Tamadun Gemilang Mesti Selari Kehendak Syariat

  • May 2020
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Tamadun Gemilang Mesti Selari Kehendak Syariat as PDF for free.

More details

  • Words: 980
  • Pages: 2
Tamadun gemilang mesti selari kehendak syariat Wan Roslili Bt. Abd. Majid Pegawai Penyelidik 30/03/2005 | Berita Harian KEAGUNGAN sesebuah empayar atau bangsa banyak bergantung pada pencapaiannya dalam pelbagai bidang. Pencapaian ini, akhirnya menjadi sumbangan tamadun manusia kepada peradaban dunia yang kekal mempengaruhi perjalanan masyarakat dunia sejak dulu hingga kini. Lihat bagaimana besarnya sumbangan tamadun dunia seperti Mesir, Mesopotamia (Babylon), Yunani, Rom, Parsi, China, India, Jepun, Eropah dan paling penting, tamadun Islam dengan keunggulannya berbanding tamadun lain yang pernah dibina dan dicatat dalam sejarah dunia. Bagi Malaysia, dalam usaha menyusun perancangan untuk melayakkan kita mencapai taraf masyarakat hadhari, 10 prinsip digariskan sebagai panduan mencapai matlamat itu. Antara prinsip paling asas adalah keimanan dan ketakwaan kepada Ilahi; kemerdekaan jiwa daripada sebarang bentuk belenggu; penguasaan ilmu pengetahuan; keseimbangan pembangunan ekonomi, keutuhan akhlak serta budaya dan keampuhan sistem pertahanan. Prinsip ini juga yang mendasari tamadun Islam dan menjadikan ia berbeza dengan tamadun lain di dunia. Tiga ciri utama tamadun Islam adalah akidah suci dan kukuh kepada Allah; syariah yang dijadikan panduan serta peraturan hidup dan akhlak mulia. Ciri itu yang membuatkan pembinaan tamadun gemilang oleh umat Islam lebih bererti berbanding bangsa lain di dunia. Tamadun Islam yang berasaskan prinsip suci, contohnya yang diwakili oleh Kerajaan Bani Ummayyah (Damsyik: 41-133 Hijrah/ 661 -750 Masihi. dan Andalus: 139-423 Hijrah./756-1031 Masihi) dan Bani Abbasiyyah (Baghdad: 132-656 Hijrah/750-1258 Masihi) memperlihatkan keunggulan yang tidak terbanding. Ilmu pengetahuan pada zaman pemerintahan Kerajaan Bani Ummayyah yang berpusat di Damsyik berkembang dengan pesat dan meliputi bidang bahasa, sastera, sains, perubatan serta ilmu agama seperti hadis, fiqh, tafsir dan tauhid. Antara kota yang menjadi tumpuan perkembangan ilmu adalah Kufah dan Basrah di Iraq (ilmu bahasa serta sastera). Kerajaan Bani Ummayyah yang berpusat di Andalus pula berkembang lebih pesat, selain berjaya membina tamadun lebih besar dalam pelbagai aspek agama dan bukan agama. Cordova menjadi pusat ilmu pengetahuan di Eropah pada abad keempat Hijrah/10 Masihi. Bangsa Eropah memperoleh manfaat daripada perkembangan ini. Mereka berpeluang mempelajari banyak ilmu Islam yang berkembang di seluruh Andalus. Ia bukan saja di Cordova, malah bandar lain seperti Seville, Toledo dan Granada. Bagi Kerajaan Abbasiyyah pula, kegemilangannya juga setanding Bani Ummayyah di Andalus. Kota Baghdad seperti Cordova juga memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu pengetahuan dan tamadun Islam, terutama pada zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid dan puteranya, al-Ma'mun. Kegemilangan zaman pemerintahan kedua-dua pemerintah berwibawa ini mendorong sejarawan menamakannya Zaman Keemasan Kerajaan Abbasiyyah. Hal ini kerana, pada zaman itu, kegiatan ilmiah berkembang dengan amat pesat melalui penulisan buku, penterjemahan, hubungan diplomatik dan perdagangan dengan negara maju luar, termasuk di Eropah, India dan China secara meluas. Hasil kegiatan ilmiah ini melahirkan ramai tokoh ulama, ahli bahasa, sastera dan tokoh dalam bidang ilmu yang lain, termasuk bidang astronomi, astrologi, matematik, perubatan seni muzik dan falsafah. Kesan dan pengaruh kegiatan ilmiah ini terhadap dunia luar amat besar. Berbicara mengenai Baghdad yang diasaskan oleh al-Mansur pada 762 Masihi atau nama asalnya Madinah al-Salam, tentunya tidak lupa untuk mengaitkannya sebagai salah satu ikon utama tamadun Islam. Kedudukan penting Baghdad membanggakan, namun yang tragisnya, kota itu kerap menjadi tumpuan misi kehancuran oleh manusia yang tidak bertamadun. Serangan dan kemusnahan ke atas Baghdad bagaikan pita rakaman yang diulang berkali-kali. Apa yang menyedihkan, keruntuhan Baghdad turut meruntuhkan bersama-samanya asas keyakinan umat Islam bahawa mereka masih boleh membina tamadun berpandukan kegigihan dan usaha keras generasi sebelumnya. Kota agung kebanggaan Islam ini mengalami kehancuran buat pertama kalinya ketika pemerintahan al-Mu’tasim (1258 Masihi) apabila Hulagu Khan, iaitu cucu Genghiz Khan yang memimpin 200,000 tentera kejam Mongol menyerang Baghdad. Khalifah, pembesar Baghdad serta umat Islam dibunuh dan mayat mereka dicampakkan ke dalam Sungai Tigris. Bangunan yang menjadi mercu tanda kegemilangan Islam dirobohkan. Demikian juga Baitul Hikmah, universiti dan madrasah yang menjadi nadi penggerak perkembangan tamadun dunia pada zaman itu turut dimusnahkan. Sungai Tigris juga menjadi saksi terpadamnya khazanah ilmu Islam yang dihumban ke dalamnya, lalu menukar airnya menjadi lautan tinta yang pekat. Kehancuran dan keruntuhan kota Baghdad sering diratapi oleh umat Islam sama ada pujangga mahupun orang biasa. Ibn Juzayy (1321-1356/8 Masihi), sasterawan muda Andalus yang dititah Sultan Abu ‘Inan supaya bekerjasama dengan Ibn Battutah dalam penghasilan karya Rihlah Ibn Battutah, turut memetik syair ilham Abu Tamam Habib ibn Aus. Beliau seolah-olah dapat melihat sendiri tragedi yang menimpa Baghdad: “Demi Allah, sesungguhnya tinggal di Baghdad seorang yang mengumumkan kematiannya. “Tangisilah, tangisilah akan keruntuhan zamannya. Pada suatu masa dulu, ia tetap gemilang walaupun peperangan menyala, lalu api dipadamkan, sedikit di segenap pelosoknya

