1.0
Refleksi
Pertama sekali, saya Nur Syahirah binti Abd Razak ingin menzahirkan kesyukuran saya kepada Allah s.w.t kerana dipermudahkan segala urusan untuk menyelesaikan kerja kursus Makmal Kaunseling Kelompok ini. Saya sangat bersyukur kerana kerja kursus Makmal Bimbingan dan Kaunseling Kelompok ini mendapat kerjasama yang baik daripada pensyarah yang terlibat iaitu Pn Nor Fazillah binti Sajat, klien saya, Syahmi, Nasuha, Sakinah dan Atiqah, sahabat sekelas saya dan tidak dilupakan kepada keluarga saya yang tercinta yang sentiasa memberi sokongan moral kepada saya dalam melaksanakan kerja kursus ini.
1.1
Refleksi sebelum sesi bimbingan dan kaunseling
Pertama sekali, kaunselor telah membuat ulang kaji semula berkenaan dengan matlamat bimbingan dan kaunseling kelompok sebelum melaksanakan sesi bimbingan dan kaunseling kelompok bersama ahli kelompok yang terdiri daripada 4 orang. Hal ini bertujuan bagi proses mengingat semula dengan matlamat bimbingan dan kaunseling itu sendiri iaitu bagi menggalakkan pertumbuhan dan kefahaman kendiri ahli kelompok. Pertumbuhan dan kefahaman diri klien itu bertujuan bagi membentuk sikap celik akal klien terhadap permasalahan yang dihadapi (Lee, K. C., et. al., 2014). Selain itu, bagi meningkatkan kesediaan kaunselor terhadap ahli kelompok, maka, kaunselor telah mengkaji latar belakang ahli kelompok dengan berhubung dengan rakan sekelas mereka. Kaunselor juga telah menyemak rekodrekod ahli kelompok agar kaunselor dapat melihat individu yang bakal diterima sebagai klien tanpa membuat sebarang label dan menghukum klien berdasarkan rekod yang telah diterima. Hal ini adalah kerana, seorang kaunselor yang baik hendaklah melaksanakan penerimaan tanpa syarat dalam menjalankan sesi bimbingan dan kaunseling. Seterusnya sebelum sesi bimbingan dan kaunseling dilaksanakan, kaunselor telah memikirkan dan menetapkan suatu tempat sesi kaunseling yang hendak dijalankan sesuai dengan keselesaan klien dengan mengutamakan keadaan bilik yang kondusif dan bersih, bau yang menyenangkan, suhu yang sesuai dengan sesi bimbingan dan kaunseling yang hendak dijalankan. Hal ini adalah bagi menyokong dan meningkatkan keberkesanan sesebuah sesi bimbingan dan kaunseling yang dijalankan (Sapora Sipon, Ahmad Jazimin Jusoh,
Hapsah Md Yusof, 2002). Kaunselor juga berusaha untuk memastikan kaunselor dan klien mampu dan bersedia untuk melaksanakan sesi bimbingan dan kaunseling dengan memilih masa yang sesuai dengan kemampuan dan kesediaan klien dan kaunselor. Sebelum saya mengadakan sesi kaunseling kelompok ini, saya bertanya akan masa yang sesuai bagi melaksanakan sesi kaunseling kelompok agar ahli kelompok dapat memberi kerjasama yang baik dalam sesi yang dijalankan. Antara sebab saya memilih ahli kelompok adalah kerana ahli kelompok merupakan dari kelas yang sama maka mereka lebih mengetahui tentang sesama mereka dan perkara ini sangat membantu dalam mewujudkan kejelekitan yang berlaku dalam perhubungan sesi kaunseling kelompok ini.
1.2
Refleksi semasa sesi bimbingan dan kaunseling
Fasa-fasa yang telah dilalui sepanjang sesi bimbingan dan kaunseling kelompok ini
Kaunselor memiliki prinsip bahawa pandangan pertama merupakan perkara yang sangat penting dalam melaksanakan sesi bimbingan dan kaunseling bersama ahli kelompok. Maka, penampilan diri kaunselor telah dipastikan berada pada tahap yang baik dan kemas agar keselesaan antara kaunselor dan ahli kelompok dapat dicapai. Menurut Sapora Sipon, Ahmad Jazimin Jusoh & Hapsah Md Yusof (2002), penampilan diri kaunselor yang bersesuaian dengan norma tempatan juga dititikberatkan dalam hal ini kerana ia mampu mewujudkan suatu keadaan di mana ahli kelompok melihat kaunselor sebagai seorang yang professional dalam melaksanakan sesi bimbingan dan kaunseling. Semasa sesi dilaksanakan, kaunselor telah mewujudkan unsur kecindan agar kemesraan ahli kelompok terhadap kaunselor dapat ditingkatkan memandangkan sesi tersebut merupakan sesi pertama antara kaunselor dan ahli kelompok. Malah, terdapat ahli kelompok yang tidak pernah tahu apa itu bimbingan kaunseling kelompok, maka kaunselor hendaklah mewujudkan suatu suasana yang selesa dan sistematik dalam sesi kaunseling kelompok. Meskipun, kaunselor dan ahli kelompok baru melaksanakan sesi kaunseling yang pertama, perhubungan positif antara kaunselor dan ahli kelompok jelas kelihatan apabila ahli kelompok dapat memahami mesej yang ingin
disampaikan oleh kaunselor meskipun kaunselor belum melengkapkan pernyataan kaunselor dengan lebih jelas.
