23 September, 2008 11:37 AM
Utamakan Keselamatan Semasa Balik Kampung Oleh Mohamad Bakri Idrus MELAKA, 23 Sept (Bernama) -- Bagi anak perantau, pelajar atau pekerja, lambaian desa kian meruntun perasaan untuk pulang bertemu ayah, ibu dan sanak saudara di penghujung Ramadan ini, menjelang Aidilfitri. Bagi mereka yang mempunyai kenderaan sendiri, minggu ini adalah yang terbaik servis kenderaan, nasihat seorang penyampai radio melalui rancangan paginya, kenderaan yang akan dipandu nanti dalam keadaan baik dan selesa, selain itu perjalanan bagi mengelakkan keadaan tergesa-gesa dan mengelakkan kesesakan di
untuk ke bengkel bagi memastikan eloklah dirancang jalan raya.
Kira-kira 1.4 juta kenderaan dijangka berada di atas jalan raya sehari sebelum cuti Raya iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding kepadatan trafik 700,000 hingga 800,000 kenderaan sehari pada hari biasa. Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat dilaporkan berkata peningkatan berganda kenderaan yang menyebabkan jalan padat dan sesak akan mengundang pelbagai kerenah, sikap dan masalah pemandu, yang boleh membawa risiko kemalangan jalan raya. PENGANGKUTAN AWAM Mereka yang memilih pengangkutan awam seperti bas dan kereta api, tentunya awal-awal lagi telah membeli tiket. Ramai juga yang suka membeli di saat-saat akhir dan bersesak di kaunter tiket. Yang masih tidak mahu berputih mata akan termakan umpan "ulat tiket" yang berkeliaran mencari mangsa dengan jualan tiket lebih mahal, dan jika nasib tidak baik wang lesap, bas tidak datang. Kerajaan telah membenarkan syarikat bas ekspres mengambil bas tambahan bagi mengelakkan orang ramai kempunan untuk balik kampung. Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) menyediakan 2,000 permit bas tambahan untuk dipohon syarikat bas di seluruh negara menjelang musim perayaan ini. Antara syarat kelulusan permit bas tambahan itu ialah usia bas sekolah perlu bawah 12 tahun untuk perjalanan tidak melebihi 300 km sehala. Bas itu juga tidak mempunyai lebih 10 saman trafik atau saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dilaporkan menyediakan sebanyak 50,984 keping tiket untuk pelbagai kelas bagi semua sektor perjalanan merangkumi Utara, Pantai Timur dan Selatan bermula 24 hingga 30 Sept ini. GHAIRAH UNTUK BALIK KAMPUNG Dalam keghairahan orang ramai pulang ke kampung, faktor penting yang perlu diambil berat ialah keselamatan di jalan raya supaya perjalanan selamat dan keluarga tersayang di kampung tidak menanti dalam tangisan. Selain media massa, pelbagai pihak lain tampil dengan bermacam-macam kempen kesedaran mengenai keselamatan jalan raya kepada pengguna. Semuanya dengan matlamat sama iaitu untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya. Di sepanjang jalan raya dan lebuh raya, kelihatan pelbagai peringatan dan nasihat diletakkan pada
papan tanda untuk pemandu -- "Jangan Biarkan Keluarga Anda Menanti Dalam Tangisan" "Pandu Cermat Jiwa Selamat" "Patuhi Had Laju" "Bersopan Di Jalan Raya" "Kawasan Perangkap Had Laju" dan lain-lain. Realitinya, ramai yang tidak menghiraukan nasihat dan amaran pada papan tanda berkenaan dan ada sesetengah pemandu menjadi samseng jalan raya semata-mata untuk cepat sampai ke kampung. Daripada gaya samseng mereka hanya akan tiba-tiba bertukar menjadi pemandu berdisiplin dan berhemah apabila melihat anggota polis trafik. SAMAN MAKSIMUM Tidak cukup dengan nasihat, amaran saman maksimum RM300 menanti pemandu yang melakukan enam kesalahan trafik serius sepanjang 15 hari Ops Sikap Ke-17 Aidilfitri. Enam kesalahan yang dikategorikan serius itu ialah memandu melebihi had laju, terbabit dalam kemalangan jalan raya, melanggar lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar, memotong barisan dan menggunakan lorong kecemasan. Polis berharap Ops Sikap itu, yang menggunakan pendekatan penguatkuasaan kreatif, termasuk menumpukan kepada memberi nasihat, mampu mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya sepanjang cuti Aidilfitri. Hari Raya mengikut perkiraan jatuh pada 1 Okt. Pendekatan baru Ops Sikap Ke-17 yang bakal bermula esok hingga 8 Okt dan membabitkan 5,000 anggota trafik, diharap mengubah sikap orang ramai mengutamakan keselamatan dan sayangkan nyawa dan keluarga ketika di jalan raya. Pendekatan itu juga akan mengenal pasti lebih banyak kawasan kemalangan dan memberi tumpuan meningkatkan pengawasan di kawasan terbabit. Jangan sesekali memandu dalam keadaan mengantuk. Berhenti dan berehatlah di tempat sesuai dan selamat. Bagi pengguna Lebuh raya Utara-Selatan (Plus), mereka disediakan pelbagai kemudahan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) seperti medan selera, surau dan tandas. Pihak berkuasa juga melarang kenderaan berat berada di jalan raya antara 27 Sept hingga 28 Sept dan antara 4 Okt hingga 5 Okt ini, bagi melancarkan pergerakan lalu lintas dan mengatasi masalah kesesakan jalan raya ,sebelum dan selepas sambutan Aidilfitri. Kenderaan berat yang dikenakan sekatan termasuk lori balak, lori pengangkut bahan binaan, lori pembancuh simen dan jentera berat seperti kren. Bagaimanapun larangan itu tidak melibatkan lori yang membawa bahan bakar, bekalan perubatan dan industri serta lori membawa barang keperluan harian. TIPS UNTUK PENUNGGANG DAN PEMBONCENG MOTOSIKAL Setiap kali musim perayaan, penunggang dan pembonceng motosikal adalah pengguna jalan raya yang paling berisiko mendapat kemalangan iaitu 30 kali ganda berbanding bas dan 17 kali ganda berbanding kereta. Oleh itu, seboleh-bolehnya pemilik motosikal dinasihati menaiki kenderaan alternatif semasa balik kampung musim cuti ini. Jika terpaksa juga menaiki motosikal, berikut beberapa tip yang diberikan seorang pegawai Majlis Keselamatan Jalan Raya, sebagai panduan mengelakkan nahas jalan raya dalam kalangan penunggang dan pembonceng motosikal: * Pastikan motosikal dan individu berada dalam keadaan baik dan segar serta tahap kesihatan yang bagus.
* Pastikan mereka dapat dilihat oleh pemandu lain. Ini boleh dilakukan dengan memakai pakaian cerah, vest pantul cahaya dan lampu depan belakang dipasang pada waktu siang dan malam. Kaedah ini amat berguna kerana ia boleh meningkatkan kadar kebolehlihatan sehingga mencapai 200 peratus dari segi jarak jauh dan pantulan. * Pakai topi keledar yang dipasang dengan betul dan disahkan piawaiannya atau memakai topi yang lebih selamat seperti topi keledar bertutup penuh, jaket kulit, kasut dan pakaian kalis cedera. Pandu Cermat Jiwa Selamat. Anda Mampu Mengubahnya. SELAMAT HARI RAYA -- BERNAMA