan perasaan rakyat pelbagai kaum dapat dipersatukan secara pemuwafakatan dan bijaksana tanpa membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh mencetuskan keadaan yang tidak diingini.
RUKUN NEGARA; Bahawasanya Negara Kita Malaysia, mendukung cita-cita hendak mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan masyarakatnya, memelihara satu cara hidup demokratik, mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama, menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak, membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden. MAKA KAMI, Rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usasha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan prinsip-prinsip berikut; -
KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA KELUHURAN PERLEMBAGAAN KEDAULATAN UNDANG-UNDANG KESOPANAN DAN KESUSILAAN
HURAIAN KEPERLUAN PRINSIP-PRINSIP RUKUN NEGARA; Keperluan prinsip-prinsip Rukun Negara dapat dihuraikan seperti huraian berikut; Prinsip Rukun Negara Huraian Kepercayaan kepada Tuhan Semua rakyat mengaku bahawa kuasa Tuhan mengatasi sebarang kuasa lain. Islam adalah agama Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan oleh orang bukan Islam. Prinsip ini akan mewujudkan masyarakat yang beragama dan berpegang teguh dengan ajaran masing-masing. Diharapkan rakyat yang berpegang teguh dengan ajaran agama akan mempunyai peribadi dan mengamalkan sifat-sifat terpuji yang dapat membentuk fikiran, pertuturan dan perbuatan yang memanfaatkan diri sendiri serta orang lain kerana semua agama mengajar kebaikan mengikut fahaman masing-masing. Kesetiaan kepada Raja dan Negara Prinsip ini bertujuan untuk menanam sifat-sifat kesetiaan, bertanggungjawab, sanggup berkorban demi kerajaan dan negara serta bersedia memberi sumbangan dalam pembangunan negara. Prinsip ini menegaskan bahawa Yang di Pertuan Agung adalah lambang perpaduan negara. Keluhuran Perlembagaan
Membolehkan masyarakat memahami bahawa perlembagaan negara merupakan sumber perundangan tertinggi yang harus dipatuhi. Kesetiaan terhadap undangundang negara juga tidak boleh dipersoalkan berdasarkan keturunan atau kaum seseorang. Kedaulatan Undang-undang Mewujudkan masyarakat yang menghormati undang-undang negara kerana ia berfungsi memberi perlindungan kepada semua anggota masyarakat. Setiap warga tertakluk di bawah peraturan dan undang-undang yang diwartakan. Kesopanan dan Kesusilaan Bertujuan untuk memupuk sahsiah mulia dan terpuji dalam kalangan masyarakat berbilang kaum agar tidak mudah menyinggung perasaan orang lain yang boleh menjejaskan keharmonian negara. Kesemua lima prinsip Rukun Negara di atas bertujuan untuk mewujudkan sebuah negara Malaysia yang seluruh rakyatnya bersatu padu, adil, demokratik, liberal dan progresif. DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN DAN PERPADUAN NEGARA; Pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan rakyat yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa ”Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara” Secara tidak langsung dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa pengantar dan sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang persekolahan pelajar. Kurikulum yang dibina bukan saja bertujuan untuk memberi ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan ia juga dapat membentuk
