PETUA KESIHATAN
1. RAWAT BENTAN KETIKA PANTANG Bagi ibu-ibu yang bersalin, sewaktu dalam pantang mungkin mengalami rasa seram sejuk dengan secara tiba-tiba, kepala pening dan badan rasa menggigil. Ini dikatakan bentan . Untuk mengatasi masalah ini, kita hendaklah berehat secepat mungkin , minum segelas kopi panas atau air panas bercampur gula segelas, kemudian sapu ibu kaki dengan sehiris bawang merah. Selepas itu selimutlah dengan selimut tebal sehingga berpeluh. Semasa dalam pantang, elakkan memakan makanan yang berbisa seperti rebung, nenas,buah-buahan tempatan seperti rambutan,langsat, manggis dan sebagainya.
2. GATAL KERONGKONG Untuk menghilangkan gangguan ini, cubalah petua berikut. Ambil 2-3 helai daun salam segar yang telah dicuci bersih. Masukkan dalam mangkuk. Rendam dengan air panas. Tambahkan sedikit garam kemudian tutup. Biarkan hingga sejuk kemudian minumlah hingga habis. 3. DAUN PETAI CINA UBAT KURAP Jika anda mempunyai penyakit kurap, ada petua tradisional untuk mengatasinya. Ambil segenggam daun petai cina, tumbuk hingga halus. Campurkan daun tersebut dengan satu sudu teh kapur sirih, kemudian adukkan hingga rata. Oleskan ramuan tersebut pada bahagian tubuh yang terkena kurap. Lakukan secara teratur hingga kurap itu beransur hilang.
4. KEDELAI UBAT SAKIT GINJAL Tahukah anda bahawa kedelai ternyata boleh menyembuhkan penyakit ginjal? Rebus tiga sudu makan kacang kedelai dengan empat gelas air hingga mendidih. Biarkan air rebusan menjadi satu gelas. Minumlah ramuan ini ketika masih panas setiap pagi sebaik sahaja bangun dari tidur.
5. KHASIAT RAGI TAPAI Berbedak dengan bahan-bahan yang boleh memanaskan badan amat baik untuk mengembalikan kesihatan. Bahan yang baik dijadikan bedak ialah ragi tapai. Caranya ambil sebuku ragi tapai , tumbuk halus hingga menjadi serbuk. Bancuh dengan air, jadikan seperti bedak sejuk, setelah itu bancuh dengan air sejuk.
6. PETAI JAWA UBAT KENCING MANIS Ambil petai jawa atau petai belalang yang sudah tua dan kering. Goreng petai itu tanpa minyak sehingga hitam. Kemudian tumbuk hingga halus seperti serbuk kopi. Ambil beberapa sudu kemudian dibancuh dengan air panas seperti membancuh kopi. Minumlah seperti anda minum kopi. Amalkan meminum ramuan ini.
7. DAUN BETIK MENGUBAT LUKA Sekiranya anda luka terkena pecahan kaca dan serpihan kaca tertinggal dikaki, ambil daun betik dan tumbuk dengan sedikit garam hingga lumat. Tempelkan daun betik yang telah lumat itu pada luka tersebut dan balutlah dengan kain bersih. Insya-allah dalam beberapa hari serpihan kaca yang masih tinggal pada luka itu akan keluar dan lukanya akan segera kering dan sembuh.
8. UBAT GUSI BENGKAK Jika gusi anda busuk dan berlubang serta lambat mendapat rawatan, anda mungkin mengalami bengkak pada gusi. Bengkak gusi ini mungkin mengandungi nanah yang mana membuat anda sukar makan kerana sakit dan berdenyut. Untuk mengatasinya, ambil umbut nanas, hancurkan, setelah itu campurkan dengan sedikit garam halus. Tampalkan pada gigi anda yang ada kesan bengkak. Biarkan sehingga kering.
9. AIR BERAS LAWAS KENCING
Jika anda kurang minum air dan tidak menjaga pemakanan anda atau menahan kencing, anda mungkin mengalami masalah kencing tidal lawas. Cara mudah merawat masalah ini ialah dengan meminum air basuhan beras yang sudah bersih sebanyak satu gelas setelah anda makan tengahari. Lakukan cara ini sehingga sembuh.
10. AIR SIRIH RAWAT DEMAM Jika anda dapati anak anda mengalami demam panas, sukar pula untuk mendapat rawatan doktor, anda bolehlah ambil tiga helai daun sirih , ramas bersama sedikit air, kemudian jaramkan pada kepala anak anda. Lakukan cara ini beberapa kali sehingga demam anak anda turun. 11. BANYAKKAN SUSU IBU Wanita yang sedang menyusui bayinya seringkali bingung kalau air susu ibu tidak lancar keluarnya. Untuk melancarkan air susu itu, cubalah cara ini. Makanlah lobak merah segar sebagai ulam atau dibuat sayur goreng. Atau ambil biji jagung tua secukupnya, lalu direndang sampai pecah dan rangup(bertih jagung). Makan bertih ini setiap hari.
