Penunggang Motosikal Jadi Tumpuan Pada Ops Sikap 10 January 04, 2006 20:19 PM
PERIKSA…Beberapa anggota polis memeriksa lesen beberapa penunggang motosikal dalam Operasi Bersepadu yang turut disertai oleh Jabatan Pengangkutan Jalan baru-baru ini. Foto : ZAHARI RAZAK
PUTRAJAYA, 4 Jan (Bernama) -- Para penunggang dan pembonceng motosikal akan menjadi tumpuan pihak berkuasa sebelum dan semasa Ops Sikap 10 dari 23 Jan hingga 6 Feb ini sempena Tahun Baru Cina sebagai usaha membendung kadar kemalangan maut pada musim perayaan. Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy berkata pengguna motosikal perlu sentiasa memberikan perhatian terhadap peraturan trafik dan meningkatkan aspek keselamatan semasa di jalan raya. Katanya mereka menghadapi kemungkinan dikenakan kompaun maksimum dan dalam kes tertentu lesen boleh digantung atau dibatalkan jika melanggar peraturan jalan raya. Chan berkata Ops Sikap 10 selama 15 hari kali ini akan didahului dengan operasi praperayaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) antara 8 Jan dan 22 Jan dengan fokus utamanya golongan penunggang dan pembonceng motosikal. Bercakap kepada pemberita di sini Rabu, beliau berkata 62 peratus kematian pada Ops Sikap 9 dan 56 peratus kematian sepanjang 2004 melibatkan pengguna motosikal. Baru-baru ini, Kementerian Pengangkutan mengarahkan penguatkuasaan terhadap penunggang dan pembonceng motosikal dipertingkatkan dan dilaksanakan sepanjang 2006, terutama bagi kesalahan serius seperti tidak memakai topi keledar, melanggar isyarat lampu merah, menunggang dan memotong secara berbahaya dan berlumba di jalan raya. Katanya sepanjang Ops Sikap, JPJ dan polis akan menyaman serta-merta dan kompaun maksimum RM300 serta tiada rayuan bagi lima kesalahan serius yang boleh menyebabkan
kemalangan dan kematian yang dilakukan oleh pengguna jalan raya. Kesalahan itu ialah memandu melebihi had laju, memotong barisan, melanggar isyarat lampu merah, menggunakan lorong kecemasan dan memotong di garisan berkembar. Beliau juga berkata kenderaan berat seperti lori balak, lori pengangkut bahan binaan seperti simen, besi, keluli, batu, pasir, tanah dan lain-lain, lori pembancuh simen dan jentera berat seperti kren dan treler panjang yang membawa jentera berat, dilarang menggunakan jalan raya pada 27 dan 28 Jan serta 4 dan 5 Feb. Chan berkata lori kontena/kargo yang membawa barangan elektronik dan elektrik dan yang bergerak dari pelabuhan ke lapangan terbang, dibenarkan beroperasi daripada pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam. Menurutnya kenderaan berat yang membawa barang keperluan harian, sampah dan bahan kumbahan, pengangkut bahan bakar seperti petroleum, gas dan LPG serta yang terlibat dalam kerja-kerja kecemasan dan menyelamat, dibenarkan menggunakan jalan raya sepanjang tempoh itu. Menurut Chan Polis dan JPJ akan meningkatkan rondaan dan menempatkan anggota penguatkuasaan di kawasan-kawasan kerap berlaku kemalangan supaya pengguna jalan raya lebih berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas," katanya. Selain itu, Chan berkata polis akan memantau pergerakan trafik melalui tiga menara kawalan di Lebuhraya Utara-Selatan iaitu di Seremban, Rawang dan Gua Tempurung. Menurutnya pemantauan juga akan dilakukan di jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan bandaran melalui 104 pondok polis yang menggunakan kanopi di tempat-tempat strategik. Beberapa agensi kerajaan dan badan sukarela termasuk polis, JPJ, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan, Kementerian Kesihatan, St John Ambulans dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) akan menubuhkan bilik gerakan masingmasing untuk memantau keadaan trafik di seluruh negara sempena musim perayaan itu. Chan berkata pelancaran kempen keselamatan jalan raya sempena musim perayaan Tahun Baru Cina akan diadakan pada 20 Jan ini di Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur. -- BERNAMA