sahsiah, keperibadian dan perwatakan murid yang diingini bagi memupuk perpaduan. Kurikulum ini berorientasikan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al Quran Dan Assunnah dan Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia serta membentuk tingkahlaku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia. PENUBUHAN KELAB RUKUN NEGARA DI SEKOLAH; Semasa merasmikan sambutan Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2000 di Melaka, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah Bin Hají Ahmad Badawi selaku Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu, telah menyarankan supaya Kelab Rukun Negara ditubuhkan di sekolah. Sebelum itu, dalam perasmian Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 1999 di Pahang, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara untuk menjamin perpaduan dan kemakmuran negara agar terus berkekalan. Dengan tertubuhnya Kelab Rukun Negara di sekolah melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 17/2000 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia berkaitan Penubuhan Kelab Rukun Negara Di Sekolah, maka pengetahuan, pemahaman, penghayatan warga sekolah terutamanya golongan relajar terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara ke arah menjana semangat perpaduan yang lebih jitu dapat dipertingkat dan diperkukuhkan.. OBJEKTIF PENUBUHAN KELAB RUKUN NEGARA DI SEKOLAH; Objektif penubuhan Kelab Rukun Negara di sekolah ialah; - Memperkenalkan prinsip-prinsip Rukun Negara. - Memberi pengertian dan kefahaman tentang lima prinsip Rukun Negara. - Menyubur dan mempertingkatkan kesedaran kerohanian dan kepentingan Rukun Negara sebagai asas norma kehidupan. - Menjadikan prinsip-prinsip Rukun Negara sebagai satu amalan cara hidup yang berterusan bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai jati diri, setia, bersatupadu, berwawasan, bermaruah, bersikap terbuka dan beretika sejajar dengan wawasan negara. AMALAN DAN PENGHAYATAN PRINSIP-PRINSIP RUKUN NEGARA DI SEKOLAH; Di antara amalan dan penghayatan berkaitan prinsip-prinsip Rukun Negara yang dilaksanakan di Kolej Islam Sultan Alam Shah ialah; Melafazkan ikrar Rukun Negara – Amalan ini dilaksanakan oleh semua warga sekolah dalam perhimpunan mingguan, hari sukan tahunan dan semasa majlis ulang tahun kemerdekaan.
Kesannya sangat positif kerana semua warga sekolah dapat mengingati dan menghayati falsafah serta prinsip-prinsip Rukun Negara. Mempamerkan prinsip-prinsip Rukun NegaraSemua prinsip Rukun Negara dipamer di tempat strategik seperti di pejabat, bilik mesyuarat, perpustakaan, dewan besar, dewan kuliah, kantin dan pada bangunan sekolah. Kesannya ialah semua warga sekolah dapat mengingat dan sentiasa sedar kepentingan Rukun Negara sebagai seorang rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan dan kehidupan yang harmonis untuk mencapai wawasan negara. Nyanyian Lagu Negaraku dan lagu Negeri SelangorAmalan ini dilaksanakan pada setiap perhimpunan resmi sekolah. Semua warga sekolah bingkas bangun dengan sendirinya apabila dimaklumkan oleh pengacara majlis dan menyanyikan lagu-lagu tersebut dengan penuh semangat. Amalan ini dapat membina perasaan setia, cinta dan bangga kepada negara dan raja yang menjadi lambang perpaduan seluruh rakyat Malaysia. Sekolah Penyayang – Satu program yang dilaksanakan di sekolah dengan menekankan konsep ”Kolejku Syurgaku” dan ”Yang Tua Dihormati, Yang Muda Disayangi” dengan penyertaan bersama ibubapa pelajar melalui Persatuan Ibubapa dan Guru. Amalan ini dapat mewujudkan golongan pelajar yang cinta kepada sekolah, membentuk peribadi pelajar yang suka menolong dan menghormati orang lain, berbudi pekerti mulia, serta menimbulkan perasaan kasih sayang dan hubungan