Sistem & Teknik Latihan Pancaragam Oleh: Zaharul Lailiddin Saidon
PENGENALAN Salah satu faktor utama yang menentukan kejayaan sesebuah pancaragam sekolah ialah teknik latihan yang diamalkan oleh guru pancaragam dalam sesi pengajarannya. Justeru itu, setiap bakal guru pancaragam perlu mendapat pendedahan secukupnya tentang teknik latihan pancaragam supaya mereka dapat merancang dan melaksanakan pengajaran yang berkesan untuk pancaragam yang bakal dibimbing. Teknik latihan yang sesuai dan sistematik dapat memastikan kualiti masa latihan dimaksimakan. Ini amat penting dalam situasi di negara kita di mana masa untuk penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum sekolah seperti pancaragam begitu terhad disebabkan fokus guru dan ibubapa terhadap matapelajaran akademik dan peperiksaan.
PERANCANGAN LATIHAN Memandangkan masa latihan merupakan komoditi yang sangat berharga, setiap guru pancaragam perlu menggunakan masa yang diperuntukkan untuk aktiviti pancaragam dengan cara yang paling berkesan. Justeru, teknik latihan bermula dengan pengurusan masa secara berkesan. Masa latihan yang berkualiti boleh dicapai sekiranya guru mengamalkan dua perkara asas iaitu (1) perancangan yang baik, dan (2) memperkenalkan rutin untuk amalan dalam setiap sesi latihan yang diadakan.
2
Saidon
TEKNIK LATIHAN PANCARAGAM
Zaharul Lailiddin
Pengurusan masa latihan yang berkesan
Perancangan latihan yang baik
Memperkenalkan rutin latihan
Perancangan yang teliti Guru pancaragam yang berjaya biasanya melaksanakan tugasnya dengan berpandukan kepada perspektifnya yang jelas serta keyakinannya yang tinggi terhadap matlamat dan objektif jangka pendek dan jangka panjang yang ingin dicapai oleh pancaragam di bawah bimbingannya. Bagi merealisasikan matlamat dan objektif ini, beliau membuat perancangan yang menyeluruh dan terperinci dengan mengambilkira semua kelebihan, kelemahan serta kekangan dan kemungkinan yang bakal dihadapi. Dengan lain perkataan, perancangan yang dibuat perlu bersifat realistik dengan mengambilkira pelbagai faktor seperti kewangan, masa dan persekitaran sekolah termasuklah sokongan pentadbir, guru dan ibubapa. Guru pancaragam seharusnya menzahirkan perancangan pancaragamnya dalam bentuk pelan bertindak. Bermula dengan matlamat akhir untuk jangka masa tertentu, guru pancaragam harus menggariskan tindakan dan langkah mengikut urutan yang sesuai bagi mencapai matlamat tersebut. Sebagai contoh, seseorang guru telah meletakkan salah satu daripada tiga pasukan terbaik dalam pertandingan peringkat negeri sebagai matlamat akhir pancaragam di bawah bimbingannya pada tahun berkenaan. Berpegang kepada matlamat ini, guru tersebut perlu menggariskan dengan jelas satu program latihan yang lengkap merangkumi sistem dan jadual latihan untuk setiap minggu di sepanjang tahun itu sehinggalah ke tarikh pertandingan diadakan. Selain perancangan jangka panjang, guru pancaragam juga perlu merancang dengan objektif yang jelas untuk setiap sesi latihan yang bakal diadakan. Dengan perancangan yang baik, setiap sesi latihan dapat dipenuhi dengan aktiviti yang pelbagai meliputi bacaan semerta, permainan skel, latihtubi teknikal, latihan bermain lagu baru, dan permainan lagu pilihan yang pernah dipelajari dalam pelajaran-pelajaran yang lepas.
