Penyataan Profesional Sebagai seorang bakal guru matlamat utama saya adalah untuk membantu meningkatkan kerjaya perguruan sebagai bidang professional
yang diakui
martabatnya. Saya ingin masyarakat menilai guru sebagai kerjaya penting dalam menyumbang kepada pembangunan negara dan berada dalam kelas tersendiri. Tanggapan
negatif
segelintir
masyarakat
terhadap
kerjaya
guru
haruslah
diperbetulkan terutamanya jika berlakunya insiden buruk yang melibatkan guru. Apa yang boleh para guru lakukan adalah mengubah persepsi masyarakat dengan melakukan penambahbaikan dan memperbaiki kelemahan yang sedia ada. Paling penting adalah mengutamakan keperluan pelajar untuk mencapai minda positif agar generasi yang dibentuk mampu memberi sumbangan kepada negara. Cabaran yang dihadapi bukanlah baru memandangkan sering terjadinya pertindihan pentadbiran di antara aliran perdana dan aliran khas. Lebih serius lagi apabila pihak atasan mungkin kurang arif tentang keperluan di peringkat akar umbi. Maka perkara seperti inilah yang perlu diselaraskan dengan memberi tumpuan dan pemantauan yang berterusan. Contohnya mengambil kira keperluan guru dan murid agar proses pengajaran dan pembelajaran berlaku secara sistematik. Namun begitu proses ini haruslah tidak menekan mana-mana pihak dan dilaksanakan secara profesional dan tidak melibatkan kepentingan peribadi. Cadangan dan komentar dari semua pihak harus diambil kira agar keperluan utama dapat dipenuhi. Justeru itu, adalah penting bagi pihak-pihak berwajib untuk mengembleng tenaga dalam memartabatkan profesion ini. Melihat daripada perspektif guru khas adalah penting untuk guru itu sendiri meletakkan diri dalam situasi pelajar istimewa ini. Kejayaan mendidik anak-anak khas ini bergantung bagaimana guru memahami kanak-kanak istimewa tersebut tanpa mengira status anak muridnya. Seperti yang diketahui tidak ramai yang sanggup untuk menjadi guru pendidikan khas dan mendidik kanak-kanak istimewa ini. Namun begitu perkembangan yang berlaku dalam Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP) begitu pesat dewasa ini menunjukkan PKBP semakin diberi perhatian berikutan penambahan pelajar istimewa tersebut. Pertambahan jumlah pelajar khas bermasalah pembelajaran juga memerlukan para guru khas dan juga pakar untuk mencari alternatif terbaik dalam membimbing mereka ini. Guru-guru harus sedar akan kekurangan yang dimiliki bukanlah kehendak mereka dan
mendidik kanak-kanak ini adalah tanggungjawab yang menuntut kesabaran dan kasih sayang yang bukan sedikit. Inilah sifat yang akan saya tanamkan dalam diri. Apa yang saya harapkan agar satu rangkaian pintar dapat diwujudkan untuk membentuk pusat maklumat yang dapat diakses bersama. Penilaian yang berterusan dan tindakan susulan perlu dilakukan terhadap setiap program yang telah dibuat agar ia menjadi lebih bermakna serta praktikal. Rancangan yang telah ada haruslah sentiasa ditambah baik dan dipantau keberkesanannya oleh guru sendiri. Tempoh yang diberikan selama 12 minggu praktikum ini akan digunakan sebaik mungkin untuk menimba pengalaman dan membawa nama baik IPGM Kampus Batu Lintang. Di samping itu saya sangat berharap agar kerjasama erat terus wujud antara guru-guru walaupun setelah tamat praktikum ini nanti. Tiada yang lebih bermakna selain daripada melihat kanak-kanak istimewa ini untuk mampu untuk berdikari dan mengurangkan pergantungan mereka terhadap orang lain.