Sakit Jiwa Sedar tak sedar masyarakat kita hari mengalami tekanan mental yang tinggi. Pelbagai masalah menghantui masyarakat akibat masalah ini. Ibu sanggup membunuh anak, kanak-kanak dirogol dan diliwat, amuk hingga membunuh ibu sendiri dan juga penderaan kanak-kanak kian mewarnai dada-dada akhbar dewasa ini. Ke manakah hilangnya sifat kemanusiaan dan nilai-nilai moral dalam diri kita ini? Gangguan mental atau tekanan perasaan sehingga memaksa mereka bertindak diluar kawalan merupakan alasan yang sering digunakan oleh pesalah-pesalah ini. Dengan itu terlepaslah mereka daripada menerima hukuman. Punca utama terjadinya perkara ini kerana kurangnya keimanan dalam diri kita. Kita juga terlalu mudah melatah apabila menghadapi dugaan dan cabaran dalam hidup kita. Inilah yang terjadi apabila manusia berajakan nafsu bertuhankan syaitan. "Kami akan menguji kamu dengan keburukkan dan kebaikkan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya)." (21: 35) Setiap manusia di bumi ini akan menghadapi masalah, dugaan dan cabaran dalam kehidupannya. Ini jelas diterangkan dalam Al-Qur'an. Tetapi apabila hati dah lemah, pegangan dah goyah disamping iman senipis kulit bawang, dugaan yang mendatang bagaikan penyebab yang terus merosakkan hidup kita, sedangkan ujian dan dugaan hanyalah sebagai peringatan dari Allah buat kita yang terlupa. Namun harus diingat bahawa ianya juga mungkin balasan terhadap dosa-dosa yang dilakukan sama ada secara sedar atau tidak sedar. "Dan Allah berbuat demikian, untuk menguji apa yang ada dalam dadamu dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hatimu." (3:154)