Zaharul Lailiddin Saidon
TEKNIK LATIHAN PANCARAGAM
3
Seperti juga sesi pengajaran matapelajaran pendidikan muzik di bilik darjah, tugas seoranga guru pancaragam yang sebenarnya bermula sebelum melangkah masuk ke bilik latihan. Masa yang berharga akan terbuang sekiranya seorang guru pancaragam, mula menganalisa skor semasa sesi latihan dijalankan. Kefahaman yang jelas terhadap skor lagu amat penting memandangkan sebahagian besar sesi latihan berfokus kepada membetulkan kesalahan dalam permainan bahagian-bahagian dalam gubahan tersebut. Guru pancaragam perlu menulis dengan jelas langkah-langkah pengajaran dan pembelajaran dalam rancangan pelajarannya untuk setiap sesi latihan di samping berusaha untuk melaksanakan langkah-langkah yang dirancang mengikut anggaran masa yang telah ditentukan. Rancangan latihan ini dapat menjadi panduan kepada guru untuk mengawal masa latihan dan seterusnya mengelak daripada kesuntukan masa untuk menjalankan semua aktiviti yang dirancang bagi memenuhi objektif latihan pada hari berkenaan. Selepas sesi latihan diadakan, guru pancaragam seharusnya membuat penilaian ke atas pengajaran yang telah dijalankan. Ini dapat membantu guru pancaragam untuk merancang pelajaran yang akan datang. Sebagai contoh, seseorang guru mungkin mendapati bahawa sebilangan besar ahli pancaragam tidak dapat memainkan lagu yang baru diperkenalkan dengan baik disebabkan masalah dalam aspek irama. Penekanan kepada latihtubi pola irama adalah cara yang terbaik bagi mengatasi masalah ini. Oleh itu, untuk sesi latihan pancaragamnya yang akan datang, guru dapat merancang untuk memperuntukkan masa yang lebih kepada aktiviti latihtubi irama.
Memperkenalkan Rutin Latihan Aktiviti rutin dapat melicinkan perjalan latihan dan seterusnya memastikan masa tidak dibazirkan khususnya dengan kerja-kerja pentadbiran yang tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan aspek perkembangan kemahiran muzikal. Perkara rutin ini boleh dibahagi kepada dua iaitu: (1) aktiviti muzikal dan (2) aktiviti bukan muzikal. Contoh aktiviti rutin muzikal ialah aktiviti pemanasan secara individu (individual warm-up), manakala aktiviti rutin tidak muzikal termasuklah mengaturkan kerusi dan dirian not (note-stand), mengedar skor individu, membuat pengumuman, mengambil kedatangan dan lain-lain.
4
Saidon
TEKNIK LATIHAN PANCARAGAM
Zaharul Lailiddin
Rutin Latihan Rutin Bukan Muzikal
Rutin Muzikal Penalaan alat secara individu
Mengatur Kerusi dan dirian not
Pemanasan individu
Mengedar skor lagu
Penalaan alat secara kumpulan individu
Mengambil kedatangan
Pemanasan alat secara kumpulan
Membuat pengumuman
Guru pancaragam harus memaklumkan dengan jelas kepada semua ahli pancaragam tentang rutin latihan seawal dalam perjumpaan yang pertama. Sebagai contoh, sebaik sahaja pelajar tiba ke bilih latihan, mereka seharusnya mula memasang alat muzik masing-masing dan terus mulakan aktiviti memanas secara individu tanpa perlu diberi arahan lagi. Bagi tugas-tugas pentadbiran, guru perlu bijak mengatur sistem tertentu bagi menyelesaikan tugas-tugas tersebut dengan masa yang seminima mungkin. Mengambil kedatangan contohnya, boleh dipertanggungjawabkan ke atas setiausaha pancaragam atau ketua-ketua seksyen.
AKTIVITI UTAMA SESI LATIHAN Umumnya, setiap sesi latihan seharusnya mengandungi lima aktiviti utama iaitu (1) aktiviti memanas (warm-up), (2) latihtubi teknikal, (3) permainan lagu baru , (4) permainan semerta dan (5) permainan lagu yang telah dipelajari sebelum ini.
Zaharul Lailiddin Saidon
TEKNIK LATIHAN PANCARAGAM
5
Masa yang seharusnya diperuntukkan untuk setiap aktiviti bergantung kepada keadaan. Umumnya, masa yang diperuntukkan untuk aktiviti memanas tidak lama berbanding dengan aktiviti-aktiviti yang lain. Sebahagian besar masa sepatutnya diperuntukkan untuk latihan permainan lagu baru.
