“ Tiada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah. Esa Dia, tiada yang sekutu bagi - Nya. Segala puji bagi Allah yang menghidup dan mematikan. Hidup kekal Dia tiada mati dan tiada binasa dan Dialah Tuhan yang amat berkuasa atas segala sesuatu. Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Sesungguhnya, berlaku kematian itu adalah untuk disempurnakan pahala kamu di Akhirat. Barang siapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga , sesungguhnya selamatlah dia. Tiada kehidupan di dunia ini hanyalah merupakan mata benda yang memperdayakan. Ingatlah wahai manusia, sesungguhnya setiap makhluk yang ada di muka bumi ini akan mati dan binasa melainkan Allah jua yang kekal. Ketahuilah oleh mu wahai ………………. binti ……………….. , dari tanah asal mu dijadikan dan kepada tanah kamu akan dikembalikan, dan dari tanah jua kamu akan dibangkitkan untuk mendapat balasan apa yang telah kamu usahakan di dalam dunia. Inilah dia perkara yang telah dijanjikan oleh Tuhan Ar - Rahim atas kebenaran utusan dan pesuruh- Nya. Semoga diampunkan oleh Allah dengan rahmat - Nya ke atas kamu. Sekarang kamu telah hilang dari dunia yang fana ini dan berada seorang diri sahaja di dalam kubur. Ingatlah kamu wahai ………….binti ………………. Bahawa dua malaikat Munkar dan Nakir akan menyoal kamu beberapa pertanyaan : Siapa Tuhan kamu ? Siapa nabi kamu ? Apa agama kamu ? Mana kiblat kamu ? Apa ikutan kamu ? Siapa saudara-saudara kamu ?
Oleh itu, janganlah kamu takut dan gentar kepada kedua-duanya kerana mereka pun makhluk Allah seperti kita juga. Maka jawablah olehmu dengan suara yang terang dan fasih serta iktikad yang betul : Allah Tuhanku. Muhammad nabiku. Islam agamaku. Kaabah kiblatku. Al - Quran adalah ikutanku. Dan orang-orang Islamlah saudara - saudara ku. Katakanlah olehmu, aku redha akan Allah sebagai Tuhanku, agama Islam sebagai agamaku dan nabi Muhammad s.a.w. sebagai nabi dan rasulku. Berpeganglah kamu dengan hujah-hujah dan keterangan-keterangan ini dan berkekalanlah kamu diam di dalam kubur ini sehingga ke hari kiamat nanti. Wahai……………. Binti……………….. Ketahuilah bahawa kematian itu benar.Pertanyaan Munkar dan Nakir itu benar. Hidup semula sesudah mati itu benar. Syurga dan Neraka itu benar. Tibanya hari Kiamat itu benar. Akan dikira segala amal ibadahmu adalah benar. Dan bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. akan memberi syafaat adalah benar. Maka sekarang, kamu pergi terlebih dahulu daripada kami kembali kepada Allah dan kami mendoakan kamu semoga Allah menerima segala ibadahmu. Mudah – mudahan Allah tetapkan kamu dengan perkataan yang tetap. Mudahmudahan Allah tetapkan kamu dengan perkataan yang tetap. Mudah-mudahan Allah tetapkan hati kamu dengan perkataan yang tetap. Semoga Allah akan menetapkan orang-orang yang beriman dengan perkataan yang tetap. Wahai jiwa yang tenang mutma’innah, kembalilah kamu kepada Tuhan engkau sambil bersukaria serta diredhai Tuhan mu. Maka masuklah oleh mu ke dalam golongan hamba-hamba Tuhan yang soleh dan masuklah ke dalam Syurga Ku.”