Manusia mengharapkan detik gemilangnya akan kembali tiba, tetapi kini, segala harapan yang disimpan menjadi suram laksana wanita tua yang meninggalkan zaman mudanya dan hilang kecantikan yang menghiasi dirinya.” Dari satu aspek, kehancuran kota Baghdad dan kemusnahan ribuan monumen yang melambangkan kegemilangan tamadun Islam zaman silam haruslah pula ditanggapi dengan penuh keinsafan, bijaksana dan jiwa terbuka. Ada limpahan rahmat yang tidak terlihat oleh pandangan mata di sebalik keruntuhan dan kehancuran kota warisan Islam serta monumen yang melambangkan tamadun yang bermula sejak kurun ketujuh ini. Keruntuhan Baghdad buat kesekian kalinya oleh Amerika Syarikat pada 12 April 2003 membawa rahmat Ilahi yang mungkin tidak terjangkau dek pemikiran manusia terbatas. Kehancuran monumen berharga dan kemusnahan muzium serta perpustakaan (termasuk perpustakaan al-Quran di Kementerian Wakaf Agama di sekitar kota Baghdad yang menyimpan khazanah tidak ternilai harganya turut menghancurkan jiwa umat Islam seluruh dunia. Kita harus menerimanya dengan penuh reda dan insaf. Inilah cabarannya untuk kita umat Islam, khususnya di Malaysia untuk kembali bangkit membina semangat dan kekuatan agar berupaya membina tamadun gemilang, jika pun tidak setanding Baghdad. Gagasan idea dicetuskan dan yang tinggal hanya kesungguhan untuk membuktikan bahawa kita berkeupayaan menjadikan citacita murni ini bukan sekadar mimpi atau khayalan, tetapi benar-benar suatu kenyataan. Lebih penting, buktikan juga bahawa tamadun yang dibina itu tidak sesekali akan terikat dengan tuntutan alam, sejarah mahupun resam dunia iaitu yang berada di puncak pasti akan kembali ke tanah semula. Dengan kata lain, kita mesti berusaha menghindari perkara negatif, hasil perbuatan sendiri bagi memastikan pencapaian tamadun kita sentiasa berada pada tahap cemerlang dan gemilang

Related Documents

Kehendak
November 2019 31
Gemilang
November 2019 25
Syariat Islam
May 2020 26
Malaysiaku Gemilang
May 2020 8