Aktiviti Utama Sesi Latihan Aktiviti Memanas Latihtubi Teknikal Permainan Lagu Baru Permainan Semerta Permainan Lagu Yang Pernah Dipelajari
Aktiviti Memanas Sebaik sahaja pelajar selesai memasang alat setelah masuk ke bilik latihan, mereka perlu memulakan aktiviti memanas secara individu. Rutin ini penting kerana ianya bukan sahaja dapat membantu menyediakan ahli pancaragam bagi sesi latihan pada hari berkenaan tetapi juga penting untuk menyediakan alat dengan suhu yang sesuai bagi tujuan penalaan. Oleh itu, guru perlu membimbing pelajar tentang cara memanas di samping memberi kesedaran kepada mereka tentang kepentingan aktiviti ini. Setelah pelajar selesai menjalankan aktiviti memanas secara individu untuk dua atau tiga minit, guru akan memulakan aktiviti memanas secara keseluruhan. Tujuan utama memanas ialah untuk mendapatkan penalaan yang baik. Selain daripada latihan bermain skel dalam pelbagai nada, artikulasi dan irama, guru digalakkan menggunakan chorale sebagai bahan untuk aktiviti memanas. Chorale merupakan bahan aktiviti pemanasan pancaragam yang amat berguna kerana
6
Saidon
TEKNIK LATIHAN PANCARAGAM
Zaharul Lailiddin
sesebuah chorale meningkatkan kesedaran pelajar dalam pelbagai aspek seperti intonasi, harmoni, irama, artikulasi, dinamik dan lain-lain. Guru seharusnya bijak mempelbagaikan cara permainan chorale bagi mendapatkan kesan yang lebih baik. Sebagai contoh, sesebuah chorale boleh dimainkan secara legato atau stakato serta boleh dimainkan dalam tempo yang berlainan. Kesimpulannya, sesebuah chorale boleh digunakan untuk memenuhi lpelbagai aspek latihan teknikal bagi meningkatkan tahap permainan sesebuah panncaragam.
Latihtubi Teknikal Selepas menjalankan aktiviti memanas, guru boleh memulakan latihtubi teknikal. Tumpuan seharusnya diberikan kepada aspek teknikal yang berkaitan dengan lagu baru yang akan dipelajari dalam sesi latihan pada hari tersebut. Melalui latihtubi teknikal, guru dapat membimbing ahli pancargam ke arah keseragaman dalam permainan dalam aspek-aspek tertentu seperti artikulasi dan penglidahan. Masa yang lebih lama seharusnya diperuntukkan untuk aktiviti latihtubi teknikal bagi kumpulan ahli pancaragam junior dibandingkan dengan kumpulan ahli yang lebih senior. Ahli pancaragam junior boleh dibimbing dengan penjarian baru, permainan skel dan arpegio manakala bagi kumpulan pelajar senior, guru boleh menekankan kepada aspek yang lebih mendalam seperti transposisi, harmoni dan interpretasi artikulasi. Latihan teknikal adalah penting. Namun demikian, kadangkala ianya agak membosankan pelajar. Oleh itu, guru seharusnya mengelak daripada mengambil masa yang terlalu lama untuk menjalankan aktiviti ini. Biasanyan sesi latihtubi teknikal akan berlangsung dalam lima atau enam minit sahaja. Selain daripada itu, kebosanan di kalangan ahli pancaragam boleh dielakkan sekiranya guru memaklumkan kepada pelajar bahawa latihtubi diadakan bagi membantu dalam permainan lagu baru nanti. Pelajar biasanya akan lebih berminat melakukan sesuatu sekiranya mereka dapat melihat kepentingan dan faedah yang akan diperolehi melalui sesuatu aktiviti yang dijalankan.
Zaharul Lailiddin Saidon
TEKNIK LATIHAN PANCARAGAM
7
Permainan Lagu Baru Sebahagian besar masa latihan adalah diperuntukkan untuk mempelajari lagu baru. Lazimnya, kaedah yang biasa diaplikasikan dalam mempelajari sesebuah lagu baru adalah memainkan lagu tersebut secara keseluruhan dan seterusnya diikuti dengan pemusatan kepada mengatasi masalah teknikal tertentu dalam memainkan lagu tersebut. Guru seharusnya memberi fokus kepada satu-satu masalah teknikal dalam permainan lagu baru pada satu-satu masa. Sekiranya guru cuba untuk menyelesaikan kepincangan permainan pelajar dalam pelbagai aspek teknikal daripada artikulasi sehingga ke dinamik dalam satu-satu masa, mungkin boleh menyebabkan pelajar menjadi keliru. Setelah sesuatu masalah teknikal utama seperti intonasi dan irama dapat diatasi, barulah guru beralih ke aspek yang lain. Selalunya, sebagai penutup kepada langkah ini ialah permainan lagu baru secara keseluruhan bagi menilai sejauh mana pencapaian pelajar dalam aspek-aspek yang telah diberi penekanan dalam sesi latihan pada hari tersebut. Dengan cara ini dapat membantu guru merancang sesi latihan yang akan datang termasuk aspek-aspek permainan yang harus diberi penekanan.