mesra antara warga sekolah dan sesama ibubapa para pelajar. Pemuafakatan Sekolah dan Masyarakat – Sekolah juga mewujudkan program pemuwafakatan dengan masyarakat setempat melalui program-program ilmiah seperti ceramah agama, kuliah subuh, bacaan Yasin, solat hajat, Makan Beradab, majlis khatam Al Quran, sambutan Maulidur Rasul, Ma’al Hijrah, gotong royong membersih tanah perkuburan, majlis perkahwinan dan sebagainya. Sekolah juga memberi kerjasama kepada penduduk dan masyarakat setempat apabila mereka memohon kerjasama dari pihak sekolah untuk menggunakan kemudahan padang dan dewan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti, majlis-majlis dan permainan tertentu. Pelaksanaan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) Sebagai sebuah sekolah berasrama penuh yang majoriti pelajarnya terdiri dari pelajar Melayu, namun mereka berasal dari daerah dan negeri yang berlainan termasuk dari Sabah dan Sarawak. Program RIMUP secara kelompok turut diadakan di mana pelajar-pelajar dari sekolah ini terlibat dengan program yang dirancang bersama dengan sekolah–sekolah lain yang, mempunyai pelajar berbilang kaum. Jawatankuasa RIMUP peringkat sekolah dan kelompok dianggotai kaum yang pelbagai. Kesan penglibatan pelajar dan warga sekolah
dalam program ini adalah sangat baik. Ia membolehkan mereka berinteraksi dan bergaul secara lebih erat dan mesra seterusnya menyumbang kepada perpaduan dan integrasi rakyat yang lebih erat. Penyertaan Dalam Kokurikulum – Semua pelajar diwajibkan mengambil bahagian dalam persatuan, permainan dan pakaian seragam. Penyertaan aktif dalam kokurikulum dan pembabitan mereka dalam perkhemahan, persembahan dan pertandingan di pelbagai peringkat akan mendedahkan mereka kepada situasi yang berlainan dan beragam. Terdapat peraturan dan disiplin tetrtentu semasa mengikuti programprogram yang dijalankan. Pemilihan ahli jawatankuasa dilakukan secara demokrasi dengan bimbingan guru penasihat dan jurulatih dari pelbagai agensi. Mereka dapat berinteraksi secara sihat serta mematuhi peraturan dan disiplin yang ditentukan. Hasil dari penglibatan pelajar secara aktif dalam aktiviti yang dilaksanakan adalah sangat memuaskan terutama dalam usaha untuk membentuk dan membina kehidupan masa depan pelajar dan sebuah masyarakat yang berdisiplin, berharmoni bersatu padu dan berintegrasi. Penghayatan Ibadat Dan Aktiviti Keagamaan – Pelajar diwajibkan menunaikan kewajipan ibadat Solat lima waktu secara berjemaah dan ibadat-ibadat lain di surau dan di masjid. Amalan ini dapat membentuk peribadi pelajar yang ta’at kepada suruhan Tuhan. Mereka terasa bersalah jika suruhan Tuhan tidak ditunaikan. Amalan ini berjaya membentuk golongan pelajar yang bersifat mulia dan terpuji seterusnya menjadikan mereka warganegara yang cintakan kedamaian, keamanan dan perpaduan yang sejati sebagai warga yang baik kerana kepercayaannya yang kuat kepada Tuhannya. Mereka akan bersatu padu dan bekerjasama untuk membina kehidupan terbaik dalam negara yang tercinta. Sambutan Bulan Patriotisme dan Kemerdekaan – Setiap tahun sekolah mengadakan pelbagai program sempena memperingati hari ulangtahun kemerdekaan negara. Jawatankuasa sambutan peringkat sekolah ditubuhkan dengan kerjasama Kelab Rukun Negara, Unit Bimbingan Dan Kaunseling, Kelab Guru dan Kakitangan, Persatuan Sejarah dan Persatuanpersatuan pelajar. Sekolah juga turut melibatkan penyertaan PIBG, Alumni, tokoh-tokoh dan sejarawan, Agensi dan Badan Kerajaan dan Bukan Kerajaan dalam aktiviti yang dilaksanakan. Acara yang