Seterusnya, kaunselor telah banyak menggunakan kemahiran menyoal dalam sesi bimbingan dan kaunseling yang dijalankan bagi memperoleh sesuatu maklumat dengan lebih jelas. Maka, hal ini selaras dengan pernyataan Khoo, B. L. (2016) yang menyatakan bahawa kemahiran menyoal membantu kaunselor untuk memperoleh sesuatu maklumat dengan lebih terperinci dan lebih banyak. Kemahiran menyoal yang diaplikasi dalam sesi kaunseling telah banyak mendorong ahli kelompok untuk lebih banyak berkongsi luahan hati kerana ahli kelompok mudah bercerita maka, kaunselor hanya perlu memberikan galakan dan dorongan yang minimum dalam pelaksanaan sesi bimbingan dan kaunseling kelompok. Hal ini adalah kerana, ahli kelompok yang lain mampu memberi galakan dalam sesi yang dijalankan untuk meluahkan permasalahan yang dimiliki tanpa ada rasa canggung. Nada suara yang sesuai semasa sesi bimbingan kaunseling dijalankan juga telah digunakan bagi membawa ahli kelompok bersama-sama dengan emosi yang lahir dengan pernyataan yang telah dinyatakan dalam sesi kaunseling. Hal ini selaras dengan pernyataan Mohamed Sharif Mustaffa, Roslee Ahmad, Sulaiman Shakib Mohd Noor (2003) yang menyatakan bahawa nada suara kaunselor dalam melaksanakan sesi merupakan suatu perkara yang sangat pentig bagi mencungkil emosi ahli kelompok. Kaunselor juga memastikan bahawa terdapat kontak mata antara kaunselor dan ahli kelompok dalam sesi kaunseling yang dijalankan agar ahli kelompok merasakan bahawa kaunselor benar-benar ingin membantu diri mereka dan melihatkan fokus yang diberikan kaunselor dan ahli kelompok dalam sesi yang dilaksanakan. Konsep mirroring juga telah diaplikasikan semasa sesi bimbingan dan kaunseling. Kaunselor telah menggunakan mirroring dalam sesi bimbingan dan kaunseling dengan meniru keadaan dan posisi tangan klien agar hubungan yang positif dan lancar antara kaunselor dan klien dapat diwujudkan. Menurut Richard Webster (2015), mirroring merupakan suatu peniruan pergerakan dan bahasa tubuh seseorang bagi meningkatkan rapport seorang individu dengan individu yang lain.
Terdapat beberapa kelemahan yang telah kaunselor laksanakan di dalam sesi. Antaranya ialah kaunselor memberi cadangan kepada ahli kelompok secara terus untuk menyelesaikan konflik dan isu yang dihadapi tanpa membuat perbincangan dengan ahli kelompok yang lain. Hal ini jelas mempamerkan bahawa
kaunselor merupakan seorang yang tidak memberi peluang kepada ahli kelompok untuk memilih kaedah yang sesuai dengan diri ahli kelompok. Kaunselor telah memberi cadangan yang membuatkan ahli kelompok perlu melaksanakan cadangan tersebut. Meskipun tiada tanda-tanda negatif yang dipamerkan oleh ahli kelompok berkenaan dengan cadangan diberikan, akan tetapi profesionalisme seorang kaunselor telah tercalar dengan pemberian cadangan kepada ahli kelompok yang jelas mempamerkan bahawa kaunselor yang menguasai keputusan yang hendak dilaksanakan oleh ahli kelompok itu sendiri. Seterusnya, kelemahan yang telah dilakukan oleh kaunselor apabila kaunselor tidak meneroka dengan mendalam akan isu-isu yang diutarakan oleh klien. Maka, isu-isu tersebut hanya disebut oleh ahli kelompok tanpa sebarang tindakan perbincangan dalam sesi kaunseling kelompok tersebut. Selanjutnya, kelemahan yang telah dilakukan oleh kaunselor dalam sesi yang dijalankan ialah ketidaksediaan kaunselor dari segi teknikal. Memandangkan sesi ini merupakan sesi yang perlu dirakam, terdapat beberapa kekangan yang berlaku antaranya ialah sesi tidak dapat dirakam kerana kaunselor tidak bertindak untuk memadamkan media-media yang terdapat di dalam telefon bimbit sehingga kadar simpanan memori telefon bimbit saya menjadi penuh.