Bacaan Semerta Salah satu perkara penting yang seharusnya diberi perhatian oleh guru pancaragam ialah aspek kemahiran membaca dan menginterpretasi skor muzik. Dalam melaksanakan aktiviti ini dalam sesi latihan pancaragam, guru seharusnya membuat persediaan awal dengan memilih, menentukan dan seterusnya menyediakan bahan bagi aktiviti bacaan semerta yang sesuai dengan tahap kemampuan dan pencapaian pelajar secara keseluruhan. Aras kesukaran bahan bacaan semerta perlu dirancang dengan teliti supaya mengikut urutan dengan mengambil kira perkembangan aspek seperti irama, penjarian dan renj.
Permainan Lagu Pilihan Daripada lagu-lagu Yang Pernah Dipelajari Biasanya sebagai penutup kepada setiap sesi latihan, guru meminta pelajar memainkan satu atau dua lagu yang pernah dipelajari dalam pelajaran-pelajaran yang lepas. Bergantung kepada masa yang ada, permainan satu atau dua lagu
8
Saidon
TEKNIK LATIHAN PANCARAGAM
Zaharul Lailiddin
yang pernah dipelajari akan menyeronokkan ahli pancaragam dan meredakan rasa ketengangan yang mungkin dialami sepanjang mempelajari lagu baru. Pertama, langkah ini merupa satu bentuk aktiviti pengukuhan kepada perkara yang telah dipelajari dalam pelajaran lepas. Kedua, ianya dapat meningkatkan keyakinan pelajar di samping memotivasikan mereka untuk terus berlatih dengan lebih bersungguh-sungguh bagi membolehkan mereka memainkan lagu yang baru dipelajari dengan lebih baik lagi.
JADUAL LATIHAN Jadual sesi latihan yang mengandungi aktiviti-aktiviti seperti yang diterangkan di atas boleh dilaksanakan seperti yang dicadangkan oleh Anthony Chew (2001: 304) seperti berikut: 1500 Commence warm-up 1510 General Tuning 1520Technical exercises and choral training 1550Break 1600Review familiar new work or march 1620 Detailed study on new work: outline goal for this piece for the day 1650 Break 1700Detailed study of second new work: outline goal for this piece for the day 1730 Sight read new work 1740 Review current repertoire 1750 Administrative announcements 1800 Dismiss
PENUTUP Sistem dan teknik latihan yang berkesan merupakan nadi kepada kualiti persembahan sesebuah pancaragam. Sistem dan teknik latihan yang berkesan hanya boleh dicapai melalui perancangan yang sistematik, menyeluruh dan teliti
Zaharul Lailiddin Saidon
TEKNIK LATIHAN PANCARAGAM
9
dengan mengambilkira kira pelbagai faktor sekeliling yang berkaitan secara langsung mahupun tidak langsung dengan pancaragam.
RUJUKAN Anthony Chew dalam Gale, Bruce (2001). The Band Director’s Handbook: A Guide for College & Secondary School Music Directors Southeast Asia. London: Asean Academic Press Limited. Bolinger, Donald E. (1979). Band Directors Complete Handbook. New York: Parer Publishing Company. Fraedrich, Eileen (1997). Art of Elementary Band Directing. Florida: Meredith Music Publication. Gale, Bruce (2001). The Band Director’s Handbook: A Guide for College & Secondary School Music Directors Southeast Asia. London: Asean Academic Press Limited. Lisk, S. Edward (1991). The Creative Director: Alternative Rehearsal Techniques, third edition. Florida: Meredith Music Publication. Wayne, Bailey (2003). The Complete Marching Band Resource Manual: Techniques and Materials for Teaching, Drill Design, and Music Arranging. Philadelphia: Pennsylvania Press.