Syaitan mudah kuasai orang banyak ketawa SABDA Rasulullah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi). Suka dan duka menjadi asam garam kehidupan. Menangis dan hiba sering dikaitkan dengan kedukaan dan penderitaan manakala ketawa pula menjadi manifestasi keriangan dan kepuasan. Islam tidak pernah melarang umatnya untuk melahirkan rasa gembira dan kepuasan hati mereka dengan ketawa, namun sebagai agama syumul dengan pelbagai adab dan disiplin, syariat tetap membataskan tahap ketawa yang dibenarkan. Allah berfirman yang bermaksud: “Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis dengan banyak.” (Surah at-Taubah, ayat 82). Dari mafhum ayat ini, Allah mengungkapkan sifat lazim kaum munafik yang suka mengamalkan tabiat ketawa berlebihan. Jika begitulah sikap mereka, sebagai umat Islam, kita perlu membuang sikap itu dalam hidup. Agama Islam menyediakan pilihan yang boleh diguna pakai bagi mengelakkan bertindak di luar batasan kemanusiaan apabila hati dan perasaan bertindak balas dengan apa yang dialami. Jika dihayati mafhum hadis di atas, sewajarnya setiap insan mukmin segera menginsafi diri untuk tidak menjadikan ketawa sebagai perantara menzahirkan perasaan tersendiri dengan secara berlebihan kerana dibimbangi boleh membawa kepada beku dan matinya hati. Hati adalah agen penggerak utama sahsiah dan keperibadian seseorang. Jika ia tidak lagi bernafas dalam erti kata menjadi petunjuk dan pemandu arah manusia untuk meneruskan kembara hidup ini, maka tentu tiada sedikit pun manfaat dan ganjaran yang diperoleh. Hati adalah pemerintah dalam diri setiap manusia. Sekiranya baik dan bersih hati seseorang, maka akan baiklah seluruh anggota zahiriah seseorang dalam melakukan apa jua tindakan dalam hidup seharian. Sebaliknya jika buruk, rosaklah segala anggota asas dan pancaindera manusia apabila melakukan tindakan tertentu dalam hidup ini. Apabila hati mati, akan mudahlah syaitan hakiki dan syaitan nafsu menguasai diri seorang dan akhirnya membawa diri manusia ke lembah hina dan menyeleweng daripada landasan hidup. Ini akan melahirkan kelompok manusia yang alpa dengan fungsi dan tanggungjawab asal manusia sebagai khalifah di bumi Allah ini. Umar al-Khattab pernah berkata: “Seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takutnya kepada Allah. Apabila rasa takutnya berkurangan, akan kuranglah taatnya kepada Allah.” Suatu ketika, Rasulullah berjalan di hadapan sekumpulan orang yang sedang ketawa, lalu Baginda bersabda yang bermaksud: “Demi Tuhan yang jiwaku ini berada dalam genggaman-Nya. Jika kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.” (Riwayat Bukhori dan Abu Hurairah). Ketawa pada hakikatnya apabila sudah sampai pada tahap berlebihan, maka ia lebih mengundang perkara buruk daripada baik. Orang yang banyak ketawa akan lebih suka membiarkan masanya berlalu tanpa diisi dengan sesuatu bermanfaat. Bukan itu saja, kadang-kadang banyak ketawa boleh mengalpakan seseorang daripada mengingati mati.
Ogos 15, 2003 Menangislah Di Sini Detik waktu bersama kelahiran seorang bayi dihiasi tangisan. Nyaring berkumandang menyaring segala suara yang menyapa telinga ibu.Lonjak hatinya memuncak gembira penawar sakit dan lesu. Lalu bermulalah sebuah kehidupan yang mewarnai bumi berpenakan hati, berdakwatkan air mata. Air mata adakalanya penyubur hati, penawar duka. Adakalanya buih kekecewaan yang menyempit perasaan, menyesak kehidupan. Air mata seorang manusia hanyalah umpama air kotor diperlimpahan. Namun setitis air mata kerana takutkan ALLAH persis permata indahnya gemerlapan. Penghuni Syurga ialah mereka yang banyak dukacitanya di dunia. Tidak berkumpul dua perkara dalam satu masa. Barangsiapa gembira di dunia akan berdukacita di akhirat. Barangsiapa yang banyak dukacitanya di dunia akan gembira di akhirat. Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang. Perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang. Alangkah sempitnya kuburku, keluh seorang Abid. Alangkah sedikitnya hartaku, kesal si hartawan. Dari mata yang mengintai setiap kemewahan yang mulus penuh rakus, mengalirlah air kecewa kegagalan. Dari mata yang redup merenung Hari Akhirat yang dirasakan dekat, mengalirkan air mata insaf mengharap kemenangan. "Penghuni Syurga (Al Hasyr: 20)
itulah
orang-orang
yang
menang."