dilaksanakan ialah seperti ceramah kemerdekaan, tayangan gambar berbentuk patriotik, pembacaan sajak, sketsa, pentomen, kibaran ”Jalur Gemilang”, hiasan bilik darjah dan asrama, pidato, forum, penulisan esei, derma darah, pameran, melukis potret tokoh negara, perbarisan dan perarakan serta sambutan detik kemerdekaan. Pelajar juga terlibat dengan program sambutan yang dianjurkan oleh pihak lain di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Penyertaan pelbagai pihak dalam menjayakan program ini dapat membina keyakinan semua warga sekolah berkaitan pembinaan bangsa Malaysia yang merdeka dan bertanggungjawab,
bersifat patriotisme yang tinggi dan cintakan kehidupan bersatupadu dan kestabilan negara. Lawatan dan ziarah – Sekolah menggalakan para pelajar membuat program lawatan ke tempattempat bersejarah, Parlimen, Putrajaya, Bandaraya Melaka, Memorial, Tugu Negara, Muzium Negara, Rumah-rumah kebajikan, asrama anak-anak Yatim dan miskin, Penjara, Rumah perlindungan kanak-kanak, asrama orang kurang upaya, sekolah, universiti dan sebagainya. Pelbagai acara diadakan semasa lawatan dan ziarah tersebut diadakan seperti perbincangan, gotong royong, khidmat Imam dan Bilal, persembahan kesenian dan kebudayaan, pertukaran maklumat dan sebagainya. Kesan dari program lawatan dan ziarah ini sangat bermakna dan memberi kesedaran kepada pelajar peri pentingnya berbudi bahasa, mengamalkan toleransi dan perhubungan baik sesama rakyat berbilang kaum dan keturunan. Pengurusan Disiplin Secara Kolektif, Telus dan Adil – Jawatankuasa Disiplin dan Lembaga Disiplin sekolah diwujudkan. Pelajar didedahkan berkenaan pengurusan disiplin dan peraturan sekolah dan asrama sejak hari pendaftaran atau hari pertama persekolahan bermula. Peraturan sekolah dimaklumkan kepada semua pelajar dan dipamerkan di setiap lokasi penting seperti bilik darjah, papan-papan kenyataan sekolah dan asrama. Pelajar selalu diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan mengikut pekeliling yang dibenarkan. Pelajar diberi peringatan, amaran dan nasihat supaya berkelakuan baik sepanjang persekolahan. Setiap kes kesalahan diambil perhatian dan segala tindakan adalah mengikut prosedur yang dibenarkan. Tindakan dan hukuman yang dikenakan ke atas pelajar yang bermasalah adalah adil, menggunakan budi bicara yang sepatutnya dan bertujuan untuk mendidik serta mengambil kira situasi dan masa depan pelajar terbabit. Keadaan ini menjadikan suasana sekolah berada dalam keadaan tenteram dan harmoni sesuai sebagai tempat mulia untuk mereka menimba pengalaman dan ilmu pengetahuan seterusnya menjadi pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Pelajar menikmati suasana kondusif di sekolah dan di asrama di mana. Budaya ”Sekolahku Syurgaku” dapat diwujudkan. Mereka dapat merasakan kepentingan undang-undang, peraturan, etika, tata susila dan perlembagaan di sesebuah institusi dan masyarakat serta menyedari tanggungjawab semua pihak agar sentiasa menghormati dan mematuhinya. Hari Keluarga dan Sukan Rakyat – Program yang melibatkan seluruh warga pendidik, kakitangan dan beberapa orang pelajar telah diadakan. Pelbagai acara dijalankan melibatkan semua eserta. Selain dapat menghilangkan perasaan tertekan dengan bebanan tugas, program ini dapat membina persefahaman, keteguhan perpaduan dan perasaan kasih sayang dalam kalangan seluruh warga sekolah. Acara kebudayaan dan kesenian-