12. PELUH DIKETIAK Peluh yang berlebihan pada ketiak pasti menyakitkan hati. Ia juga meninggalkan kesan kuning pada pakaian terutama disekitar ketiak baju. Cara mengatasinya, tumbuklah tawas hingga halus, kemudian diayak. Simpan serbuk tawas itu dalam botol kedap udara. Gunakan tawas ini setiap seringkali selepas mandi dengan cara digosokkan pada ketiak.
13. HILANGKAN BAU DAN PENING MAKAN DURIAN Biasanya selepas anda menikmati buah durian, mulut atau sendawa akan berbau. Dan pada sesetengah orang pula akan terasa mual, pening atau mabuk. Untuk mengelakkan semua ini ambillah pangsa durian tadi dan curahkan sedikit air didalamnya. Ratakan air itu dan minumlah.
14. UBAT GIGI PENAWAR KULIT MELECUR
Cara yang paling mudah mengubati kulit yang melecur ialah dengan menyapu ubat gigi keatas kulit berkenaan sebaik ianya terkena.
15. MINYAK TANAH HILANG KUTU Satu petua mudah untuk menghilangkan kutu kepala ialah dengan melumurkan sedikit minyak tanah diserata kepala. Kemudian balut kepala dengan tuala lembap. Biarkan selama dua atau tiga jam. Anda akan lihat kemudiannya kutu-kutu melekat pada tuala itu dan kepala anda akan bebas daripadanya. 16. PULIH TENAGA LEPAS BERSALIN Untuk mengatasinya, sediakan sebuku kunyit sebesar ibu jari, gula merah tiga sudu, tiga kerat lempoyang sebesar ibu jari. Lempoyang dan kunyit ditumbuk halus dicampur dengan gula merah. Bahan-bahan tadi hendaklah direbus dengan tiga gelas air hingga tinggal segelas sahaja. Setelah disejukkan barulah diminum, lakukan cara ini beberapa kali sehingga tanda-tanda penyakit anda sembuh.
17. ELAK MUAL KETIKA HAMIL Untuk mengatasinya anda hendaklah minum air suam, jangan sesekali minum air yang berlemak seperti susu dan air kacang soya, makan asam sedikit-sedikit dan biskut keras satu jam sekali mungkin boleh mengatasi masalah ini.
18. KASUT BARU, KAKI MELECET Jika anda menggunakan kasut baru, biasanya kaki anda akan melecet dan sudah tentu anda kurang selesa untuk berjalan dan mengurangkan gaya anda bila berjalan. Untuk mengatasi kaki melecet bila memakai kasut baru, anda boleh sapukan minyak kelapa disekeliling kasut anda sebelum dipakai. Atau anda sapukan bawang merah pada kaki anda. Dengan ini kaki anda tidak akan melecet.
19. MENJAGA KESEGARAN MATA Jika anda mengalami masalah penglihatan yang kurang baik anda boleh amalkan perubatan cara tradisional. Caranya ambil daun lobak merah, rendam dalam 1
mangkuk air panas , biarkan beberapa minit setelah itu minum airnya 3 kali sehari sebelum makan.
20. RAWAT CIRIT-BIRIT Bila anda diserang cirit-birit, minumlah secawan air tanak nasi sehingga perut rasa lega. Insya-Allah anda akan berhenti membuang air besar.
21. JIKA BAYI MASUK ANGIN Jika bayi anda masuk angin , jangan khuatir. Cubalah resepi di bawah ini. Ambil 2 ulas bawang merah yang telah diparut, campurkan dengan satu sudu teh asam jawa, satu sudu minyak kelapa dan satu sudu makan minyak kayu putih. Peramkan campuran bahan-bahan tersebut pada bahagian belakang, dada dan perut bayi anda. Kemudian gosok-gosokkan belakang bayi anda dengan bawang merah tunggal yang dibelah dua.
22. CARA UBAT LUKA Cara yang paling mudah untuk merawat luka , baik yang baru mahupun yang sudah lama atau infeksi adalah mengubatinya dengan madu. Bersihkan luka dengan alkohol 70 persen, atau dengan air panas. Kemudian basahi kapas dengan madu. Tempelkanlah kapas yang telah diberi madu pada luka anda. Insya-Allah, dalam waktu yang singkat hasilnya sungguh memuaskan. http://www.geocities.com/wne79/sihat.html