Tangis adalah basahan hidup, justeru: Hidup dimulakan dengan tangis, dicelahi oleh tangis dan diakhiri dengan tangis. Manusia sentiasa dalam dua tangisan. Sama ada yang membawa untung atau merugikan. Sabda Rasulullah s.a.w. "Ada dua titisan yang ALLAH cintai, pertama titisan darah para Syuhada dan titisan air mata yang jatuh kerana takutkan ALLAH." Nabi Muhammad bersabda lagi : "Tangisan seorang pendosa lebih ALLAH cintai daripada tasbih para wali." Oleh itu berhati-hatilah dalam tangisan, kerana ada tangisan yang akan mengakibatkan diri menangis lebih lama dan ada tangisan yang membawa bahagia untuk selama-lamanya. Seorang pendosa yang menangis kerana dosa adalah lebih baik daripada Abid yang berangan-angan tentang Syurga mana kelak ia akan bertakhta. Nabi bersabda : "Kejahatan yang diiringi oleh rasa sedih, lebih ALLAH sukai dari satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur." Ketawa yang berlebihan tanda lalai dan kejahilan. Ketawa seorang ulamak dunia hilang ilmu, hilang wibawanya. Ketawa seorang jahil, semakin keras hati dan
perasaannya. Nabi Muhammad bersabda : "Jika kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa." Seorang Hukama pernah bersyair : "Aku hairan dan pelik, melihat orang ketawa kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan, lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan." Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal, takut-takut tidak diterima ibadatnya, ita ketawa walaupun sedar diri kosong daripada amalan. Lupakah kita Nabi pernah bersabda : "Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa, akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis." Kita gembira jika apa yang kita idamkan tercapai. Kita menangis kalau yang kita cita-citakan terabai. Nikmat disambut ria, kedukaan menjemput duka. Namun, Allah SWT telah berfirman : " Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, pada hal ianya amat buruk bagimu. ALLAH Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui." (Al Baqarah : 216) Bukankah Nabi pernah bersabda: "Neraka dipagari nikmat, syurga dipagari bala." Menangislah wahai diri, agar senyumanmu banyak di kemudian hari. Kerana engkau belum tahu, nasibmu dipuak kanan atau dipuak kiri. Di sana, lembaran sejarahmu dibuka satu persatu, menyemarakkan rasa malu berabad-abad lamanya bergantung kepada syafaat Rasulullah yang dikasihi Tuhan. Kenangilah, sungaisungai yang mengalir itu banjiran air mata Nabi Adam yang menangis bertaubat, maka suburlah dan sejahteralah bumi kerana terangkatnya taubat. Menangislah seperti Saidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata : "Kalau semua masuk ke dalam syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu." Menangislah
sebagaimana
Ummu
Sulaim
apabila
ditanya
:
"Kenapa engkau menangis?" "Aku tidak mempunyai anak lagi untuk dihantar berperang," jawabnya. Menangislah sebagaimana Ghazwan yang tidak sengaja terpandang wanita rupawan. Diharamkan matanya dari memandang ke langit seumur hidup, lalu berkata : "Sesungguhnya engkau mencari kesusahan dengan pandangan itu." Ibnu Masud r.a. berkata : "Seorang yang mengerti al Quran dikenali waktu malam ketika orang lain tidur, dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa, sedihnya ketika orang lain sedang gembira dan tangisnya di waktu orang lain tertawa. Diamnya di waktu orang lain berbicara, khusuknya di waktu orang lain berbangga, seharusnya orang yang mengerti al Quran itu tenang, lunak dan
tidak boleh menjadi seorang yang keras, kejam, lalai, bersuara keras dan marah". Tanyailah orang-orang soleh mengapa dia tidak berhibur : "Bagaimana hendak bergembira sedangkan mati itu di belakang kami, kubur di hadapan kami, kiamat itu janjian kami, neraka itu memburu kami dan perhentian kami ialah ALLAH." Menangislah di sini, sebelum menangis di sana!!!............. (IlhamNya)