Pelbagai acara berbentuk kebudayaan dan kesenian rakyat telah diadakan seperti permainan tradisi, boria, dikir barat, nasyid, marhaban, berzanji dan lain-lain lagi yang disertai oleh pelajar, kakitangan dan guru sekolah. Selain dapat berhibur, semua yang terlibat dapat memahami dan mematuhi peraturan yang digariskan. Perkhemahan Bina Insan – Program ini melibatkan semua pelajar dan guru-guru serta sebahagian kakitangan sokongan sekolah. Kerjasama diperolehi dari pelbagai pihak seperti Kerajaan Negeri Selangor, Bomba, Polis dan sebagainya. Acafa-acara yang dijalankan ialah seperti ceramah motivasi, pembinaan jati diri, kerohanian, kembara, ikhtiar hidup, kewarganegaraan dan riadah. Suasana perkhemahan yang dijalankan di luar kawasan sekolah sangat menyeronokkan para pelajar. Selain dari mendapat maklumat dan kemahiran baru, mereka dapat merasai keindahan alam Malaysia, nikmat kehidupan dalam sebuah negara yang aman dan damai. Majlis Sambutan Hari Raya, Ucapan Tahun Baru Cina dan Hari DepavaliSetiap kali menjelang hari perayaan, sekolah mengatur program yang melibatkan seluruh warga sekolah. Beraneka jenis makanan yang dihidang dinikmati bersama. Sumbangan yang diperolehi dari pelbagai pihak disampaikan kepada mereka yang kurang berkemampuan. Ucapan selamat yang diberikan, disambut dengan penuh kemesraan dan dapat membentuk perasaan kasih sayang dan perpaduan rakyat berbilang kaum dalam dunia sekolah yang kecil. Sistem Rumah – Pelajar sekolah dari daerah yang berlainan termasuk dari Sabah dan Sarawak ditempatkan dalam satu rumah supaya mereka dapat berinteraksi dan berkongsi hidup dalam kehidupan sebagai pelajar sekolah berasrama penuh. Setiap rumah dibimbing dan dipantau oleh para warden dan guru-guru dari pelbagai kaum. Perlaksanaan sistem ini telah berjaya mewujudkan suasana kediaman yang aman dan sihat yang memberi semangat kepada pelajar mengikuti proses persekolahan mereka dalam situasi yang terbaik dan kondusif. Sistem ini mempunyai cara pemarkahan yang melibatkan empat komponen utama iaitu sahsiah dan kepimpinan, akademik, kokurikulum dan 3K (Kebersihan, Keselamatan dan Keceriaan) asrama dan kelas. Hasilnya kehidupan yang harmoni dan berdisiplin dalam kalangan ahli rumah terbina sebagai sebuah komuniti sekolah yang mempunyai semangat bersatu padu dan berintegrasi tinggi. Program Sahsiah Kisas – Satu program tahunan yang dirangka sejak tahun 2002. Pelbagai program diatur seperti ’Infaq dan Tadhiah’, ”Istiqamah dan Iltizam”, ”Khidmat Murabbi” dan ”Adab Komunikasi”. Melalui acara-acara yang dijalankan, sekolah berjaya membentuk keperibadian, sahsiah dan jati diri pelajar yang berketrampilan dan dapat menghayati kandungan prinsip Rukun Negara.
Aktiviti Riadah di luar sekolah – Sekolah menggalakkan pelajar mengambil bahagian dalam pelbagai program yang dianjur pelbagai pihak seperti Majlis Perbandaran Klang, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Pejabat Daerah Klang, Majlis Belia Malaysia, Jabatan Agama Islam Selangor, Rakan Muda, INMIND dan sebagainya. Antara aktiviti yang disertai pelajar ialah senamrobik, mencari harta karun, larian Bandar Diraja, Perarakan Sambutan Maulidur Rasul dan Ma’al Hijrah, Larian Merdeka dan sebagainya. Pelajar dapat berinteraksi dengan peserta dari pelbagai kaum dan lapisan masyarakat. Mereka dapat memahami dengan lebih mendalam erti perpaduan dan perasaan hormat menghormati sesama masyarakat. Tabung kebajikan – Sekolah mengadakan tabung kebajikan guru, kakitangan dan juga pelajar. Selain dari kutipan yuran, derma kilat, sumbangan juga diperolehi dari pihak luar seperti PIBG, Alumni, Bank Islam, Bank Rakyat, Pusat Zakat, Yayasanyayasan