1.3
Refleksi selepas sesi bimbingan dan kaunseling
Selepas sesi bimbingan dan kaunseling yang dijalankan, kaunselor telah bertanya akan perasaan sebenar ahli kelompok terhadap sesi yang dilaksanakan di luar sesi rakaman kerana ia membuatkan ahli kelompok merasa tidak selesa untuk meluahkan segala yang dirasakan. Luahan hati ahli kelompok terhadap sesi yang telah dilaksanakan sedikit sebanyak membantu ahli kelompok dalam pemilihan strategi dan langkah yang bersesuaian bagi menyelesaikan konflik yang dihadapi. Kaunselor juga telah melaksanakan pemerhatian dan soal selidik terhadap rakan ahli kelompok berkenaan dengan perkembangan diri ahli kelompok dan beliau menyatakan bahawa ahli kelompok telah mempamerkan hasil yang positif dalam menyelesaikan konfliknya.
2.0
Cadangan penambahbaikan dalam sesi bimbingan dan kaunseling yang dijalankan
Antara cadangan penambahbaikan yang hendak dilakukan dalam sesi bimbingan dan kaunseling yang dijalankan ialah saya hendaklah menggunakan bahasa Melayu yang standard agar pemahaman saya dan ahli kelompok berada pada tahap yang sama. Meskipun tiada aduan atau ketidakselesaan yang ditonjolkan ke atas penggunaan bahasa Melayu yang digunakan dalam sesi, akan tetapi saya mendapati bahawa untuk menjadi kaunselor yang hebat, saya hendaklah memperbaiki penggunaan bahasa saya dengan menggunakan perbendaharaan kata yang pelbagai dan luas serta sesuai dengan isu yang dibincangkan. Selain itu, saya juga hendaklah membaiki struktur ayat sepanjang sesi bimbingan dan kaunseling kelompok dilaksanakan. Hal ini adalah kerana saya berfikir bahawa sekiranya klien saya merupakan klien berbangsa Melayu, maka mereka akan memahami maklumat yang hendak saya sampaikan. Akan tetapi, sekiranya klien saya bukan berbangsa Melayu, kebarangkalian untuk mereka memahami sesi bimbingan dan kaunseling kelompok dengan jelas adalah sangat sedikit. Jelaslah bahawa, cadangan penambahbaikan yang hendak dilakukan oleh saya dalam sesi bimbingan dan kaunseling pada masa akan datang.
RUJUKAN
Amir Awang (1987). Teori dan Amalan Psikoterapi. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia. George Boree (1997). Personality Theories, Alfred Adler. Dimuat turun pada 19 September 2017 daripada http://webspace.ship.edu/cgboer/adler.html Khoo, B. L., Bimbingan dan Kaunseling Kanak-Kanak. (2016). Petaling Jaya: Sasbadi
Sdn. Bhd.
Lee, K. C., Ee, A. M., Suppiah Nachiappan & Taqiuddin Abd Mukti (2014). Bimbingan dan Kaunseling Kanak-Kanak. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd. Malek Muhamat Said. (2007). Mengurus Khidmat Bimbingan & Kaunseling Sekolah. Batu Caves: PTS Professional Pendidikan Sdn. Bhd. Melati Sumari, Ida Harlina Ahmed Tharbe, Norfaezah Md Khalid, Azmawaty Mohamad
Nor. (2014). Teori Kaunseling dan Psikoterapi. Kuala Lumpur:
Universiti
Malaya.
Mohamed Sharif Mustaffa, Roslee Ahmad, Sulaiman Shakib Mohd Noor (2003). Kemahiran Asas Seorang Kaunselor. Seminar Antarabangsa Guru-Guru Agama Singapura (PERGAS). Molly Fisher. (May, 2001). Alfred Adler. Dimuat turun pada 20 Ogos 2017 daripada http://www.muskingum.edu/~psych/psycweb/history/adler.htm Richard Webster. (2015). Mind Reading Quick and Easy. Petaling Jaya: Advantage Quest Publications. Sapora Sipon, Ahmad Jazimin Jusoh & Hapsah Md. Yusof. (2002). Kaunseling Individu. Petaling Jaya: Prentice Hall. Suppiah Nachiappan, Ramlah Jantan & Abdul Aziz Abdul Shukor. (2008). Psikologi Pendidikan. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.