Negeri, Koperasi Muslimin, para dermawan dan orang perseorangan. Sumbangan ini diagihkan kepada pelajar yang terdiri dari keluarga yang kurang berada untuk membayar yuran sekolah, peperiksaan, wang saku, perubatan, zakat, pakaian, melanjutkan pelajaran, kematian atau kemalangan dan sebagainya. Amalan sebegini dapat menyemai perasaan simpati, kasih mengasihi, mengukuhkan ikatan muhibbah, perpaduan dan integrasi nasional seperti yang dihasrat dan dicita-citakan dalam Rukun Negara. PENUTUP; Kejelekitan perpaduan dan integrasi rakyat dalam sebuah negara berbilang kaum sukar dicapai tanpa pendedahan awal yang berstrategik, keintiman, persefahaman semua pihak, kepercayaan dan pegangan kukuh terhadap ajaran agama, di samping menghayati dengan penuh keinsafan intipati dan kandungan tersurat dan yang tersirat dalam kesemua prinsip rukun negara. Penghayatan Rukun Negara untuk mencapai perpaduan dan integrasi nasional yang padu lagi jitu dilaksanakan di Kolej ini melalui proses pendidikan dan pembelajaran berdasarkan kurikulum Kebangsaan, pembabitan dalam kokurikulum yang teratur dan terancang, penghayatan keagamaan dalam kehidupan seharian, penyertaan semua warga organisasi dalaman sekolah dan di luar sekolah dalam pelbagai aktiviti yang menjurus kepada pembentukan kehidupan rakyat yang bersatu padu secara kolektif serta jalinan perhubungan yang baik dan mesra yang diamalkan secara ikhlas dan penuh keinsafan oleh semua pihak berdasarkan prinsip-prinsip Rukun Negara Malaysia. Kini kita berada dalam era globalisasi dan liberalisasi. Pelbagai usaha dijalankan di Kolej ini ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang bersatupadu. Walaupun terdapat beberapa cabaran, tetapi dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih dan strategi yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan bersifat pro aktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian, perpaduan dan integrasi nasional akan
tercapai dengan restu dan perkenan Tuhan Yang Maha Berkuasa. SENARAI RUJUKAN; 1. Sejarah Malaysia, Fajar Bakti Sdn. Bhd 2. Malaysia Kita, Institut Tadbiran Awam Negara, JPN, 1991 3. Malaysia Kita, International law book Services, 2007. 4. Buku Panduan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan, KPM, 2005. 5. Pengajian Am Kenegaraan Malaysia, Mohd. Thajudin Abd. Muthalib, East View, 1997. 6. Pengajian Am Kertas 900/1, Prof Madya Dr. Cheu Hock Tong, Pustaka Sarjana, 2001. 7. Negara Kita, INTAN, Kuala Lumpur, 1986. 8. Perlembagaan Persekutuan, Pindaan 1987, Jabatan Percetakan Kerajaan, Kuala Lumpur, 1988. 9. Mengenal Perlembagaan Malaysia, Tun Mohammad Suffian Hashim, DBP, 1984. Posted by bumiwaqafan at 11:57 PM 0 comments
Older Posts Subscribe to: Posts (Atom)
KISAS TERBILANG stam 2008
WAL 'ASR tiang Islam Slideshow
Blog Archive •
▼ 2007 (23) o ▼ June (4) PENGETUA-PENGETUA DULU DAN SEKARANG KRONOLOGI RINGKAS KOLEJ TAFSIRAN LENCANA LAGU KOLEJ ISLAM ► May (18) TEMAN... DI TEPI DEWAN TERBUKA, 21 ME1 2007
o
KERJA KURSUS PTK DEPAN RGS PEJABAT LENCANA SEKOLAH FALSAFAH, MISI, VISI & MATLAMAT KISAS PIAGAM PELANGGAN ANTARA TUGAS GURU TINGKATAN TUGAS WARDEN TUGAS PK HEM SISTEM RUMAH apa sebab tak dapat? biasalah kalau mahu atu permulaan apa-apa saja arud 1 jangan buat tak tau pulak! ► April (1) sejarah ringkas
o
About Me
bumiwaqafan View my complete profile kita harus senantiasa berwaspada agar keadaan aman dan makmur yang sedia ada ini tidak akan diganggu gugat oleh mana-mana tindakan yang akan membawa kepada perpecahan dan perselisihan faham di kalangan rakyat